GOLONGAN belia merupakan
golongan utama yang menghadapi masalah kewangan dan menjadi muflis berbanding
orang tua akibat daripada perbelanjaan yang tidak terkawal. Antara punca utama
adalah kerana urusan sewa beli seperti kereta, rumah dan penggunaan kad kredit.
Apabila lebih 30% daripada gaji bulanan digunakan untuk membayar hutang,
seseorang itu sudah dikira mempunyai masalah kewangan. Ini menunjukkan betapa
kurangnya kesedaran golongan belia dengan pengurusan kewangan mereka dan jika perkara
ini dibiarkan, ia akan menjadi lebih teruk. Kajian menunjukkan bahawa seramai
41 belia Malaysia yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun dianggarkan
menjadi muflis setiap hari akibat kurangnya pengetahuan berkaitan pengurusan
kewangan.
Walaupun aspek
ekonomi merupakan komponen penting dalam kehidupan yang memberi peluang kepada
setiap belia meningkatkan kualiti hidup masing-masing supaya lebih selesa,
golongan ini perlu mengawal diri ketika berbelanja. Golongan belia perlu bijak
mengawal kewangan supaya tidak terperangkap dalam beban hutang yang dicipta
sendiri dengan cara mendisiplinkan diri ketika berbelanja. Hal ini penting
supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang benar-benar berkualiti. Belia yang
terjerat dengan masalah hutang sehingga jatuh bangkrap atau muflis sebenarnya
telah menjejaskan kualiti kehidupan mereka sendiri.
Bajet
merupakan antara perancangan yang penting dalam kehidupan seseorang. Ini
kerana, perancangan yang teratur ketika menguruskan perbelanjaan mampu membantu
seseorang untuk mengelakkan diri dari menghadapi masalah kewangan seperti
berbelanja melebihi kemampuan dan seterusnya mengelakkan berhutang.
Hutang
merupakan sesuatu yang harus dielakkan sekiranya tiada keperluan mendesak.
Walau bagaimanapun, keadaan pada hari ini menyebabkan generasi belia banyak
terbeban dengan masalah hutang. Bagi mereka yang terpaksa berhutang kerana
memenuhi keperluan asas dan pelajaran, hal ini boleh dimaafkan. Tetapi
janganlah wang yang dipinjam itu dianggap sebagai wang sendiri lalu digunakan
untuk perkara yang tidak perlu.
Di kalangan
belia yang bekerja, kemudahan kad kredit yang senang didapati digunakan untuk
perkara dan keperluan yang tidak mendesak secara tidak terkawal sehingga
akhirnya boleh membawa kepada status muflis. Begitu juga di kalangan mahasiswa
dan mahasiswi yang terlibat, wang pinjaman pelajaran digunakan ke arah sesuatu
yang tidak menyumbang kepada perkembangan dan kematangan minda pelajar.
Oleh yang
demikian, sebagai langkah awal untuk merancang bajet, wang yang diperoleh dan
yang dibelanjakan hendaklah mula direkodkan supaya seseorang itu boleh
mengenali dan menganalisa pola perbelanjaan mereka. Kenal pasti di antara
keperluan serta kehendak dan dahulukan yang penting seperti simpanan kecemasan
dan sebagainya.
Dengan berbuat
demikian, seseorang itu boleh mengenal pasti sebarang perubahan yang perlu
dilakukan ke arah pengurusan wang yang lebih baik. Hal ini penting kerana
sebagai seorang manusia yang rasional, kita hendaklah memastikan bahawa nikmat
yang diperoleh itu diuruskan dan diagihkan dengan baik kerana harta yang
diperoleh merupakan satu amanah dari Allah s.w.t.
Disiplin dan
mujahadah yang tinggi juga amat diperlukan untuk memastikan bajet yang telah
dirancang dapat dituruti. Walau bagaimanapun, bajet boleh diubahsuai mengikut
perkembangan semasa seperti pertambahan pendapatan dan perubahan harga barang.
Hakikatnya,
kejayaan dalam pengurusan kewangan bergantung kepada usaha kita sendiri.
Merancang perbelanjaan adalah langkah pengurusan kewangan yang bijak
tidak kira sama ada gaji kita besar ataupun kecil. Di antara kesilapan yang
sering dilakukan berkaitan wang ialah terlalu banyak berhutang, lambat
membayar bil dan tidak menyimpan wang untuk kegunaan masa depan. Kita boleh
mengelakkan daripada melakukan kesilapan yang sama dengan mengawasi tabiat
berbelanja kita.
Kenaikan harga
barang keperluan seperti gula, beras, minyak masak dan tepung serta harga gas
dan petroleum menyebabkan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengguna semakin
meningkat. Hal ini menyebabkan nilai ringgit yang diterima daripada pendapatan
bulanan semakin mengecil sedangkan kos yang terpaksa ditanggung semakin banyak
dan terus meningkat.
Bagi mengatasi
masalah ini dan seterusnya mengurangkan beban yang harus ditanggung, golongan
belia perlu menjadi pengguna yang bijak dalam mengurus kewangan. Pengguna yang
bijak ialah pengguna yang tahu mengurus kewangan dengan berkesan dan seterusnya
tahu mengawal perbelanjaan mereka. Untuk itu, mereka perlu melengkapkan diri
dengan ilmu kewangan yang dapat membantu menguruskan kewangan peribadi mereka
dengan baik dan berkesan.
Antara yang
perlu dilakukan termasuklah merubah corak perbelanjaan harian dan merancang
perbelanjaan demi masa depan yang baik. Perancangan kewangan yang baik dan
pengurusan kewangan yang sistematik akan membantu golongan belia ini berbelanja
mengikut keperluan dan tidak membebankan.
Sehubungan
dengan hal itu, mereka perlu menetapkan sasaran dalam menentukan belanjawan
bagi mengelakkan perbelanjaan yang tidak diperlukan. Mereka perlu sentiasa menyediakan
senarai barangan keperluan sebelum keluar untuk berbelanja bagi mengelakkan
dari membeli barangan yang tidak diperlukan. Untuk itu, mereka perlu
mendisiplinkan diri dengan mematuhi setiap perancangan yang telah
ditetapkan.
Golongan belia
juga boleh merangka sistem pendapatan dengan mencampurkan pendapatan suami dan
isteri, dan pendapatan lain yang diterima dan kemudiannya memasukkan pendapatan
tersebut dalam satu akaun khas setelah ditolak perbelanjaan lain yang perlu
diselesaikan. Misalnya bayaran untuk pinjaman rumah, kereta, bil air dan
elektrik, yuran persekolahan anak, perbelanjaan keperluan rumah atau minyak
kenderaan supaya dapat mengawal perbelanjaan. Kemudian catatkanlah jumlah
perbelanjaan yang telah dikeluarkan supaya mereka tahu ke manakah wang tersebut
telah dibelanjakan. Mereka juga perlu menetapkan sasaran kewangan, seperti
penetapan sasaran jangka pendek dan sasaran jangka panjang.
Penetapan
sasaran kewangan ini penting kerana dapat membantu mereka menentukan belanjawan
diri atau keluarga dengan lebih baik dan berkesan. Sebagai contoh, mengurangkan
perbelanjaan menonton wayang dengan menonton cakera video digital (DVD) di
rumah sebagai sasaran jangka pendek. Menetapkan sasaran jangka panjang pula,
sebagai contoh, melangsaikan hutang yang sedia ada terlebih dahulu atau
menyimpan wang secara bulanan untuk membeli barangan yang diinginkan secara
tunai dan bukan secara hutang.
Belilah
barangan atau perkhidmatan yang menawarkan harga jualan yang lebih murah.
Misalnya ketika musim perayaan yang menawarkan pelbagai potongan harga yang
menarik bagi mendapatkan lebih penjimatan. Selain itu, golongan belia juga
perlu sentiasa membuat pemantauan harga dan membandingkan harga barangan dan
perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengeluar atau penjual yang berbeza. Dengan
cara ini mereka dapat membeli barangan yang sama dengan harga yang lebih murah.
Selain itu,
elakkan membeli-belah dalam keadaan yang terburu-buru atau ketika berada dalam
keadaan yang tidak tenteram. Ini kerana berbelanja dalam suasana begini akan
mendorong kita membeli barangan yang tidak diperlukan dan seterusnya akan
merugikan.
Pemantauan
terhadap setiap perbelanjaan perlu dilakukan supaya dapat mengawal diri kita
daripada berbelanja barangan yang tidak perlu. Oleh itu, golongan belia perlulah
menjadi pengguna yang bijak bagi mengurus kewangan dengan lebih baik
dan berkesan.
Kesimpulannya,
golongan belia haruslah merancang dalam pengurusan kewangan untuk memastikan
setiap pendapatan yang dibelanjakan sesuai dengan kemampuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan