Isnin, 30 Julai 2012

Seloka - Kraf Citra Negara

Kompleks Kraf nama diberi,
Tempat hasil tangan dipamer di sini,
Budaya bangsa yang indah tiada terperi,
Unik tidak ternilai hebat sekali,
Sejak lama membentuk jatidiri,
Pengukir citra negara bertatah pekerti.

Warisan kraf adalah jatidiri bangsa,
Imejan arca minda bersalut wibawa,
Menjulang kreativiti bangsa di puncak persada,
Haruman mewangi penghias kata-kata,
Madah indah wacana pendeta,
Pusaka berharga leluhur warga,
Tonggak maruah impian nusa.

Warisan kraf adalah santun pemangkin budaya,
Penjana anggun pemanis bicara,
Penghias rumpun pengikat jalur sastera,
Penegak pohon tunjang tamadun manusia.
Seni hiasan wajah busana,
Semarak api pembakar semangat waja,
Penyeri mandala subur warisan pusaka.

Memang kreatif seniman negara kita,
Pelbagai kraf dicipta dengan perahan minda,
Siang malam mencanai idea,
Tergarap indah dipamer menjadi wadah budaya,
Milik bangsa berwibawa dan beretika,
Pusaka jatidiri warga penjulang maruah nusa,
Tersohor melangit ke seantero dunia.

Di Kompleks Kraf semuanya ada,
Cantik berseni indah di pandangan mata,
Parang golok keris senjata semua bangsa,
Batik songket khat pua kumbu dipamer sama,
Ukiran kayu ukiran batu buluh nibung tinggi nilainya,
Dicanai diadun direka penuh estetika,
Boleh dibeli boleh ditempah tak kira masa,
Itulah majmuknya budaya 1Malaysia.

Kalau berhajat barangan kraf bermutu tinggi,
Datanglah ke Kompleks Kraf jangan bertangguh lagi,
Kalau terlambat anda juga yang rugi,
Barang yang diimpi orang lain dah beli,
Anda hanya melopong menggigit jari.

Sireh junjung digubah tangan,
Buat hantaran majlis pertunangan,
Cantik berseri budaya tempatan,
Nilai estetika tiada tandingan.

Hiasan pelamin tempat bersanding,
Buat pengantin jeling menjeling,
Tetamu yang hadir turut mengerling,
Duda dan janda mata terjuling.

Bunga telur budaya lama,
Aneka corak pelbagai warna,
Bunga manggar sebagai tanda,
Majlis perkahwinan dirai bersama.

Gubahan pelamin indah berseni,
Tersergam cantik di anjung seri,
Tetamu datang hadiah diberi,
Pengantin baru gembira dirai.

Kraf dan perkahwinan berpisah tiada,
Hasil kreativiti perahan minda,
Digubah bangsa sekian lama,
Perlu disayangi generasi muda.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA