Isnin, 30 Julai 2012

Keselamatan Makanan. Tanggungjawab Siapa?




Semua orang, sama ada mereka yang bergelar penghasil, pengeluar, pengedar, penyedia atau pemakan makanan, adalah sebahagian daripada rangkaian makanan. Oleh itu, kepastian keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan usaha berbilang sektor sama ada dari pihak berwajib, industri makanan mahupun pengguna.
Manakala keselamatan makanan pula bermaksud makanan itu bersih daripada kuman atau bakteria berbahaya yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan seperti taun, tifoid, penyakit kuning (hepatitis A) dan Iain-lain, juga bersih dari sebarang bahan pencemaran, toksin, daripada najis, dan apa juga bahan buangan dan lain-lain lagi.
Perkara-perkara asas yang perlu diutamakan untuk memastikan makanan yang bersih ialah kebersihan bahan mentah, pengendalian makanan yang bersih, kebersihan diri pengendali makanan, keperluan kesihatan asas yang mencukupi, premis makanan yang mempunyai persekitaran yang bersih, rekabentuk premis makanan dan peralatan yang sesuai, penyediaan dan penyimpanan makanan yang betul, manakala aspek kebersihan dalam pengendalian makanan merangkumi pengendali makanan, bahan mentah, peralatan yang digunakan, persekitaran seperti dapur dan tempat menyediakan makanan.
Pengendali makanan adalah semua orang yang terlibat dengan penyediaan makanan daripada mula hinggalah makanan itu diambil atau dimakan. la adalah mana-mana individu yang terlibat dalam penyediaan, penyajian dan juga penjualan makanan.
Salah satu langkah bagi memastikan makanan yang disediakan bersih dan selamat adalah dengan menjaga kebersihan diri dan mengamalkan amalan kebersihan yang perlu semasa mengendalikan makanan.

Tanggungjawab Pihak Berwajib

Pihak berwajib harus bertindak sebagai penguasa nasional bagi keselamatan makanan di negara kita. Antara tindakan yang perlu diambil sebagai penguasa nasional ialah menetapkan keselamatan makanan segar dan makanan yang diproses, dari penghasilan ke pengimportan hingga memasuki rangkaian peruncitan. Juga menempatkan sistem keselamatan makanan bersepadu untuk memastikan makanan yang dijual di negara ini adalah selamat.
Pihak berwajib boleh mengenakan kawalan ke atas kualiti dan keselamatan makanan yang dihasilkan atau diimport melalui perundangan dan penguatkuasaan. Tetapi, pengawalan rasmi tidak boleh diwujudkan pada setiap rumah.
Selain itu syarat keselamatan makanan juga perlulah diketatkan dan konsisten dengan piawaian antarabangsa. Sistem tersebut melibatkan pemeriksaan makanan yang dihasilkan dari sumber asalnya, pemeriksaan makanan, ujian dan analisis, dan pengesanan melalui sumber. Ia juga termasuk pemantauan dan pengawasan ancaman terhadap makanan. Ia perlu dilakukan tanpa henti.
Pihak berwajib juga perlu memantau ruang lingkup tersebut secara berterusan bagi potensi ancaman terhadap keselamatan makanan dan mengemaskini sistemnya untuk menangani masalah tersebut.

Tanggungjawab Pihak Industri Makanan

Sementara bagi pihak industri makanan seperti pengeluar, pengimport dan pengedar, perlu mengekalkan piawaian keselamatan yang tinggi dengan mematuhi syarat-syarat yang ketat. Pengusaha industri makanan yang bertanggungjawab akan meningkatkan keyakinan awam terhadap produk mereka dengan merangkumkan program memastikan keselamatan makanan dan amalan kebersihan di dalam operasi mereka.
Pengeluar, pengilang dan penyedia makanan harus mengikut standard keselamatan yang telah ditetapkan bagi memastikan makanan yang dihasilkan adalah selamat. Standard merupakan satu panduan yang menggariskan ciri-ciri keselamatan bagi sesuatu produk dan perkhidmatan.
Untuk menghasilkan makanan yang selamat kepada pengguna, setiap pekerja di premis makanan perlu diberikan latihan terlebih dahulu dalam bidang pengendalian makanan secara betul dan berkualiti.
Untuk menjamin keselamatan dan kebersihan makanan, setiap pengusaha boleh pandukan pelbagai standard yang telah ditetapkan di bawah ISO (International Standard Organisation). ISO adalah satu standard yang bertulis yang menetapkan dan menerangkan elemen-elemen asas yang perlu ada dalam sistem kualiti pengurusan, perkhidmatan, produk yang diuruskan secara sistematik dan didokumenkan serta diamalkan secara konsisten bagi memenuhi kehendak pelanggan. Dalam pengertian yang mudah ISO 9001 ialah: ‘Mendokumenkan apa yang dilakukan dan lakukan apa yang didokumenkan’.
Pengusaha makanan juga perlu mengakuri peraturan yang telah ditetapkan dalam HACCP (Hazard Analysis Critical Control Point). HACCP ialah satu sistem keselamatan penyediaan makanan bersistematik dan berasaskan sains. Ia digunakan untuk mengenal pasti bahaya khusus dalam proses membuat makanan. Ia juga merupakan sistem yang menilai semua bahaya yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan, selain daripada turut menitik-beratkan langkah pencegahan.
Selain itu para pengusaha makanan juga perlukan standard ISO 22000: 2005 (Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan). ISO 22000:2005 merupakan sistem pengurusan keselamatan makanan yang memerlukan sesebuah organisasi yang terlibat dalam rantaian makanan untuk menunjukkan kemampuannya dalam mengawal risiko bahaya keselamatan makanan dan memastikan bahawa makanan adalah selamat apabila dimakan.

Tanggungjawab Pihak Pengguna

Manakala bagi pihak pengguna pula, sebagai pengguna, kita mempunyai kawalan secara langsung ke atas keselamatan makanan yang disediakan untuk diri dan keluarga kita. Kita boleh melakukan ini dengan melengkapi diri kita dengan ilmu pengetahuan mengenai risiko keselamatan makanan, dan amalan makanan yang selamat bagi mengelakkan risiko tersebut.
Kita sebagai pengguna boleh mengelakkan pencemaran serta pertumbuhan dan pembiakan bakteria dalam makanan kita dengan cara memilih makanan kita dengan teliti, mencuci dan menyimpannya di tempat yang bersih. Asingkan makanan mentah dari yang telah dimasak. Masak makanan kita dengan sepenuhnya dan simpanlah makanan pada suhu yang selamat.
Kita juga perlu mencuci tangan kita dengan kerap dan dengan bersih menggunakan air hangat bersabun sebelum, semasa dan selepas mengendalikan makanan. Ini boleh mencegah pemindahan bakteria dari tangan ke makanan kita. Kita juga perlu mencuci tangan kita selepas mengendalikan makanan mentah seperti daging, makanan laut dan ayam itik, dan sebelum kita mengendalikan makanan yang telah dimasak atau sedia untuk dimakan. Di samping itu kita juga perlu mencuci tangan kita sekiranya kita melakukan tugas lain semasa menyediakan makanan seperti selepas menggunakan tandas.
Jagalah kebersihan dapur dan perkakas yang hendak digunakan untuk penyediaan makanan. Dapur yang kotor boleh menarik serangga seperti lipas yang membawa bakteria berbahaya. Bersihkan semua permukaan dapur dan permukaan kaunter dengan detergen dan air panas. Papan memotong boleh menyimpan bakteria. Cuci papan memotong tersebut dengan detergen dan air panas. Gunakan berus untuk membersihkan bahan makanan dan kotoran yang degil. Bersihkan papan memotong
plastik dengan menggunakan larutan klorin (peluntur).
Kain atau tuala mengelap pinggan yang berbau adalah tanda pasti bagi pembiakan bakteria. Kita hendaklah selalu mencuci kain atau tuala tersebut dengan air panas. Sepan dapur juga boleh menyimpan berjuta bakteria. Nyah kuman sepan dapur dengan larutan klorin (peluntur).
Salah satu sebab mengapa keracunan makanan sering berlaku ialah kerana pengendalian makanan yang tidak sempurna di rumah. Mengendalikan makanan dengan cara yang selamat adalah penting untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan, terutama sekali untuk bayi, kanak-kanak, wanita hamil, orang tua dan mereka yang menghidapi masalah imuno. Mereka ini lebih mudah mendapat keracunan makanan daripada orang dewasa yang sihat.
Kesimpulannya, semua pihak mempunyai tanggungjawab tersendiri dalam usaha menjaga keselamatan makanan. Oleh itu, bersama-samalah kita menjaga keselamatan makanan agar kehidupan kita sentiasa beroleh kesejahteraan sepanjang masa.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA