Para
sarjana menamakan bahasa Melayu yang dituturkan
pada zaman dahulu sebagai bahasa Melayu kuno dan perkembangan bahasa
itulah yang mewujudkan bahasa Melayu yang kita kenal pada hari ini. Para
sarjana juga mempercayai bahawa bahasa Melayu kuno itu sudah mempunyai huruf
dan sistem tulisan sejak zaman awal pertumbuhannya.
Tulisan itu, yang
dipercayai seakan-akan tulisan Rencong seperti yang terdapat di Sumatera
dan tulisan Kawi yang terdapat di Jawa, dikatakan berasal
daripada tulisan Kampuchea purba. Tulisan itu tidak dapat kita
warisi kerana daun lontar yang dijadikan kertas tulis pada zaman itu tidak
tahan lama, orang dahulu kurang berminat menyimpannya dan kerana beberapa
malapetaka sejarah seperti pembinasaan secara sengaja yang dilakukan oleh
kalangan istana terhadap segala sesuatu yang berbau Hindu di peringkat awal
perkembangan Islam di Kepulauan ini.
Oleh sebab kewujudan huruf
dan sistem tulisan bahasa Melayu pada zaman awal pertumbuhannya itu berupa
telahan, kita boleh mengatakan bahawa pada masa itu bahasa Melayu bukan bahasa
yang penting tetapi ‘hanyalah merupakan satu daripada lebih kurang 200 bahasa
dalam kepulauan Melayu sahaja’.
Perkembangan bahasa
Melayu kuno boleh dianggap bermula pada abad ketujuh Masehi. Ada
empat batu bersurat tinggalan abad ini. Batu bersurat yang pertama,
dijumpai di Kedukan Bukit di kaki Bukit Siguntang, bertarikh 683 Masehi; batu
bersurat yang kedua dijumpai di Talang Tuwo, Palembang, bertarikh 684 Masehi;
batu bersurat yang ketiga dijumpai di Karang Brahi, Jambi, bertarikh 686 Masehi;
dan batu bersurat yang keempat ditemui di Kota Kapur, Bangka, bertarikh
686 Masehi juga. Kesemua batu bersurat itu tertulis dengan huruf Pali (Pallava)
iaitu huruf orang Pallava di selatan India. Bahasa yang terdapat pada batu-batu
bersurat itu terlalu jauh berbeza daripada bahasa Melayu kini.
Para sarjana
menganggapnya sebagai contoh bahasa Melayu kuno. Sebuah batu bersurat lagi
dijumpai di Gandasuli, Jawa Tengah. Batu bersurat itu ditulis dengan huruf
Nagiri. Huruf ini berasal dari utara India dan mempunyai hubungan rapat dengan
agama Buddha. Batu bersurat itu dianggap sebagai penyata
‘betapa jauhnya pengaruh bahasa Melayu ketika itu, sehingga sudah sampai
ke tengah-tengah Pulau Jawa, satu tempat yang bahasa daerahnya amat
berlainan sama sekali.’
Batu-batu bersurat
di atas memperlihatkan bahawa bahasa Melayu kuno menggunakan
tulisan yang dibawa dari India. Batu bersirat bertarikh 1356 Masehi yang
ditemui di Pagar Ruyong dan batu bersurat (nisan) bertarikh 1380 Masehi di
Minye Tujuh, Aceh, menunjukkan bahawa tulisan itu mungkin digunakan hingga
abad keempat belas. Catatan pengembara Cina pula, seperti ITsing yang
pernah singgah di Sriwijaya pada tahun 672 Masehi,
serta beberapa bukti sejarah yang lain, menunjukkan wujudnya kata Melayu (Mo-lo-yu)
dan luasnya penggunaan bahasa Melayu kuno sejak abad ketujuh lagi. Oleh sebab hal
ini jugalah maka sarjana-sarjana kita berpendapat bahawa bahasa Melayu sudah
menjadi bahasa perantaraan (lingua franca) lebih awal dari kurun ketiga belas.
Profesor Ismail Husain
membuat kesimpulan: ‘Maka dapatlah kita anggap sebagai satu hal yang pasti,
bahawa dalam abad ketujuh dan dalam abad-abad berikutnya, bahasa Melayu sudah
dapat dan memang digunakan sebagai bahasa pengantar kebudayaan, sedang
dalam hal-hal tertentu digunakan juga bahasa itu untuk keperluan sedemikian di
daerah-daerah yang bukan termasuk daerah bahasa Melayu yang sebenarnya.’
Bagaimanapun,
kenyataan di atas tidak menunjukkan kepada kita ketinggian
bahasa Melayu ketika menggunakan huruf yang dibawa dari India itu. Batu Nisan
Minye Tujuh yang bertarikh 1380 Masehi dan masih menggunakan huruf Pallava,
mungkin boleh dianggap sebagai membuktikan bahawa bahasa Melayu sudah begitu
tinggi sehingga sudah dapat menjadi bahasa penyataan puisi yang halus’ tetapi
tidaklah sebanding dengan mutu bahasa Batu Bersurat Terengganu, yang 83
tahun lebih awal daripada Batu Nisan Minye Tujuh itu, lebih dekat
dengan gaya bahasa Melayu kini dan kemelayuan bahasanya juga jelas. Sebaliknya,
gaya bahasa yang terdapat pada Batu Nisan Minye Tujuh ialah gaya bahasa
pra-Islam.
Lebih menarik lagi
apabila kita fikirkan pandangan Profesor Syed Muhammad Naguib al-Attas
yang mengatakan bahawa sebelum Islam tiba di Kepulauan Melayu, tiada terdapat
suatu bahasa umum yang boleh digelar bahasa Melayu. Menurut beliau, ‘Bahasa
‘Melayu kuno’ yang difikirkan orang itu sebenarnya tiada dapat dirumuskan
sebagai Melayu, kerana zaman itu nampaknya belum timbul konsep bahasa Melayu.
Prasasti-prasasti sebelum Islam tiada memberi kesimpulan yang cukup dan jelas
terhadap bentuk sifat bahasa orang Melayu; hanya seolah-olah tulisan-tulisan
yang terpahat padanya, adalah bentuk sifat bahasa campuran bahasa Pali dan
lain-lain yang mungkin pula merupakan bahasa golongan tertentu yang tiada membayangkan
bahasa orang sehari-hari. Nampaknya besar pula kemungkinan bahawa pada zaman
pra-Islam tiada terdapat satu tulisan tunggal, satu abjad, yang menyatu padu
serta dengan kukuhnya mengikat bahasa meliputi golongan-golongan yang boleh
diberi gelaran Melayu.’
Daripada perbincangan tadi
kita boleh membuat beberapa kesimpulan tentang kedudukan bahasa
Melayu serta tulisannya sebelum kemunculan tulisan Jawi. Pertama, bahasa
Melayu mula tumbuh pada abad ketujuh Masehi. Kedua, abad ketujuh hingga
abad kedua belas merupakan tahap perkembangannya secara evolusi. Pada
tahap ini bahasa Melayu berkemungkinan menjadi bahasa perantaraan di
Kepulauan Melayu tetapi belum dapat menyaingi bahasa Jawa yang terbukti
lebih maju.
Pada tahap ini bahasa
Melayu belum dapat menyatukan pelbagai bahasa daerah yang terdapat di Kepulauan
ini, iaitu belum menjadi bahasa persatuan kerana belum dianggap standard.
Pada tahap ini juga bahasa Melayu mula, secara evolusi, menjadi bahasa
ilmu pengetahuan tetapi belum boleh dianggap sebagai bahasa ilmu
pengetahuan yang sebenarnya. Ketiga, bahasa Melayu menggunakan berbagai-bagai
tulisan tetapi belum mempunyai satu sistem tulisan yang praktis.
Kemunculan
tulisan Jawi membuka lembaran baharu dalam sejarah bahasa
Melayu. Sebuah batu bersurat dijumpai pada tahun 1899 Masehi di Sungai
Teresat, kira-kira, 32 kilometer dari muara Sungai Terengganu. Pada batu itu
terpahat huruf Arab-Melayu dianggap tulisan Jawi tertua di Asia
Tenggara. Batu bersurat itu bertarikh Jumaat, 4 Rejab 702 Hijrah bersamaan
dengan 22 Februari 1303 Masehi.
Inti batu bersurat itu
ialah pengumuman sepuluh fasal ‘syarat undang-undang’. Pengumuman itu dimulakan
dengan perisytiharan supaya semua raja dan orang besar yakin dan
berpegang teguh pada agama Islam dan ajaran Rasulullah s.a.w.
Batu itu disurat
supaya pengumuman dan perisytiharan itu sampai kepada kumpulan
sasarnya. Hal ini bermakna, sebelum tahun 1303 Masehi, sekurang-kurangnya
di Terengganu, sudah ada orang yang mengetahui (boleh membaca) tulisan Jawi.
Jika tidak, masakan si penyurat memilih tulisan itu untuk menyampaikan
mesejnya. Juga, apabila diteliti tulisan pada batu itu, terdapat 20 daripada 29
abjad Arab dan lima huruf ciptaan.
Walaupun abjad Arab yang
digunakan itu cuma 20, hal ini tidaklah bermakna si penyurat tidak
mengetahui huruf-huruf yang lain. Semasa menulis satu catatan ringkas,
tidak semestinya semua huruf terpakai. Oleh itu dapat kita katakan bahawa
pada tahun 1303 Masehi huruf tulisan Jawi sudah lengkap, iaitu 29 huruf Arab
dan lima huruf ciptaan.
Apabila mengingat bahawa
proses menyesuaikan sesuatu tulisan untuk digunakan sebagai tulisan bahasa lain
dan proses penciptaan huruf baharu memakan masa yang panjang; apabila mengingat
bahawa tulisan Jawi itu tidak lengkap dengan serta-merta, boleh kita katakan bahawa
tulisan Jawi wujud pada akhir abad ketiga belas. Abjad tulisan Jawi itu lengkap
dan digunakan untuk menyampaikan maklumat pada awal abad keempat belas.
Jelas pada kita
bahawa huruf Arab menjadi asas tulisan Jawi. Tulisan ini sebenarnya boleh
dinamakan sebagai tulisan Arab-Melayu tetapi orang Melayu lebih suka menamakannya
tulisan Jawi. Kata jawi berasal daripada istilah Arab al-Jawah. Sumber-sumber
Arab sebelum abad keempat belas Masehi menunjukkan bahawa orang Arab
menggelar semua bangsa di Kepulauan Melayu ketika itu, terutamanya
bangsa-bangsa di Sumatera, sebagai Jawi atau al-Jawah. Tidak syak lagi daripada
kata inilah kemudian tercipta ungkapan beras jawi dan masuk Jawi.
Beras jawi ialah beras
biasa (bukan beras pulut). Nasi daripada beras ini menjadi makanan utama semua
bangsa di Kepulauan Melayu. Hal ini menunjukkan satu sifat umum mereka
dari satu sudut. Masuk Jawi, kadang-kadang disebut juga masuk Melayu, dari
segi lahiriahnya bermakna berkhatan tetapi takrif sebenarnya ialah memeluk
agama Islam. Dengan kata lain, orang Arab menggelar semua penduduk di Kepulauan
Melayu yang sudah memeluk agama Islam sebagai Jawi atau al-Jawah.
Makna kata
ini memperlihatkan penyataan berbagai-bagai bangsa melalui satu agama
sesuai dengan tuntutan agama itu sendiri. Dengan ini jelas pula pada kita akan
sebab bahasa Melayu dinamakan juga bahasa Jawi dan tulisan bahasa itu dinamakan
tulisan Jawi. Bahasa Jawi dan tulisan Jawi itu ialah bahasa dan
tulisan semua penduduk Kepulauan Melayu yang sudah memeluk agama Islam. Dengan
ini juga jelas pada kita bahawa Islam dan mereka yang menyampaikan
risalahnya melakukan peranan utama untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa
umum, bukan bahasa satu bangsa lagi tetapi bahasa semua bangsa atau
bahasa persatuan, dengan tulisan Jawi sebagai tulisan tunggal mengikat
dan menyatukan bahasa-bahasa daerah ke dalam satu golongan yang disebut
bahasa Melayu. Dengan kata lain, bahasa Melayu mula menjadi bahasa
baku apabila penduduk Kepulauan Melayu menerima Islam dan menerima abjad
Arab sebagai tulisan bahasa Melayu.
Lebih jauh daripada itu,
Profesor Syed Muhammad Naguib al-Attas berkata: ‘Konsep Jawi yang
merangkum pelbagai bangsa itu sebagai satu berdasarkan penyatupaduan bahasa
Melayu sebagai bahasa umum melalui alat satu tulisan yang sama terdapat di
mana-ana dalam kalangan bangsa Melayu-Indonesia inilah juga salah satu unsur
kebudayaan yang menggerakkan proses sejarah ke arah pemupukan faham kebangsaan dalam
peribadi masyarakat Melayu-Indonesia.’
Penggunaan tulisan
Jawi sebagai tulisan bahasa Melayu menolong bahasa itu menjadi bahasa
pengantar dan bahasa ilmu pengetahuan di institusi pendidikan Islam
seperti masjid, surau dan pondok. Bahasa Melayu dan tulisan Jawi menjadi
bahasa dan tulisan rasmi kerajaan Melayu-Islam, iaitu Samudera-Pasai (1280
– 1409 Masehi), Melaka (1409 – 1511 Masehi), Aceh (1511 – 1650 Masehi) dan
Johor-Riau (1650 – 1800 Masehi). Kitab agama dan hasil kesusasteraan pada
zaman ini menggunakan bahasa Melayu bertulisan Jawi.
Hikayat Raja-raja Pasai, Sejarah Melayu, Hukum Kanun Melaka, Syair
Perahu, Rubai Hamzah Fansuri, Syarab al-’Asyikin, Bustanus Salatin, Bustanul
Katibin, Gurindam Dua Belas dan Tuhfat an-Nafis ialah karya contoh daripada sekian banyak hasil
kesusasteraan Melayu yang menggunakan tulisan Jawi. Hasil kesusasteraan ini
sangat tinggi nilainya. Malah, Syair
Perahu dan Rubai HamzahFansuri karya
Hamzah Fansuri (1550 – 1600 Masehi) dan Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji (1809 – 1870 Masehi)
sukar ditandingi hingga kini.
Kenyataan ini
menunjukkan tulisan Jawi adalah praktis. Selama beberapa abad tulisan Jawi
berupaya menjadi tulisan tunggal mengiringi bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan,
bahasa kebangsaan, bahasa rasmi pemerintahan, bahasa ilmu pengetahuan dan
bahasa kesusasteraan.
Tidaklah dapat
disangkal lagi bahawa pengaruh Islam dan tulisan Jawi memungkinkan
bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Perkembangan ini memungkinkan pula bahasa
Melayu menerima beribu-ribu kosa kata Arab, termasuk istilah dalam bidang
falsafah yang dianggap sebagai ilmu duniawi yang tertinggi. Bahasa Arab
itu bukan sekadar menambah perbendaharaan kata bahasa Melayu
tetapi memberikan jiwa baharu terhadap kata-katanya. Tentang hal ini,
Abdul Rahman Rukaini menulis:
‘Dari sudut pandangan
Islam, perkataan langit, bumi, bulan, bintang, gunung, sungai (tidak semestinya
kata Arab) dan sebagainya bukan sahaja memberikan erti kejadian alam atau benda
yang telah dijadikan tetapi juga memberikan erti siapa yang menjadikan dan
untuk siapa dijadikan. Jadi jiwa bangsa Melayu yang sebelumnya kuat dipengaruhi
oleh faham dogmatis yang tahayul telah bertukar menjadi jiwa yang rasional lagi
intelektual. Penerimaan itu bukan setakat itu sahaja tetapi melibatkan
penerimaan hakikatnya sekali gus. Maka itulah yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan
tradisi (zaman Islam di Alam Melayu), iaitu menerapkan jiwa kata-kata itu dalam
kehidupan sehari-hari dan hal ini menjadi asas pembentukan pandangan hidup
mereka.’
Bahasa dan tulisan yang
mempunyai jiwa yang utuh tidak akan mudah mengalah kecuali bangsa yang memiliki
tulisan itu sendiri meracunnya. Demikianlah juga halnya dengan bahasa Melayu
dan tulisan Jawi. Tulisan Jawi tetap berdaulat pada peringkat awal konteks
Kepulauan Melayu dengan kuasa-kuasa Barat. Warisan sejarah yang masih
dapat dibaca di perpustakaan luar negara menunjukkan surat izin berniaga dan
perjanjian antara raja-raja Melayu dengan penjajah Barat menggunakan bahasa
Melayu dan tulisan Jawi.
Abjad Jawi yang sebahagian besarnya
berasal daripada abjad bahasa Arab (bahasa al-Quran) itu pernah
menolong mengurangkan perbezaan sebutan dalam kalangan penutur bahasa Melayu.
Hal ini dikatakan demikian kerana Islam menyuruh penganutnya membaca
al-Quran dengan betul (irab). Imam sembahyang juga dituntut supaya terdiri
daripada qari atau orang yang terbaik bacaan al-Qurannya. Melalui ilmu
tajwid, antara lain, ditegaskan cara mengeluarkan bunyi huruf dengan
betul. Oleh sebab semua huruf hija’iyah al-Quran itu digunakan dalam
tulisan Jawi, mubaligh dahulu melafazkannya dengan sebutan yang betul dan
tetap. Khabar diucapkan /xabar/, ‘ramai’ diucapkan /ramai/ dan kata
yang seharusnya diucapkan /a/ tetap diucapkan demikian dan bukan /e/.
Oleh sebab kedudukan
mereka dipandang tinggi ketika itu, sikap mereka diteladani oleh penutur
lain. Hal ini menyebabkan pengucapan bahasa Melayu itu agak seragam.
Malangnya, semasa kuasa-kuasa Barat menjajah Kepulauan Melayu ini, kita
dijauhkan (atau sengaja menjauhkan diri kerana takut dianggap kolot)
daripada bahasa al-Quran itu dan dijauhkan daripada ilmu tajwid. Apabila kita
lupa pada dasar tulisan itu, kita mulai menemui masalah atau sengaja
menari-cari sebab untuk berasa sukar mengucapkannya. Di sini saya turunkan
keluhan seorang ahli bahasa kita, Lutfi Abas, yang sepatutnya menjadi keluhan
kita juga.
‘Izinkan juga di sini
saya menyentuh adanya segolongan orang Melayu yang mahu melafazkan alif be te
se dan yang menganggap mereka berbeza daripada orang Melayu yang lain, baik di
Malaysia sendiri atau di luar Malaysia yang melafazkan alif ba ta sa. Golongan
yang pertama beranggapan bahawa persatuan sesama Melayu biarlah dilambangkan oleh
huruf pertama sahaja, dan mulai dari huruf kedua mereka berbeza daripada orang
Melayu yang lain. (Hal ini ialah) satu kejahilan yang merosakkan ikhwan Islam.’
‘Huruf alif bukan
sahaja lambang persatuan tetapi juga lambang kekuasaan atau kekuatan. Huruf itu
berdiri tegak. Huruf itu melambangkan pengislaman seluruh jazirah Arab,
Afrika Utara dan Andalusia. Huruf itu juga melambangkan pengislaman seluruh
Nusantara. Orang Melayu jadi terbangun daripada tidur mereka selama
berabad-abad, bangkit berdiri, mendirikan syiar Islam, dan mendirikan kerajaan
Islam. Bangsa Melayu terkenal sebagai orang yang berani mengharungi laut
Nusantara dan belayar jauh sampai ke benua lain.’
Dengan sedih saya
mengatakan di sini semangat itu kelihatan seperti pudar, dan bunyi /e/ mulai
kedengaran di mana-mana menggantikan bunyi /a/. Bunyi /e/ ialah lambang
kejahilan, kembali ke zaman jahiliah, dan tiada mempunyai semangat. Dalam ilmu
bahasa, perubahan bunyi /a/ kepada bunyi /e/ disebut proses neutralization.
Bunyi itu dilafazkan dengan menggunakan tenaga sedikit mungkin. Lidah dalam
keadaan rehat sehingga orang sedang tidur pun boleh mengeluarkan bunyi itu
tanpa disedarinya.’
Penjajahan Barat sebagai
alasan, sikap orang Melayu sendiri sebagai puncanya, lama-kelamaan
tulisan Jawi hidup segan mati tak mahu. Pada tahun 1904, satu panitia
dibentuk oleh Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang dikenali dengan
nama Panitia Wilkinson, untuk membentuk sistem ejaan Rumi yang telah mula
diperkenalkan sedikit-sedikit sebelumnya. Panitia ini diketuai oleh H.
Conway Belfield, Pemangku Residen British, Perak; D.G. Campbell, Pemangku
Residen British, Selangor; R.J. Wilkinson, Inspektor Sekolah-sekolah Melayu.
Hasilnya, ejaan Rumi yang dinamakan Ejaan Sekolah tetapi lebih dikenali dengan
nama Ejaan Wilkinson, menjadi ejaan rasmi bagi bahasa Melayu di Malaya.
Pada bulan Januari 1954,
Kongres Persuratan Melayu se-Malaya yang kedua di Sereban membuat rumusan:
‘Bahawa Kongres Persuratan Melayu se-Malaya yang kedua yang bersidang di
Seremban pada 1 Januari 1954 ini, setelah mengkaji penyata tulisan
Jawi-Rumi yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Penyiasat Tulisan
Jawi-Rumi itu, mengambil keputusan sudah sepatutnya tulisan Rumi
dirasmikan bagi persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi
sehingga asa akan menentukannya.’
Pada bulan Mac tahun
yang sama, Asas 50 mengemukakan memorandum menyokong ketetapan
kongres itu. Memorandum itu menghuraikan sebelas kelebihan tulisan Rumi dan
satu sahaja kekurangannya, serta satu sahaja kelebihan tulisan Jawi (yang
dianggap kekurangan juga) dan dua belas kekurangan tulisan Jawi.
Bagaimanapun perkara ini
diimbangi oleh Sidang Bahagian C (i), Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu
Tanah Melayu Ketiga pada bulan September 1956. Rumusan sidang itu
diturunkan sepenuhnya:
‘Sidang Bahagian C (i)
telah mengambil ketetapan membentuk satu badan yang diberi tugas memelihara
tulisan Jawi: (a) Bagaimana cara-cara memelihara tulisan Jawi supaya kekal
hidup di Malaya ini, dan (b) Bagaimana cara-cara menyamakan ejaan tulisan Jawi
yang digunakan di Malaya dengan ejaan tulisan Jawi yang digunakan di Indonesia.
Sidang ini mengambil ketetapan memberi kuat kuasa membentuk badan tersebut kepada
Lembaga Tetap Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Tanah Melayu. Lokman Musa, Pengerusi,
Sidang Bahagian C (i)’
Peristiwa-peristiwa ini
mungkin mempengaruhi penggubalan Akta Bahasa Kebangsaan dan tercatatlah
ayat ini dalam akta itu: ‘Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan
Rumi dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang
lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.’
Dengan kata lain tulisan
Jawi tetap dilindungi. Bagaimanapun, sebelum tahun 1970, bolehlah kita
katakan tulisan Jawi hidup berkelana di masjid surau, pondok, di pinggir
kurikulum sekolah Melayu dan agak subur sedikit di negeri-negeri Pantai Timur
dan Utara Semenanjung.
TULISAN JAWI DALAM KURIKULUM
Tulisan Jawi dimasukkan semula dalam kurikulum sekolah
rendah yang dilaksanakan pada tahun 1970. Kandungannya dalam kurikulum itu
dinamakan Pelajaran Jawi, iaitu satu dari aspek bahasa mata pelajaran
Bahasa Malaysia. Pelajaran Jawi itu dimulakan pada darjah dua. Matlamatnya
tidak diberi. Bagaimanapun, berdasarkan kegiatan pengajaran dan pembelajaran
pada darjah lima dan enam, boleh kita katakan pelajaran itu bertujuan agar
pada akhir program itu pelajar boleh membaca dan menulis Jawi. Pada akhir
program pelajar dijangka dapat mengeja, termasuk ejaan Arab, dapat membaca
bahan Jawi yang sesuai dan dapat menulis karangan pendek dengan menggunakan
tulisan Jawi
Pelajaran Jawi itu
diteruskan di sekolah menengah rendah dengan tujuan memahirkan murid menulis
dan membaca Jawi. Pelajaran itu merupakan satu daripada lima aspek bahasa
mata pelajaran Bahasa Malaysia. Pengajaran digabungjalinkan dengan aspek bahasa
lain, iaitu bacaan dan kefahaman dan karangan.
Perkara ini mula
dilaksanakan pada tahun 1973. Pada tahun ini, mengikut program Bahasa
Malaysia sekolah rendah, pelajaran Jawi baru sampai di darjah empat.
Sekolah menengah hanya menerima pelajar yang boleh membaca dan menulis
Jawi, hasil program Bahasa Malaysia sekolah rendah, pada tahun 1976. Jadi,
adalah sebab untuk guru Bahasa Malaysia di sekolah menengah untuk tidak
mengajarkan aspek bahasa ini. Malangnya, selepas tahun 1976 hingga kini, banyak
guru Bahasa Malaysia di sekolah menengah mengabaikan pengajaran aspek
bahasa ini. Alasan utama mereka ialah murid tidak boleh membaca dan
menulis Jawi. Hal ini membayangkan pengabaian yang serupa berlaku di
sekolah rendah.
Banyak
guru Bahasa Malaysia di sekolah
rendah dan di sekolah menengah rendah tidak sedar bahawa mereka
mesti mengajarkan pelajaran Jawi. Segolongan mereka menganggap aspek bahasa itu
tidak wajib diajarkan kerana tidak diuji dalam peperiksaan. Sebahagian lagi
memberikan alasan yang cukup mudah, iaitu mereka sendiri tidak boleh
membaca dan menulis Jawi. Keadaan ini membayangkan mutu latihan yang mereka
terima di maktab perguruan.
Bagaimanapun, pada tahun
1973 maktab perguruan di Semenanjung memulakan program Kursus Perguruan Asas
Dua Tahun (Bersepadu), dikuti oleh Sabah dan Sarawak beberapa tahun kemudian.
Dalam program itu pelajaran Jawi merupakan sebahagian daripada kandungan
sukatan pelajaran Bahasa Malaysia (Kod 08 dan Kod 09). Dalam peperiksaan,
soalan mengenai tulisan Jawi juga dimasukkan.
Berdasarkan catatan di
atas kertas, sepatutnya semua guru lepasan maktab perguruan di Semenanjung pada
tahun 1975 dan seterusnya, menguasai tulisan Jawi. Oleh sebab kenyataan yang
ada tidak dapat membuktikan hal ini, bolehlah kita katakan catatan di
atas kertas itu dilaksanakan sambil lewa sahaja, menggambarkan sikap ‘tidak
apa’ dalam kalangan ahli bahasa kita tentang hal ini. Sikap yang sama
tertayang lagi beberapa tahun kemudian apabila tulisan Jawi langsung tidak
disentuh oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan
Dasar Pelajaran ketika meneliti kurikulum Bahasa Malaysia.
Namun, sikap tidak ambil
peduli ini tidak menyeluruh. Seminat Dasar V dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan
1971 mengenai ‘Nilai-nilai Sosial yang Penting di Sisi Pemupukan Keperibadian
Malaysia’ merumuskan agar digalakkan semula pengajaran dan penggunaan
tulisan Jawi. Seminar Pendidikan Islam Malaysia di Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) pada tahun 1972 juga membuat rumusan yang serupa.
Laporan Jawatankuasa
Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia yang membuat perakuan supaya sistem ejaan
Jawi yang ada kini dikaji dan diperkemas, memperlihatkan sikap
positif jawatankuasa yang berkenaan terhadap tulisan Jawi.
Konvensyen Tulisan Jawi
di Terengganu pada 9 hingga 11 April yang lalu menunjukkan perubahan besar
sikap masyarakat kita terhadap tulisan itu. Rumusan yang dibuat nampaknya
cukup menyeluruh. Pelaksanaan rumusan itu menjanjikan harapan baharu untuk
kebangkitan tulisan Jawi. Di bawah payung pemerintah yang cenderung
melihat diri sendiri, cenderung melihat masa lalu untuk mengenal diri dan
untuk membina masa hadapan, dan mengutamakan nilai-nilai Ilahi
semula; rasanya apa-apa yang sudah dirumuskan itu segera menjadi bukti.
Kita menjangka tidak lama lagi tulisan Jawi akan menunjangi bahasa
Melayu semula. Peranannya pada masa hadapan tidaklah sama dengan peranannya
masa lalu. Kita menjangka, tidak lama lagi tulisan Jawi sebagai tunjang,
tulisan Rumi sebagai adik yang gagah, akan bersama-sama membina bahasa,
sastera, budaya dan tamadun kita.
PENUTUP
Nyatalah pada kita
bahawa tulisan Jawi sangat berharga. Tulisan itu berjaya memainkan
peranan yang cukup besar dan sangat penting untuk menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa yang berwibawa dalam semua bidang kehidupan kita. Tulisan jawi
memungkinkan bahasa Melayu digunakan oleh lebih 175 juta manusia di
Asia Tenggara dan, dari segi jumlah penuturnya, merupakan bahasa yang
kelima di dunia.
Sayangnya, ketika ini
tulisan Jawi semacam terpisah daripada bahasa yang pernah dibinanya itu.
Disebabkan oleh proses sejarah dan kelalaian pemiliknya yang bersikap seperti
kacang lupakan kulit, tulisan itu hidup merana dan baru pada akhir abad kedua
puluh ini menunjukkan tanda untuk berjiwa semua.
Oleh sebab pelbagai
pihk sudah dan sedang berusaha meletakkan tulisan Jawi semula
pada tepatnya yang wajar, kita mesti menyokong usaha-usaha itu.
Sesuai dengan perisytiharan Batu Bersurat Terengganu, sesuai dengan usaha
menerapkan nilai-nilai Islam, sesuai dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan,
menyedari bahawa bahasa Arab ialah bahasa pilihan Islam, dan untuk menjadi
supaya tulisan Jawi terus hidup; sudah sampai masanya bahasa Arab
disejajarkan dengan bahasa Inggeris dalam kurikulum kita supaya bahasa itu
terus mendasari perkembangan batin bahasa Melayu.
Rujukan:
- Abbas Mohd. Sharif, 1979. ’Ulasan
Terhadap Rencana Abdul Rahman Rukaini: Pencemaran Terhadap Istilah Agama
Islam’, Dewan Bahasa, 23: 10 (Oktober 1979), h. 60-69.
- Abdul Rahman Rukaini, 1979. ‘Pencemaran
Istilah Agama Islam I – III‘, Dewan Bahasa, 23: 5 – 7 (Mei – Julai
1979), h. 23 – 28.
- Abdul Rahman Rukaini, 1982. ‘Tulisan Jawi:
Ditelan Mati Emak’, Dewan Budaya, 1: 2 (Januari 1982), h. 4 – 5.
- Abdul Samad Ahmad, 1974. Sejarah
Kesusasteraan Melayu I. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Abdullah Hassan, 1980. Linguistik Am untuk
Guru Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
- Amran Kasimin, 1979. ‘Transliterasi
Arab-Melayu’, Dewan Bahasa, 23: 10 (Oktober1979), h. 48 – 59.
- Edwar Djamaris, 1980. ’Ulasan terhadap
Rencana ‘Transliterasi Arab-Melayu ’Tulisan Amran Kasimin’, Dewan Bahasa,
24: 1 (Januari 1980), h. 66 – 68.
- Ismail Hussein, 1981. Sejarah Pertumbuhan
Bahasa Kebangsaan Kita. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Kamal Hassan, 1979. ‘Ke Arah Penyerapan
Unsur-unsur Islam dalam Dasar Pendidikan Negara’, dalam
Hamdan Hassan, penyusun, 1979.
- Islam dan Kebudayaan Kebangsaan, Kuala
Lumpur: Utusan Melayu.
- Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan,
1973. Asas Kebudayaan Kebangsaan. Kuala Lumpur: Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan.
- Kementerian Pelajaran Malaysia, 1972. Sukatan
Pelajaran Bahasa Malaysia untuk Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
- Kementerian Pelajaran Malaysia, 1973(a). Sukatan
Pelajaran Bahasa Malaysia untuk Tingkatan I – III. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
- Kementerian Pelajaran Malaysia, 1973(b).
Sukatan Pelajaran Bahasa MalaysiaKursus Perguruan Asas Dua Tahun. Kuala
Lumpur: Bahagian Latihan Guru.
- Kementerian Pelajaran Malaysia, 1979. Laporan
Jawatankuasa Kabinet Mengkaji dasar Pelajaran. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
- Kementerian Pelajaran Malaysia, 1981. Laporan
Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan