Kesan rumah hijau ialah
pemanasan yang berlaku apabila kepekatan gas-gas rumah hijau di dalam sesuatu
ruang tertutup meningkat dan menyekat haba daripada mudah dibebaskan. Kesan ini
tidak tertakluk pada pemanasan global sahaja, tetapi juga di dalam mana-mana ruang.
Ia berlaku apabila komposisi gas-gas rumah hijau seperti karbon dioksida,
karbon monoksida dan nitrogen dioksida meningkat melebihi tahap normal. Apabila
komposisinya meningkat, molekul-molekul gas ini yang bersifat penyimpan haba,
akan memerangkap haba lalu melambatkan proses pembebasan haba.
Kesan rumah
hijau global pula berlaku apabila sinaran inframerah matahari yang memasuki
ruang atmosfera bumi tidak terpantul secukupnya secara normal disebabkan kesan
rumah hijau. Ini akan menyebabkan pemanasan global secara berperingkat, dan
kawasan yang mengalami pencemaran teruk akan mengalami kesan itu dengan lebih
teruk lagi. Implikasi daripada pemanasan global akan menyebabkan lapisan ais di
kedua-dua kutub bumi akan mengalami pencairan dan menyebabkan peningkatan aras
laut.
Bumi bersuhu
purata 15 darjah Celcius walaupun matahari bersuhu purata 6,000 darjah Celcius.
Imbangan di antara sinaran yang diterima dan dipantulkan oleh bumi bergantung
kepada atmosfera. Awan dan permukaan bumi akan memantulkan kembali sinaran
matahari ke angkasa lepas menjadikan bumi sedikit dingin.
Kehadiran ‘gas
rumah hijau’ iaitu karbon dioksida, wap air, metana, nitrat, dan lain-lain lagi
akan menyebabkan penyerapan cahaya yang tinggi dalam atmosfera menjadikan bumi
bertambah panas. Komponen gas rumah hijau yang paling banyak dalam atmosfera
ialah karbon dioksida.
Karbon
dioksida (CO2) memasuki atmosfera melalui pembakaran bahan api berfosil (HC)
seperti petroleum, gas asli dan arang batu, sisa pepejal, hutan, sisa-sisa
kimia yang aktif seperti pembuatan simen. CO2 dikitarkan semula di dalam
atmosfera sebagai salah satu komponen dalam Kitaran Biologi Karbon. Metana
(CH4) pula dibebaskan semasa penjanaan, produksi dan penghasilan arang batu,
gas asli dan minyak HC, juga daripada aktiviti pertanian serta emisi gas
daripada haiwan perternakan seperti kambing biri-biri dan sebagainya.
Manakala
nitrat oksida (N2O) dibebaskan ke atmosfera melalui emisi gas daripada aktiviti
pertanian, perternakan, industri serta pereputan sisa pepejal. Sementara itu
gas berfluorin iaitu hidrofluorokarbon, perfluorokarbon dan sulfur hexafluorida
adalah sintetik, merupakan gas-gas rumah hijau yang teremisi daripada pelbagai
proses industri. Gas-gas berfluorin dibebaskan ke atmosfera dan menjadi punca
penipisan lapisan ozon. Gas-gas ini umumnya teremisi dalam kuantiti yang kecil,
namun kemudaratan gas-gas ini kadangkala diklasifikasikan sebagai high
global warming potential gases (high GWP gases).
Impak rumah
hijau ialah kenaikan suhu bumi, perubahan cuaca yang melampau seperti taufan,
banjir, tanah runtuh, dan lain-lain lagi, peningkatan aras laut akibat
pencairan glasier, akibat pemanasan global, kemarau, kandungan CO2 yang tinggi
dalam atmosfera, peningkatan emisi gas-gas rumah hijau di negara-negara yang sedang
membangun dan penipisan lapisan ozon.
Bagi
tempoh 1997 hingga 2008, pengeluaran karbon dioksida di dunia berikutan
penggunaan bahan bakar fosil telah meningkat 31%. Warga dunia mahu agar
‘kelajuan’ pemanasan global dapat dikurangkan. Ini bermakna jumlah gas
karbon dioksida harus dikurangkan, kerana jika tidak kita akan menghadapi
tekanan lebih berat lagi. Kehidupan yang dilalui bertambah sulit ketika
malapetaka itu berlaku dan juga ketika tempoh pasca-malapetaka.
Berbilion-bilion dolar kerugian akan dialami akibat kemusnahan harta benda dan
nyawa. Banyak program pertanian dan perikanan akan terjejas kerana berlakunya
perubahan musim yang dramatik selain mengancam banyak spesies.
Semua lautan
di dunia naik 1.5 inci. Suhu dunia akan meningkat, lantas menimbulkan
ketidakserasian kepada warga dunia. Beratus-ratus bongkah ais dari kedua-dua
kutub bumi akan cair dan menjejaskan cuaca dunia. Lihat betapa fenomena musim
panas dan kebakaran hutan semakin parah di seluruh dunia, dari Amerika Syarikat
bahagian barat hingga Australia. Suhu dunia 12 tahun terakhir ini didapati
lebih panas 0.4 darjah celsius berbanding 12 tahun sebelum 1997. Senario alam
sekitar ini menakutkan warga dunia. Sepuluh tahun dulu, ilmuwan metereologi
tidak menyangka perubahan iklim akan berlaku seteruk yang terjadi kini, jika
tiada lagi tindakan drastik diambil, pasti lebih banyak berita buruk berkaitan
alam sekitar akan menyusuli nanti.
Di Malaysia
pula, iklim di sesetengah kawasan akan terganggu dan tidak menentu. Ramalan
saintis menunjukkan peningkatan 7.0 meter paras laut, yang menyebabkan kawasan
rendah seperti Kuala Muda di Kedah dan Kelantan akan ditenggelami air. Banjir
dan ribut yang tidak menentu akan melanda di kebanyakan tempat dan penduduk di
sekitar kawasan pantai dan kawasan rendah akan mengalami kesan yang paling
buruk.
Selain itu
pemanasan global akan turut menjejaskan penghasilan makanan dan rantai makanan.
Ini akan menyebabkan berlakunya masalah kekurangan bekalan makanan seperti gula
dan beras. Pada tahun 2009, Malaysia telah mengalami masalah kekurangan gula
kerana pengeluar gula terbesar di dunia iaitu Brazil dan India telah mengalami
musim kemarau dan banjir yang menyebabkan tanaman mereka rosak. Keadaan ini
telah menyebabkan kekurangan bekalan dan harga yang melambung tinggi.
Kanak-kanak
akan lebih cenderung untuk risiko kesihatan kerana mereka akan terdedah kepada
cuaca panas yang melampau, pencemaran air, udara dan infeksi. Ini disebabkan
oleh tahap keimunan mereka adalah lebih rendah daripada orang dewasa.
Kaedah
Mengurangkan Kesan
Sebagai seorang warganegara
yang bertanggungjawab, kita perlu mengambil langkah dalam mengurangkan kesan
karbon. Secara kolektifnya, kita mampu melakukan perubahan. Mendidik anak-anak
kecil dan generasi seterusnya tentang bagaimana mengurangkan kesan karbon
adalah sangat penting, untuk itu mereka akan dapat memelihara dan seterusnya
melindungi bumi selama yang boleh. Kita sebagai individu pasti dapat melakukan
perubahan ini.
Terdapat
beberapa kaedah mudah yang dapat membantu dalam menurunkan kesan karbon iaitu:
1. Kurangkan
Aktiviti Pembalakan
Aktiviti pembalakan perlu
dikurangkan untuk mengelakkan peningkatan suhu bumi dan angin kencang.
Penghutanan semula kawasan pembalakan perlu dilaksanakan di semua kawasan yang
telah diterokai.
2. Kurangkan,
Guna Kembali Dan Kitar Semula
Pilihlah barangan yang boleh
digunakan semula berbanding yang dipakai buang. Beli dan gunalah produk yang
mempunyai pembungkusan yang minimal atau pek guna semula yang dapat membantu
mengurangkan pembaziran. Tanamkan tabiat mengitar semula kertas, plastik, surat
khabar, gelas dan tin aluminium. Sebagai ibubapa, mungkin kita dapat mengambil
peranan kecil seperti menggunakan kain tuala napkin berbanding pakai buang.
Ini mungkin
agak sukar pada awalnya, namun tidak salah untuk mencubanya walaupun hanya
sekali. Memang benar, penggunaan pakai buang amat mudah, namun kita boleh
menggunakannya ketika keluar berjalan-jalan atau pada waktu malam sahaja.
Semasa di rumah terutama waktu siang kita boleh menggunakan napkin guna-semula.
Dengan mengitar semula separuh dari barangan keperluan rumah, kita dapat
menjimatkan sebanyak 2,400 paun karbon dioksida setahun.
Kini,
kebanyakkan pasar raya menggalakkan pembelian dengan menggunakan beg
guna-semula milik persendirian, berbanding beg pakai buang. Ianya dapat
menjimatkan tenaga dan pembaziran berbanding penggunaan beg pakai buang di
setiap kedai. Hasil sisa pembuangan bukan sahaja membebaskan karbon dioksida
dan metana kepada atmosfera, malahan ianya juga akan mencemarkan udara, tanah
dan air di dalam tanah.
3. Laksana Dan
Kuatkuasakan Undang-undang
Kerajaan di seluruh dunia perlu
melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang Mutu Kawalan Alam Sekitar.
Persidangan antarabangsa seperti Persidangan Bumi Rio untuk mengatasi Kesan
Rumah Hijau dan Persidangan Viena untuk mengatasi penipisan lapisan ozon perlu
diadakan sekerap mungkin dan hasil deklarasinya perlu diakuri oleh semua negara
di seluruh dunia.
4. Kurangkan
Penggunaan Penyaman Udara
Adalah sukar bagi kita untuk
menghadapi cuasa yang panas, namun adalah baik untuk cuba mengurangkan
penggunaan penyaman udara dan mengekalkan suhu pada kadar sederhana. Tidak
terlalu sejuk, iaitu dengan menetapkan thermostat kepada 2 darjah celcius lebih
tinggi akan dapat menyelamatkan 2,000 paun karbon dioksida pada setiap tahun.
Sistem
pendingin hawa berpusat di sebahagian besar bangunan bukanlah satu idea yang
baik. Pendingin hawa dibuka sepanjang masa di seluruh tempat, tetapi banyak
tempat yang tiada orang. Jadi, sistem pendingin hawa berpusat ini tidak
memenuhi tujuannya dan sekadar memboroskan tenaga.
5. Tukarkan
Lampu Mentol
Tukarlah lampu mentol yang
biasa kepada mentol compact fluorescent light (CFL). Mentol CFL juga
tahan 10 kali lebih lama berbanding mentol pijar. Jika digunakannya ianya akan
mengambil kurang dua per tiga tenaga, dan memberikan 70% kurang haba. Kajian di
Amerika Syarikat menunjukkan bahawa setiap keluarga di Amerika Syarikat menukar
sebiji mentol pijar biasa dengan sebiji mentol CFL, ianya dapat menyingkirkan 90
bilion paun kesan gas rumah hijau, iaitu bersamaan dengan 7.5 juta buah kereta
di atas jalan raya.
6. Hapuskan
Ujian Nuklear Dan Kapal Supersonik
Kerajaan di seluruh dunia perlu
sepakat dalam usaha yang murni ini. Hapuskan ujian atau penggunaan senjata nuklear
atau kapal supersonik. Ini merupakan antara usaha-usaha besar untuk mengeIakkan
penipisan lapisan ozon yang boleh meningkatkan suhu.
7. Kurangkan
Pembaziran Makanan
Di seluruh dunia termasuk di
negara kita, kita dapati banyak program yang melibatkan pembaziran makanan
seperti kenduri dilaksanakan sepanjang masa. Kita sering mendapati banyak
makanan dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah. Jadi kurangkan pembaziran
dalam setiap program yang diadakan. Sisa makanan ini juga merupakan punca untuk
penghasilan tenaga biojisim.
Sebenarnya,
pembebasan gas rumah hijau boleh dikurangkan dengan mengurangkan permintaan
kita kepada keperluan harian. Perkara ini mudah, senang dan ringkas seperti
menukar mentol lampu di rumah kita. Pengguna juga harus makan makanan secara
sederhana dan tidak melebihi keperluan bagi mengelakkan pembaziran makanan.
8. Penggunaan
Tenaga Yang Efisyen
Sementara itu syarikat-syarikat
yang banyak menghasilkan penceramaran alam perlu mencontohi syarikat Petronas.
Petronas telah berjaya mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau dari loji
pemprosesan minyaknya sebanyak 9% setiap tahun bermula dari tahun 2008 ekoran
pelaksanaan program Pengurusan, Pengurangan dan Penggunaan Tenaga (ELM) yang
dilakukan oleh syarikat tersebut. Program Pengurusan, Pengurangan dan
Penggunaan Tenaga (ELM) ini telah dijalankan melalui tiga cara iaitu
menggunakan tenaga secara lebih berkesan, mengurangkan pengeluaran lebihan gas
di loji utama dan mengekalkan kebolehpercayaan aset dan liabiliti supaya tiada
pembaziran tenaga berlaku.
9. Kurangkan
Memandu Dan Pandu Dengan Selamat
Semua kenderaan yang
mengeluarkan asap dan gas beracun yang menyebabkan kenaikan suhu perlu
dikurangkan penggunaannya di jalan raya. Kurangkan juga penggunaan kenderaan
yang menggunakan bahan api dan fosil. Caranya ialah dengan menggunakan petrol
tanpa plumbum atau gas asli. Kenderaan berkuasa elektrik dan kuasa solar perlu
dijadikan keutamaan untuk menjaga kelestarian alam dan kesan rumah hijau.
Kurang memandu akan dapat mengurangkan pembebasan gas.
Selain menjimatkan petrol, berjalan serta berbasikal merupakan sejenis senaman
yang baik. Cubalah menggunakan pengangkutan awam seperti kereta api (KTM), LRT,
komuter dan bas serta menggunakan peluang dengan berkongsi kenderaan ketika ke
tempat kerja atau sekolah.
Sentiasa
pastikan kereta kita dapat bergerak dengan lancar. Pastikan tayar kenderaan
kita telah dipam dengan baik kerana ianya akan dapat membaiki perjalanan gas
kita sebanyak 3%. Memandulah dengan kelajuan yang tetap, elakkan dari
memberhentikan kenderaan secara mendesak dan melakukan pemecutan. Selain dari
setiap jumlah liter petrol akan dapat menjimatkan jumlah perbelanjaan bulanan
kita, ianya juga dapat memastikan bahawa hanya 20 paun karbon dioksida yang
dibebaskan ke udara. Selain memastikan atmosfera kita bersih, kita juga dapat
berusaha agar kekal sihat.
10. Beli Dan
Guna Produk Jimat Tenaga
Pertimbangkan untuk membeli
kereta baru yang mempunyai perjalanan gas yang lebih baik. Beli dan gunalah
barangan peralatan rumah yang menyediakan model jimat-tenaga serta mentol
floresen yang kompak di mana dapat membantu memberikan pencahayaan semulajadi
walaupun menggunakan tenaga jauh lebih rendah daripada mentol lambu biasa.
Sebagai contoh, kini terdapat di pasaran kereta yang menggunakan petrol dan gas
semulajadi. Gas semulajadi mempunyai kos yang lebih rendah daripada petrol
selain hanya membebaskan sedikit gas berbahaya.
11. Kurangkan
Penggunaan Air Panas
Mulakan dengan menggunakan air
sejuk ketika mandi. Ianya tidaklah terlalu teruk, malahan dapat membantu
keanjalan kulit kita. Gunakan kepala semburan yang mempunyai aluran rendah
serta menjimatkan air panas. Ianya juga dapat menjimatkan 350 paun karbon
dioksida setahun.
Cuci pakaian
kita di dalam air yang suam dan sejuk bagi mengurangkan penggunaan tenaga yang
dihasilkan. Selain itu, kita juga boleh menggunakan set jimat-tenaga pada mesin
basuh pinggan mangkuk dan biarkan ianya kering dengan menggunakan udara.
Perubahan ini sahaja mampu menjimatkan sebanyak 500 paun karbon dioksida dalam
setahun bagi kebanyakkan rumah.
12. Tutup Suis
Jimatkan elektrik dan kurangkan
pemanasan global dengan menutup suis alatan elektrik apabila kita tidak
menggunakannya ataupun sekiranya kelengkapan berkenaan berada dalam keadaan
‘siap sedia’.
13. Banyakkan
Tanam Pokok
Mulakan dengan menanam apa saja
pokok. Pokok dan tanaman akan menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen
semasa proses fotosintesis. Sebatang pokok dapat menyerap satu tan karbon
dioksida sepanjang hayatnya. Dahan pokok juga memberikan kesan redup dan nyaman
di mana turut dapat menjimatkan bil penyaman udara kita sebanyak 10 hingga 15%.
14. Tukar
Kepada Kuasa Hijau
Di kebanyakkan kawasan, kita
boleh menukar tenaga yang dihasilkan dari sumber yang bersih, boleh diperbaharui
seperti angin dan solar. Malahan, kita juga mendapat bayaran balik dari pihak
kerajaan sekiranya kita menukar kepada penghasilan tenaga yang bersih ini. Di
samping itu, kita juga dapat menjana kewangan dengan menjual tenaga yang kita
hasilkan sungguhpun kita tidak menggunakan untuk diri kita sendiri. Kita
mungkin belum berada di peringkat di mana kita menghasilkan tenaga kita
sendiri, namun ianya merupakan eksperimen yang berharga.
15. Banyakkan
Program Pendidikan Alam Sekitar
Kesedaran kepada masyarakat
seperti pendidikan alam sekitar di sekolah, kolej, universiti dan sebagainya
perlu diadakan selalu melalui pelbagai program seperti seminar, aktiviti
sayangi alam sekitar, pertandingan menulis bertemakan alam sekitar, program
bacaan bahan-bahan yang berkaitan dengan pencemaran dan kerosakan alam dan
sebagainya.
16. Galakkan
Aktiviti Memulihara
Berkongsilah maklumat mengenai
program kitar semula dan memulihara tenaga bersama anak kita, rakan-rakan,
jiran tetangga serta rakan sekerja. Kita juga boleh mengambil peluang ini untuk
menggalakkan pihak berkuasa awam mewujudkan program dan solusi yang baik untuk
kelestarian alam sekitar.
17. Ajar Anak
Kecil
Kita juga boleh mengajar
anak-anak kecil supaya menyemai tabiat yang baik berkenaan hijaunya dunia. Adalah
baik bagi mereka untuk mengambil peranan secara proaktif dari awal. Hanya
dengan cara itu, mereka dapat mewarisi dunia yang lebih baik demi masa depan
untuk generasi seterusnya.
18. Kurangkan
Penyelidikan Antartika
Pihak-pihak yang berkepentingan
juga harus mengurangkan penyelidikan di Antartika.
19. Hapuskan
Penggunaan CFC
Kita perlu menghapuskan
penggunaan kloroflorokarbon (CFC) dan diganti
dengan helium dalam penyembur aresol dan alat pendingin hawa untuk mengelakkan
lapisan ozon menjadi nipis, yang mana ini boleh menyebabkan kenaikan suhu.
20. Tapis Asap
Kilang
Semua pengusaha atau pemilik
kilang perlu menapis asap yang menyebabkan berlakunya kenaikan suhu atau hujan
asid dari kilang mereka dengan menggunakan alat penapis asap.
21. Laksanakan
Pertanian Terkawal
Sektor pertanian atau
urbanisasi perlu dilaksanakan secara terkawal seperti menggunakan plastik atau
menanam tanaman penutup bumi untuk mengelakkan peningkatan suhu atau jerebu.
22. Elakkan
Penggunaan Barangan Polisteren Dan Plastik
Elakkan penggunaan barangan
seperti polisteren dan plastik. Ini kerana polisteren dan plastik tidak akan
terurai dengan mudah dan mengambil masa yang sangat lama. Penimbunan sisa
polisteren dan plastik akan membawa kepada pencemaran.
23. Gunakan
Barangan Cekap Tenaga
Gunalah barangan seperti peti
sejuk, televisyen dan penghawa dingin yang mempunyai label kecekapan tenaga.
Apabila penggunaan tenaga dapat dikurangkan, sumber asli yang digunakan untuk
menjana tenaga dapat dikurangkan. Pengurangan penggunaan sumber asli akan
membantu dalam pengurangan gas rumah hijau dan sumber asli ini juga akan dapat
dijimatkan.
24. Hadkan
Penggunaan Sumber Tenaga Yang Tidak Boleh Diperbaharui
Menurut pakar alam sekitar,
mengurangkan penggunaan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui seperti
arang batu, petrol dan juga gas asli adalah lebih penting. Sumber tenaga yang
tidak boleh diperbaharui ini tidak boleh dihasilkan semula dan kesannya kepada
alam sekitar adalah memudaratkan. Pada masa yang sama, sumber tenaga yang boleh
diperbaharui seperti solar, hidro, ombak dan juga angin merupakan sumber yang
boleh diguna semula dan mesra alam.
Kesimpulan
Sesungguhnya,
kesedaran masih rendah dan kita masih jauh ketinggalan dalam usaha mengendali
perubahan iklim dan kesan rumah hijau. Apa yang diharapkan ialah seluruh umat
manusia di muka bumi ini dapat memainkan peranan masing-masing, walau sekecil
hama sekali pun demi memastikan dunia tidak terus ‘tenggelam’. Jadi, kita mesti
bertindak sekarang dalam melaksanakan penggunaan lestari demi mengurangkan
kesan sosial dan ekologi, serta matlamat pengurangan gas rumah
hijau menjelang tahun 2020 dapat direalisasikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan