Isnin, 30 Julai 2012

Situasi Pengangkutan Awam Di Malaysia



STATISTIK menunjukkan bahawa jumlah penumpang telah mencatatkan penurunan dari 37% pada 1985 kepada 20% pada 1997 dan akhirnya menjunam sekitar 10% pada 2008. Walaupun peningkatan jumlah penduduk menambah kesesakan lalu-lintas, pengguna dilihat kurang gemar menggunakan pengangkutan awam kerana terpaksa berasak-asak pada waktu puncak di samping berdepan perkhidmatan kurang cekap seperti pembatalan, kerap lewat dan kesukaran mendapatkan pengangkutan awam.
Kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam bermula daripada kaunter tiket selain perkhidmatan yang pantas, maklumat yang baik, kemudahan tempahan, pilihan laluan serta ketepatan waktu, gagal dijadikan sebagai petunjuk penting bagi menjamin pengguna terus menggunakan pengangkutan awam. 
Pelbagai isu dibangkitkan saban waktu, antaranya ketidakcekapan pengurusan operasi, keadaan kenderaan awam yang tidak selesa, ketiadaan khidmat pengangkutan awam di kawasan kepadatan penduduk tinggi dan mutu perkhidmatan yang tidak bersifat mesra pengguna, menjadikan kemudahan pengangkutan awam pilihan terakhir bagi pengguna.
Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan (TWU) yang mewakili kepentingan kolektif pekerja-pekerja industri pengangkutan awam Malaysia sejak 1958, telah melahirkan rasa bimbang dengan keadaan sistem pengangkutan awam di negara ini yang semakin merosot dan menyedihkan. Tidak mustahil dalam masa terdekat industri ini akan tergolong dalam ‘industri senja’ sekiranya langkah pemulihan yang segera tidak diambil oleh kerajaan.
Industri pengangkutan awam di Malaysia sejak dahulu lagi telah berdepan dengan masalah-masalah seperti pengeluaran permit dan lesen pengangkutan awam yang terlalu banyak kepada syarikat-syarikat yang kurang faham selok-belok industri, tiada ketegasan dan ketetapan di dalam pembentukan, pelaksanaan dan penguatkuasaan dasar oleh pihak-pihak berkuasa yang berkenaan, bidang kuasa yang bertindih berhubung pengeluaran lesen, pengesanan, pengujian kenderaan dan penguatkuasaan, kos operasi yang meningkat akibat peningkatan mendadak bahan bakar dan alat-alat ganti kenderaan dan lain-lain lagi.
Jumlah penumpang sangat sedikit, terutama di laluan pedalaman dan laluan dalam bandar yang berlebihan perkhidmatannya. Malah untuk mencapai kadar penumpang yang paling minimum pun sangat sukar kepada para pengendali bagi membolehkan perkhidmatan mereka bertahan. Sebenarnya, terdapat banyak lagi sebab lain, namun sebab-sebab di atas adalah yang paling kritikal.
Situasi di seluruh negara sangatlah membimbangkan. Banyak syarikat bas telah memberhentikan perkhidmatan mereka akibat kos operasi yang tidak lagi berupaya ditanggung. Di Pulau Pinang, seluruh sistem pengangkutan bas telah lumpuh apabila syarikat Hin Bus, Yellow Bus, Lim Seng Bus, Kenderaan Juara, Kiara Tuah dan Kiara Melati telah menamatkan perkhidmatan. Situasi ini juga tidak kurang buruknya di Kedah dan Perlis, memandangkan syarikat Kubang Pasu Transport, Perlis Transport dan Kuala Kedah Transport telah menyatakan bahawa mereka mungkin terpaksa menamatkan perkhidmatan sekiranya situasi tidak menunjukkan sebarang peningkatan.
Syarikat-syarikat bas di Johor pula berusaha untuk menggabungkan perkhidmatan mereka bagi terus bernafas. Di Selangor, Foh Hup Omnibus, Toong Fong Bus dan Len Bus telah gulung tikar. Len Seng Omnibus, dan banyak lagi syarikat di Selangor dan Pulau Pinang, telah mengkontrakkan permit mereka, begitu juga bas-bas mereka, kepada pengendali individu pihak ketiga mengikut sistem berasaskan komisen. Oleh itu, mereka tidak mempunyai kuasa penyeliaan langsung ke atas kekerapan dan mutu perkhidmatan.
Dalam pada itu, ‘konsortium pengangkutan’ juga tidak membawa hasil yang menggalakkan. Sekitar lewat 90-an, beberapa syarikat bas di Lembah Klang telah digabungkan di bawah Intrakota Consolidated dan diuruskan oleh Diversified Resources Berhad (DRB). Ini diikuti oleh Park May Berhad. Intrakota tidak lebih dari sekadar gabungan, ia terbeban oleh perbelanjaan modal yang terlalu besar, terjadi kerana syarikat membeli bas-bas buatan luar negeri yang sangat mahal; alat-alat ganti yang sama mahalnya dan kos penyelenggaraan kenderaan yang melambung tinggi; bilangan bas yang tidak mencukupi untuk beroperasi, sistem ‘pemandu berseorangan’ yang tidak efektif yang menyebabkan kelewatan perjalanan dan bahaya ke atas keselamatan di jalan raya; pemandu yang tidak mencukupi dan pelbagai lagi masalah logistik.
Semua ini, telah mendatangkan bermacam-macam kesulitan dan kekecewaan kepada para pengguna yang bergantung kepada bas sebagai satu-satunya kaedah pengangkutan mereka. Golongan berpendapatan rendah bukan sahaja perlu menanggung kadar tambang yang tinggi, tetapi juga terpaksa berdepan dengan perkhidmatan bas yang tidak menentu serta tidak boleh diharapkan. Perjalanan lancar nampaknya semakin sukar untuk dicapai pada tahun-tahun yang mendatang. Jalinan pengangkutan yang mudah dan selesa kekal sebagai satu mimpi sahaja.

Perkhidmatan Bas Awam

Semenjak perkhidmatan bas awam diperkenalkan secara sistematik pada tahun 1935 oleh General Transport Company milik British, operasi pengangkutan bas awam dibiayai sepenuhnya oleh pengusaha swasta. Tidak dinafikan, perkhidmatan pengangkutan bas awam di Malaysia telah melalui tahun-tahun yang cemerlang.
Malangnya, akibat daripada situasi yang menekan negara menyebabkan banyak syarikat bas terpaksa memberhentikan perkhidmatan mereka kerana kos operasi yang tidak lagi dapat ditanggung memandangkan kali terakhir tambang bas henti-henti dinaikkan ialah pada 2005, iaitu daripada 40 sen kepada 60 sen untuk dua kilometer. 
Kerajaan pernah mengambil langkah pembaikan melalui konsortium pengangkutan sekitar lewat 90-an dahulu menerusi penggabungan beberapa buah syarikat bas namun langkah tersebut juga tidak membawa hasil yang menggalakkan. 
Penggunaan bas yang telah berusia sebagai langkah pengurangan kos sebaliknya telah menimbulkan masalah-masalah lain pula seperti keadaan bas yang usang dengan bumbung bocor, kerusi yang patah dan koyak, penghawa dingin yang tidak berfungsi, palang cermin yang patah dan pelbagai lagi. Keadaan ini bukan sahaja mendatangkan situasi tidak selesa kepada pengguna tempatan tetapi juga memberikan tanggapan negatif kepada pelancong-pelancong asing. Tanggapan sedemikian sudah tentu tidak akan menyumbang kepada industri pelancongan negara yang sangat bergantung kepada sistem pengangkutan awam yang lancar dan selesa. 
Baru-baru ini Rapid KL telah melancarkan RapidBET iaitu singkatan Rapid Bus Expressway Transit, yang dapat mengurangkan tempoh perjalanan bas sehingga 50%. Melalui sistem itu, bas akan menggunakan lebuh raya untuk sampai ke destinasi tertentu bagi menjimatkan tempoh perjalanan berbanding jalan raya biasa. Sebagai contoh, sistem ini beroperasi di dua laluan yang mempunyai jumlah penumpang tinggi iaitu dari Kota Damansara ke Pasar Seni melalui Penchala Link manakala laluan kedua dari Bandar Sungai Long ke Pasar Seni melalui Lebuhraya Grand Saga. Namun begitu, warga Orang Kurang Upaya (OKU) tidak menikmati perkhidmatan ini. Ini adalah kerana kebanyakan stesen LRT dan stesen bas tidak mesra OKU.
Di negara kita, warga OKU memang tidak menikmati sistem pengakutan awam yang boleh dikatakan selesa untuk mereka. Di antaranya, rekabentuk yang tidak mesra OKU atau tidak sejagat merupakan punca yang utama. Kita dapati bahawa stesen LRT atau hub bas yang disediakan untuk pertukaran, biasanya tidak menyediakan tempat letak kereta yang mencukupi. Ini menjadi punca masalah kerana bagi para pemandu OKU, tiada tempat letak kereta yang bersesuaian bererti tiada akses bagi mereka.
Infrastruktur di stesen tersebut juga tidak menepati piawaian bagi pengguna OKU. Ia biasanya tidak menyediakan cecondong yang diperlukan bagi pengguna kerusi roda, tiada tactile guiding block yang merupakan petunjuk jalan bagi pengguna buta. Tambahan pula, walaupun sesetengah tempat menyediakan kemudahan mesra OKU, tetapi ia tidak dapat dicapai oleh warga OKU, ada yang telah disalahgunakan oleh pihak ketiga, dan kebanyakan rekabentuknya pula tidak mesra OKU, di mana OKU tidak dapat menggunakannya dengan selesa.

Perkhidmatan Rel

Wujudnya Sentral Kuala Lumpur sebagai hab pengangkutan utama rel awam dilihat sebagai permulaan yang baik. Malangnya, sistem pengangkutan awam yang telah menjangkau usia antara 12 hingga 13 tahun ini masih lagi tidak menampakkan kematangannya. Semenjak pelaksanaannya, masalah seperti tren lambat, tren yang tiba-tiba berhenti atau rosak, terlalu sesak, penghawa dingin yang tidak berfungsi dan masalah-masalah lain masih lagi berlaku. 
Keadaannya yang sesak bagaikan sardin, lebih-lebih lagi waktu puncak turut memberikan kesan negatif kepada tanggapan pengguna. Ramai pengguna merungut kerana perkhidmatan rel ini tidak sistematik, jadual ketibaan tidak teratur, gerabak tidak mencukupi dan liputan laluan tidak meluas.
Jadual waktu tren yang tidak tepat menyumbang kepada sikap negatif penumpang seperti berebut-rebut, tidak beratur ketika memasuki tren serta sikap kurang prihatin terhadap warga tua, warga kurang upaya dan wanita mengandung. Senario ini bukan sahaja menjengkelkan, malah turut memberikan pandangan buruk kepada pelancong-pelancong luar yang mana secara langsung akan turut menjejaskan industri pelancongan negara.
Stesen Sentral Kuala Lumpur juga dikatakan tidak sesuai kerana ruang menunggu yang kekurangan tempat duduk sama ada di Platfom A atau B. Beberapa tempat duduk yang tersedia adalah untuk pelanggan makanan segera. Tidak ada paparan monitor bagi menunjukkan jaduan perjalanan keretapi. Juga tidak ada kaunter pertanyaan. Kadang-kadang terdapat kelewatan jadual berlepas tetapi tidak ada sebarang pengumuman yang dibuat oleh petugas KTMB. Pihak KTMB sepatutnya memaparkan jadual perlepasan terkini melalui monitor bagi kesenangan dan keselesaan penumpang.
Di platfom bahagian bawah juga tidak ada sebarang penunjuk arah koc-koc. Hanya dengan arahan beberapa orang petugas yang menunjuk arah ke depan mahupun ke belakang dan cara ini sangat tidak profesional. Jika ada tanda arah koc-koc maka penumpang tidak perlu bertanya.
Bagi tren perjalanan malam, pihak KTMB hendaklah membuat pengumuman sebelum tren sampai ke sesuatu destinasi. Ini membolehkan penumpang membuat persediaan awal untuk turun terutama yang berkumpulan dan berkeluarga. Lebih-lebih lagi kepada pelancong asing yang kurang arif dengan perjalanan KTMB ini. Buat masa ini didapati pengumuman hanya dibuat bila sampai di Bukit Mertajam dan Butterworth saja.
Makanan yang dijual dalam koc juga dirasakan terlalu mahal. Bagi yang berkeluarga mungkin tidak mampu untuk berbelanja dan sebab itulah didapati ramai penumpang yang membawa makanan dari luar.
Terdapat sebilangan penumpang terutama anak muda yang suka lepak diruang legar tepi pintu antara koc sambil merokok. Diharap pihak keselamatan KTMB tidak menggalak penumpang berehat di sini kerana situasi begini mengganggu keselesaan penumpang lain.

Perkhidmatan Teksi

Statistik menunjukkan bahawa bilangan teksi sebanyak 30,000 masih tidak mencukupi untuk menampung jumlah pengguna yang ada. Daripada jumlah ini, sebanyak 21,000 buah teksi yang terdapat di Lembah Kelang masih tidak mencukupi. Dianggarkan 3,000 buah teksi diperlukan bagi menambah jumlah sedia ada.
Ironinya, dengan nisbah sebuah teksi bagi 500 orang penumpang, diburukkan lagi dengan perlakuan tidak bertanggungjawab pemandu teksi yang mengambil kesempatan mengenakan caj tidak munasabah selain tidak menggunakan meter, telah menimbulkan rasa tidak puas hati para pengguna. 
Rasa tidak puas hati pengguna terhadap caj teksi yang terlalu tinggi ini telah menjadi satu isu yang berlarutan sekian lama. Malah, situasi ini diburukkan lagi dengan tindakan tidak berdisplin dan tidak bermoral di kalangan sesetengah pemandu teksi yang menggunakan perkataan yang tidak sopan dan menghina penumpang yang meminta mereka untuk menggunakan meter. 
Masalah kewujudan ‘ulat-ulat’ teksi yang licik dan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan turut mencemarkan imej pengangkutan awam ini. Kehadirannya di lokasi-lokasi tertentu terutamanya di lapangan terbang mampu memberikan mereka pendapatan yang lumayan antara RM6,000 hingga RM7,000 sebulan.

Langkah Penambahbaikan

Sebagai langkah permulaan, satu sistem yang berintegrasi, komprehensif dan tersusun di antara laluan terutamanya monorel, LRT, komuter dan bas perlu diusahakan. Langkah yang diaplikasikan oleh negara-negara maju seperti Jerman dan Jepun telah terbukti kejayaannya. Melalui sistem ini, setiap penumpang boleh turun bas atau teksi dan pada masa yang sama boleh menggunakan perkhidmatan LRT yang juga terletak di tempat yang sama.
Pembabitan terlalu banyak badan yang menyelaras dan mengendalikan pengangkutan awam dilihat tidak banyak membantu menjamin kecekapan sistem perkhidmatan awam negara. Bidang kuasa yang bertindih berhubung pengeluaran lesen, pengesanan, pengujian kenderaan dan penguatkuasaan menimbulkan kekeliruan dan menjadi penyebab kepada pelbagai masalah yang timbul. 
Pengeluaran permit kenderaan komersial misalnya, diletakkan di bawah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Pengeluaran cukai jalan dan penguatkuasaan peraturan jalan raya, dipegang oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala perkhidmatan rel dan tren pula di bawah Jabatan Keretapi. Kedua-dua jabatan ini adalah di bawah Kementerian Pengangkutan. Kemudahan pengangkutan awam seperti perhentian bas, terminal bas, lorong bas pula di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan. 
Sistem perkhidmatan pengangkutan awam sekarang tidak mempunyai data statistik keperluan sebenar bagi pengangkutan awam. Oleh itu, suatu kajian menyeluruh mengenai operasi pengangkutan awam di negara ini juga menjadi suatu keperluan untuk bertindak sebagai rujukan atau penanda aras kepada keberkesanan dan kecekapannya selama ini. Dengan maklumat yang diperoleh daripada kajian itu, kerajaan akan dapat membina sebuah pangkalan data indeks kualiti industri pengangkutan awam khusus untuk memantau sektor itu secara berterusan.
Pangkalan data ini juga akan mengumpul maklumat terperinci berkenaan sektor pengangkutan selain perlu dikemas kini secara tahunan sebagai rujukan kepada semua pihak termasuk pengguna, pengusaha dan kerajaan. Melalui usaha itu, kerajaan dan syarikat pengusaha akan dapat memantau operasi perkhidmatan pengangkutan awam mengikut situasi semasa termasuk peningkatan kos ekoran kenaikan harga minyak petrol. Menerusi hasil kajian yang sama juga, kerajaan dapat mengenal pasti punca peningkatan kos dan menyalurkan subsidi secara lebih tersusun dan sistematik seterusnya memuaskan hati pengusaha dan pengguna.
Sasaran penggunaan pengangkutan awam kepada 40% menjelang 2020 daripada hanya 20% pada masa kini, dilihat sebagai langkah permulaan penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam negara. Langkah ini bertujuan mengikuti kejayaan negara-negara jiran mengaplikasikan sistem pengangkutan awamnya di mana Singapura sebanyak 56%, Bangkok 30%, Manila 54%, Tokyo 49% dan Seoul 60%.
Lima Teras Utama Misi Nasional yang mana antara strategi utamanya adalah menambah baik kemudahan pengangkutan. Penambahbaikan ini meliputi agenda meningkatkan liputan sistem rel transit bandar di samping memperbanyakkan terminal pengangkutan awam bersepadu meliputi perkhidmatan komuter, bas, teksi, LRT, ERL dan monorel bagi tujuan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian terutama di kawasan Lembah Kelang.

Langkah Yang Telah Diambil

Sistem LRT sedia ada di Lembah Klang telah dipanjangkan sejauh 30 km iaitu masing-masing sepanjang 15 km bagi aliran Kelana Jaya dan aliran Ampang. Seramai 2.6 juta penduduk di sepanjang Koridor Subang Jaya-USJ dan Koridor Kinrara-Puchong telah menikmatinya berbanding 1.9 juta orang sebelum ini. 
Pembelian 35 set tren aliran Kelana Jaya baru telah meningkatkan kapasiti penumpang lebih dua kali ganda. Daripada 160,000 penumpang sehari pada masa lalu kini meningkat kepada 350,000 penumpang sehari. Aliran Ampang pula mempunyai kapasiti 280,000 penumpang sehari berbanding 150,000 penumpang pada masa dulu. 
Laluan baru dari Kota Damansara ke Cheras iaitu meliputi laluan sepanjang 42 km akan ditambah. Laluan yang dijangka siap pada 2014, dengan kapasiti melebihi 300,000 penumpang sehari, akan memberi perkhidmatan rel bagi kawasan kediaman, perdagangan dan kewangan Koridor Kota Damansara-Cheras yang mempunyai bilangan penduduk lebih sejuta orang. 
Perkhidmatan Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad turut dipertingkatkan. Langkah itu termasuk membaik pulih 20 set Electric Multiple Unit (EMU) sedia ada. Sejumlah 13 EMU baru telah ditambah. Bagi memperluaskan jaringan perkhidmatan rel komuter, laluan Sentul-Batu Caves sepanjang 7.5 km telah dibina. 
Di samping itu, dua projek utama sedang dilaksanakan bagi meningkatkan perkhidmatan KTM, iaitu projek landasan berkembar elektrik Seremban-Gemas, yang dijangka siap pada 2012 dan Ipoh-Padang Besar pada 2013. 
Terminal pengangkutan bersepadu bagi kemudahan teksi dan bas antara bandar juga telah dibina di Bandar Tasik Selatan. Terminal moden lima tingkat ini mempunyai kapasiti menampung lebih 130 teksi dan 100 bas, kemudahan letak kereta dan ruang komersial, selain berhubung dengan rel aliran Ampang, ERL dan KTM Komuter serta teksi dan bas bandar di Lembah Klang. 
Sebagai langkah membantu mengurangkan kos operasi operator pengangkutan awam, kerajaan telah meningkatkan kuota subsidi diesel selain kemudahan pinjaman mudah melalui dana pengangkutan awam. Sebanyak RM3 bilion diperuntukkan di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk membiayai perolehan aset bas dan rel.
Bayaran tol juga telah dikurangkan sebanyak 50% bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam, untuk tempoh dua tahun bermula 15 September 2008. Pengecualian cukai jualan ke atas pembelian bas baru yang dipasang dalam negara dan perbelanjaannya diberi elaun modal turut dipercepatkan. Cukai jalan juga dikurangkan kepada RM20 setahun bagi semua bas dan teksi, termasuk kereta sewa pandu dan limousin. 
Bagi memastikan perhatian khusus diberikan kepada usaha memajukan sistem pengangkutan awam bandar secara menyeluruh, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat telah ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, untuk merancang, mengintegrasi, mengawal selia dan memajukan sistem perkhidmatan pengangkutan awam.

Kesimpulan

Sistem pengangkutan yang baik dan komprehensif bertindak sebagai penjana bagi menarik pelabur asing serta pelancong. Kecekapan dan keberkesanannya, adalah penentu pembangunan suatu bangsa dan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA