Isnin, 30 Julai 2012

Krisis Makanan Dunia: Bagaimana Untuk Mengatasinya?



SEMUA manusia yang hidup di dunia ini memerlukan makanan. Tidak dapat dinafikan makanan adalah salah satu keperluan asas manusia di samping tempat tinggal dan pakaian. Oleh yang demikian, isu krisis makanan bukanlah satu isu remeh yang boleh dibiarkan begitu sahaja. Apa yang membimbangkan, krisis makanan yang menimpa dunia sekarang ini melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, bijirin dan jagung yang menjadi keperluan asas setiap individu di atas dunia ini.
Menurut statistik Bank Dunia, harga pasaran makanan global secara purata telah meningkat sebanyak 75% sejak tahun 2000 manakala kadar simpanan bijirin dunia kini adalah pada tahap terendah sejak 30 tahun. Harga gandum di pasaran dunia sahaja telah mencatatkan kenaikan sebanyak 200% manakala harga makanan ruji yang lain seperti beras dan kacang soya telah mencatatkan paras tertinggi.
Kenaikan harga pasaran bijirin juga telah memaksa kenaikan harga pasaran makanan yang lain secara langsung atau tidak langsung seperti harga daging, ayam, telur dan makanan tenusu. Sehubungan dengan situasi ini, pelbagai krisis telah melanda merata tempat di dunia dan tidak lagi terbendung kepada negara-negara tertentu sahaja. Menurut Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih dari 73 juta orang di 78 negara yang bergantung kepada sumbangan makanan dari pertubuhan itu akan menghadapi pengurangan bekalan pada tahun-tahun mendatang.
Pada masa yang sama, faktor kenaikan harga barang makanan juga dikatakan menggandakan lagi kesan yang berlaku. Ini kerana apabila harga barang makanan meningkat, maka semakin sukar bagi kebanyakan penduduk dunia secara amnya untuk mendapatkan makanan tersebut selari dengan teori mekanisma harga yang menjadi mekanisma asas pengagihan dalam sistem ekonomi kapitalis. Kenaikan harga barang dagangan ini pula dikatakan berpunca daripada kenaikan harga minyak dunia.
Masalah pertambahan jumlah penduduk dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan juga antara alasan yang sering dijadikan ‘punca’ mengapa berlakunya kekurangan makanan di dunia. Dianggarkan bahawa penduduk dunia akan bertambah melampaui tahap 9 bilion orang menjelang tahun 2050. Unjuran pertambahan ini dikatakan akan mendesak kepada keperluan bahan makanan yang mendadak yang tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kelangkaan atau kekurangan sumber-sumber yang ada seperti air, tanah ladang dan sebagainya.
Menurut Program Bahan Makanan dan Pertanian PBB, masyarakat antarabangsa perlu menubuhkan rizab antarabangsa untuk menstabilkan harga bahan makanan. Rizab itu juga perlu ditubuhkan di pelbagai negara dan kawasan untuk menyediakan bahan makanan kepada penduduk yang hidup susah ketika berlakunya krisis. Selain itu, pelbagai negara khususnya negara-negara membangun perlu meningkatkan peruntukan dalam bidang pertanian. 98% penduduk yang menderita kelaparan adalah dari negara-negara membangun.
Untuk mengatasi krisis makanan dunia ini, negara-negara pertanian boleh memainkan peranannya. Antara kaedah bagi mengatasi krisis ini ialah pertama, kawasan tanaman mestilah diperluaskan untuk menambah bekalan. Contohnya seperti yang dilaksanakan di Malaysia di mana negeri Sabah dan Sarawak telah dijadikan negeri pertanian bagi menambahkan sumber makanan kepada rakyat. Kawasan tanah bukit juga boleh digunakan untuk penanaman andainya mengikut teknologi yang sesuai seperti sistem pengairan moden, baja, teknik tanaman dan sebagainya.
Hakikatnya, negara-negara membangun seperti Malaysia mempunyai empat kekuatan iaitu tanah yang subur, sumber air yang melimpah-limpah, sumber manusia yang besar, dan kekayaan sumber alam semulajadi. Dengan tanah yang subur dan luas, pertanian perlu difokuskan kepada meningkatkan pengeluaran pertanian berasaskan penggunaan baja dan peralatan moden serta perluasan lahan pertanian melalui penerapan undang-undang yang bersangkutan dengan hukum tanah pertanian. Selain itu, sistem pengangkutan yang efisien juga perlu dibangunkan agar pengedaran makanan menjadi lebih teratur, berkesan, cepat dan mudah.
Dari aspek sumber manusia, dianggarkan terdapat lebih kurang 48 juta orang yang menjalankan aktiviti pertanian. Bagi memastikan setiap individu di dalam negara-negara membangun mendapat keperluan asasnya, kerajaan perlu memberikan peluang dan galakan kepada orang-orang miskin dan tidak berkemampuan untuk bertani dengan memberikan tanah lahan secara percuma, subsidi dan apa juga bantuan kepada mereka.
Negara-negara membangun terutamanya negara-negara pertanian di seluruh dunia harus mencontohi Malaysia di mana telah mewujudkan beberapa projek mega pertanian seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Zon Industi Akuakultur, Ladang Kontrak, Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani dan Pusat Fidlot Nasional. Malaysia juga melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenal pasti tujuh langkah perlaksanaan iaitu meningkatkan pengeluaran beras, pewujudan stok penimbal beras, pemberian insentif kepada pengusaha-pengusaha pertanian dan mewujudkan program peningkatan pengeluaran dan produktiviti bagi sektor tanaman, ternakan dan pertanian. Langkah lain termasuk mengukuhkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memastikan pasaran dan pengagihan hasil-hasil pertanian, melaksanakan program Bumi Hijau dan mengurus kawasan terbiar untuk meningkatkan pengeluaran komoditi sekuriti.
Negara-negara membangun khususnya negara pertanian di seluruh dunia juga harus beralih kepada melaksanakan teknik kultur tisu. Teknik kultur tisu, Molecular Assisted Selection (MAS) dan penggunaan bioreactor boleh digunakan untuk meningkatkan produktiviti makanan.
Bioteknologi harus dilihat sebagai alat yang boleh dimanfaatkan ketika dunia menghadapi krisis makanan kerana pemilihan baka atau benih yang dihasilkan menerusi bioteknologi mempunyai ciri-ciri yang lebih baik sama ada cepat matang, hasil lebih tinggi dan tahan penyakit. Teknologi kini dapat membantu pengeluaran makanan khususnya yang asas seperti padi, gandum dan jagung, meskipun wujud prejudis daripadanya. Isu-isu seperti organisme terubah suai secara genetik (GMO) menjadikan manusia ragu-ragu terhadap teknologi tersebut tetapi Molecular Assisted Selection boleh menjadi alternatif.
Kawasan penanaman semakin berkurangan sedangkan penduduk semakin meningkat. Justeru, sebagai alternatif, bioteknologi boleh meningkatkan pengeluaran makanan secara berganda untuk keperluan manusia. Universiti dan agensi penyelidikan tempatan seperti Universiti Putra Malaysia dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), sebagai contoh boleh menggandakan usaha menghasilkan lebih banyak penyelidikan yang mampu melipatgandakan pengeluaran produk makanan.
Kesimpulannya, negara-negara membangun terutamanya negara-negara pertanian boleh memainkan peranan yang besar dalam mengatasi krisis makanan dunia. Walaupun negara-negara ini sinonim dengan kemiskinan tetapi kekayaan tanah yang subur, sumber air yang melimpah-limpah, sumber manusia yang besar, dan kekayaan dari sumber alam semulajadi merupakan anugerah Allah s.w.t yang tidak ternilai harganya yang boleh dijadikan modal asas dalam usaha menggiatkan bidang pertanian.

5 ulasan: