Isnin, 30 Julai 2012

Pekerja Muda Dan Muflis




APA perasaan anda apabila menyandang status muflis pada usia yang masih muda? Tambahan lagi apabila silapnya adalah anda tidak mampu lagi membayar hutang kad kredit yang mencecah ribuan ringgit. Atau mungkin kerana menjadi mangsa kepada ketaksuban untuk bertukar-tukar kereta pada hal kewangan belum benar-benar layak untuk berbuat demikian.
Dalam mengharungi kehidupan seharian, seseorang itu tidak dapat lari daripada hutang sama ada bagi pembiayaan rumah, kereta, kad kredit, pinjaman peribadi, pendidikan dan sebagainya. Malah, ada juga yang sanggup berhutang semata-mata mahu membeli kelengkapan rumah seperti perabot, peralatan memasak, barangan elektronik dan sebagainya agar dilihat mewah serta eksklusif. Tidak kurang juga ada yang lebih berani berhutang untuk membeli barang kemas, telefon bimbit, barangan aksesori serta pelbagai produk kegunaan peribadi lain yang tidak perlu seiring dengan trend semasa. 
Hari ini kehidupan masyarakat amat jarang terlepas dari masalah hutang. Sekurang-kurangnya ketika membeli rumah dan kereta. Antara lain disebabkan kedua-dua keperluan itu agak mahal harganya dan jarang anda dapat membelinya secara tunai.
Kendati begitu, akhbar Berita Harian bertarikh 24 Julai 2010 telah menyiarkan sebuah artikel bertajuk ‘Muflis Muda’ yang memberikan satu gambaran yang cukup menakutkan. Dalam tempoh antara tahun 2005 sehingga Mei 2010, seramai 87,583 kes muflis telah direkodkan dengan 4,651 orang atau 5.1% daripada jumlah itu berpunca daripada hutang kad kredit dan majoritinya adalah generasi muda iaitu kira-kira 23% diisytiharkan bankrap kerana gagal membayar hutang ekoran kadar faedah tinggi iaitu antara 12 hingga 18%.
Apa yang lebih membimbangkan ialah daripada jumlah keseluruhan yang diisytiharkan muflis, lebih 16% atau 13,128 individu berusia antara 25 hingga 34 tahun. Mengikut laporan itu lagi, kebanyakan pemegang kad kredit adalah kalangan golongan muda yang menggunakan kemudahan itu untuk berbelanja barangan tidak perlu dan mewah.
Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi menjelaskan kebanyakan kes muflis membabitkan golongan muda adalah berkaitan penggunaan kad kredit tidak terkawal dan gagal membayar balik hutang dalam tempoh ditetapkan berbanding kes golongan lebih berusia yang majoritinya berkaitan soal pinjaman perumahan, kenderaan dan perniagaan.
Statistik menunjukkan hutang kad kredit dan pembiayaan peribadi di negara ini telah meningkat pada kadar 17.6% dalam tempoh enam bulan kepada RM98.8 bilion pada akhir 2009. Peratus hutang kad kredit yang tidak dibayar telah meningkat 5.4%, iaitu RM26.7 bilion terutamanya akibat pembelian barangan pengguna di bawah skim ansuran. 
Bagi memastikan masalah hutang dan kebankrapan membelenggu pekerja muda kakitangan awam dan swasta maka satu modul khas pengurusan kewangan persendirian telah diperkenalkan kepada semua pekerja dan modul itu perlu dimasukkan ke dalam kursus induksi misalnya dan menerapkan prinsip berhemah dengan berjimat cermat serta bijak mengurus pendapatan bulanan mereka. Ini penting untuk mendidik golongan pekerja muda ini dengan kemahiran pengurusan kewangan supaya mereka dapat mengelakkan hutang yang membebankan.
Jika perkara ini tidak diendahkan, ia akan menjejaskan keberkesanan dan integriti perkhidmatan kerajaan dan swasta kerana mereka tidak mampu memberikan tumpuan kepada tugas mereka. Hutang juga boleh membawa kepada gejala rasuah dan ini akan menjejaskan sistem penyampaian sektor kerajaan dan perkhidmatan swasta di negara kita. 
Di samping kempen dan modul pengurusan kewangan diperkenalkan kepada golongan pekerja, Bank Negara Malaysia (BNM) juga perlu melaksanakan beberapa langkah pencegahan bagi membendung peningkatan hutang isi rumah dan kes kebankrapan di kalangan generasi muda terutamanya agar ia tidak terus berlarutan dan menjadi lebih serius. Langkah itu juga perlu bagi memastikan masalah berkenaan tidak menjadi penyumbang kepada faktor ketidakstabilan ekonomi negara dan akan mewujudkan masalah sosial lain pula akibat masalah hutang yang kronik. 
Bank pusat juga perlu menjalankan usaha mempertingkatkan kadar celik kewangan masyarakat di negara kita, terutamanya di kalangan generasi muda agar mereka tidak menjadi mangsa keadaan sehingga dibelenggu oleh masalah hutang keliling pinggang yang mana ini boleh merosakkan masa depan mereka sendiri. 
Hakikatnya, golongan pekerja muda ini perlu mempelajari kaedah membuat pengurusan kewangan dan berbelanja bersesuaian dengan pendapatan mereka. Jika mereka boleh mengurangkan perbelanjaan sebanyak 5% seminggu, mereka boleh menjimatkan 20% menjelang akhir bulan. Cara ini dapat membantu untuk membina asas kewangan yang kukuh. Ramai individu gagal menjelaskan pembayaran hutang kerana pengurusan kewangan yang lemah dan tiada kawalan dalam penggunaan kad kredit. Mereka yang mempunyai masalah untuk menyelesaikan hutang-hutang perlu mencari bantuan awal sebelum sebarang faedah dikenakan ke atas mereka.
Apabila mereka diisytiharkan muflis, kehidupan akan menjadi lebih sukar kerana nama mereka akan disenaraihitamkan di dalam data Sistem Rujukan Maklumat Kredit Pusat (CCRIS). Keadaan itu akan menggagalkan permohonan pembiayaan mereka secara automatik.
Kebanyakan golongan pekerja muda ini terperangkap dengan hutang kerana mereka hidup melebihi cara yang sepatutnya. Permulaannya, mereka begitu mudah terpengaruh terutama gaya hidup rakan-rakan. Namun mereka tidak tahu bagaimana untuk menguruskan perbelanjaan dengan teratur sehingga menyebabkan kredit berlaku berterusan. Sikap mementingkan jenama di kalangan generasi muda ini juga menyebabkan mereka tidak mengambil peduli soal kemampuan dalam perbelanjaan. Mereka tidak mendapat kesannya ketika menggunakan kad kredit, tetapi ‘sakitnya’ akan dirasai pada akhir bulan.
Pekerja atau generasi muda di negara ini dikenal pasti sebagai golongan yang boros berbelanja jauh daripada kemampuan kewangan sebenar mereka. Trend yang membimbangkan itu berpunca daripada gaya hidup yang tidak sihat, berbelanja terhadap barangan yang tidak perlu dan pengaruh rakan sehingga mendorong mereka berbelanja lebih daripada yang sepatutnya.
Sesetengah golongan pekerja muda yang terjerat dengan masalah muflis ini berbangga dengan penggunaan kad kredit yang seringnya akan menimbulkan masalah, khasnya apabila penggunaannya tidak dikawal. Mereka yang memiliki kad kredit tentulah mempunyai kemampuan kewangan yang tinggi, jika tidak pihak bank tidak akan membenarkan penggunaannya. Namun kad plastik ini boleh menyebabkan muflis berleluasa di kalangan masyarakat, khasnya apabila pengguna atau pemilik kad itu membuat pembayaran minimum sahaja pada setiap bil yang dihantar oleh pihak bank.
Apabila ini terjadi, baki yang masih tinggal dalam akaun seseorang itu akan dikenakan caj dalam kadar tertentu, biasanya 1.5% sebulan atau 18% setahun. Lama kelamaan hutang pemilik kad akan semakin meningkat dan akhirnya akan menimbulkan masalah bila pemilik tidak lagi mampu membayar hutang yang kian bertompok itu. Di sinilah kemungkinan diisytiharkan muflis itu timbul.
Namun jika seseorang pemegang kad membayar semua jumlah yang tertera dalam bil bulanannya, pihak bank tidak akan mengenakan apa-apa caj kecuali pada proses pembelian pertama sahaja. Maka di sini seseorang itu tidak akan dikenakan caj oleh pihak bank.
Sebab itulah, dalam akhbar Kosmo yang bertarikh 19 Mac 2011, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menyarankan penggunaan kad debit. Kad debit boleh mengawal keseimbangan tunai dan mengelakkan dari berhutang kerana pemiliknya harus membayar kesemua jumlah transaksi pada setiap bil yang diterima. Hal ini dapat mengelakkan dari gejala hutang.
Jadi, bagaimanakah pekerja muda ini perlu bertindak agar mereka tidak dijerat oleh gejala hutang dan henyakkan muflis? Jawapan yang tepat ialah anda perlulah mengubah gaya hidup dan cara berbelanja anda mengikut kaedah-kaedah yang sudah diakui oleh pakar kewangan sebagai yang efektif dan bermanfaat.
Jika dahulu, anda kerap memperuntukkan gaji bulanan untuk membayar bil, hutang, membeli barang dan sebagainya terlebih dahulu, mulai sekarang berikan keutamaan kepada menyimpan wang untuk diri sendiri dahulu. Tidak kira dalam jumlah yang kecil atau besar, pastikan anda menyimpan dan melaburkan duit untuk diri (dan keluarga) secara konsisten. Anda boleh bermula dengan RM50 sebulan (lebih banyak lebih bagus), kemudian tambahkan jumlah simpanan anda pada tahun-tahun berikutnya.
Anda juga perlu elakkan pembaziran. Bezakan antara barang-barang keperluan dan kehendak. Sebagai contoh, anda tidak perlu membeli baju atau seluar yang berjenama mahal jika jenama yang sederhana atau murah mampu memenuhi keperluan anda. Tambahan pula, kebanyakan pasar raya besar sekarang menyediakan ‘house brand’ yang berkualiti tinggi pada harga yang amat berpatutan.
Matlamat kewangan anda seharusnya menggambarkan perkara yang anda ingin kecapi dengan wang anda dalam jangka masa tertentu. Penetapan matlamat ini akan membantu anda memahami nilai sebenar wang dan menggalakkan anda berbelanja dengan lebih bijak. Tetapkan jangka masa untuk merancang dan melaksanakan setiap matlamat anda, sama ada matlamat itu berjangka masa pendek, sederhana ataupun panjang.
Selepas anda menentukan matlamat anda, mulakan dengan membuat perancangan untuk berbelanja dengan lebih baik agar matlamat anda mudah dicapai. Ingat bahawa matlamat anda buat masa yang terdekat ini bukanlah untuk mengurangkan perbelanjaan tetapi mengenal pasti tabiat berbelanja anda. Melalui pemerhatian ini, anda akan dapat mengetahui ke mana dan bagaimana anda membelanjakan wang anda, berapa banyak hutang anda setiap bulan dan berapa baki wang anda yang masih tinggal di penghujung bulan.
Anda juga perlu buat bajet, tulis dan patuhinya. Sesetengah individu gemar membuat bajet secara kasar atau ‘dalam kepala’ sahaja, terutamanya semasa hendak membeli barang. Ini cara yang tidak berapa tepat. Sebaik-baiknya, tulis apa yang ingin dibelanjakan dan lebih penting lagi, patuhi bajet yang telah dibuat tersebut. Anda perlu berdisiplin dalam berbelanja dan membuat bajet adalah langkah yang sangat penting. Jika tidak membuat bajet, besar kemungkinan anda akan mengalami kesukaran menguruskan kewangan sendiri dan keluarga.
Selain itu anda juga perlu elakkan dari dipengaruhi emosi semasa membuat keputusan berkaitan dengan kewangan. Perkara ini tidak dapat dinafikan terutamanya apabila anda mempunyai wang lebihan contohnya sewaktu mendapat bonus. Macam-macam perkara yang akan terlintas difikiran anda - kereta baru, perabot baru, bercuti dan sebagainya. Sekiranya anda mendapat wang lebih, pastikan anda menyimpan sebahagian daripadanya dan selebihnya digunakan untuk melangsaikan hutang sedia ada. Inilah masa terbaik untuk anda melangsaikan segala hutang kad kredit anda sekaligus. Jangan berlengah lagi dan bayar segala hutang-piutang yang ada. Percaya atau tidak, hidup anda akan menjadi lebih tenang jika anda sudah melangsaikan hutang.
Mungkin anda sudah tahu yang melabur adalah cara terbaik untuk mengembangkan wang sedia ada. Melaburlah dengan pihak-pihak yang berlesen dan berwaspada dengan pelbagai skim cepat kaya atau skim pelaburan tidak sah yang terdapat di pasaran. Sekiranya sesuatu syarikat menawarkan untung berlipat kali ganda dan mendakwa tiada risiko yang terlibat jika anda melabur dengan mereka, mungkin itu adalah syarikat yang tidak sah. Pastikan anda memeriksa sama ada sesuatu syarikat itu berlesen ataupun tidak dengan menghubungi pihak berkuasa. Ingat, dapatkan sebanyak mungkin maklumat sebelum menyerahkan wang titik peluh anda kepada mana-mana pihak.
Anda juga perlu menyediakan dana kecemasan. Dana kecemasan merujuk kepada sejumlah wang yang anda peruntukkan untuk digunakan sekiranya berlaku apa-apa musibah yang tidak diingini. Biasanya, anda dinasihatkan supaya mempunyai dana kecemasan sebanyak tiga hingga enam bulan perbelanjaan bulanan anda. Dengan wujudnya dana kecemasan, anda akan berupaya mengharungi segala masalah berkaitan kewangan dengan tenang dan terkawal. Dana kecemasan yang mencukupi juga akan memastikan cara hidup anda tidak terganggu sewaktu menghadapi masalah kewangan.
Sekiranya anda tidak mempunyai lebihan wang tunai untuk disimpan, anda mungkin perlu menyemak semula tabiat berbelanja anda dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak diperlukan. Perhatikan sama ada anda menggunakan simpanan untuk membayar bil semasa, anda memohon pinjaman baru untuk melangsaikan hutang pinjaman lama, hutang anda lebih besar daripada pendapatan dan anda membeli sesuatu tanpa memikirkan sama ada anda mampu atau tidak.
Sesungguhnya, pelan perbelanjaan dapat membantu anda merancang kewangan. Mulakan pelan perbelanjaan anda dengan panduan mudah seperti tentukan jumlah pendapat bulanan anda, tambah jumlah perbelanjaan termasuklah bil bulanan, bayaran balik pinjaman, sewa, perbelanjaan seharian dan lain-lain, ketepikan sejumlah wang untuk kecemasan dan perbelanjaan bermusim seperti yuran sekolah, musim perayaan, cukai jalan, pembaharuan insurans dan sebagainya.
Jadilah seorang manusia yang bijak dalam berbelanja. Apabila anda ingin membeli sesuatu, tanyalah diri anda terlebih dahulu: Adakah saya benar-benar memerlukannya? Adakah saya mampu membelinya?  Bajet peribadi dan aliran tunai anda boleh membantu menjawab soalan ini. Semak terlebih dahulu sekiranya anda telah membuat peruntukan bagi perbelanjaan ini ataupun anda telah berbelanja lebih bagi bulan tersebut.   
Jangan jadikan membeli belah sebagai satu tabiat untuk melepaskan tekanan. Sekiranya anda hendak membeli sesuatu barang yang khusus pastikan anda tidak membawa anak-anak yang sering mendesak untuk membeli sesuatu yang kurang perlu atau keluar dengan rakan-rakan yang memang suka membeli belah. Juga jangan membawa wang yang banyak. Bawalah yang mencukupi sahaja
Jangan membeli belah untuk menunjuk-nunjuk kepada pesaing, rakan ataupun jiran. Kurangkan tabiat mendapatkan maklumat mengenai barangan yang anda minat di laman web jualan lelong. Ini kerana anda mungkin terjumpa dengan barangan yang diminati dalam harga yang murah walaupun sebenarnya anda belum memerlukan barangan berkenaan pada waktu itu.
Jangan amalkan singgah di pasar raya apabila pulang ke rumah dari tempat kerja. Rancang tempat untuk membeli belah bagi menjimatkan penggunaan bahan api dan masa. Belilah barang keperluan dengan sekali pergi sahaja.
Semasa anda membeli-belah, bersederhanalah dalam perbelanjaan. Kualiti produk mungkin sama dengan jenama yang lebih mahal. Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran harga istimewa. Buat perbandingan harga. Sentiasa memeriksa resit pembelian barangan untuk mengelakkan terlebih bayar atau berlaku kesilapan semasa pengiraan pembelian. Untuk jualan murah, sila teliti kualiti barangan yang dipamerkan dan pastikan barangan yang dipamerkan itu benar-benar di bawah promosi.
Ketahui dan dapatkan maklumat mengenai hak-hak pembeli seperti polisi pemulangan, kos penghantaran dan sebagainya. Berani mengatakan ‘tidak’ sekiranya tidak memerlukan barangan yang ditawarkan. Belilah produk keluaran tempatan (Buatan Malaysia). Ia menjimatkan bahan api dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida yang keluar semasa proses penghantaran. Beralihlah kepada barangan yang boleh digunakan semula. Ini akan mengurangkan barang buangan dan menjimatkan sumber tenaga.
Dalam menguruskan kehidupan anda, anda bukanlah tidak dibenarkan meminjam langsung. Anda boleh meminjam tetapi meminjamlah secara berhemat. Apabila anda ingin meminjam, anda dinasihatkan supaya meminjam mengikut kemampuan anda untuk membayarnya semula. Elakkan dari membuat pinjaman melebihi kemampuan atau gaji bagi mengelakkan anda dibebankan dengan hutang yang melebihi pendapatan. Contohnya, jika anda membeli sebuah kereta, semasa menentukan bayaran ansuran bulanan sewa beli, anda perlulah mengambil kira sebarang kos tambahan yang akan ditanggung secara berkala iaitu perbelanjaan untuk minyak, tol, pembaikan dan kos penyelenggaraan.
Anda juga boleh mempunyai kad kredit tetapi uruslah kad kredit itu dengan bijak. Pastikan anda membayar kesemua hutang kad kredit anda pada setiap bulan bagi mengelakkan daripada dikenakan kadar faedah. Kadar faedah yang dikenakan ke atas baki kad kredit terkumpul biasanya lebih tinggi daripada pinjaman. Jika anda tidak mampu untuk membayar kesemua baki tersebut, anda boleh sasarkan untuk membayar lebih daripada bayaran minimum kerana dengan cara ini dapat mengurangkan baki hutang terkumpul dengan lebih cepat. Namun, jika anda hanya mampu membayar dengan jumlah minimum, pastikan ia hanyalah untuk satu tempoh masa pendek sahaja.
Jika anda membuat pembayaran bagi sesuatu barangan yang mahal, anda boleh memilih untuk membayar melalui skim bayaran mudah yang disediakan oleh pengeluar kad kredit anda. Skim tersebut membantu anda untuk membahagikan kos belian dalam satu jangka masa, contohnya 6-12 bulan tanpa dikenakan sebarang kos kewangan jika anda membayar mengikut jadual. Selain itu, elakkan juga daripada mengambil wang tunai pendahuluan melalui kad kredit kecuali jika keadaan terdesak. Hadkan juga bilangan kad kredit yang anda miliki dan jika perlu, batalkan sahaja penggunaan kad kredit tersebut.
Anda disarankan supaya menggunakan kaedah pembayaran bil secara automatik. Anda boleh membuat arahan tetap untuk pembayaran nominal dengan institusi perbankan anda untuk mendebit dana daripada akaun deposit bagi membayar ansuran bulanan anda (setiap bulan bayaran ansuran anda akan ditolak secara automatik). Selalu menangguhkan pembayaran bil bulanan boleh menyebabkan hutang yang tertunggak. Membayar bil lewat akan menyebabkan anda dikenakan caj penalti dan sebagainya. Ini akan menambahkan lagi beban kewangan anda.
Kesimpulannya, bagi mereka yang baru bekerja, anda perlu sentiasa mengira ke mana wang anda dibelanjakan. Hidup dengan duit yang sedikit tidak bermakna kehidupan anda serba kekurangan. Ia lebih kepada hidup dengan lebih bermakna dan bersyukur, dan bukan hidup untuk orang lain. Berjimat cermat dalam semua aspek kehidupan adalah asas membina kekayaan. Jika anda berimpian untuk mendapat kebebasan kewangan pada suatu hari nanti, tidak kira tahap atau status pendapatan anda, anda perlu jadikan pengurusan kewangan yang berhemah sebagai cara hidup.
Beringatlah sebelum anda terjebak dalam hutang. Berbelanjalah mengikut kemampuan bukan kemahuan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA