Di negara kita, banyak gerai
didirikan di tepi jalan yang menjual aneka jenis makanan. Peniaga-peniaga
menyedari bahawa industri makanan mempunyai prospek yang cerah berbanding bidang
perniagaan yang lain. Ramai pelanggan akan datang ke gerai-gerai ini kerana
harganya lebih murah jika dibandingkan dengan restoran. Namun begitu, aspek
keselamatan makanan di gerai tepi jalan perlu diberi perhatian oleh pengguna.
Menurut satu
kajian, gerai tepi jalan telah dikenalpasti mempunyai potensi penyebab penyakit
yang berkaitan dengan makanan. Hakikatnya, abuk dan debu yang berterbangan yang
dihasilkan oleh kenderaan yang lalu-lalang, tidak dapat dihalang kewujudannya. Begitu
juga soal penjagaan kebersihan dan kemudahan sanitasi persekitaran yang kurang
memuaskan.
Persoalan
sanitasi amat penting bagi sesebuah kawasan perniagaan makanan. Ia ditakrifkan
sebagai satu rekabentuk dan penyelenggaraan kebersihan dan persekitaran
yang sihat. Kawasan pengendalian makanan dan pengendali makanan yang sihat
boleh mengelakkan pencemaran makanan dari mikroorganisma yang boleh menyebabkan
penyakit-penyakit yang berkaitan dengan makanan.
Manusia
merupakan perantara kepada kejadian keracunan makanan. Keracunan makanan ialah
penyakit yang berlaku selepas memakan makanan yang tercemar dengan kuman, bahan
kimia dan fizikal. Kebanyakan kejadian keracunan makanan adalah berpunca
daripada kehadiran kuman di dalam makanan yang dimakan. Tangan yang kotor,
nafas dan perpeluhan manusia boleh mencemari makanan selain daripada binatang
atau serangga. Tindakan manusia yang tidak terkawal seperti bersin dan batuk
juga boleh memindahkan bakteria kepada makanan yang boleh menyebabkan penyakit.
Sebab itulah pihak
berwajib khususnya Jabatan Kesihatan sering mengarahkan supaya pengusaha premis
makanan mengambil berat soal kebersihan semasa proses penyediaan makanan,
penyimpanan makanan dan persekitaran premis menjual makanan. Pengusaha premis
makanan perlu menjalankan tanggungjawab sosial terhadap pengguna untuk
memastikan produk makanan sentiasa bersih dan selamat.
Terdapat tiga
sebab utama kenapa makanan atau minuman itu tercemar. Pertama, pengendali
makanan tidak mengamalkan kebersihan termasuk kebersihan diri, kebersihan
peralatan untuk mengambil makanan dan juga kebersihan makanan itu sendiri. Yang
kedua makanan yang tidak dimasak dengan sempurna khususnya makanan laut,
makanan-makanan yang berasaskan haiwan seperti telur, daging, ayam, susu dan
hasil tenusu. Yang ketiga, penyimpanan makanan, bakteria boleh membiak dengan
cepat dalam suhu bilik. Makanan yang telah dimasak mesti disimpan dalam peti
sejuk untuk mengelakkan pertambahan bakteria dengan cepat. Manakala makanan
yang panas mesti disimpan pada suhu yang tetap dan tidak boleh kurang daripada
60 darjah Celsius. Makanan sejuk yang boleh dimakan terus, mestilah disimpan
pada suhu di bawah 4 darjah Celsius.
Di samping itu
keracunan makanan juga boleh berpunca daripada penggunaan bahan awet yang tidak
dibenarkan atau penggunaannya yang melebihi had yang dibenarkan. Bahan pengawet
yang tidak mendapat pengesahan, penggunaannya boleh membahayakan kesihatan
pengguna dalam jangkamasa pendek seperti menunjukkan simptom cirit-birit dan
muntah. Manakala kesan jangkamasa panjang pula boleh menjadi faktor penyumbang
kepada kejadian kecacatan atau barah.
Satu lagi isu
yang perlu diberi perhatian oleh pengguna ialah masa dan suhu memanaskan
makanan. Jika kita ikut standard keselamatan antarabangsa, makanan perlu
dilupuskan selepas empat jam disediakan. Sekiranya kita memasak makanan, kita
mesti menghidangkannya serta merta. Jika ada lebihan, makanan itu mesti
disimpan dalam bekas yang tertutup di dalam peti sejuk. Sekiranya kita mahu
makan lebihan itu pada keesokan harinya, kita perlu memanaskan makanan itu pada
suhu yang betul. Pengguna juga harus mengambil berat soal penggunaan bahan
pengawet yang berlebihan di samping bahan perasa, minyak dan sos yang murah
oleh sesetengah penjaja makanan. Semua bahan itu adalah ‘sahabat baik untuk
pencetus kanser’.
Di sesetengah
gerai menjual nasi campur, makanan dibiarkan terdedah dan adakalanya
berjam-jam. Jika dibiarkan makanan dalam suhu bilik, bakteria di dalam makanan
itu akan membiak dengan cepat, justeru pengguna perlu berhati-hati apabila
makan salad mentah atau ulam di gerai-gerai berkenaan.
Kadang-kadang
kita dapati para pekerja di gerai tepi jalan memakai pakaian yang kotor dan
berkuku panjang. Pekerja-pekerja itu juga tidak menutup kepala dengan topi yang
sesuai dan menggunakan kain yang sama untuk mengelap meja dan pinggan.
Di sesetengah
gerai makanan tepi jalan juga kita dapati kebersihan dan keselamatan peniaganya
tidak diperiksa oleh pihak berwajib. Kebanyakan pekerja yang mengendalikannya juga
tidak dilatih untuk mematuhi piawaian keselamatan. Justeru kurang
penguatkuasaan ini menyebabkan mereka tidak mengendahkan soal kebersihan.
Kesimpulannya,
para pengguna harus berhati-hati apabila memilih untuk menjamu selera atau
membeli makanan di gerai-gerai tepi jalan. Carilah makanan yang panas seperti nasi
goreng atau mi goreng yang disediakan hanya selepas diminta. Elakkan hidangan
yang mempunyai ramuan mentah. Buah dan sayur mentah sering menyebabkan
keracunan makanan dan infeksi bawaan air, seperti hepatitis dan
tifoid. Elakkan apa saja yang ada sos atau bahan perasa yang dibiarkan di luar
peti ais sepanjang hari. Begitu juga dengan snek yang telah dimasak terlebih dahulu
seperti pisang goreng yang selalunya diletakkan di tempat yang terdedah. Memang
susah untuk menentukan sudah berapa lama makanan itu ditinggalkan di situ. Mahu
tidak mahu, ia sudah pun terdedah kepada hinggapan lalat, asap diesel, petrol, jerebu atau
asap rokok.
Di samping itu
pengguna juga harus berhati-hatilah dengan minuman ais, contohnya sirap bandung,
air tebu atau kacang soya. Bukan saja ais yang digunakan untuk menyejukkan
minuman itu, tetapi mesin mengisar tebu itu juga mungkin merupakan
sumber infeksi. Pengguna juga harus ambil berat tentang sesuatu gerai yang
menjual bahan makanan terutama tentang kebersihan diri dan kesihatan pengendali
makanan, kebersihan peralatan dan perkakasan makanan serta kemudahan mencuci, penyimpanan
bahan makanan mentah, keselamatan bekalan air, sambungan bekalan air paip, sistem
perlimbahan yang berfungsi dengan baik, pemasangan perangkap minyak yang
sempurna, kemudahan tandas dan mencuci tangan yang bersih dan berfungsi dengan
baik, pengurusan pembuangan sampah dan sisa dapur, bangunan (lantai, dinding
dan siling), pencahayaan dan pengudaraan, kawalan serangga, rodensia (tikus),
haiwan peliharaan dan lain-lain lagi.
Jadilah
pengguna yang prihatin dan cerewet. Banyak kesalahan yang sering dilakukan oleh
pemilik gerai makanan tepi jalan seperti tiada grease trap atau perangkap
minyak atau pemasangan yang sempurna, tandas kotor dan kemudahan tandas tidak
berfungsi dengan sempurna, tiada kawalan lalat, tikus dan lipas, lantai,
dinding dan siling gerai kotor atau rosak, tidak memakai apron dan penutup
kepala, tiada suntikan typhoid, peti ais kotor dan tidak tersusun, membasuh
pinggan di atas lantai, gerai tidak mempunyai stor penyimpanan makanan, tong
sampah tidak mencukupi dan bertutup dengan sempurna dan sebagainya. Ini semua
perlu diperhatikan oleh pengguna sebelum membeli makanan di sesebuah gerai tepi
jalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan