Berkawan adalah penting bagi
kita. Walau bagaimanapun, berkawan boleh menjadi sesuatu yang memudaratkan. Kesan
tekanan rakan sebaya boleh mempengaruhi perubahan cara seseorang sama ada cara
bercakap, bertingkahlaku mahupun berfikir.
Ada masanya kita
akan berasa rakan-rakan kita mendesak untuk berkelakuan dan berfikir secara berbahaya
atau tidak boleh diterima oleh akal yang sihat. Tekanan rakan sebaya sesuatu
yang lazim di kalangan rakan-rakan dan akan menjadi lebih kuat semasa zaman
remaja. Mungkin gerak hati kita ingin meminta kita berhenti menghabiskan masa
bersama rakan yang menjadi ‘pengaruh tidak baik’. Namun ia bukan strategi
terbaik kerana ia boleh menimbulkan reaksi bertentangan yang membawa kepada
rintangan tidak diingini. Penyelesaian yang lebih baik adalah melatih kita
berfikir sendiri untuk menahan diri daripada tekanan rakan sebaya yang negatif
itu.
Rakan sebaya
dan keluarga merupakan dua dunia sosial tempat seseorang itu berkomunikasi.
Apabila berada di rumah, seseorang itu akan bergaul dengan keluarganya yang
terdiri daripada ibubapa dan adik beradiknya. Manakala apabila dia berada di
luar rumah dia akan bergaul dengan rakan sebaya. Rakan sebaya ini terdiri
daripada pelajar-pelajar atau remaja yang mempunyai umur yang hampir-hampir
sama di antara satu sama lain.
Menurut kajian,
di dalam hal-hal seperti tanggungjawab moral, keberanian, kejujuran, kemesraan
dan lain-lain, para remaja dipengaruhi oleh pendapat dan pandangan rakan sebaya
yang lebih tinggi daripada pengaruh ibubapa. Faktor ini banyak menimbulkan pergeseran
di antara para remaja dan ibubapa. Para remaja merasakan ibubapa sebagai
pengongkong kebebasan diri. Ibubapa pula berasa keliru dengan tingkahlaku dan
tindak-tanduk remaja dan sebarang usaha untuk menegakkan identiti diri dianggap
sebagai menentang.
Kekeliruan ini
memburukkan lagi pergeseran dan akhirnya menimbulkan masalah. Apabila remaja
menemui masalah seperti ini, ia memerlukan seorang sebagai tempat mengadu hal,
mendapat panduan dan pertolongan. Kadangkala mereka merasa lebih selesa
berbincang atau bercerita masalah mereka dengan rakan sebaya.
Kajian juga mendapati
bahawa remaja cenderung menuruti tingkahlaku kumpulan yang mana ia berada di
dalamnya. Remaja di peringkat ini akan bersungguh-sungguh mencuba bertingkahlaku
seperti tingkahlaku kumpulannya. Remaja ini juga akan melakukan apa yang
dilakukan oleh kumpulannya.
Menurut
statistik, kebanyakan kes yang membabitkan remaja terjerumus ke dalam kegiatan tidak
bermoral didapati berpunca daripada tekanan dan dorongan serta cabaran rakan
sebaya. Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang besar dalam jiwa remaja dan mereka
menjadikannya tempat rujukan tanpa berjumpa kaunselor bagi mendapatkan
perkhidmatan kaunseling, nasihat mahupun bimbingan menyebabkan remaja tadi
tidak mendapat bimbingan terbaik, sebaliknya menjerumuskan diri dalam masalah
yang mampu membinasakan antaranya, ponteng sekolah, lari dari rumah, merokok,
penyalahgunaan dadah dan melakukan perbuatan tidak bermoral.
Kegiatan
samseng jalan raya juga dilihat faktor pengaruh rakan sebaya di kalangan
pelajar di mana kes dicatatkan meningkat. Pada 2007 sebanyak 834 kes
dilaporkan, berbanding 515 kes pada 2006.
Ramai remaja
mengalah kepada tekanan rakan sebaya kerana tidak tahu cara berkata ‘tidak’
kepada rakan mereka. Mereka tidak dapat berlatih menyuarakan sebarang
percanggahan pendapat. Remaja perlu tunjukkan bahawa mereka mempunyai
keberanian moral untuk tidak bersetuju dan katakan ‘tidak’ apabila rakan-rakan sebaya
cuba mendesak untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan budaya murni dan
undang-undang. Ini akan menguatkan naluri untuk melakukan apa yang dirasakan
betul dan bukannya mengikut mata orang lain serta mempunyai keberanian untuk
mempertahankan pandangan sendiri.
Remaja yang
sentiasa berasa tidak yakin kepada diri sendiri lebih mudah mengalah kepada
tekanan rakan sebaya. Sebenarnya mereka boleh membina harga diri mereka dengan
mengingatkan nilai mereka sebagai seorang individu tidak bergantung pada
kepopularan mereka di kalangan kawan-kawan tetapi dibina atas kualiti unik
mereka sebagai manusia dan kasih sayang serta penerimaan yang tidak terhingga
oleh ibubapa.
Dengan
mencontohi rakan sebayanya, remaja akan dapat belajar satu tingkahlaku baru
yang cuba diserap dan disesuaikan pula ke dalam personalitinya. Oleh itu
pemilihan rakan sebaya adalah sangat penting. Dalam hal ini, siapa yang patut menentukan
jenis rakan sebaya yang menjadi pilihan. Dalam Islam, ibubapa sendiri
mengenalpasti rakan-rakan yang berakhlak mulia. Melalui rakan-rakannya yang
positif ini akan wujudlah model-model positif yang boleh dikembangkan di semua
peringkat. Di Malaysia, program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) telah dijalankan
supaya rakan sebaya dimanfaatkan untuk membaiki disiplin di kalangan pelajar.
Dalam aspek
pengaruh rakan sebaya, kajian menunjukkan bahawa pelajar akan menghisap rokok
secara berkumpulan atau bersama rakan. Pelajar juga menganggap peraturan atau
undang-undang sekolah sebagai sesuatu yang remeh dan tidak perlu dipatuhi.
Mereka akan membentuk kumpulan tersendiri dan mengadakan peraturan tertentu dan
ahli kumpulan hendaklah mematuhinya. Hal ini mula menimbulkan masalah disiplin
seperti peras ugut dan pergaduhan. Biasanya, apabila ahli kumpulan dipukul, mereka
akan membalas secara berkumpulan.
Dapatan kajian
yang disebutkan di atas sejajar dengan dapatan kajian peringkat nasional yang
dijalankan oleh Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun
1993 yang menunjukkan punca salahlaku di kalangan pelajar adalah disebabkan
oleh faktor diri, keluarga, persekitaran rakan sebaya dan juga sekolah. Sebagai
contoh, kajian tersebut mendapati pada tahun 1993 kira-kira 81.03% punca
salahlaku remaja kerana faktor kekeluargaan, 4.10% kerana pengaruh rakan sebaya
dan I.24% kerana faktor persekolahan.
Kajian yang
sedia ada, menunjukkan bahawa penglibatan rakan sebaya devian merupakan faktor
kepada tingkahlaku delikuen. Oleh itu sangat penting kita mengkaji faktor utama
remaja ini terlibat dengan remaja yang bertingkahlaku negatif. Kajian terbaru pula
menunjukan bahawa penolakan daripada rakan sebaya merupakan faktor remaja
terlibat dengan rakan yang bertingkahlaku devian. Data yang diperolehi daripada
Oregon Youth Study menunjukkan bahawa penolakan daripada rakan sebaya sebab
utama remaja terlibat dengan rakan sebaya yang bertingkahlaku negatif. Dalam
kajian ini, kanak-kanak yang berumur 10 tahun yang mengalami keadaan penolakan
daripada rakan sebaya mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk terlibat dengan
rakan sebaya yang devian pada umur 12 tahun.
Tingkahlaku
agresif mempunyai hubungan yang signifikan dengan faktor penolakan rakan sebaya
di dalam masalah tingkahlaku negatif remaja. Terdapat beberapa cara penolakan
rakan sebaya mempengaruhi perkembangan remaja untuk terlibat dengan rakan sebaya
yang devian dan delikuen. Salah satu cara ialah, remaja yang tidak diterima
oleh rakan sebaya akan mengalami masalah kekurangan kemahiran sosial dan
agresif selain tingkahlaku anti-sosial yang menyebabkan mereka terlibat dengan
remaja yang devian.
Kesimpulannya,
tekanan rakan sebaya merupakan sesuatu yang lazim di kalangan rakan-rakan. Kebanyakkannya
menjurus ke arah negatif jika tidak ditangani dengan rasional dan ianya juga
boleh memberi kesan kepada perubahan cara seseorang sama ada cara bercakap,
bertingkahlaku mahupun berfikir.
Rujukan:
- Dewan Masyarakat (1995). Tingkah Laku
Delinkuen. 9 –12.
- Mohd Majid Konting. (1998). Kaedah
Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur: DBP. Mohd Rodzik Abd Razak.
(1998). Hubungan Gaya Didikan Ibubapa Dengan Tingkah Laku
- Remaja.
Universiti Teknologi Malaysia. Tesis Sarjana Muda. Tidak Diterbitkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan