Rabu, 3 Januari 2024

PERUBAHAN IKLIM MENGGUGAT KESTABILAN BEKALAN AIR

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

SECARA umumnya suhu purata bumi tidak begitu stabil, malah berubah mengikut masa, seperti yang telah dibuktikan melalui analisis lapisan geologi. Planet kita adalah beberapa puluh darjah lebih sejuk pada 20,000 tahun lepas, iaitu pada puncak zaman salji glasier. Perubahan suhu ini sebenarnya amat perlahan, suhu berubah sebanyak 0.2 darjah dari tahun 1000 sehingga hujung kurun ke-19.

Fakta yang merisaukan komuniti antarabangsa ialah betapa cepatnya suhu berubah sekarang ini, kecepatan perubahan yang tidak pernah berlaku pada zaman dahulu. Sejak hujung kurun ke-19, lebih kurang dalam seratus tahun saja, suhu purata telah naik 0.6 darjah. Simulasi komputer pula menunjukkan bahawa pemanasan akan menjadi lebih cepat dan suhu purata boleh meningkat sebanyak 1.4 hingga 5.8 darjah pada hujung kurun ke-21. Fenomena ini kita panggil pemanasan global.

Perubahan iklim boleh berlaku pada rantau tertentu, atau seluruh bumi. Perubahan iklim membawa kesan yang serius kepada dunia. Contohnya, saintis dari Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan pemanasan laut dan pencairan glasier kerana pemanasan global dan perubahan iklim boleh meningkatkan aras laut kepada 7-23 inci menjelang 2100.

Akan tetapi, tidak dinafikan kesedaran masyarakat terhadap isu perubahan iklim dan impaknya kepada kehidupan manusia hari ini serta masa hadapan boleh dikatakan masih rendah atas pelbagai faktor, antaranya tidak ambil kisah terhadap hal ehwal mengenai alam sekitar di samping mempunyai persepsi bencana alam berskala mega tidak mungkin berlaku di Malaysia seperti dialami banyak negara lain di dunia. Sama ada disedari atau tidak, iklim yang melitupi Malaysia sebenarnya sudah mengalami perubahan yang mana ia sebenarnya memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada cuaca serta alam sekitar di negara ini.

Perubahan iklim lazimnya mendatangkan kesan kepada sesuatu kawasan atau wilayah. Dalam konteks di Malaysia, perubahan iklim yang bersifat drastik atau mendadak kebelakangan ini menimbulkan kesan jangka pendek dan jangka panjang. Kesan perubahan iklim ini yang dapat dirasai secara ketara ialah peningkatan cuaca panas, mewujudkan fenomena cuaca ekstrem yang menjadi faktor berlakunya musim kemarau atau banjir secara melampau atau luar biasa yang mana ia tidak pernah direkodkan berlaku dalam tempoh lebih 10 tahun.

Kecelaruan dan perubahan cuaca dunia yang tidak menentu kebelakangan ini juga memberi petanda bahawa fenomena El-Nino (yang juga dikenali sebagai ‘si anak kecil’ dalam bahasa Sepanyol) akan berulang kembali. Namun kehadirannya pada kali ini tidaklah seteruk yang berlaku pada 1997-1998 (yang menyebabkan jerebu, kemarau dan kepanasan melampau dengan suhu meningkat melebihi 40 darjah Celsius) dan dikatakan yang paling buruk pernah berlaku sejak 150 tahun lampau.

Variasi suhu atmosfera secara umumnya berkaitan dengan beberapa faktor seperti perubahan aktiviti matahari, atau kelajuan putaran bumi. Tetapi, kebanyakan pakar sains percaya bahawa pemanasan global adalah disebabkan, terutamanya, oleh kesan rumah hijau. Kesan ini terjadi apabila sebahagian besar tenaga dari matahari yang sampai ke permukaan bumi tidak dipantulkan semula keluar ke angkasa lepas, malah diserap oleh atmosfera bumi.

Seperti yang kita tahu, menurut hukum Wien, sifat sinaran dari satu objek bergantung kepada suhunya. Matahari yang mempunyai suhu permukaan 6,000 darjah, bersinar terutamamya dalam gelombang tampak di mana tenaganya masuk secara mudah ke atmosfera kita. Tetapi, disebabkan suhu bumi jauh lebih rendah dari suhu matahari, planet kita mengeluarkan kembali tenaga ini dalam bentuk sinaran inframerah. Gas-gas tertentu seperti karbon-dioksida, methane dan nitrogen oksida, yang juga lutsinar dalam gelombang tampak, adalah legap dalam sinaran inframerah. Ciri-ciri ini menghalang tenaga dari keluar semula ke angkasa lepas. Gas-gas ini menyerap tenaga tersebut menjadikan atmosfera kita panas. Sebahagian besar tenaga solar ini diserap oleh atmosfera bawahan, seperti yang terjadi ke atas planet Zuhrah.

Perubahan iklim telah menggugat kestabilan bekalan air. Kini, bukan rahsia lagi sumber air semakin menyusut setiap tahun. Statistik FAO menunjukkan, menjelang 2025, 1.8 bilion orang akan tinggal di negara-negara atau kawasan dengan kekurangan air yang mutlak. Mengikut kajian WWAP, setiap orang memerlukan antara 20 hingga 50 liter air bersih yang selamat sehari untuk menjamin keperluan asas minuman, memasak dan pencucian. Namun demikian, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada seorang bagi setiap 6 orang di seluruh dunia tidak mempunyai akses kepada jumlah air bersih itu.

Pakar-pakar sains di Institut Potsdamer Untuk Kajian Kesan Perubahan Iklim mengungkapkan bahawa sejumlah air telah menghilang akibat kesan perubahan iklim. Para pengkaji menggunakan data dari lima simulasi iklim dan sebelas simulasi hidrologi global untuk mengukur kesan pemanasan global dengan lebih tepat. Sasaran kajian adalah mencari kaedah baru untuk mencegah krisis air.

Menurut Climate Institute (CI), berpejabat di Washington, penduduk dunia pada abad lepas meningkat tiga kali ganda dan dijangkakan meningkat daripada jumlah 6.5 bilion sekarang kepada 8.9 bilion pada 2050. Dalam tempoh 20 tahun akan datang, jumlah penduduk di bandar-bandar di Asia juga dijangkakan akan bertambah seramai satu bilion orang. Penggunaan air juga dijangka meningkat selaras dengan kepesatan kemajuan serta pembangunan seluruh dunia.

Sumber air tawar juga dijangka merosot akibat perubahan iklim yang tenat dengan impak bukan sahaja ke atas kualiti air tetapi juga sistem ekologi akuatik dan air bawah tanah. Sesetengah penganalisis meramalkan, air juga akan menjadi faktor penting mencetuskan konflik dan pertikaian pada masa depan akibat kekurangan air yang melampau. Sebagai komponen utama organisma hidupan, air yang berkualiti baik ialah perkara asasi untuk kegunaan manusia. Ia juga amat diperlukan untuk menampung kegunaan pelbagai aktiviti ekonomi serta sistem ekologi yang kita diami.

Para saintis yakin, manusia masih boleh menghentikan kelajuan pemanasan global. Dari sudut ilmu pengetahuan alam, perubahan iklim masih boleh dihentikan. Jika kita menjalankan program perlindungan iklim besar-besaran dalam beberapa dekad ke hadapan, kelajuan pemanasan boleh dibatasi pada kisaran 1.5 darjah Celcius dan kita mampu mencegah terjadinya krisis air.

Kajian terbaru menunjukkan kenaikan suhu bumi sebesar 2.7 darjah Celcius dibandingkan masa menjelang era industrialisasi. Buat penduduk bumi, angka tersebut bermakna sepersepuluh orang bakal menderita kekurangan air minum di akhir abad ini.

Saintis mendefinisikan krisis air sebagai tingkat pengambilan sebesar 500 meter padu air per tahun untuk setiap orang. Ketika ini keperluan air sekitar 1,200 meter padu per tahun. Tahap pengambilan air per orang di negara-negara maju jelas jauh lebih tinggi berbanding penduduk di negara membangun.

Air merupakan unsur vital dalam kehidupan manusia. Ketersediaan air di dunia ini begitu melimpah-ruah, namun yang dapat diambil oleh manusia untuk keperluan air minum sangatlah sedikit. Dari keseluruhan jumlah air yang ada, hanya lima peratus saja yang tersedia sebagai air minum, sedangkan bakinya adalah air laut. Selain itu, kecenderungan yang terjadi sekarang ini adalah berkurangnya ketersediaan air bersih itu dari hari ke hari. Semakin meningkatnya populasi, semakin besar pula keperluan akan air minum. Sehingga ketersediaan air bersih juga semakin berkurangan.

Menurut akhbar New Straits Times tanggal 17 Mei 2009, di Malaysia, kesan-kesan perubahan iklim akibat pemanasan global dapat dilihat menerusi beberapa kejadian bencana dan juga simptom-simptom yang melanda beberapa kawasan di seluruh negara seperti suhu semakin naik di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands, cuaca luar biasa yang menyebabkan banjir, kemarau, jerebu, kenaikan paras air laut, kekurangan sumber air, dan ancaman terhadap kesihatan awam.

Kesan perubahan iklim ini yang dapat dirasai secara ketara ialah peningkatan cuaca panas, mewujudkan fenomena cuaca ekstrem yang menjadi faktor berlakunya musim kemarau atau banjir secara melampau atau luar biasa yang mana ia tidak pernah direkodkan berlaku dalam tempoh lebih 10 tahun. Perkara ini telah ditegaskan oleh Pengurus Besar Syarikat Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Jaseni Maidinsa dalam Seminar Mengenai Perubahan Iklim anjuran Institut Untuk Pembangunan Komunikasi Asia (AIDCOM), Fakulti Komunikasi dan Media (FKM), Universiti Selangor (UNISEL). Beliau menjelaskan, antara petanda perubahan iklim yang dirasai di negara ini ialah peningkatan suhu, jerebu dan kemarau. Peningkatan suhu dan kemarau menyebabkan empangan mengering seperti berlaku di Selangor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Pernahkah kita terfikir apa akan jadi terhadap bekalan air kepada pengguna apabila empangan mengering? Ia boleh menyebabkan krisis bekalan air seperti yang terjadi di beberapa tempat di negara ini seperti di Selangor dan Negeri Sembilan. Apabila paras air empangan merosot akibat berlaku perubahan iklim, secara automatik, bekalan air dirawat untuk dibekalkan kepada pengguna akan merosot. Itulah sebabnya Selangor dan Negeri Sembilan terpaksa mencatu bekalan air.

Fenomena air empangan merosot adalah ibarat mimpi ngeri bagi sesebuah syarikat operator air kerana jika ia berlaku, bermakna pelan tindakan kecemasan perlu diaktifkan seperti mencatu bekalan air. Masalah dihadapi syarikat operator ialah permintaan bekalan air semakin hari, semakin bertambah dan ada waktunya meningkat disebabkan pertambahan penduduk dan kawasan penempatan. Dalam menangani permasalahan ini, semua pihak harus bersama-sama menjaga, melindungi dan mengurus sumber air negara terutama di kawasan dikenal pasti sebagai lokasi tadahan air semula jadi. Perkara ini, tidak mendapat perhatian sewajarnya oleh masyarakat dan pihak atasan sedangkan pada hakikatnya, sumber air mentah semakin berkurangan akibat pemusnahan kawasan tadahan air, pencemaran sungai, kemarau dan pembalakan haram.

Mungkin ramai yang tidak sedar masalah ini. Sumber air negara menjadi semakin merosot disebabkan banyak hutan dan bukit yang menjadi kawasan tadahan air diteroka serta digondolkan bagi tujuan pembangunan. Di Malaysia, selain kesan daripada perubahan iklim, kemerosotan sumber air juga terjadi akibat aktiviti penebangan pokok dan menggondolkan bukit secara massa bagi tujuan pembangunan sesebuah kawasan, khasnya bagi mengejar keuntungan dalam sektor hartanah. Aktiviti berkenaan sebenarnya amat menyumbang kepada berlakunya perubahan iklim di negara ini. Kegiatan ini memberi kesan buruk terhadap alam sekitar serta dapat mempengaruhi cuaca dan iklim tanpa disedari.

Masalah kemarau juga berkait rapat dengan pengurangan sumber air. Apabila berlaku pembangunan tidak terkawal dan berterusan, seperti hutan atau kawasan bukit yang menjadi kawasan tadahan air semula jadi digondolkan, ia akan menjejaskan bekalan sumber air semula jadi bawah tanah yang akan menjadi mata air dan mengalir ke sungai. Kawasan hutan, bukit ditarah, inilah sebabnya pada musim kemarau, masalah kekurangan sumber air di negara ini menjadi bertambah kronik.

Untuk mengatasi krisis air bersih perlu dilakukan penyelamatan lingkungan, termasuk di antaranya penyelamatan sumber-sumber air, harus dilakukan secara terintegrasi dan berterusan. Usaha penyelamatan lingkungan demi mengatasi krisis air bersih dapat dilakukan melalui menggalakkan gerakan penjimatan air, menggalakkan gerakan menanam pokok seperti one man one tree.

Kualiti air juga berkaitan dengan kelayakan pemanfaat air untuk berbagai keperluan, dan juga berhubungan dengan volume dan daya pulih air untuk menerima beban pencemaran dalam jumlah tertentu dan kelayakan air, terutama untuk minum. Konservasi lahan, pelestarian hutan dan kawasan aliran sungai, pembangunan tempat penampungan air hujan seperti kolam dan tasik sehingga airnya boleh dimanfaatkan sewaktu musim kemarau. Mencegah seminimum mungkin air hujan terbuang ke laut dengan membuat telaga resapan air atau lubang resapan biopori, dapat mengurangi pencemaran air baik oleh limbahan rumah tangga, industri, pertanian mahupun perlombongan.

Kesedaran manusia yang paling diharapkan, ikut menjaga kelestarian alam sekitar dan peduli lingkungan hidup. Itu sangatlah penting untuk menghasilkan kualiti sumber daya air yang layak minum, baik pada musim kemarau ataupun musim hujan.

Kita harus sedar bahawa dunia kita mempunyai air bersih terhad yang tersimpan di dalam tanah, permukaan bumi dan atmosfera. Masyarakat umum kadangkala tersalah anggap bahawa lautan adalah sumber air sedia ada tetapi mereka tidak memahami jumlah tenaga yang diperlukan untuk menukar air masin kepada air bersih masih lagi sesuatu yang tidak begitu mudah dilakukan. Kerana inilah hanya sedikit sahaja bekalan air bersih yang diambil dari proses penyahmasinan.

Di Malaysia, sumber air permukaan (terutama sungai) dilaporkan lebih banyak berbanding air bawah tanah, dengan memetik perangkaan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO). Jumlah sumber air permukaan di Malaysia ialah 566 km persegi berbanding 64 km persegi sumber air bawah tanah. Ini jelas menunjukkan Malaysia perlu memberi perhatian kepada pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air permukaan.

Antara langkah yang boleh diambil ialah memelihara sumber air. Ia adalah komitmen semua pihak berkepentingan untuk melaksanakan tanggungjawab bersama menggunakan air secara lestari dan memulihara sumber air permukaan. Pemeliharaan sumber air termasuk melindungi sumber air mentah, pengurusan sungai yang lebih cekap, memastikan keperluan air flora dan fauna terjamin di samping mewartakan kawasan tadahan air sebagai kawasan simpanan tetap.

Pemeliharaan sumber air ialah satu langkah bijak berbanding melabur berjuta-juta ringgit untuk membina prasarana baru seperti empangan, tadahan, loji perawatan serta sistem rangkaian pengagihan. Langkah-langkah berkenaan, lebih menjimatkan kos dari segi ketersediaan air mentah. Dalam jangka masa panjang, cara ini lebih ekonomik. Kita juga perlu ingat bahawa air permukaan akan memberi impak langsung kepada air bawah tanah. Kesudahannya, jika air bawah tanah menjadi tidak sesuai untuk digunakan, apa pilihan kita selepas itu?

Malaysia perlu menumpukan lebih banyak usaha dan sumber untuk menangani ancaman perubahan iklim. Antara usaha yang perlu dilakukan ialah dengan meningkatkan kempen kesedaran kepada masyarakat untuk memelihara alam sekitar seperti mengurangkan penggunaan bahan api fosil dan menggalakkan pemindahan teknologi dari negara maju ke negara ini untuk mengatasi isu perubahan iklim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA