KENYATAAN Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram,
Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi dalam sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan
Bicara Tokoh di Kuala Terengganu baru-baru ini, membuka minda kita untuk
melihat dengan lebih luas akan aspek pembangunan negara ummah dalam konteks
Islam yang lebih luas.
Apatah lagi, dalam kenyataannya itu, Dr. Sulaiman yang juga Profesor
Jurusan Akidah, Mahzab dan Firaq, Universiti Ummul Qira, Mekah itu turut
memberi amaran akan bahaya anasir yang memecah belah perpaduan ummah, serta
ancaman rusuhan jalanan dalam usaha menjatuhkan pemimpin Islam.
Kehadiran Dr. Sulaiman melengkapkan lagi perbincangan yang menyentuh
mengenai Maqasid Al-Syariah yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak ketika berucap pada Majlis Malam Jasamu Dikenang, Allahyarham Ustaz Nik
Mohamed Mohyideen Wan Musa di Kolej Islam Sultan Ahmad Shah, Klang baru-baru
ini.
Kata Perdana Menteri, perjuangan Kerajaan Persekutuan sekarang adalah
berteraskan kepada tuntutan Islam berdasarkan konsep Maqasid Al-Syariah. Maqasid
Al-Syariah yang khusus menyentuh mengenai perbincangan keutamaan dalam
bersyariah ini, memberikan petunjuk yang jelas berhubung kaedah berfikir dan
bertindak umat Islam terutama dalam kes-kes berkaitan dengan kemaslahatan umat;
yakni, yang menyentuh secara langsung dalam soal kebajikan, kebaikan, manfaat
dan faedah umat Islam.
Sehari sebelum itu, program Bicara TV Al Hijrah turut membincangkan isu
Maqasid Al-Syariah dalam konteks Islam dalam pembangunan negara serta
keupayaannya untuk dicontohi oleh masyarakat antarabangsa. Menurut Profesor
Madya Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Penyelidik, Akademi Penyelidikan Syariah
Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), mencerakinkan apa yang dimaksudkan
Maqasid Syariah, dengan bahasa mudahnya adalah mengambil kebaikan dan
meninggalkan kemudaratan.
‘Asas utama Islam adalah keadilan dan ihsan. Allah menyeru kita untuk
berbuat keadilan dan bersikap ihsan. Antara ulama terawal yang membincangkan
Maqasid Syariah, Imam Al-Ghazali dalam kitabnya ‘Al-Mustashfa’,’ katanya.
Imam Ghazali, jelas Dr. Asyraf, membincangkan lima perkara pokok yang perlu
dipelihara dalam maksud syariah itu sendiri; yakni, agama, diri, akal,
keturunan dan harta. Hujah ini diperkuatkan dengan kenyataan Dr Ahmad
Al-Raisunni, yang menyeru kepada perspektif lebih besar, dengan merujuk kepada
prinsip asas Islam yang menekankan kepada manifestasi keadilan dan kebajikan.
Walaupun Maqasid Al-Syariah diangkat dari pemikiran Islam, apakah
kandungannya relevan untuk sebuah negara bangsa pelbagai etnik seperti
Malaysia? Isu ini diperjelaskan pula oleh Datuk Fuad Hassan, Ketua Pengarah,
Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan
Kebudayaan, dengan menyentuh mengenai Perlembagaan Fasal 3 (1).
‘Fasa ini ada menyebut bahawa Islam adalah Agama Rasmi Persekutuan. Semasa
memorandum dihantar untuk perbincangan kemerdekaan dahulu, apakah muslihat
tidak meletakkan Malaysia sebagai negara Islam ketika itu?’
Menurut Fuad, hal ini berlaku kerana pada ketika itu, tuntutan-tuntutan
untuk mencapai kemerdekaan terdiri daripada gabungan antara kumpulan yang bukan
Islam, mewakili kaum Cina, India dan Melayu sendiri. Jadi katanya, bagi
memudahkan tuntutan mencapai kemerdekaan dengan cepat, maka pada masa itu,
dasar yang menyatakan Malaysia negara Islam ditukar kepada Islam sebagai agama
rasmi.
Dalam Maqasid Syariat, diutamakan mendahulukan sesuatu yang baik bagi
memastikan hasilnya membawa kebaikan kepada umat manusia secara keseluruhannya.
Konteks rundingan kemerdekaan itu sendiri bertolak kepada kebijaksanaan
pemimpin pada waktu itu yang melihat kepada mendahulukan yang lebih penting.
‘Dalam konteks pembangunan negara, kayu ukurnya ialah rakyat. Apa yang
penting tentunya konsep keharmonian, kebahagiaan dan kesenangan rakyat yang
dijadikan asas utama kerajaan dalam melaksanakan sesuatu matlamat,’ kata Fuad.
Meluaskan lagi perbincangan bicara malam itu, Dr. Asyraf menyentuh mengenai
pendekatan wasatiyah yang turut
didokong oleh Perdana Menteri. Prinsip wasatiyah,
katanya, mengimbangi pandangan ekstremisme beragama dalam pelbagai isu, dan
amat diperlukan dalam persekitaran negara membangun.
‘Konsep wasatiyah menyeru kita
untuk membangunkan rakyat dan negara dengan meletakkan aspek keharmonian dan keamanan
sebagai keutamaan,’ katanya. Wasatiyah
dalam konteks semasa juga, katanya, memfokuskan pembangunan ummah dalam konteks
ekonomi, bagi menjamin kualiti hidup yang aman dan selesa.
Kesederhanaan dalam berwasatiyah, menjadikan kita melihat jauh ke hadapan
terutama dalam mengukuhkan ekonomi rakyat berbanding fikiran-fikiran dengan
ideologi sosial dan politik yang ekstrem. Mengenai Malaysia sebagai negara
Islam contoh pula, Fuad menjelaskan, negara ini menjadi contoh bukan dalam
aspek tertentu sahaja, tapi boleh dilihat secara keseluruhannya.
‘Ada negara yang maju kerana hasil petroleum tetapi kadar literasinya
rendah, malah ada negara yang maju kerana sistem autokrasinya, tetapi
menenggelami masalah kadar pengangguran yang tinggi serta kekerasan dalam hak
asasi, tetapi Malaysia, jauh mendahului hingga ke tahap pertumbuhan ekonomi,’
jelasnya.
Selain itu, katanya, sikap umat Islam yang amat sederhana serta
bertoleransi tinggi, menjadi resipi utama kemakmuran hari ini. Sumbangan
kaum-kaum lain juga turut diakui. Merujuk kepada semangat wasatiyah kerajaan, Dr. Asyraf turut menambah, kepimpinan hari ini
tidak pernah menghalang pembangunan dan penyuburan fahaman Islam di kalangan
masyarakat, melalui sokongan dana kepada pelbagai pertubuhan Islam.
‘Kerajaan mewujudkan J-QAF dan KAFA, tujuannya serampang dua mata, bagi
memastikan pelajar sekolah rendah memahami asas seperti jawi, Al-Quran dan
Fardhu Ain,’ hurainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan