SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
TENAGA merupakan elemen penting dalam memacu perkembangan ekonomi sesebuah negara. Tenaga juga bukan sahaja diperlukan untuk tumbesaran dan pergerakan malah meliputi segenap aspek kehidupan manusia termasuk aplikasi sistem yang canggih, perindustrian, pengangkutan, pertanian, pencahayaan dan sebagainya.
Sukar
dibayangkan sekiranya negara kita tidak mempunyai bekalan tenaga elektrik atau
kehabisan bekalan gas, diesel atau petrol. Mungkin sukar untuk kita ke sesuatu
tempat tanpa kenderaan. Suri rumah atau pengusaha restoran mungkin tidak dapat
menyediakan juadah kerana ketiadaan gas memasak. Jalan raya juga mungkin
kacau-bilau akibat lampu isyarat yang tidak berfungsi. Lampu jalan yang tidak
berfungsi menambah lagi kegelapan malam. Mereka yang bekerja di bangunan tinggi
juga tentu kepenatan menaiki tangga akibat lif yang tidak berfungsi lantaran
ketiadaan elektrik. Justeru, tanpa tenaga, tidak dapat dibayangkan bagaimana
kehidupan di dunia kini.
Malaysia
dikurniakan sumber-sumber tenaga semula jadi seperti minyak dan gas asli,
tetapi tidak terkecuali daripada berhadapan dengan situasi kepupusan sekiranya
sumber-sumber tersebut tidak diuruskan dengan baik. Sumber-sumber semula jadi
tersebut dijangkakan semakin menyusut dan peningkatan kebergantungan kepadanya secara
berterusan memerlukan negara mengimportnya dari luar negara.
Kebanyakan
sumber penjanaan elektrik di Malaysia berasaskan kepada sumber-sumber bahan api
fosil. Contohnya di Sabah, penjanaan elektrik menggunakan 50.1% bahan api gas,
40.5% berasaskan diesel dan medium fuel
oil, 6.5% daripada sumber hidro dan selebihnya dari sumber tenaga boleh diperbaharui.
Kebergantungan yang besar kepada bahan api fosil dengan sumbernya diimport akan
memberikan satu cabaran kepada jaminan keselamatan tenaga. Oleh itu,
langkah-langkah sewajarnya telah dirangka dalam memastikan negara dapat
menghadapi pasaran tenaga yang semakin kompetitif pada masa hadapan dengan
memastikan energy security sentiasa
berterusan.
Di
samping energy security yang
merupakan agenda utama Kerajaan dalam memastikan pembekalan elektrik negara
yang mapan, aspek alam sekitar juga telah diberi penekanan serius. Sektor
industri dan penjanaan elektrik mewakili sekitar dua pertiga daripada global energy-related carbon dioxide (CO2)
emission dan memainkan peranan
penting dalam menangani isu perubahan iklim ekoran daripada fenomena pemanasan
global. Fenomena ini adalah satu keadaan di mana alam sekitar mengalami
peningkatan suhu tinggi berbanding suhu normal. Peningkatan suhu ini
kemudiannya boleh menyebabkan berlakunya pelbagai kesan buruk seperti banjir,
kemarau, krisis makanan dan sebagainya.
Pelbagai
dasar telah digubal oleh Kerajaan dalam memastikan kemapanan sektor pembekalan
elektrik negara termasuklah di Sabah dan Sarawak. Antara aspek penting
dititikberatkan adalah kecekapan tenaga yang mana telah ditekankan sejak
pengenalan Dasar Tenaga Negara 1979 lagi. Dasar ini telah menggariskan tiga
objektif utama yang mana salah satu daripadanya adalah untuk mempromosikan
penggunaan tenaga dengan cekap serta mengelakkan pembaziran dan penggunaan
tenaga tidak produktif. Objektif dasar ini bertujuan untuk membantu usaha ke
arah memastikan sumber-sumber tenaga dipelihara dan diuruskan dengan baik untuk
kemapanan masa hadapan. Secara tidak langsung, akan dapat membantu memastikan
jaminan energy security yang
berterusan di Malaysia serta menyumbang kepada usaha menangani fenomena
pemanasan global.
Kerajaan
juga telah menggubal Pelan Induk Kecekapan Tenaga Negara. Pelan induk ini
menjadi pemangkin kepada penggunaan tenaga dengan cekap di Malaysia, dan
menghasilkan impak lebih besar. Beberapa inisiatif kecekapan tenaga telah
dikenal pasti dan digariskan di bawah pelan induk ini yang merangkumi sektor
industri, bangunan, komersial dan domestik. Pelan induk tersebut juga telah
dinilai oleh pakar-pakar kecekapan tenaga daripada negara-negara Asia Pacific
Economic Cooperation (APEC) dan pandangan yang positif telah diterima daripada
mereka. Dengan adanya pelan induk tersebut, pelaksanaan kecekapan tenaga di Malaysia
dapat ditingkatkan dan ditambah baik ke arah membantu penggunaan dan pengurusan
sumber tenaga secara cekap dan mapan setanding dengan negara-negara maju
seperti Jepun, Korea Selatan dan sebagainya.
Penggunaan
lampu kebiasaannya akan menyumbang kepada 10% atau kurang bagi keseluruhan
jumlah bil elektrik. Kos ini boleh dikurangkan dengan penggunaan lampu cekap
tenaga dan dianggarkan pengguna-pengguna akan dapat menjimatkan sebanyak RM336
juta setahun dalam penggunaan elektrik negara. Terdapat beberapa jenis lampu
cekap tenaga yang boleh digunakan, antaranya ialah lampu Compact Flourescent
Light (CFL), lampu flourescent tube
T5, lampu Light Emitting Diode (LED) dan sebagainya. Lampu Compact Flourescent
Light (CFL) umpamanya, menggunakan hanya 20% tenaga elektrik bagi menghasilkan
pencahayaan yang sepadan. Selain itu, jangka hayatnya juga adalah lapan kali
lebih lama daripada lampu mentol biasa.
Selain
daripada penggunaan lampu, kecekapan peralatan elektrik lain yang digunakan di
rumah seperti peti sejuk, penyaman udara, televisyen, kipas, mesin basuh,
pemanas air dan sebagainya juga boleh membantu penjimatan dalam bil elektrik
bulanan. Pihak Suruhanjaya Tenaga telah membangunkan sistem penarafan atau rating system untuk peralatan elektrik
di Malaysia bagi membantu pengguna membuat pemilihan peralatan elektrik yang
sesuai di rumah. Di bawah sistem pelabelan ini, sesuatu peralatan elektrik akan
diuji berpandukan Minimum Energy Performance Standard (MEPS) untuk menentukan
penggunaan elektriknya sebelum ia dikategorikan sebagai peralatan elektrik
bertaraf 1, 2, 3, 4 atau 5 bintang. Sehingga kini, empat peralatan elektrik
yang biasa digunakan di rumah telah dilabelkan iaitu peti sejuk, penyaman
udara, televisyen dan kipas.
Aspek
kecekapan tenaga turut didokong dalam National Key Economic Areas (NKEA)
melalui Entry Point Project 9 (EPP9) iaitu meningkatkan kecekapan tenaga. Di
bawah EPP9 tersebut, strategi untuk meningkatkan kecekapan tenaga telah
dilaksanakan yang antaranya melibatkan pelaksanaan Program Sustainability
Achieved Via Energy Efficiency atau dikenali sebagai Program SAVE. Program SAVE
ini telah dilancarkan pada 7 Julai 2011 merupakan satu program khas kerajaan
dengan mensasarkan penjimatan tenaga bagi tempoh jangka masa singkat dan
panjang. Pada peringkat awal, program SAVE telah melibatkan pelaksanaan
inisiatif new appliances yang
memperkenalkan prinsip pemberian rebat kepada pengguna untuk pembelian
peralatan elektrik cekap tenaga bertaraf lima bintang iaitu peti sejuk dan
penghawa dingin bagi sektor domestik serta chillers
untuk sektor komersial.
Sesungguhnya,
Malaysia telah menjalankan pelbagai usaha untuk mencari dan menjana tenaga
diperbaharui sebagai bekalan tenaga untuk masa depan khususnya untuk kehidupan
sejahtera generasi akan datang. Antara usaha yang telah dijalankan oleh
kerajaan ialah dengan menubuhkan Pusat Tenaga Malaysia (PTM) pada 1998 untuk
mengkoordinasi dan mengurus program kajian dan pembangunan mengenai tenaga dan
mempromosikan penggunaan tenaga diperbaharui di Malaysia.
Tidak
dapat dinafikan, Malaysia bergantung kepada tenaga untuk pembangunan dan
perkembangan ekonominya. Walaupun Malaysia mengeluarkan petroleum sendiri untuk
kegunaan tempatan tetapi dalam jangka masa panjang, bahan mentah di perut bumi
ini akan kehabisan. Justeru kerajaan telah membangunkan sendiri tenaga yang
diperbaharui untuk memastikan bekalan tenaga ini dapat dipertahankan dan
seterusnya negara dapat terus membangunkan ekonominya.
Tenaga
diperbaharui berbeza dengan bahan api fosil kerana bekalan tenaga ini akan
kekal untuk selama-lamanya. Umumnya, tenaga diperbaharui boleh dijana daripada
beberapa sumber seperti tenaga geoterma, tenaga ombak, tenaga suria, tenaga
hidro, tenaga nuklear, tenaga angin, tenaga biogas, tenaga biomass dan tenaga
biojisim.
Tenaga
suria diperolehi melalui pancaran cahaya matahari. Malaysia berpotensi untuk
projek menjana tenaga suria kerana menerima pancaran cahaya matahari selama
enam jam sehari dan tenaga ini adalah percuma serta menyeluruh. Tenaga suria
banyak digunakan di kawasan pedalaman untuk mendapatkan bekalan elektrik dengan
menggunakan panel Solar PV. Penduduk di kawasan pedalaman Sarawak dapat
menikmati bekalan elektrik dengan adanya kemudahan solar.
Selain
itu, tenaga suria ini juga membekalkan tenaga untuk alat perhubungan telefon
awam seperti di Pulau Aman dan kawasan pedalaman Sawarak. Tenaga ini juga
digunakan dalam bidang pertanian iaitu untuk mengasingkan kepingan getah. Di
kawasan bandar, penggunaan alat pemanas solar popular di rumah serta di hotel.
Di Malaysia, projek menjana tenaga suria telah dibina di Teluk Apan di Pulau
Langkawi dan Kampung Hulu Tembeling di Pahang.
Selain
tenaga suria, tenaga hidro juga adalah tenaga yang amat penting sebagai salah
satu sumber tenaga diperbaharui. Tenaga hidro digunakan sebagai bekalan air,
kawalan banjir, pengairan dan tujuan rekreasi. Malaysia adalah negara yang
berpotensi untuk menjana tenaga hidro. Melalui tenaga hidro inilah terjadinya
hidroelektrik. Bekalan elektrik di negara banyak bergantung kepada tenaga
hidro. Antara tempat penjanaan kuasa hidroelektrik ialah di Empangan Chenderoh
dan Empangan Bakun. Kuasa hidroelektrik ini sesuai digunakan kerana mudah
diperbaharui, tidak habis, murah dan bersih serta tidak mencemarkan alam
sekitar.
Selain
tenaga suria, ombak juga merupakan salah satu sumber tenaga alternatif yang
boleh dibangunkan untuk penjanaan tenaga elektrik. Kita bersyukur kerana hampir
keseluruhan negeri di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur iaitu Sabah dan
Sarawak dikelilingi oleh laut. Negara maju seperti Portugal telah lama
memajukan tenaga ombak untuk bekalan elektrik mereka. Tenaga ombak boleh
digunakan untuk penduduk-penduduk yang tinggal di pesisir pantai dan juga untuk
operasi pelabuhan-pelabuhan di dalam negara.
Tenaga
geoterma pula dihasilkan oleh aktiviti magma dalam perut bumi. Jika tenaga
ombak terhasil daripada peredaran bumi yang menghasilkan air pasang surut,
tenaga nuklear pula dihasilkan daripada pembelahan nukleus unsur-unsur tidak
stabil bahan radioaktif. Ada ura-ura mengatakan bahawa Malaysia juga berhasrat
untuk memajukan tenaga nuklear untuk penjanaan tenaga elektrik. Sehingga kini
ia masih di peringkat perbincangan dan keputusannya belum diumumkan lagi oleh
kerajaan. Banyak isu keselamatan dan pandangan pakar perlu diambil kira sebelum
memutuskan untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan elektrik.
Namun begitu teknologi sinaran nuklear telah banyak dimajukan untuk kegunaan
dalam bidang perubatan dan pertanian yang sedang giat dijalankan oleh Agensi
Nuklear Malaysia.
Manakala
tenaga biomass diperolehi daripada hampas kelapa sawit. Sisa pertanian itu
menghasilkan biogas seperti metana sebagai bahan pembakar untuk tujuan memasak.
Tenaga ini sesuai digunakan kerana terdapat banyak ladang kelapa sawit di
Malaysia dan menghasilkan 8.5 juta tan sisa buangan buah kelapa sawit yang
dapat menghasilkan dua juta tan minyak (metana). Secara tidak langsung, ia
telah menyumbangkan enam peratus keperluan bekalan tenaga negara. Penggunaan
tenaga biomass ini semakin meluas digunakan di seluruh negara kerana ia
menjimatkan sumber tenaga dan murah.
Malaysia
juga mengambil inisiatif dalam mempelbagaikan sumber tenaga dengan menggunakan
tenaga angin sebagai sumber tenaga diperbaharui. Angin telah digunakan sebagai
sumber kuasa berjuta-juta tahun dulu. Kincir angin telah dibina di kawasan
pedalaman Sabah dan Sarawak pada Rancangan Malaysia Keenam (1991-1995). Kincir
angin ini telah membekalkan kapasiti 150 kiloWatt (KW).
Satu
lagi sumber tenaga yang diperbaharui ialah tenaga biogas dan tenaga biojisim.
Tenaga suria hidrokarbon yang boleh diperbaharui disimpan dalam bentuk biojisim
dan juga biogas. Biojisim yang terdapat dalam tumbuhan dianggap sebagai sumber
tenaga boleh diperbaharui kerana tumbuhan boleh ditanam berulangkali. Biogas
pula terhasil daripada bahan organik yang ditindakbalaskan oleh mikroorganisma
tanpa kehadiran oksigen atau udara yang menghasilkan gas metana dan karbon
dioksida. Gas metana merupakan bahan bakar paling baik dan tidak mencemarkan
alam, tetapi sekiranya dilepaskan ke udara boleh mengakibatkan kesan rumah
hijau.
Sementara
biodiesel adalah sejenis bahan api yang boleh diperbaharui sama ada dalam
bentuk cecair atau gas yang diperolehi dari biomass (bakteria, tumbuhan atau
haiwan). Paling utama, ia boleh diperbaharui dan diperolehi dengan cepat, tidak
seperti bahan api fosil, yang juga datang dari bahan biologi, tetapi mengambil
berjuta-juta tahun untuk membentuk. Biodiesel terutamanya merujuk kepada bahan
api diesel yang berasaskan minyak tumbuhan atau lemak haiwan.
Biodiesel
biasanya dihasilkan melalui tindak balas kimia lipid dan dihasilkan dari minyak
tumbuhan atau lemak haiwan, Biodiesel boleh digunakan sendirian, atau dicampur
dengan petrodiesel. Ini dapat mengurangkan kegunaan bahan api fosil yang
semakin berkurangan. Biodiesel bertujuan untuk digunakan dalam enjin diesel
piawaian dan dengan itu berbeza dari minyak sayuran langsung yang digunakan
sebagai bahan api enjin diesel diubah suai.
Tenaga
adalah istilah yang sedang hangat dibicarakan pada masa kini iaitu selepas
internet, bioteknologi dan nanoteknologi. Bak kata Geoffrey Carr, seorang
kolumnis majalah The Economist ‘masa
hadapan bergantung kepada kuasa dan tenaga’. Tenaga sangat diperlukan dalam
semua aktiviti manusia. Oleh yang demikian tenaga amat diperlukan terutama
dalam proses pembangunan sesebuah negara. Lebih pesat pembangunan yang
dijalankan, lebih banyak tenaga yang perlu dihasilkan untuk memenuhi pembangunan
tersebut.
Masa
hadapan dalam menghadapi krisis tenaga kesan dari kenaikan harga minyak dan kos
penggunaan tenaga elektrik yang tinggi ialah penggunaan tenaga yang boleh
diperbaharui. Negara kita Malaysia telahpun bergerak ke hadapan dengan pelbagai
usaha ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui demi kelangsungan
pembangunan negara dan juga kesejahteraan hidup generasi akan datang. Kerajaan
juga telah melaksanakan satu sistem pengurusan sumber berkesan bagi menjamin
bekalan dan penggunaan tenaga berterusan bagi kegunaan manusia pada masa depan.
Malaysia
merupakan negara yang kaya dengan kepelbagaian sumber asli, yang menjadi asas
penting dalam penghasilan tenaga. Selaras matlamat Dasar Tenaga Negara untuk
membekalkan Malaysia dengan tenaga mencukupi, terjamin dan murah, kerajaan
telah bergerak pantas dalam usaha menangani fenomena kenaikan harga bahan api
dan krisis tenaga yang berterusan dengan melihat potensi tenaga alternatif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan