SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
PENGGUNAAN tumbuhan sebagai kegunaan seharian telah bermula sejak zaman dahulu lagi. Selain digunakan sebagai bahan binaan, tumbuhan juga turut digunakan sebagai bahan penyembuh bagi mengubati penyakit. Tumbuhan yang berfungsi sebagai apotik di muka bumi berpotensi besar dalam penghasilan penawar yang dihidapi oleh manusia dan digunakan serta diwarisi oleh manusia secara turun temurun.
Menurut kajian,
sebelum perubatan moden wujud, manusia menggunakan herba dan akar kayu untuk
dijadikan ubat atau penawar. Pengkaji menyatakan bahawa ekosistem hutan
Malaysia kaya dengan pelbagai tumbuhan liar yang bermanfaat yang mempunyai
hubungan dengan kebudayaan sesuatu masyarakat. Kepentingan herba kemudian
diperkembangkan melalui perubatan moden dari masa ke semasa dengan pencampuran
dengan bahan kimia supaya ubat atau penawar agar lebih berkesan.
Penggunaan
perubatan berasaskan herba kurang dipraktikkan pada zaman kini terutama oleh
masyarakat moden kerana kurang pengetahuan mengenai penggunaan tumbuhan herba
dan tidak tahu dari manakah sumber asli ini diperoleh. Kekurangan pengetahuan
sebegini menyebabkan penggunaan tumbuhan herba dalam kehidupan seharian makin
hilang dalam masyarakat.
Perubatan Tradisional
Pengkaji juga ada menyatakan bahawa masyarakat Asia kaya dengan herba dan perubatan tradisional kerana faktor konteks iaitu di kelilingi oleh sumber alam semulajadi dari dalam hutan hujan tropika. Di Malaysia khasnya, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum mempunyai keistimewaan sendiri dalam menjalani kehidupan mereka. Mereka merupakan masyarakat yang mempunyai kepakaran dalam penggunaan tumbuhan terutama dalam perubatan tradisi.
Setiap masyarakat
di Malaysia mempunyai kaedah tersendiri bagi menghasilkan ubatan berasaskan
tumbuh-tumbuhan. Perubatan tradisional berkait rapat dengan sejarah sosio
budaya manusia. Setiap masyarakat di dunia ada sejarah perubatan asli
tersendiri. Di Malaysia, perubatan tradisional terbahagi kepada tiga iaitu
Melayu atau Orang Asli, Cina dan India. Perubatan Cina berasaskan Confucius,
India Ayurveda manakala Melayu campuran budaya Hindu, Arab dan Orang Asli.
Walau bagaimanapun,
semuanya ada ciri sepunya iaitu bahan mentahnya berasal dari tumbuhan. Ini
membuktikan walaupun terdapat kaedah yang berbeza dalam penggunaan ubatan bagi
setiap bangsa, namun asas kepada penghasilan ubatan tersebut adalah
tumbuh-tumbuhan.
Telah Sebati
Penggunaan tumbuhan herba dalam masyarakat di Malaysia memang telah sebati walaupun pada masa kini terdapat campuran bahan kimia dalam ubatan herba. Masyarakat tetap menggunakan ubatan yang berasaskan herba walaupun zaman telah berubah.
Menurut kajian,
masyarakat Melayu mempunyai tradisi dan keistimewaan tersendiri dalam menjalani
kehidupan seharian mereka. Masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang
mempunyai kemahiran dalam penggunaan tumbuhan terutama dalam pengubatan
tradisi. Kebanyakkan dari masyarakat ini terdiri daripada kumpulan etnik yang
pandai memanfaatkan hasil hutan terutama untuk tujuan perubatan.
Ini dibuktikan
berdasarkan wujudnya pengamal ubatan tradisi di kampung-kampung orang Melayu
sama ada dukun, bomoh, pawang dan sebagainya. Masyarakat Melayu mempunyai
kemahiran dan pengatahuan farmaseutikal tentang tumbuh-tumbuhan dan boleh
menentukan ubat dan penawar kepada pelbagai jenis penyakit.
Pengalaman dan
kepakaran masyarakat Melayu tentang perubatan tradisi melalui tumbuhan telah
menarik para pengkaji untuk mencungkil lebih banyak rahsia tentang tumbuhan
untuk kegunaan manusia terutamanya dalam bidang perubatan. Setengah perubatan
tradisi boleh dijelaskan melalui bukti-bukti saintifik, banyak kajian yang
dijalankan berjaya memberi pengesahan terdapat kebekesanan terapi
sediaan-sediaan herba.
Kawasan hutan
tropika Malaysia khususnya di hutan hujan tropika Durian Tuang, Mukim Sanggang,
Temerloh Pahang mempunyai kepelbagaian spesies tumbuhan yang mempunyai nilai
perubatan yang amat berharga. Masyarakat Melayu di kawasan tersebut telah lama
menggunakan ramuan daripada ‘rempah gunung’ dan ‘teja’ sebagai satu teknik atau
kaedah bagi menyembuhkan beberapa jenis penyakit.
Sistem Pemakanan dan Perubatan
Kajian menunjukkan bahawa penggunaan tumbuhan dan budaya telah mempengaruhi sistem pemakanan dan perubatan masyarakat Melayu. Masyarakat terdahulu mengenalpasti kegunaan tumbuhan dengan memerhatikan dan mengambil tahu akan jenis tumbuhan yang lazim dimakan oleh binatang peliharaan seperti kucing.
Pemerhatian
terhadap kesan pengambilan tumbuhan oleh haiwan terutama apabila melihat
binatang itu tidak sihat akan menambah pengetahuan mereka mengenai mengenali
jenis tumbuh-tumbuhan yang berkhasiat ataupun beracun lalu disesuaikan dengan
pengalaman mereka sendiri untuk dijadikan bahan perubatan.
Budaya dalam
sesuatu bangsa menentukan jenis tumbuhan dan bahagian mana daripada tumbuhan
tersebut yang boleh dimakan, dibuat perhiasan dan dijadikan penawar. Mereka
selalunya tahu mengenai fungsi tumbuhan ubatan dan tumbuhan makanan di mana
tumbuhan ubatan berfungsi sebagai penawar kepada sesuatu penyakit atau sebagai
penghindar daripada sesuatu penyakit.
Tumbuhan makanan
pula berfungsi menghilangkan lapar dan menyihatkan badan. Masyarakat Melayu
mempunyai pertalian yang erat dengan alam sekitar di mana kebanyakkan sistem
perubatan masyarakat Melayu menggunakan tumbuhan ubatan sebagai asas rawatan,
penjagaan kesihatan dan pemakanan.
Masyarakat Melayu
menggunakan pelbagai kaedah dalam penyediaan ramua ubatan dari tumbuh-tumbuhan.
Antara kaedah yang digunakan ialah merebus, celur, perah, menumbuk, menjemur,
merendam, membakar dan melayur adalah beberapa kaedah biasa yang digunakan untuk
menyediakan ramuan ubatan menggunakan tumbuhan. Sapu, gosok, tuam, urut, makan,
minum dan mandi merupakan kaedah penggunaan ramuan ubatan tersebut.
Masyarakat di
Malaysia terkenal dalam amalan penggunaan tumbuhan dalam kehidupan seharian.
Tumbuhan yang digunakan dalam kehidupan seharian ini diperoleh dengan pelbagai
cara. Di dalam masyarakat Semai contohnya, 97 spesies tumbuhan digunakan dari
habitat asli, 62 spesies dijumpai dalam habitat masa kini, dan 888 spesies
tidak ditanam iaitu hidup meliar. Penggunaan tumbuhan herba tidak terkecuali
juga bagi masyarakat Sabah dan Sarawak.
Taburan pelbagai
masyarakat di kawasan yang kaya dengan hasil hutan menyebabkan tumbuh-tumbuhan
turut digunakan sebagai ubatan bagi merawat penyakit. Sebagai contoh di Sabah,
kaum etnik terbesar sepeti Kadazan Dusun, Bajau dan Murut masih mengamalkan sistem
cara hidup tradisional di mana masih menggunakan tumbuhan sebagai bahan
perubatan.
Namun, perubahan
masa menyebabkan generasi baru kurang mengetahui mengenai khazanah alam yang
bernilai tinggi di mana generasi muda berpindah ke kawasan bandar. Bagi
meningkatkan penggunaan tumbuhan herba dalam kehidupan seharian, penyelidikan
berasaskan tumbuhan herba perlu dipertingkatkan.
Pasaran Ubatan Herba
Pasaran ubatan herba di Malaysia mengalami pertumbuhan yang luar biasa, pendekatan penyelidikan baru-baru ini telah meliputi aktiviti untuk membangunkan ubatan herba menjadi produk yang berkualiti, berkesan dan selamat untuk penggunaan manusia. Kemajuan dalam teknik-teknik kromatografi dan spektroskopi telah memberi impak yang sangat besar ke atas pengasingan dan elusidasi struktur kandungan tumbuhan ubatan.
Masyarakat yang
pelbagai etnik dan bangsa yang menjadi pengguna mula terarah kepada produk
semula jadi berasaskan tumbuhan herba di mana mereka kini memilih untuk
menjadikan tumbuhan herba sebagai bahan utama kegunaan harian. Produk
tersebut merangkumi ubat-ubatan, makanan atau produk penjagaan kesihatan
berasaskan herba yang kini semakin popular digunakan dalam kalangan masyarakat.
Penggunaan tumbuhan
dan herba sebagai ubat dalam masyarakat di Malaysia khasnya masyarakat Melayu
telah memakan zaman. Tradisi ini sejajar dengan keistimewaan bumi Malaysia
sebagai sebuah negara kaya dengan pelbagai flora. Keadaan geografi (iklim,
struktur tanah tanih, dan sistem saliran) di sesuatu kawasan yang ditumbuhi
hutan jenis tropika atau khatulistiwa bukan sahaja menawarkan landskap hijau
yang menarik, malah kahijauan hutan tersebut tersimpan banyak manfaat dari segi
berubatan kepada masyarakat yang menggunakannya. Oleh itu, penggunaan herba
dalam kepelbagaian masyarakat sangat popular dan menjadi amalan sehingga kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan