SMAHADZIR
GAGASAN 1Malaysia yang
bercambah dari ilham YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak bermatlamat
untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini
menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara
sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran. Gagasan
1Malaysia juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan
pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan
“Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Sebagaimana
yang kita sedia maklum, prinsip penerimaan merupakan salah satu dari tiga
prinsip teras gagasan 1Malaysia selain dari prinsip kenegaraan dan prinsip
keadilan sosial. Prinsip penerimaan bererti walaupun rakyat Malaysia terdiri
dari pelbagai kaum yang mempunyai cara hidup, amalan dan kebudayaan yang
berbeza, tetapi kita menerima antara satu sama lain sebagai rakan setia yang
akrab dan bersatu.
Memang tidak
dapat dinafikan akan kata-kata YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak
bahawa gagasan 1Malaysia itu merupakan suatu kesinambungan dari perjalanan
sejarah negara sejak kemerdekaan negara 1957. Gagasan 1Malaysia tegak
bersandarkan prinsip-prinsip penerimaan, teras Perlembagaan dan Rukun Negara
serta keadilan sosial. Ketiga-tiga prinsip itu hendaklah dihayati dan difahami
sepenuhnya oleh rakyat Malaysia dalam usaha merealisasikan cita-cita murni
perpaduan.
Dalam ertikata
yang lain, rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan nasional harus memangkas
sebarang tunas kesuburan pohon perkauman dan menjauhi sebarang ancaman yang
boleh merosakkan tonggak-tonggak kenegaraan. Setiap rakyat Malaysia tanpa
mengira ras, budaya, agama dan kepercayaan perlu berpegang teguh dan sedia
mempertahankannya tanpa sebarang kompromi.
Prinsip
penerimaan yang harus segenap lapisan masyarakat Malaysia hayati dan fahami
ialah mengenai perbuatan, sikap, anggapan dan pandangan terhadap hakikat
sesuatu kebenaran fakta, misalnya hakikat sejarah Malaysia dan sifat
kepelbagaian yang ada. Prinsip penerimaan itu ditandai oleh suatu perlakuan
yang positif, menerima sesuatu kebenaran dengan hati yang tulus, ikhlas dan
terbuka. Jangan ada sebarang rasa tidak puas hati terhadap apa juga yang telah
termaktub dalam Perlembagaan dan tercatat dalam Rukun Negara. Persetujuan
bersama antara para pemimpin silam harus diakuri tanpa sebarang kompromi demi
perpaduan dan kesejahteraan bersama.
Lantaran itu,
impian untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang benar-benar bersatu padu
hanya boleh dicapai sekiranya rakyat mengamalkan nilai yang terkandung dalam
gagasan 1Malaysia. Nilai itu jika dikaitkan dengan pemikiran rakyat untuk
berubah dari satu paradigma dengan pradigma asas ialah sikap bertolak ansur,
saling hormat menghormati antara satu sama lain, akur dengan apa yang telah
dipersetujui bersama. Dalam gagasan 1Malaysia, bertoleransi hanya permulaan,
paradigma selepas itu ialah berubah dari bertoleransi kepada penerimaan
sepenuhnya. Hakikat ini harus difahami oleh semua rakyat Malaysia yang cintakan
perpaduan.
Dengan lain
perkataan, apabila kita ikhlas menerima perbezaan dalam masyarakat kita, tulus
menerima kepelbagaian sebagai sesuatu yang unik, sesungguhnya ini adalah
sesuatu yang memberi kekuatan kepada kita dan bukan sebaliknya. Menurut YAB
Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak, “Jika kepelbagaian diterima
sepenuhnya di kalangan masyarakat sebagai satu sumber kekuatan dan sesuatu yang
unik, barulah ‘kita bergerak dari satu peringkat ke satu peringkat yang lain’.
Dan apabila kita bergerak dari paradigma bertoleransi kepada penerimaan
sepenuhnya, terdapat satu kemuncak muktamad iaitu meraikan kepelbagaian kita.
Apabila kita meraikan kepelbagaian kita barulah ia bermakna kita telah mencapai
destinasi akhir Bangsa Malaysia 1Malaysia, dan barulah kita akan berfikir dan
kita akan bertindak sebagai 1Rakyat, 1Negara dan 1 Impian.”
Sebenarnya,
jika kita selak kembali catatan sejarah negara kita Malaysia, nilai penerimaan
ini sudah lama kita praktikkan antara rakyat Malaysia pelbagai kaum. Kita
mengambil contoh tentang Kontrak Sosial, di mana masyarakat Melayu, Cina dan
India sudah pun bersetuju dan berjanji dengan menerima beberapa perkara untuk
bersatu. Bagi masyarakat Melayu, mereka sudah bersetuju untuk menerima
masyarakat Cina dan India untuk menjadi warganegara Malaysia.
Manakala bagi
masyarakat Cina dan India mereka telah bersetuju untuk menerima dan mengakui
tentang perkara Hak Keistimewaan Melayu, Kedudukan Raja-Raja dan Sultan, Islam
sebagai agama persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Inilah
hakikat yang kita tidak dapat menafikannya di mana nilai penerimaan ini sudah
lama dilaksanakan di di negara kita.
Sejarah juga
telah mencatatkan bahawa sejak ribuan tahun negara kita Malaysia adalah
sebahagian daripada sejarah Asia Tenggara, sebelum kedatangan pengaruh asing
atau setelah dijarah pemerintahan kolonial. Jika negara Indonesia dengan
pengaruh Belanda, maka negara kita Malaysia pula dengan penjajah Inggeris.
Hakikat bahawa kolonial itu bukan sahaja membawa pengaruh ke atas sistem
pemerintahan atau kehidupan ekonomi kerana memenuhi revolusi industri abad
ke-19 di barat, bahkan mendatangkan pengaruh budaya baru melalui sistem
pendidikan adalah sesuatu yang jelas. Kedatangan orang Cina dan India secara
besar-besaran dua abad lalu tidak sama konteksnya dengan hubungan antara
empayar pada abad ke-15.
Menurut Dato’
A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), rantau
ini sejak zaman berzaman mewarisi tradisi kesultanan dan institusi Raja-raja
Melayu. Kecemerlangan kerajaan-kerajaan awal Melayu dari sejak awal Masehi itu
diakuri timur dan barat. Dunia Melayu adalah milik azali umat Melayu dan bangsa
serumpunnya di serata gugusan kepulauan. Konsep ibu pertiwi atau tanah air (motherland
atau paterland) terletak di situ.
Seterusnya
jelas beliau lagi, fenomena terkemudian boleh dianalogikan sebagai sebuah rumah
besar yang menerima kedatangan ‘tetamu’ yang kini telah memilih hidup
bermastautin dan menjadi rakyat di rantau ini. Di negara kita Malaysia,
penerimaan rakyat asalnya yakni bangsa serumpun Melayu terjelma melalui sikap
meraikan, menyediakan peluang dan tapak kehidupan untuk ‘rakan-rakan’ baru
tadi. Jika realiti ini difahami, dihayati dan diakuri, maka rakyat akan lebih
memahami makna ‘orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa’.
Justeru akurilah hakikat hahawa tanggapan dan penerimaan tidak akan menjadi
mudah, jika rakyat menolak hakikat sejarah.
Tidak dapat
dinafikan bahawa rakyat asal Malaysia sudah lama sedia dan sanggup berkongsi
kuasa politik, ekonomi dan sama-sama membina kesejahteraan sosial. Selama ini
negara kita Malaysia sangat menghormati kepelbagaian dan perbezaan rakyatnya.
Selain daripada mementingkan kedudukan bangsa serumpun Melayu atau peribumi
secara adil sesuai dengan aspirasi Perlembagaan, Malaysia tidak meminggirkan
rakyatnya dari keturunan Cina, India dan lain-lain lagi seperti Serani,
Benggali, Portugis dan sebagainya. Kini mereka sudah berstatus warganegara
Malaysia. Dasar-dasar negara digubal untuk kepentingan semua kaum tidak kira
bangsa, keturunan, budaya dan agama demi mencapai matlamat perpaduan. Kendati
begitu, kita harus secara rasional menerima hakikat bahawa golongan manakah
yang berada di lembah kemiskinan dan kedaifan sejak sebelum dan selepas merdeka!
Lihat pula
secara sedar bagaimana status ekonomi, pendidikan, taraf kesihatan, prasarana
luar bandar? Majoriti penduduk luar bandar itu terdiri daripada masyarakat
Melayu dan suku bangsa serumpunnya seperti Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Rungus,
Melanau, Orang Sungai, Dayak, Bajau, Melanau, Negrito, Mahmeri, Semang, Senoi,
Jakun, Sakai, Kenyah, dan puluhan yang lain di Sabah dan Sarawak. Jadi, formula
tertentu perlu digarap bagaimana sewajarnya membina ‘Kesatuan Dalam
Kepelbagaian’ tadi.
Kepelbagaian itu
sewajarnya berada di dalam penerimaan segenap lapisan rakyat. Di negara kita
Malaysia, masyarakat berketurunan Cina, India, Portugis, Baba, Benggali, Serani
dan lain-lain lagi mempunyai ciri budaya, bahasa, adat resam, agama,
kepercayaan, dan warisan seni masing-masing. Nilai-nilai hidup yang terbaik
bersifat universal perlu dipupuk menjadi nilai-nilai nasional. Penerimaan apa
yang terbaik daripada bangsa induk Melayu dan suku bangsa serumpunnya dan
menyaring nilai-nilai budaya positif masyarakat Cina, India, Portugis, Baba,
Benggali, Serani dan lain-lain lagi itu boleh dilakukan untuk tujuan
perkongsian nilai-nilai bersama.
Malahan
sebahagian unsur-unsur warisan budaya masyarakat Cina, India, Portugis, Baba,
Benggali, Serani dan lain-lain lagi itu sudah terserap ke dalam kebudayaan
nasional di bidang bahasa, pakaian, perhiasan, makanan, kesenian dan
sebagainya. Amalan asal bersumberkan kaum dan sukuan itu, suatu waktu dalam
proses masa akan mengambil tempatnya yang baru pula. Contoh amalan 1Malaysia
sudah lama dipraktikkan di Sabah malah menjadi budaya harian masyarakat di
Negeri Di Bawah Bayu tersebut.
Persoalannya
sekarang ialah bagaimanakah setiap individu masyarakat yang pelbagai ras,
budaya dan kepercayaan ini dapat saling mengenali, memahami lalu menerima
antara satu sama lain? Contoh terdekat yang boleh kita ambil ialah dalam aspek
kontrak sosial. Kita boleh kaitkan kontrak sosial dengan nilai penerimaan yang
dicadangkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dari segi sosial. Pendidikan yang
utamanya, di mana semua rakyat perlu menerima dengan kuota yang diberikan
kepada orang Melayu, contohnya kuota untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh
(SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Universiti Teknologi MARA (UiTM),
Matrikulasi dan universiti-universiti awam. Begitu juga dengan kuota untuk
biasiswa-biasiswa kerajaan, seperti biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam
(JPA) dengan menetapkan kuota Melayu dengan nisbah kaum lain ialah 55%:45%, dan
Majlis Amanah Rakyat (MARA) khas untuk Melayu dan Bumiputera.
Seterusnya dengan
penerimaan agama Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia, semua kaum perlu
menerima hakikat ini memandangkan ia sudah termaktub dalam Perlembagaan
Malaysia, malahan bangsa-bangsa lain juga boleh mengamalkan agama masing-masing
di negara ini. Amat penting bagi semua rakyat Malaysia untuk memahami nilai
penerimaan dalam perkara sosial ini.
Sementara
dalam aspek ekonomi pula nilai penerimaan ini amat penting juga untuk kita
memahami supaya kita dapat menerimanya dengan hati yang tulus. Dengan mengambil
contoh dari pembahagian Amanah Saham Malaysia (ASM), di mana kerajaan telah
menetapkan bahawa pembahagian saham antara kaum dengan nilai-nilai yang
tertentu berdasarkan taburan penduduk di Malaysia iaitu Melayu 55%, Cina 25%,
India 7%, dan lain-lain kaum Bumiputera 12%.
Jika kita
lihat dari taburan penduduk di negara kita, majoritinya adalah bangsa Melayu.
Maka kita dapat lihat, walaupun dari segi angka yang diterapkan dalam gagasan
1Malaysia untuk masyarakat Melayu adalah tertinggi berbanding kaum lain, tetapi
masyarakat Melayu sebenarnya memang berhak mendapat bahagian yang tertinggi.
Maka semua kaum di Malaysia ini perlu menerima hakikat ini dengan hati yang
ikhlas dan berlapang dada. Justeru, kita dapat lihat di sini nilai penerimaan
amat penting dalam menjayakan gagasan 1Malaysia ini.
Seterusnya
mari kita lihat dari segi politik pula. Nilai penerimaan sudah lama dilakukan
dalam kerajaan Barisan Nasional, di mana pembahagian kerusi-kerusi Parlimen
mengikut perjanjian yang telah dimetrai dalam perlembagaan Barisan
Nasional. Kita boleh lihat bilangan dan peratus kerusi parlimen yang
dimenangi oleh Bumiputera dan bukan Bumiputera serta bilangan dan peratus
Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam kabinet Kerajaan Malaysia.
Bilangan
kerusi Bumiputera dalam Parlimen ialah 83.57% sementara bilangan Bumiputera
dalam kabinet ialah 69.57%. Manakala bilangan kerusi bukan Bumiputera dalam
Parlimen ialah 16.43% dan bilangan bukan Bumiputera dalam kabinet ialah 30.43%.
Justeru, jika kita kaji statistik ini, jelas menunjukkan bahawa dalam kerajaan
Barisan Nasional, nilai penerimaan sudah pun dilakukan. Kita dapat lihat bahawa
jumlah kerusi yang dimenangi oleh kaum bukan Bumiputera adalah sedikit iatiu
16.43% sahaja, tetapi disebabkan nilai penerimaan oleh ahli Parlimen Bumiputera
dalam kerajaan Barisan Nasional, jumlah bilangan ahli Parlimen bukan Bumiputera
yang memegang portfolio Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet adalah tinggi
iaitu sebanyak 30.43% berbanding jumlah yang dimenangi dalam kerusi Parlimen.
Sejarah juga
telah mencatatkan bahawa di dalam Islam kepelbagaian itu sudah menjadi fitrah
kehidupan. Ia adalah anugerah Allah s.w.t. Justeru itulah agaknya, umat Islam
tahu menilai dan meraikan kepelbagaian. Justeru, prinsip penerimaan dalam
gagasan 1Malaysia sesungguhnya tidak lari dari ketentuan Islam.
Pendekatan
1Malaysia jika benar-benar dihayati dan difahami dengan mendalam pasti akan
memperkukuhkan konsep perpaduan dan kesatuan negara. Gagasan 1Malaysia bolehlah
diibaratkan sebatang sungai yang lebar dan panjang, maka akan ada pertemuan
alirannya, beza anak sungai dengan sungai induk yang arusnya mengalir sehingga
ke muara. Gagasan 1Malaysia bukannya retorik politik atau agenda politik,
tetapi cita-cita kenegaraan untuk kemajuan dan kesejahteraan semua rakyat yang bergelar
warganegara Malaysia. Jadi, janganlah jadikan ia diterjemah dalam konteks yang
bersimpang-siur dan mengelirukan. Berpegang teguhlah kepada sistem pemerintahan
yang satu, dan dipayungi rimbun Perlembagaan yang satu. Bukankah negara kita
Malaysia ini tidak lahir dari sesuatu yang vakum, ada kesepakatan asal
berlandaskan kontrak sosial?
Setiap perkara
sudah termaktub dan terkanun dalam Perlembagaan. Maknanya prinsip penerimaan
akan sebuah Perlembagaan menunjukkan hakikat kehidupan kita berbangsa dan bernegara.
Itu adalah prinsip yang utama. Parti-parti politik mana pun yang menguasai
pemerintahan, keluhuran Perlembagaan wajib dijunjung. Setiap individu rakyat
Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan budaya perlu memahami hakikat ini
dengan benar dan tanpa sebarang kompromi.
Konsep dan
falsafah gagasan 1Malaysia dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan’ dan penerapan nilai-nilai murni itu bukannya sukar untuk difahami.
Jadi, prinsip penerimaan itu tidak boleh lari dari undang-undang tertinggi
negara yakni Perlembagaan Persekutuan dan pada masa yang sama dengan penuh rasa
kecintaan terhadap negara, patriotisme, kesetiaan politik dan keikhlasan,
rakyat Malaysia akan mempertahankan negara sendiri sebagai sebuah negara
bangsa, bukannya ‘kaki di sini, akal di sana’.
Kesimpulannya,
semua rakyat Malaysia yang bergelar warganegara Malaysia tanpa mengira fahaman
dan ideologi politik harus sama-sama berganding mahu memantapkan barisan
memperkukuhkan tunjang perpaduan sebagaimana yang dihasratkan oleh gagasan
1Malaysia. Dalam aspek
politik, gagasan 1Malaysia ini perlu tulus dan mencakupi pelbagai fahaman
politik negara. Semua pihak tanpa mengira fahaman dan ideologi politik bukan
sahaja perlu bersama dalam menjayakan gagasan ini malahan perlu mengetepikan
perbezaan mereka. Perkara ini kerana keperluan dan kepentingan rakyat menjadi
keutamaan negara yang harus didahulukan sebelum kepentingan politik mengambil
tempat. Semua pihak perlu bersifat glokal bagi mencari usaha ke arah
pembangunan modal insan yang jitu dan mapan serta mampu bersaing dengan arus
permodenan dunia. Persaingan politik perlu diketepikan dan pembentukkan sahsiah
yang baik merupakan contoh yang berguna kepada masyarakat. Sikap suka
menjatuhkan pula amat bertentangan dengan gagasan 1Malaysia yang lebih bersifat
menggalakkan dan mendukung usaha ke arah pembentukkan Bangsa Malaysia.
Rujukan:
1. Ibrahim Ali. (2009). “1Malaysia: Perspektif
Generasi Kemerdekaan”. Kertas kerja dibentangkan pada Seminar Kebangsaan
1Malaysia, yang diselenggarakan oleh Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM
(Universiti Sains Malaysia) di Putrajaya pada 11 Ogos.
2. Islar, Mine. (2007). The Current Nation Building
Process in Malaysia: A Critical Look at the English-Medium of Instruction
Policy. UK: Lund University, Center of East and Southeast Asian Studies Master
Programme in Asian Studies East and Southeast Asia Track.
3. Jurij Hj. Jalaludin. (1991). Wawasan 2020. Kuala
Lumpur: Arena Ilmu Sdn. Bhd.
4. Kamarulzaman Askandar. (2004). The Making of
Ethnic & Religious Conflicts in Southeast Asia: Cases and Resolutions. Yogyakarta,
Indonesia: Center for Security and Peace Studies, Universitas Gadjah
Mada.
5. Kamarulzaman Askandar. (2007). Promoting the
“Peace Dream”: Creating & Supporting the Dream Keepers in Southern
Thailand. Pulau Pinang, Malaysia: USM [Universiti Sains Malaysia].
6. Mansor Mohd Noor [ed]. (2005). Integrasi Etnik
di Institut Pengajian Tinggi Awam. Pulau Pinang: Institut Penyelidikan
Pendidikan Tinggi Negara.
7. Mohammad Redzuan Othman. (2006). Sejarah
Pembinaan Negara Bangsa: Siri Khas Sastera dan Sains Sosial. Kuala Lumpur:
Penerbit UM [Universiti Malaya].
8. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd Rahman, Mohd Samsudin
& Kamaruzaman Yusoff [eds]. (1998).
9. Prosiding Kongres Sejarah Malaysia II: Sejarah dan
Proses Pemantapan Sejarah Bangsa. Kuala
Lumpur: PSM [Persatuan Sejarah Malaysia].
10. PPM [Pejabat Perdana Menteri]. (2009). Booklet
1Malaysia. Putrajaya, Malaysia: Pejabat Perdana Menteri.
11. Rita Sim. (2010). What it Takes to Make
1Malaysia a Success. Putra Jaya, Malaysia: PPM [Pejabat Perdana Menteri].
12. Shamsul Amri Baharuddin. (1990). Masyarakat
Malaysia yang Membangun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan