Isnin, 30 Julai 2012

Sejauh Manakah Persaingan Memberikan Manfaat Kepada Pengguna?



PERSAINGAN adalah proses dalam ekonomi antara pemain pasaran untuk menarik pelanggan. Pemain pasaran ini adalah seperti syarikat multinasional, firma tempatan, pemborong dan peruncit yang menjual barang dan perkhidmatan. Situasi persaingan juga boleh dipengaruhi oleh daya saing pasaran, yang bukan sahaja wujud antara pemain yang sedia ada, malah juga datang daripada pemain baru yang berminat untuk bersaing dalam pasaran.
Hakikatnya, seseorang peniaga tidak boleh hanya mementingkan kepentingan dirinya sahaja. Seseorang peniaga harus prihatin kepada kepentingan orang lain misalnya pekerja, pembekal, pembeli dan sebagainya. Hubungan yang tidak baik akan membawa masalah kepadanya. Setiap pihak yang terbabit memainkan peranan dalam memelihara kestabilan dan kemajuan perniagaan. Justeru etika adalah penting dalam aspek perniagaan.
Seseorang peniaga juga mestilah mempunyai tanggungjawab terhadap semua pihak bagi sebarang urusan yang hendak dijalankan. Kejujuran dan ketulusan hati adalah satu daripada nilai asas manusia. Jadi, peniaga tidak patut dan tidak harus menyembunyikan sebarang perkara yang melibatkan hak kepentingan bagi pihak yang berurusan dengannya.
Sebagai seorang peniaga beliau bertanggungjawab untuk memberitahu dengan jelas kuantiti, kualiti dan harga sesuatu barangan atau perkhidmatan yang dijual kepada pengguna atau pembeli-pembelinya. Peniaga tidak boleh menipu kerana perbuatan yang buruk itu akan menyusahkannya kerana ia akan disisih oleh semua orang dan memberi kesan kepada imejnya dan kemungkinan akan menjejaskan perniagaannya.
Selain itu seseorang peniaga juga perlu mengamalkan sikap adil dan saksama semasa menjalan sebarang urusan. Beliau tidak boleh mengamalkan sikap berat sebelah dalam semua tindakan yang diambil olehnya. Misalnya, harga kepada semua pembeli mesti sama tidak kira saudara atau kawan. Seseorang peniaga yang mengamalkan penetapan harga yang berbeza kepada pembeli yang berlaian adalah suatu tindakan yang telah menyalahi etika perniagaan.
Cuba bayangkan, jika tindakan peniaga tersebut diketahui oleh salah satu pembeli, apakah tindakan yang akan lakukan oleh pembeli tersebut? Pembeli tersebut mungkin akan memberitahu perkara tersebut kepada orang-orang di sekelilingnya. Tindakan ini akan menyebabkan imej peniaga tersebut terjejas dan jika keadaan ini berterusan, maka ia akan mengakibatkan perniagaannya mengalami kerugian. Kuantiti dan kualiti barangan atau perkhidmatan untuk pembeli juga mestilah betul dan baik.

Perbezaan Bentuk Persaingan Di Pasaran

Pasaran ialah mekanisme pertukaran yang menemukan penjual dan pengguna pada sebarang perkhidmatan atau komoditi. Ia adalah transaksi yang mudah, iaitu pengguna bersetuju untuk membayar harga barang yang telah dibeli daripada penjual.
Perbezaan bentuk persaingan di pasaran boleh dikelaskan bergantung kepada ciri-ciri struktur pasaran seperti bilangan penjual dan pengguna, jenis barang yang dihasilkan, halangan kemasukan contohnya firma baru tidak dapat memasuki pasaran dan sebagainya. Terdapat beberapa bentuk persaingan dalam pasaran dan yang berkaitan dengannya iaitu:

1. Persaingan Sempurna

Persaingan Sempurna berlaku apabila wujud jumlah penjual yang sangat ramai, menghasilkan produk yang serupa dan menyebabkan harga bagi produk tersebut adalah sama. Keunikan harga terhasil daripada bentuk persaingan ini. Firma adalah penerima harga, bukan penentu harga dan boleh menjual produk dengan sebarang kuantiti yang mereka kehendaki pada harga pasaran yang telah sedia ada.
Pengusaha individu yang mempunyai pengeluaran yang sangat kecil di pasaran tidak dapat mempengaruhi pasaran. Tahap persaingan (harga atau bukan harga) adalah sangat rendah dan boleh dikatakan persaingan hampir-hampir tiada. Di samping itu, akaun masuk dan keluar menjadi semakin bebas dan mudah dalam pasaran. Firma hanya membuat untung normal bagi jangka panjang (contohnya pulangan normal bagi modal yang telah digunakan dibandingkan dengan yang telah diperolehi bagi menyesuaikan dengan risiko pasaran dan tambahan bonus bagi risiko yang telah diambil pengusaha).
Persaingan sempurna adalah situasi yang ideal tetapi tidak wujud dalam pasaran. Paling hampir dengan persaingan sempurna boleh dilihat dalam pasaran sayuran. Hampir setiap tempat di dunia ini mempunyai pasaran sayuran, malah dengan bilangan pengguna dan penjual yang besar. Pengguna mempunyai banyak maklumat dan tiada penjual persendirian boleh mempengaruhi pasaran ini.

2. Persaingan Monopoli

Persaingan Monopoli berlaku apabila penjual individu, pengguna yang ramai, tiada pengganti keluaran yang terdekat dan sekatan kemasukan yang tinggi. Dalam bentuk pasaran ini, pemonopoli (contohnya penjual tunggal) adalah penentu harga dan keluaran. Pemonopoli boleh menetapkan harga dan boleh membenarkan permintaan untuk menentukan pengeluaran atau boleh menentukan pengeluaran dan membenarkan permintaan untuk menentukan harga. Mereka mungkin pengganti wajar yang memadai tetapi bukan pengganti terdekat.
Sebagai contoh, perkhidmatan pengangkutan (individu dan awam), penerbangan dan sebagainya adalah pengganti wajar yang memadai untuk kereta api, tetapi bukan pengganti terdekat. Kerana ketiadaan pengganti terdekat ini, persaingan tidak wujud dalam sektor perkhidmatan kereta api.

3. Persaingan Monopolistik

Persaingan Monopolistik berlaku apabila bilangan yang besar bagi penjual dan pengguna, kewujudan produk pengganti terdekat dan tiada sekatan kemasukan. Kewujudan bilangan penjual dan pengguna yang besar menunjukkan bentuk persaingan ini menyerupai persaingan sempurna. Kewujudan bilangan penjual dan pengguna yang besar tidak bererti hanya satu harga yang menguasai pasaran. Beberapa harga wujud dalam bentuk pasaran ini. Setiap firma bebas menetapkan harga bagi setiap barang yang dijual kerana terdapat perbezaan. Firma tidak terikat dengan persaingan harga dalam bentuk pasaran ini kerana kesan permintaan produk bagi firma yang menawarkan harga yang murah adalah sedikit sahaja. Mereka terikat dengan persaingan bukan harga, seperti keunikan produk, untuk menarik lebih ramai pelanggan, bukan sebagai balasan terhadap keputusan yang dibuat oleh firma lain.
Di kebanyakan negara di dunia, pasaran barangan pelanggan yang bergerak pantas seperti sabun, ubat gigi dan kelengkapan kebersihan diri yang lain, merupakan contoh persaingan monopolistik yang mempunyai pengeluaran produk yang sama dalam.

4. Persaingan Oligopolistik

Persaingan Oligopolistik berlaku apabila bilangan penjual sangat sedikit, bilangan pengguna lebih ramai, lebih banyak produk berjenama dan sekatan kemasukan yang tinggi. Jumlah penjual adalah sangat sedikit dan sedar mereka perlu saling bergantung antara satu sama lain (dalam bentuk harga, produk atau promosi). Mereka mengambil kira kemungkinan reaksi pesaing sewaktu mereka merancang strategi.
Firma, dalam bentuk pasaran ini, cenderung untuk menghasilkan barangan berjenama dalam kuantiti yang banyak untuk mempelbagaikan pengeluaran produk dan yang bersaing dalam terma bukan harga (seperti kesetiaan terhadap janama) dan menguatkannya dengan bajet pengiklanan yang tinggi.

Bentuk Persaingan Yang Memberi Manfaat Kepada Pengguna

Persaingan boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu persaingan harga dan persaingan bukan harga. Persaingan harga merupakan bentuk persaingan di antara pembekal untuk memenangi hati pelanggan dengan cara menawarkan produk pada harga yang lebih rendah daripada harga pesaing, iaitu menurunkan harga barang dengan mengharapkan untuk meningkatkan pasaran.
Tetapi strategi ini tidak berkesan terhadap pelanggan yang setia kepada mana-mana jenama atau label dan tidak menghiraukan soal harga. Manakala persaingan bukan harga adalah di antara pembekal bagi membolehkan mereka cuba untuk memenangi hati pelanggan bukan dengan cara menurunkan harga barang, tetapi melalui pengiklanan, menawarkan khidmat selepas jualan, menggunakan promosi jualan dan sebagainya.
Manakala persaingan yang sihat bererti semua peniaga perlu menjalankan urusan perniagaan secara jujur dan adil. Dalam dunia perniagaan yang sihat, semua peniaga tidak boleh mengkhianati peniaga yang lain dengan apa cara sekalipun. Misalnya dilarang menjatuhkan pesaingnya dengan memburuk-burukkan pesaingnya, mendapatkan maklumat penting peniaga lain dengan cara yang haram seperti pemberian rasuah kepada kakitangan peniaga tersebut. Sebaliknya, mereka patut berkongsi untuk mencari faedah bersama seperti mengamalkan perkongsian pintar supaya sama-sama mendapat untung dalam perniagaan.
Persaingan yang sihat adalah seperti menghasilkan produk berkualiti, kecekapan kos, penggunaan sumber dengan optimum, aplikasi penggunaan teknologi yang maju, pelaburan dalam kajian dan pembangunan dan sebagainya. Sementara persaingan yang tidak sihat adalah seperti berpakat dengan pesaing lain untuk menetapkan harga, meletakkan harga lebih rendah daripada kos supaya dapat menyingkirkan pesaing daripada pasaran, memburuk-burukkan produk lain dalam iklan dan sebagainya.
Kajian menunjukkan bahawa persaingan yang sihat dapat memberi manfaat kepada pengguna. Apabila ini berlaku, kuasa pembelian pengguna akan meningkat apabila harga barangan turun. Sebagai contoh, orang yang kurang berkemampuan mahu membeli sehelai baju yang berharga RM25.00. Kesan daripada persaingan, harga baju tersebut menurun kepada RM20.00. Maka, pengguna tersebut telah berjimat RM5.00, yang mana boleh digunakan untuk membeli barangan lain.
Hakikatnya, apabila ada persaingan antara para peniaga, secara tidak langsung pengguna akan mendapat banyak manfaat. Pembeli atau pengguna mempunyai banyak pilihan dan citarasa untuk memilih barangan yang mereka mahu. Pilihan pengguna tidak lagi terhad kerana banyak jenis barangan di pasaran. Pengguna juga dapat menikmati barang berkualiti tinggi pada tahap harga yang rendah. Di samping itu pengguna juga terdedah kepada pelbagai pertukaran teknologi dan ilmu pengetahuan dari negara lain.
Dalam persaingan, harga merupakan satu aspek yang sangat penting yang sering dititikberatkan oleh seseorang peniaga. Pelbagai strategi dilakukan bagi memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi keperluan dan kehendak pengguna dan mendapatkan kelebihan bersaing. Antara strategi yang biasa digunakan oleh peruncit ialah strategi harga rugi. Penggunaan strategi ini adalah bertujuan sebagai satu promosi untuk menarik pelanggan datang ke premis perniagaan. Biasanya, barangan yang ditawarkan dengan harga ini ialah barang-barang yang popular di mana ia kerap digunakan oleh pengguna seperti barang keperluan harian. Ini memberi banyak manfaat kepada pengguna kerana pengguna dapat membeli sesuatu barangan dengan harga yang amat murah.
Sebenarnya, harga memiliki dua peranan utama dalam proses pengambilan keputusan para pembeli, iaitu peranan alokasi dan peranan maklumat. Peranan alokasi dari harga adalah fungsi harga dalam membantu para pembeli untuk memutuskan cara memperoleh manfaat atau utiliti tertinggi yang diharapkan berdasarkan kekuatan membelinya.
Dengan demikian adanya harga dapat membantu para pembeli untuk memutuskan cara mengalokasikan kekuatan membelinya pada berbagai jenis barang dan perkhidmatan. Pembeli membandingkan harga dari berbagai alternatif yang tersedia, kemudian memutuskan alokasi dana yang dikehendaki. Peranan maklumat dari harga adalah fungsi harga dalam ‘mendidik’ pengguna mengenai faktor produk, misalnya kualiti. Perkara ini bermanfaat dalam situasi di mana pembeli mengalami kesukaran untuk menilai faktor produk atau manfaatnya secara objektif. Persepsi yang sering berlaku adalah bahawa harga yang mahal mencerminkan kualiti yang tinggi.
Satu lagi strategi yang digunakan dalam persaingan ialah strategi harga rendah. Strategi ini digunakan ke atas barangan yang mempunyai permintaan yang tinggi dan disukai ramai. Ia secara tidak langsung dapat melariskan barang-barang lain yang menjadi barang penggenap kepada barang tersebut. Ini juga memberi banyak manfaat kepada pengguna kerana pengguna dapat membeli sesuatu barangan yang disukainya dengan harga yang rendah dan berpatutan.
Manakala satu lagi strategi persaingan ialah strategi harga umpanan. Strategi ini digunakan ke atas barangan yang kurang popular, tidak laris atau mempunyai harga yang terlalu mahal atas sebab jenama atau kualitinya. Melalui strategi ini, barang penggenap yang ditawarkan pada harga yang tinggi akan ditawarkan pada harga yang rendah untuk dijadikan umpan dengan harapan pembelian barang penggenapnya akan turut berlaku. Selain strategi peletakan harga di atas, terdapat beberapa strategi harga yang lain yang digunakan oleh peruncit seperti potongan harga mengikut kuantiti dan strategi harga ganjil. Ini juga memberi banyak manfaat kepada pengguna kerana pengguna dapat membeli sesuatu barangan yang berjenama dengan harga yang mampu dibelinya.
Dewasa ini kita dapati ramai peniaga terutama syarikat-syarikat besar telah mengubah bentuk perniagaan mereka kepada satu bentuk yang dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna. Contohnya wujud pusat membeli-belah yang menjual pelbagai barangan di satu tempat sahaja. Ini telah memberi keselesaan dan kemudahan setempat kepada pengguna. Penggguna tidak perlu lagi pergi ke banyak tempat untuk membeli pelbagai barangan keperluan. Di pusat membeli-belah ini ada dijual pelbagai barangan keperluan pengguna dari sekecil sebatang jarum hinggalah sebesar katil dua tingkat.
Pusat-pusat membeli-belah ini juga didirikan di kawasan yang berhampiran dengan kawasan perumahan. Akibatnya pengguna tidak perlu membuang kos petrol atau tambang perjalanan yang untuk ke pusat membeli-belah yang jauh dari kediaman mereka. Ini semua dapat menjimatkan pengguna.
Pada zaman moden ini juga komplikasi membeli-belah semakin bertambah. Ia diasaskan kepada kesukaran meletak kereta dalam bandar-bandar. Hakikatnya, pembeli lebih suka membeli semua barang pada satu tempat di mana mereka dapat meletakkan kereta mereka dengan mudah dan selamat. Ini menyebabkan para peniaga sentiasa bersaing untuk menyediakan kawasan letak kereta yang selesa kepada para pengguna demi memajukan lagi perniagaan mereka.
Persaingan yang wujud antara para peniaga akibat perubahan corak membeli-belah pengguna secara langsung telah membawa banyak manfaat kepada pengguna itu sendiri. Justeru peningkatan pesat bilangan pasar raya dan hypermarket juga berlaku. Pengguna pasar raya meningkat 1.5 kali manakala pelanggan hypermarket meningkat lebih dua kali sejak tahun 1995. Pengguna biasanya lebih tertarik untuk membuat pembelian di pusat-pusat membeli-belah yang lebih besar, moden dan menyediakan pelbagai kemudahan dan keselesaan kepada mereka.
Realitinya, kedudukan yang strategik dan kemudahan untuk mendapatkan barangan keperluan di bawah satu bumbung merupakan antara faktor utama kejayaan beberapa buah syarikat peruncitan luar negara yang melabur di negara ini. Pembinaan pasar raya besar yang juga memiliki ciri-ciri moden dan rekabentuk yang menarik membolehkan pengguna cukup selesa untuk membeli-belah di pasar raya berkenaan. Pasar raya yang masih mengekalkan sistem peruncitan dan persekitaran tradisional akan ‘tenggelam’ di zaman globalisasi ini. Inilah antara bentuk persaingan yang banyak memberi manfaat kepada pengguna.
Kerana mahu bersaing juga menyebabkan ramai peniaga senantiasa berusaha untuk menjual produk yang berkualiti dan mempunyai nilai yang lebih dibandingkan dengan produk pesaingnya. Contohnya, jika pesaingnya mengeluarkan motosikal yang berenjin biasa, peniaga ini akan mengeluarkan motosikal yang berenjin turbo. Selain itu mereka juga akan sentiasa bersaing dalam penciptaan dan rekabentuk semata-mata untuk menarik hati pengguna. Akibatnya pengguna dapat membuat pilihan yang banyak dalam berbelanja.
Kualiti mempunyai makna yang sangat penting dalam keputusan pembelian pengguna. Apabila kualiti produk yang dihasilkan baik maka pengguna cenderung melakukan pembelian ulang sedangkan bila kualiti produk tidak sesuai dengan apa yang diharapkan maka pengguna akan mengalihkan pembeliannya kepada produk sejenis lainnya. Sering kali dibenak pengguna sudah terpateri bahawa produk syarikat tertentu jauh lebih berkualiti daripada produk pesaing dan pengguna akan membeli produk yang mereka yakini lebih berkualiti. Meskipun pengguna mempunyai persepsi yang berbeza terhadap kualiti produk, tetapi setidak-tidaknya pengguna akan memilih produk yang dapat memuaskan keperluannya.
Di samping kualiti produk, harga juga amat penting, kerana setiap harga yang ditetapkan oleh sesebuah syarikat perniagaan akan mengakibatkan tingkat permintaan terhadap produk berbeza. Dalam sebahagian besar kes, biasanya permintaan dan harga berbanding terbalik, yakni semakin tinggi harga, semakin rendah permintaan terhadap produk. Begitu juga sebaliknya, semakin rendah harga, semakin tinggi permintaan terhadap produk. Oleh kerana itu, para peniaga sentiasa bersaing dalam aspek ini demi menarik lebih ramai pengguna. Dalam situasi ini yang mendapat manfaat adalah pengguna kerana pengguna dapat membeli sesuatu barangan atau produk impian mereka dengan harga yang mereka mampu.
Untuk bersaing juga sesetengah peniaga, selain memberi potongan harga kepada barangan jualan, mereka juga memberi hadiah sampingan sebagai daya tarik kepada pengguna. Contohnya, hadiah sampingan berupa sebiji topi keledar dengan pembelian sebuah motosikal, hadiah sampingan berupa sebuah tilam dengan pembelian sebuah katil bersaiz keluarga. Ini semua merupakan antara manfaat yang dapat dinikmati oleh pengguna akibat persaingan yang berlaku antara peniaga atau penjual.
Kegiatan promosi juga merupakan suatu perkara penting dalam persaingan. Promosi merupakan satu aktiviti yang dilakukan oleh sesebuah syarikat perniagaan untuk menonjolkan keistimewaan-keistimewaan produk dan memujuk pengguna supaya membeli. Strategi promosi menggabungkan pengiklanan, penjualan perseorangan, promosi penjualan, hebahan maklumat dan publisiti menjadi suatu program berpadu untuk berkomunikasi dengan pengguna yang pada akhirnya akan mempengaruhi keputusan pembelian.
Aktiviti promosi ini memberi manfaat kepada pengguna kerana dengan cara ini pengguna mendapat maklumat yang terperinci tentang sesuatu produk. Dengan cara ini juga pengguna boleh bertanya lebih lanjut tentang sesuatu barangan yang mereka tidak ketahui terutama jika produk tersebut masih baru di pasaran. Ini akan menambah pengetahuan pengguna tentang sesuatu produk.
Kesimpulannya, persaingan yang pelbagai berlaku akibat peniaga memahami perilaku pengguna yang beragam. Persaingan wujud agar dapat mengembangkan produk dan perkhidmatan yang sesuai dengan keperluan pengguna. Banyak faktor yang mempengaruhi pengguna dalam mengambil keputusan akhir iaitu membeli sesuatu produk, kerana pada umumnya manusia sangat rasional dan memanfaatkan secara sistematik maklumat yang tersedia untuk mereka. Hakikatnya, persaingan antara peniaga memang memberi banyak manfaat kepada pengguna kerana pengguna sangat beragam dalam usia, pendapatan dan citarasa. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Senarai Blog

ASMAUL HUSNA