Isnin, 30 Julai 2012

Pengurusan Dan Pelupusan Sisa Elektronik




ELEKTRONIK adalah ilmu mengenai peralatan elektrik arus lemah yang diopera-sikan dengan cara mengawal aliran elektron atau partikel bermuatan elektrik dalam suatu alat seperti komputer, peralatan elektronik, termokopel, semikondukter dan sebagainya. Ilmu tentang alat-alat seperti ini merupakan cabang ilmu fizik, sementara bentuk rekabentuk dan pembuatan sirkuit elektroniknya adalah sebahagian dari teknik elektro, teknik komputer, teknik elektronik dan instrumen.
Alat-alat yang menggunakan asas kerja elektronik ini disebut sebagai peralatan elektronik atau electronic devices. Contoh peralatan atau peranti elektronik ialah tabung sinar katod (cathode ray tube, CRT), radio, televisyen, perakam kaset, perakam kaset video (VCR), perakam VCD, perakam DVD, kamera video, kamera digital, komputer peribadi atau komputer meja (desk-top), komputer laptop, PDA (komputer poket atau komputer saku), robot, smart card, peti sejuk, telefon bimbit dan lain-lain lagi. Kajian menunjukkan bahawa di semua rumah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah peralatan yang bergelar elektronik.
Dewasa ini industri elektronik telah menerajui sektor industri Malaysia dengan menyumbang sebahagian besar kepada keluaran, eksport dan gunatenaga perkilangan negara. Justeru ada rumah yang mempunyai lebih dari satu alat elektronik.
Statistik menunjukkan bahawa, peralatan elektronik yang digunakan oleh penduduk Malaysia agak tinggi, iaitu pada tahun 2003 bagi televisyen ialah 4.5 juta, radio 9.4 juta dan peti sejuk 3.5 juta. Sejak tahun 1999 hingga 2003 jumlah komputer yang digunakan telah meningkat sebanyak dua kali ganda iaitu daripada 1.8 juta kepada 4.18 juta. Sementara itu penggunaan telefon bimbit meningkat sebanyak empat kali ganda daripada 2.7 juta pada tahun 1999 kepada 11.12 juta pada tahun 2003.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM), 6.22 juta rumahtangga (households) memiliki televisyen pada tahun 2009. Sebanyak 96% rumahtangga di Semenanjung Malaysia mempunyai televisyen manakala peratusan di Sabah dan Sarawak ialah 88%. Di samping itu, 80% lagi rumahtangga memiliki radio. Pada tahun 2009, SKMM telah mendaftarkan 30.4 juta telefon bimbit iaitu 24.1 juta telefon bimbit pra-bayar dan 6.3 juta pasca bayar.
Kesemua barangan elektronik ini bakal menjadi bahan buangan apabila sampai ke penghujung hayatnya. Satu persoalan timbul ialah bagaimanakah alat-alat elektronik ini dilupuskan apabila tidak boleh digunakan lagi? Ada segelintir pengguna yang membuang alat-alat ini ke dalam tong sampah atau ke mana-mana saja tempat sesuka hati mereka.
Sikap pengguna yang kurang mengambil berat tentang pembuangan sisa elektronik begini boleh mendatangkan masalah pencemaran alam dan ini akan menjejaskan kesihatan makhluk sejagat. Menurut statistik, pada tahun 2004 sebanyak 380,000 hingga 430,000 tan buangan elektronik dikeluarkan oleh negara ini. Bilangan ini bertambah dari tahun ke setahun. Persoalan lain pula timbul, apakah kita telah bersedia untuk menguruskan lambakan pertambahan buangan elektronik ini pada masa hadapan?
Setiap tahun dianggarkan sebanyak 50 juta tan bahan elektronik dibuang sebagai sisa pepejal di seluruh dunia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah melaporkan bahawa 5% daripada jumlah sisa perbandaran terdiri daripada buangan elektronik. Lambakan buangan elektronik ini sebenarnya boleh membawa implikasi yang sangat besar terhadap manusia dan alam sekitar. Ia merupakan suatu cabaran kepada pengurusan sisa pepejal sama ada di peringkat lokal mahupun global.
Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan China adalah antara pengeluar bahan buangan elektronik yang tertinggi di dunia. Pada tahun 2007, di Amerika Syarikat sahaja terdapat lebih kurang 700 juta komputer usang yang sedia untuk dilupuskan sebagai bahan sisa pepejal. Sementara itu China mengeluarkan satu juta tan buangan elektronik setahun dan Kesatuan Eropah menjana lebih kurang 8.7 juta tan buangan elektronik setahun.

Isu Nasional

Hakikat yang harus kita terima ialah pengurusan buangan sisa pepejal di Malaysia pada ketika ini amat mencabar dan sering kali menjadi isu nasional. Kebanyakan tapak pelupusan sampah di Malaysia kini mempunyai hayat tampungan yang semakin berkurangan. Ini disebabkan oleh jumlah penjanaan bahan sisa pepejal dan pertambahan penduduk yang semakin meningkat. Di Kedah misalnya, sehingga tahun 2006, terdapat lebih kurang 11 buah tapak pelupusan sisa pepejal dan 50% daripadanya mempunyai jangka hayat tidak lebih daripada empat tahun.
Antara isu yang sering kali timbul mengenai pengurusan tapak pelupusan sisa pepejal adalah aspek penempatan dan rekabentuknya yang tidak menepati spesifikasi kejuruteraan dan tidak menerapkan konsep mesra alam. Perkara ini telah mengundang pelbagai kesan buruk terhadap persekitaran seperti bau busuk dan pelepasan air larut resap dari tapak pelupusan sehingga menjejaskan kualiti air sungai di kawasan berhampiran.
Dalam konteks buangan elektronik pula, ia memerlukan suatu sistem pengurusan yang agak kompleks dan berbeza dengan pengurusan sisa pepejal harian. Sebab utama mengapa buangan elektronik ini perlu diurus secara sistematik ialah kerana buangan elektronik mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh memudaratkan kesihatan manusia dan alam sekitar. Menurut kajian, terdapat lebih kurang seribu jenis bahan kimia dalam buangan elektronik. Ini termasuklah beberapa jenis logam berat yang boleh membawa kesan toksik kepada manusia seperti plumbum, raksa dan kadmium. Buangan elektronik juga mengandungi polychlorinated biphenyls (PCBs) yang boleh membawa kesan karsinogenik kepada manusia.
Sesungguhnya bahan berbahaya daripada pembuangan komputer berlaku melalui penyerapan logam berat ke dalam air bawah tanah dan pengeluaran asap yang beracun ke udara. Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sejumlah 50 juta tan bahan komponen komputer dibuang setiap tahun. Ia merupakan satu jumlah yang menakutkan apatah lagi pencemaran mampu menyebabkan pelbagai penyakit seperti kanser jika tidak ditangani dengan bijak oleh manusia.
Kajian juga menunjukkan sejumlah 500 juta PC bakal bertaburan menjadi bahan buangan menjelang 2012 akibat kekurangan ruang untuk melupuskan bahan pepejal itu. Usaha dilakukan bukan tertumpu kepada individu saja, organisasi besar harus mengambil langkah proaktif mengitar semula komputer pada kuantiti banyak.
Justeru, pengurusan buangan elektronik di Malaysia perlu dilaksanakan dengan kesedaran dan kerjasama antara semua pihak termasuk individu, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan. Selain daripada polisi dan perundangan amalan mesra alam perlu diterapkan di semua peringkat untuk memastikan risiko buangan elektronik ini dapat dikawal pada tahap minimum.

Sumber Bahan Mentah Dan Guna Semula

Memang menjadi sifat manusia, sentiasa inginkan barangan baru untuk dilengkapkan dalam kehidupan mereka tidak ketinggalan produk berasaskan komputer apalagi ia berubah mengikut perkembangan semasa dan gaya dunia. Apabila bercakap mengenai komputer, tidak ramai individu yang menghiraukan komponennya termasuk monitor dan unit pemprosesan pusat (CPU) apabila ia menjangkau usia tertentu menyebabkannya terus dibuang jika diganti dengan produk baru.
Sebaik memiliki model baru, selalunya pengguna hanya mencampakkan komputer lama ke dalam tong sampah hadapan rumah atau mengumpulkannya dalam ruang simpanan barang tanpa memikirkan berpuluh-puluh komponen yang boleh dikitar semula.
Kebanyakan pengguna di Malaysia menukar komputer tiga hingga lima tahun sekali. Jika terdapat satu komputer dalam satu keluarga seramai lima orang, jumlahnya ialah 5.4 juta. Bayangkan jumlah itu dilonggokkan begitu saja di tempat pembuangan sampah? Ia pasti merugikan apatah lagi masih terdapat komponen yang boleh dikeluarkan untuk digunakan sebaik mungkin. Tambahan pula, pencemaran alam sekitar pasti berlaku kerana terdapat bahan toksik terkandung dalam komputer boleh meresap ke tanah sehingga mengganggu punca air yang diminum setiap hari jika tidak dikawal. Tiub aliran katod dalam monitor memiliki toksid mengandungi plumbum, raksa dan kadmium (logam seperti timah yang lembut dan berwarna perak).
Di California, tiub ini diisytiharkan sebagai bahan berbahaya yang menjadikan pembuangannya menjadi lebih sukar kerana ia kini tidak lagi dibenarkan ditanam. Sikap malas menjadi punca utama mengapa komputer tidak dikitar semula apatah lagi ganjaran yang terhasil apabila menukarkan komputer lama tidak menguntungkan. Mentaliti seperti ini harus dikikis memandangkan sikap sebegini menyumbang sebahagian pembaziran bahan mentah yang menimbun setiap hari di pusat pelupusan sampah.
Jika diperhati dengan teliti, bahan terkandung pasti menghasilkan banyak barangan terpakai atau baru yang mempunyai nilai sekurang-kurangnya mengurangkan pencemaran alam berleluasa kini. Contoh komponen yang boleh dikitar semula ialah plumbum pada tiub sinar katod dan pateri, arsenik pada tiub sinar katod lama, selenium pada papan litar sebagai pembekal tenaga, perencat nyala polibrominan pada selongsong plastik, kabel dan papan litar, stibium trioksida, kadmium pada papan litar dan semikonduktor, kromium pada keluli sebagai pencegah hakisan, kobalt pada keluli bagi struktur dan kemagnetan dan raksa pada suis serta pembalut. Bahan seperti ini akan terbuang begitu saja malah mencemarkan alam sekitar dengan prosesnya menghasilkan sisa toksik berbahaya kepada nyawa manusia.
Buangan elektronik kini boleh dijadikan sumber bahan mentah untuk industri kitar semula bagi mendapatkan bahan-bahan kimia yang bernilai untuk kegunaan lain. Selain itu, buangan elektronik seperti komputer boleh digunakan semula dengan kaedah membaik pulih komputer lama.

Amalan Positif

Konsep 3R (reuse, reduce, recycle) perlu diterapkan dalam usaha untuk mengelakkan bahan buangan elektronik terus dilupus dan mencemarkan alam. Bagaimanapun kaedah pelupusan buangan elektronik perlu mematuhi prosedur perundangan yang ketat. Di Malaysia, buangan elektronik perlu mematuhi perundangan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang ditadbir oleh Jabatan Alam Sekitar. Buangan elektronik dikategorikan sebagai Buangan Terjadual di bawah kod SW 110. Pelupusan buangan elektronik perlu mengikuti peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
Dalam konteks antarabangsa, buangan elektronik telah disenaraikan di bawah kod A1180 dan kod A2010 di bawah Perjanjian Basel. Perjanjian Basel ini bermatlamat untuk mengerakan masyarakat antarabangsa mengenai usaha menjaga kesihatan manusia dan alam sekitar daripada kesan bahan buangan berbahaya, serta berusaha untuk mengurangkan penghasilan dan mengawal pergerakan buangan berbahaya rentas benua. Malaysia merupakan satu daripada 116 negara yang telah menandatangani perjanjian Basel pada tahun 1989.
Kajian yang dibuat oleh Basel Action Network (BAN), daripada sejumlah 500 juta komputer didapati mengandungi 2.8 bilion kg plastik, 716.1 juta kg plumbum dan 286,700 kg raksa. Secara puratanya setiap sebuah monitor komputer mempunyai 6% plumbum yang kebanyakannya terdapat dalam kaca tiub sinar katod (CRT).
Kita perlu sedar bahawa barangan elektronik terbuang menyumbang kepada bahaya pencemaran secara tersembunyi. Ia sama bahayanya dengan pencemaran bau dan asap dari sumber industri mau pun kesan pembakaran terbuka. Barangan elektronik yang dilupus secara terbuka mengumpul berbagai jenis logam berat - plumbum, raksa dan cadmium yang kesemuanya mengumpul kesan toksik. Selain itu barangan elektronik terbuang juga mengandungi PCB - polychlorinated biphenyls. PCB boleh membahayakan kesihatan kerana ia membawa kesan karsinogenik kepada manusia.
Barangan permainan kanak-kanak juga menyumbang kepada buangan plastik dan elektronik. Lantaran itu perlulah semua pihak mengambil langkah supaya program kitar semula diperhebatkan.
Sesungguhnya langkah-langkah ini perlu segera dilaksanakan bagi mengelakkan negara kita terus menjadi lambakan buangan elektronik sehingga boleh menjejaskan alam sekitar dan manusia. Namun begitu, sikap pengguna kurang mengambil cakna tentang pembuangan sisa elektronik amat membimbangkan. Lazimnya sisa buangan ini tidak dikitar semula atau dihantar ke mana-mana tempat pelupusan e-waste yang berhampiran. Selain pengguna, pihak industri dan kerajaan harus mengalakkan satu standard untuk menyelaraskan penggunaan elektrik dan elektronik.
Maksudnya, komponen-komponen, aksesori, dan bahan gantian bagi pelbagai barangan elektronik boleh diseragamkan supaya ianya boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan. Sebagai contoh, satu alat kawalan jauh yang digunakan oleh pengguna di rumah untuk menonton televisyen boleh digunakan juga untuk memainkan alat-alat elektronik yang lain seperti pemain cakera, radio dan sebagainya.
Ini akan mengurangkan seseorang pengguna membeli pelbagai alat kawalan jauh untuk setiap alat elektronik yang digunakan. Satu pengecas boleh digunakan untuk mengecas telefon bimbit dan juga komputer riba. Ini akan membantu pengguna berbelanja lebih, mengurangkan kesusahan membawa alat-alat ini ke mana sahaja dan mengurangkan sisa elektronik.
Selain itu antara amalan positif yang juga boleh dilakukan oleh para pengguna ialah mengembalikan setiap barangan elektronik yang lusuh kepada penjual. Juga menukar barangan elektronik yang lama apabila membeli yang baru, termasuk, menghantar ke pusat-pusat kitar semula. Selain itu penggunaan komputer di sektor awam umpamanya perlu di servis secara berkala bagi memanjangkan hayat penggunaan barangan elektronik tersebut.
Kini sebanyak 242 buah pusat pemerolehan kembali sisa buangan elektronik telah dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menerima dan mengendalikan bahan buangan tersebut. Jumlah itu termasuk 15 buah premis pemerolehan penuh sisa buangan elektronik dan 127 buah premis pemerolehan separa. Kemudahan pemerolehan semula sisa buangan elektronik ini boleh menerima buangan dari semua sektor sama ada sektor swasta ataupun sektor awam. Di samping itu, sisa buangan elektronik tersebut boleh dilupuskan di dua buah tapak pelupusan buangan terjadual yang dilesenkan JAS di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
Banyak syarikat swasta yang mempunyai tanggungjawab sosial telah mengadakan program kitar semula. Contohnya, enam tahun lalu, Hewlett Packard (HP) telah melaksanakan program kitar semula membabitkan produk PC dan elektronik lain yang mengandungi bahan kimia toksid di kilangnya, Roseville. Program kitar semula Hewlett Packard ini merupakan salah satu daripada usaha untuk mengatasi berjuta produk elektronik yang tersimpan di gudang atau stor disebabkan tidak dapat dibuang begitu saja tanpa mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Hewlett Packard akan mengenal pasti PC yang masih boleh dipakai dan kemudian dibaiki untuk dijual semula manakala PC yang tidak boleh dibaiki akan diambil alat gantinya sebelum ia dimusnahkan sepenuhnya. Besi pada PC akan dihancurkan dan plastik dikecil-kecilkan termasuk debunya sekali akan dileburkan untuk menjadi tenaga. Setiap komponen PC akan dihantar ke bahagian yang boleh diguna semula bagi memastikan tiada yang akan ditanam.
Sementara itu, banyak lagi syarikat swasta yang lain turut sama mewujudkan peluang kepada orang ramai untuk mengitar semula PC atau laptop mereka bagi diguna pakai golongan yang inginkan harga murah. Antara syarikat yang bertanggungjawab mengitar semula PC dan komputer terpakai termasuklah Apex Computer Services Sdn Bhd yang beroperasi sejak tahun 2004. Apex Computer Services Sdn Bhd mempunyai tanggungjawab sosial yang wajar dijadikan contoh oleh syarikat-syarikat swasta yang lain dalam usaha agar kempen kitar semula berjaya selain menyelamatkan alam sekitar daripada tercemar.
Pengguna perlu sedar bahawa produk komputer tidak seharusnya dibuang begitu saja, ia mampu diguna pakai untuk kegunaan orang yang memerlukan seperti golongan yang berpendapatan rendah. Golongan seperti pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan ibu bapa yang kurang mampu membelikan PC untuk anak mereka boleh memanfaatkan hasil daripada barangan yang dianggap tidak berguna itu. Ia tidak perlu dibuang. Apa salahnya jual saja untuk dikitar semula bagi manfaat lain, malah kita mampu mendapat hasil daripada komputer terpakai.
Komputer terpakai akan dibaik pulih dan jika ada komponen yang tidak boleh digunakan lagi akan dikitar semula untuk menjadi bahan berguna lain. Monitor yang tidak mahu digunakan lagi pula boleh dijadikan diskaun untuk mendapatkan model baru di kedai beberapa buah syarikat komputer yang terpilih. Syarikat-syarikat ini juga selalunya menawarkan servis pelupusan, penjualan komputer serta laptop terpakai pada harga rendah dan membeli PC lama dengan harga yang berpatutan.
Selain dari komputer, peralatan elektronik lain seperti radio, televisyen, perakam kaset, perakam kaset video (VCR), perakam VCD, perakam DVD, kamera video, kamera digital, robot, smart card, peti sejuk, telefon bimbit dan sebagainya juga boleh dihantar ke pusat kitar semula jika tidak boleh digunakan lagi.
Sementara itu, amalan lain yang boleh dilakukan oleh pengguna ialah membeli barangan elektronik yang lama tetapi masih boleh digunakan. Banyak barangan elektronik terpakai yang masih boleh digunakan lagi dan boleh dibeli dengan harga yang lebih murah berbanding barangan elektronik yang baru seperti komputer, televisyen, radio dan sebagainya. Pihak berwajib pula perlulah memperbanyakan tong kitar semula bahan buangan elektronik untuk telefon bimbit, dan seterusnya memperbanyakan program kesedaran di kalangan masyarakat mengenai isu lambakan buangan elektronik dan kesannya terhadap alam sekitar.
Sesungguhnya, kelebihan kitar semula barangan elektronik lama mampu mendatangkan hasil walaupun tidak lumayan, sekurang-kurangnya ia dapat membantu golongan lain yang lebih memerlukan. Satu pertanyaan harus disematkan ke dalam hati setiap pengguna iaitu adakah kita mahu planet dan bumi Malaysia ini tercemar hanya kerana sikap tidak mengambil berat dan tidak kisah soal pembuangan sisa elektronik yang menyebabkan kehancuran diri kita sendiri?
Kesimpulannya, pengurusan dan pelupusan sisa elektronik harus dilakukan secara berhemah agar semua makhluk yang mendiami bumi ini mendapat manfaat darinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA