Isnin, 30 Julai 2012

Tun Dr Mahathir: Ikon Membaca Kebangsaan Penggerak Kemajuan Negara Bangsa


SMAHADZIR

SEJARAH telah mencatatkan bahawa peranan pemimpin dalam membawa masyarakat atau negara-bangsanya ke mercu gemilang sangatlah besar. Maju mundur sesuatu masyarakat atau negara-bangsa sangat bergantung kepada pemimpinnya. Seseorang pemimpin yang berjaya membawa negara-bangsanya ke persada cemerlang adalah pemimpin yang kaya gagasan, berwawasan jelas, berminda luas dan berani. Di negara kita, Tun Dr Mahathir terkenal sebagai pemimpin yang telah berjaya menjadi penggerak kemajuan negara-bangsa yang tidak dapat dinafikan lagi. Beliau merupakan Perdana Menteri keempat dan paling lama berkhidmat bermula dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003.
Tun Dr Mahathir merupakan seorang pemimpin yang suka membaca dan ini dapat dilihat daripada gagasan yang beliau sering utarakan. Budaya membaca membolehkan pemikiran seseorang itu berkembang dan mempunyai imaginasi yang lebih tinggi untuk bercakap dan mengeluarkan pendapat berbanding orang yang kurang membaca.
Amalan membaca juga boleh dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri seseorang. Ini kerana perbezaan ketara antara individu yang suka membaca berbanding individu yang tidak suka membaca adalah melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki.
Banyak usaha yang telah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir dalam menjana kemajuan negara-bangsa. Dasar Pandang Ke Timur diperkenalkan oleh beliau pada tahun 1982, untuk menjana pembangunan negara mengikut cara Jepun dan Korea Selatan setelah menilai kemajuan yang dicapai kedua-dua negara tersebut. Malaysia sebagai sebuah negara Asia adalah lebih baik mencontohi negara Asia Timur itu berbanding Barat yang mempunyai budaya yang kurang sihat. Melalui dasar tersebut, Tun Dr Mahathir menerapkan nilai-nilai dan amalan yang baik dari Jepun dan Korea Selatan yang diubahsuai melalui acuan Malaysia. Antara bidang-bidang yang boleh dicontohi Malaysia mengikut pandangan Tun Dr Mahathir ialah teknologi, etika kerja dan sistem pengurusan yang terancang. Dengan kata lain semua sifat positif yang diamalkan dua buah negara itu harus dijadikan pedoman.
Ekoran itu, Tun Dr Mahathir menggalakkan supaya lebih ramai pelajar dihantar ke Jepun dan Korea Selatan untuk mendapatkan pendidikan. Bahkan kedua-dua buah negara itu boleh membuka perniagaan kerana Malaysia menawarkan perniagaan yang cukup baik bagi membantu meningkatkan ekonomi negara.
Dasar Persyarikatan Malaysia pula telah diumumkan Tun Dr Mahathir pada 25 Februari 1983, untuk mengeratkan kerjasama antara sektor swasta dengan sektor awam dalam memajukan negara. Beliau telah mengubah persepsi rakyat dengan menjadikan Malaysia sebagai sebuah syarikat yang dimiliki semua pihak dalam usaha mencapai kemajuan. Beliau menyarankan supaya pihak awam perlu memberi peluang kepada pihak swasta menjalankan tugas tanpa ada birokrasi. Pihak swasta pula harus memahami dasar kerajaan dan berusaha meningkatkan pencapaian dalam perniagaan.
Bagi memastikan keadaan berjalan lancar, Tun Dr Mahathir mengarahkan supaya semua kementerian, jabatan dan badan berkanun, menubuhkan panel perundingan antara pihak swasta dengan kerajaan. Selain itu, beliau juga telah menubuhkan Jawatankuasa Persyarikatan Pegawai (JPMPP) untuk menguatkan lagi sektor tersebut.
Tun Dr Mahathir juga telah memperkenalkan Dasar Penswastaan, untuk memindahkan perkhidmatan atau perusahaan kerajaan kepada sektor wasta yang mempunyai daya saing yang tinggi. Beliau berpendapat bahawa pengenalan dasar ini mampu mengurangkan beban kewangan dan pentadbiran kerajaan ekoran kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1980-an. Ini disebabkan sektor swasta mempunyai kecekapan dalam bidang pengurusan. Peranan sektor swasta diyakini akan mempercepatkan lagi pembangunan ekonomi kesan daripada pelaburan. Oleh itu Tun Dr Mahathir memasukkan program ini dalam Dasar Ekonomi Baru (kini Dasar Pembangunan Nasional) dalam usaha kerajaan mewujudkan masyarakat perniagaan di kalangan bumiputera.
Sebagai usaha untuk memastikan kejayaan tersebut, sebuah jawatankuasa penswastaan telah dibentuk dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi. Tun Dr Mahathir juga mengusulkan setiap jabatan dan badan berkanun boleh menswastakan sebahagian atau kesemua milik mereka. Selain itu, kerajaan juga memberi sokongan pemasaran, kredit subsidi dan penyelidikan. Dengan adanya kemudahan tersebut telah memberi keselesaan kepada golongan petani dan menepati impian Tun Dr Mahathir untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pertanian yang berdaya maju.
Tun Dr Mahathir juga telah memperkenalkan kempen Kepimpinan Melalui Teladan pada 19 Mac 1983, bermatlamat untuk menyemai ciri-ciri kepimpinan yang telus dan boleh dijadikan asas dalam pentadbiran negara. Ini sebagai usaha untuk memantapkan negara. Bahkan Tun Dr Mahathir menjadi pelopornya. Sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menunjukkan teladan yang boleh dicontohi semua pihak. Beliau telah menekankan tiga aspek utama dalam kepimpinan iaitu bersih, cekap dan amanah. Bersih yang disarankan ialah mencakupi aspek moral ketika menjalankan tugas, kebersihan tempat bekerja, dan sebagainya. Cekap adalah sifat-sifat tanggungjawab, mahir dan mempunyai tahap pencapaian yang baik dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan. Amanah pula meliputi keikhlasan dan rasa tanggungjawab dalam menjalankan tugas.
Selain itu Tun Dr Mahathir juga telah mengusul satu sistem kerja yang unik iaitu kad perakam waktu, pemakaian tanda nama, Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (QCC), pengisytiharan harta oleh kakitangan awam, kempen pencegahan rasuah dan sebagainya.
Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam juga telah dilancarkan Tun Dr Mahathir bertujuan menegakkan syiar Islam, membentuk sikap yang murni, melahirkan bangsa Malaysia yang bermaruah, disegani dan mewujudkan sistem pentadbiran yang cekap lagi berkesan berlandaskan Islam. Beliau percaya bahawa sesuatu bangsa yang tidak mempunyai nilai kehidupan yang kukuh mudah dipengaruhi nilai-nilai bangsa lain terutama yang boleh merosakkan akidah.
Tun Dr Mahatir juga mengingatkan bahawa pengenalan dasar ini bukanlah untuk mengislamkan orang bukan Islam, tetapi untuk memastikan semua kaum menghayati ajaran Islam dan mengamalkan nilai-nilai murni yang terkandung dalam Islam. Beliau juga telah memastikan perlaksanaan dasar tersebut tidak menyinggung perasaan bukan Islam. Sejajar dengan pengenalan itu, Tun Dr Mahathir telah menubuhkan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa, syarikat insurans Islam dan meningkatkan peranan Mahkamah Syariah.
Pelan Induk Perindustrian (PIP) pula ditubuhkan untuk pembangunan serta strategi-strategi bagi sektor perindustrian terutama yang berkaitan dengan sektor perkilangan untuk tempoh 1986 hingga 1995. Pengenalan pelan yang dicetuskan oleh Tun Dr Mahathir ini adalah untuk menekankan sektor perindustrian sebagai penjana pertumbuhan negara, membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat secara seimbang. Antara sektor industri yang diberi tumpuan oleh beliau ialah barangan berasaskan getah, sawit, makanan yang diproses, kimia dan petrokimia, keluaran berasaskan kayu, barangan elektrik, keluaran logam bukan besi, peralatan pengangkutan, keluaran kejuruteraan, industri keluli besi dan tekstil.
Bagi menjayakan pelan tersebut, Tun Dr Mahathir telah merangka beberapa strategi. Antaranya menyusun struktur insentif perindustrian, menggalakkan sektor gantian import, menggalakkan pembelian barangan buatan Malaysia, mencari pasaran eksport, menggalakkan penyelidikan dan perusahaan kecil. Kesan daripada idea beliau itu, akhirnya sektor industri telah menyumbangkan sumber pendapatan negara yang terpenting bermula tahun 1987 sebanyak 22.5% berbanding sektor pertanian sebanyak 21.8% dari KDNK negara. Peratusan tersebut meningkat setiap tahun dan sehingga kini sektor perindustrian masih menjadi penyumbang ekonomi negara yang terpenting.
Wawasan 2020 adalah idea Tun Dr Mahathir yang diumumkan pada 28 Februari 1991 dalam Persidangan Majlis Perniagaan Malaysia. Wawasan ini mencakupi tempoh 30 tahun untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Wawasan 2020 menitikberatkan pembangunan secara menyeluruh terutama dalam aspek ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.
Terdapat sembilan cabaran yang perlu disahut oleh rakyat dalam usaha memastikan kemajuan tercapai. Antaranya bersatupadu, berjiwa bebas, tenteram dan maju, mengamalkan demokratik, bermoral dan beretika, liberal dan toleransi, saintifik dan progresif, berbudi dan berbudaya penyayang, adil ekonomi dan mempunyai daya tahan.
Tun Dr Mahathir telah menyatakan bahawa matlamat pembentukan sebuah masyarakat yang adil adalah pengagihan kekayaan yang adil dan saksama. Oleh itu terdapat dua strategi utama dalam pencapaian matlamat tersebut iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut ekonomi. Lantaran itu beliau telah menggariskan beberapa langkah untuk membebaskan rakyat daripada belenggu kemiskinan dengan menyediakan kemudahan asas yang secukupnya, memberi pendidikan sewajarnya, menyediakan peluang pekerjaan dan sebagainya. Hanya dengan pengenalan Wawasan 2020 itu diyakini Malaysia akan menjadi negara maju setanding dengan negara-negara barat yang lain.
Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pula telah dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir pada 17 Jun 1991 di Parlimen. Dasar ini terkandung dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2) yang mensasarkan antara tahun 1991 hingga 2000. Pengenalan DPN adalah sebagai menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang tamat pada tahun 1990 namun Tun Dr Mahathir masih memasukkan beberapa aspek seperti yang terkandung dalam DEB.
Dalam DPN, Tun Dr Mahathir menggariskan langkah-langkah awal dalam pembentukan negara maju. Dalam erti kata lain, DPN adalah satu dasar untuk mewujudkan pembangunan seimbang dalam pelbagai aspek. DPN juga mengandungi pelbagai aspek seperti mewujudkan keseimbangan ekonomi, meningkatkan data saling melengkapi antara sektor, mengurangkan ketidaksamaan sosial dan ekonomi, menggalakkan kekukuhan integrasi di semua kawasan, membangunkan masyarakat progresif, memajukan sumber manusia dengan kemahiran, menjadikan teknologi sebagai asas kemajuan dan memberi perlindungan alam sekitar.
Tun Dr Mahathir menekankan pembangunan seimbang berlandaskan empat faktor iaitu pengagihan kekayaan secara seimbang, memastikan kestabilan politik dan sosial, menjadikan rakyat Malaysia sebagai rakyat yang berkualiti dan bernilai tinggi dan menguruskan sumber-sumber alam semulajadi secara berhati-hati. Kendati begitu, Tun Dr Mahathir juga tidak pernah lupa membasmi kemiskinan secara menyeluruh, menumpukan pembangunan bumiputera dalam bidang ekonomi, memberi penekanan sektor swasta supaya membantu menjana ekonomi negara dan membangunkan negara secara terancang dan berterusan.
Pada 1 September 1998, Tun Dr Mahathir dengan penuh keyakinan, telah mengambil keputusan melaksanakan rejim kawalan pertukaran asing terpilih (selective exchange control regime). Ini telah memberi kekuatan kepada Malaysia untuk terus mengharungi krisis ekonomi malah berjaya muncul sebagai negara yang semakin kuat dan mantap. Adalah tidak sukar untuk meramalkan apa agaknya yang akan terjadi kepada negara tercinta sekiranya langkah-langkah tersebut tidak dilaksanakan.
Kesimpulannya, amatlah wajar dan tepat meletakkan Tun Dr Mahathir sebagai Ikon Membaca Kebangsaan kerana kehebatan minda hasil dari pembacaan beliau telah terbukti berjaya menjadi penggerak kepada kemajuan negara-bangsa.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA