Rabu, 3 Januari 2024

MEMBACA JAMBATAN ILMU

 SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

'Membaca jambatan ilmu’ merupakan satu ungkapan yang sering kita dengar apabila berbicara tentang tabiat membaca. Melalui ungkapan itu, kita mengetahui bahawa membaca merupakan satu budaya atau tabiat yang penting untuk mendapatkan ilmu dan maklumat dalam era globalisasi ini walaupun kita telah dihidang dengan pelbagai sumber maklumat yang lain seperti internet.

Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil untuk memastikan tabiat atau budaya membaca dalam kalangan masyarakat, antaranya ialah peranan ibu bapa dalam membentuk minat membaca dalam diri anak-anak mereka sejak mereka kecil lagi. Melalui cara ini, kanak-kanak yang telah dididik dengan cara hidup sedemikian akan membawa tabiat itu sehingga mereka dewasa dan menerapkan perasaan minat membaca kepada generasi seterusnya. Hal ini secara tidak langsung akan meningkatkan budaya membaca di samping memastikan tabiat tersebut sentiasa berterusan dalam kalangan masyarakat.

Di samping itu, kerajaan turut mempunyai peranan yang penting dalam memastikan minat dan budaya membaca ini meningkat dalam kalangan masyarakat Malaysia. Kerajaan telah mengadakan pelbagai kempen yang mempunyai objektif yang sama iaitu memupuk minat membaca selaras dengan status negara kita sebagai sebuah negara yang sedang membangun di samping meningkatkan keberkesanan kempen yang sedia ada.

Walaupun mentaliti masyarakat kita masih berada pada tahap yang rendah, namun masih belum terlambat lagi untuk mengubah persepsi mereka terhadap budaya membaca yang selalunya dianggap sebagai sesuatu yang membosankan dengan menarik minat mereka untuk turut serta dalam kempen-kempen yang diadakan oleh kerajaan. Dengan cara ini, minat membaca boleh dipupuk dari segenap peringkat umur masyarakat di samping memastikan matlamat negara tercapai iaitu membentuk masyarakat yang mempunyai mentaliti kelas pertama setanding dengan negara-negara maju yang lain.

Di peringkat universiti pula, langkah yang boleh diambil untuk menerapkan minat membaca khususnya dalam kalangan pelajar, antaranya ialah meningkatkan keberkesanan pengurusan perpustakaan universiti dan membaiki suasana perpustakaan supaya lebih tenang dan menarik minat pelajar-pelajar untuk sentiasa mengujunginya.

Selain itu, pihak universiti boleh mengadakan lebih banyak program yang berkaitan dengan pembacaan seperti pertandingan pidato atau menulis cerpen atau esei. Hal ini akan menyuburkan budaya membaca dalam diri setiap pelajar di samping mewujudkan semangat untuk bersaing antara satu sama lain.

Media massa sama ada media cetak atau media elektronik merupakan sahabat karib kerajaan. Justeru, keberkesanannya dalam mempromosikan setiap kempen yang diadakan kerajaan tidak boleh disangkal lagi. Iklan-iklan yang berkaitan dengan kempen-kempen membaca yang diadakan oleh kerajaan atau badan-badan bukan kerajaan mestilah cukup menarik untuk mencuri perhatian masyarakat supaya sedar tentang kebaikan membaca di samping mendorong mereka untuk menyertai kempen yang diadakan.

Selain itu, media cetak seperti surat khabar atau majalah ilmiah hendaklah menyiarkan artikel-artikel yang menarik supaya pembaca tertarik untuk membacanya. Selain memupuk minat membaca, hal ini juga akan mendedahkan masyarakat terhadap isu-isu semasa di dalam mahupun luar negara.

Tuntasnya, amalan membaca yang mempunyai banyak kelebihan hendaklah dipupuk dalam diri setiap ahli masyarakat. Pihak-pihak yang bertanggungjawab seharusnya memikirkan dan mencari jalan supaya membaca menjadi amalan dan budaya masyarakat Malaysia dalam mengejar pembangunan global.

Pada zaman moden ini buku mengenai apa juga ilmu serta buku-buku cerita boleh didapati di mana-mana sahaja. Harga buku amatlah murah berbanding dengan ilmu yang terkandung di dalamnya. Kedai-kedai buku membekalkan ribuan buku dengan berbagai tajuk, sehingga dengan perbelanjaan sedikit sahaja kita dapat mendalami seribu satu bidang ilmu yang boleh memperkayakan akal fikiran kita. Hanya yang diperlukan ialah minat membaca. 

Pada zaman dahulu buku tidak begitu mudah didapati. Ia dianggap sebagai alat pengetahuan yang ajaib dan terhad kepada orang-orang tertentu sahaja. Kulit-kulit buku dahulu disalut dengan logam dan mempunyai kunci supaya hanya orang-orang yang tertentu sahaja boleh membuka buku dan membaca isi kandungannya. Ini adalah kerana isi kandungan buku memberi pengetahuan yang ditegah bagi orang biasa. Sebabnya ialah kerana pengetahuan yang mungkin didapati dipercayai boleh memberi kuasa istimewa kepada pemiliknya. 

Hari ini tidak ada lagi larangan bagi sesiapa pun untuk membaca dan menerap apa juga ilmu dalam mana-mana buku. Yang dahulu dilarang, sekarang sudah didedah dan dibukakan kepada sesiapa sahaja yang ingin mengetahuinya. Bagi manusia yang bersyukur, peluang keemasan ini tidak boleh dilepaskan. Secara kebetulan, membaca dan menerapkan ilmu dengan mudah ini adalah satu nikmat yang perlu kita hargai dan kita gunakan dengan sepenuhnya. 

Masyarakat yang jahil tidak akan mengecapi kebahagiaan. Mereka akan hidup untuk makan, minum, tidur dan memenuhi nafsu sahaja. Masyarakat yang hidup kerana memenuhi nafsu semata-mata akan ditindas dan diperalatkan oleh orang yang berpengetahuan. Mereka akan diperhambakan. Mereka akan menjadi masyarakat yang tidak bermaruah. 

Pada zaman di mana segala ilmu dibukukan dan banyak terdapat kemudahan membaca, tidak ada alasan bagi mana-mana masyarakat menjadi jahil. Sudah tentu di Malaysia, di mana pelajaran asas boleh didapati secara percuma, kegagalan menimba ilmu daripada buku-buku tidak boleh dipertahankan. Sudah tentu tidak ada sesiapa pun yang boleh mendalami semua ilmu yang dapat diperolehi sekarang.

Tetapi, rakyat di negara yang ingin maju mestilah faham dengan lebih luas akan perkembangan-perkembangan yang mempunyai kesan terhadap kehidupan mereka. Ini bermakna kefahaman serba sedikit berkenaan alam sekeliling, sejarah, sains dan teknologi dan agama. Rakyat yang lebih berpengetahuan akan menjadi lebih waras dan lebih cekap dalam mempertimbangkan reaksinya terhadap segala kejadian dan tindakan yang mempunyai kesan kepada diri mereka dan kepada masyarakat. Sudah tentu masyarakat yang dianggotai oleh rakyat yang waras dan bertanggungjawab akan menjadi lebih maju dan bahagia. 

Penerapan ilmu daripada buku-buku tidak bermakna membaca buku-buku yang khusus untuk ilmu-ilmu tertentu. Buku-buku novel juga dapat membekalkan berbagai ilmu kepada pembacanya. Di samping itu, kita dapat mengenali pemikiran penulis dan falsafahnya. Banyak daripada cerita yang dihasilkan oleh penulis-penulis terkenal seperti Tolstoy, Dickens, Pramoedya, Zurinah Hassan, Shahnon Ahmad dan lain-lain mempunyai analisa sosial yang mempengaruhi aliran pemikiran dan pembangunan masyarakat pada zaman-zaman tertentu. 

Untuk memperolehi ilmu, kita tidak boleh memiliki nasionalisme yang terlalu sempit. Sepertimana juga kita sanggup menjelajah ke negara jauh dan menguasai bahasa-bahasa asing untuk mendapat ilmu, begitu juga kita harus menguasai bahasa-bahasa lain untuk membaca buku-buku dalam bahasa asing. 

Walau bagaimana kita berusaha sekalipun, tidak mungkin kita boleh mengalih-bahasakan semua buku di dunia ini. Oleh itu, untuk mendapat faedah daripada pembacaan buku, penguasaan bahasa-bahasa asing amatlah penting. Jika kita ingin menterjemahkan buku bahasa asing sekalipun, kefasihan dalam bahasa-bahasa asing adalah perlu. Pada zaman moden ini, orang yang berilmu mesti menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa iaitu bahasa ibunda atau bahasa kebangsaannya dan satu lagi bahasa asing. Orang biasa juga perlu mengetahui sedikit-sebanyak bahasa asing.

Dengan itu, maka akan terbukalah sumber ilmu yang lebih luas kepadanya terutama melalui pembacaan buku-buku dalam bahasa asing. Semangat kebangsaan seseorang itu tidak akan terjejas kerana ia faham dua atau tiga bahasa. Yang penting ialah ia tidak membelakangkan bahasanya sendiri dan menjadi warganegara yang berilmu. Warganegara yang jahil tidak dengan sendirinya menjadi warganegara yang setia.

Demikian juga warganegara yang boleh bertutur lebih daripada satu bahasa tidak semestinya tidak setia. Jika kerana mengejar ilmu kita perlu menguasai bahasa-bahasa lain, kita tidak harus teragak-agak menguasai bahasa-bahasa ini. Dengan keupayaan membaca buku-buku dalam bahasa lain, kita akan memperolehi ganjaran yang tidak ternilai harganya. Jika ilmu yang kita perolehi dalam bahasa lain diedarkan pula dalam bahasa kita sendiri, maka akan bertambah kukuh dan berkesanlah bahasa kita. 

Maklumat yang kita perolehi menunjukkan bahawa ramai daripada penuntut kita membaca hanya buku-buku teks mereka sahaja. Sebahagian besar daripada mereka yang tamat pelajaran, di semua peringkat, tidak membaca buku lagi, walaupun akhbar biasanya menarik minat mereka. Keadaan ini menyedihkan. Demikianlah keadaannya sehingga Kerajaan terpaksa mensyaratkan bahawa hanya calon yang membaca sekurang-kurangnya 3 buah buku, yang bukan buku teks, akan dipilih untuk menjadi guru. Alangkah sedihnya kerana kita terpaksa mengupah untuk menentukan kita membaca. Sepatutnya di Malaysia yang mewah dengan bahan-bahan bacaan, kita mensyaratkan hanya mereka yang banyak membaca buku sahaja yang akan dipilih untuk sesuatu jawatan. 

Minat membaca ini perlu dipupuk dari bangku sekolah lagi. Sepatutnya murid atau penuntut tamat membaca semua buku teks mereka pada bulan pertama buku-buku itu didapati. Sepatutnya semua murid meminjam buku perpustakaan untuk dibaca di rumah. Sepatutnya waktu rehat atau recess digunakan juga untuk membaca di perpustakaan. 

Dalam usaha menyemai minat membaca ini, para guru harus memainkan peranan utama. Pelajar-pelajar yang membaca buku-buku selain daripada buku teks mestilah diberi kepujian. Jika ia menggunakan buku-buku ini sebagai sumber dalam rencana atau apa juga kegiatan pelajaran, ini patut diiktirafkan. 

Guru sendiri haruslah lebih membaca, termasuk buku-buku perpustakaan yang mungkin dibaca oleh murid. Sudah tentu buku-buku lain yang boleh meningkatkan keupayaan guru mengajar perlu dibaca. Dengan ini, murid akan kagum terhadap pengetahuan guru dan mereka akan lebih menghormati guru. Ini akan memudahkan proses pemindahan ilmu dari guru kepada murid. 

Ramai orang suka membaca tetapi menghadapi masalah tidak tahu apakah buku-buku terutamanya buku-buku baru yang diterbitkan di negara ini. Ini ialah kerana maklumat atau publisiti mengenai buku-buku itu tidak mencukupi. Para pembaca terpaksa mencari-cari buku di kedai-kedai buku, dan malangnya tidak semua kedai ada menyimpan atau menjual buku-buku itu. Lagipun, kedai-kedai buku lebih banyak terdapat di kawasan-kawasan bandar, dan jarang atau tidak terdapat di kawasan-kawasan luar bandar. Jadi sukarlah pembeli hendak mendapatkan buku-buku yang mungkin mereka ingin beli atau baca. 

Untuk mengatasi masalah ini, disyorkan supaya Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) atau Persatuan Penerbit Buku mengeluarkan katalog buku baru tiap-tiap tahun untuk diedarkan percuma atau dijual dengan harga yang berpatutan kepada orang ramai bagi panduan mereka. Di samping itu, peranan akhbar yang sekarang membuat ulasan mengenai buku-buku baru haruslah dipertingkatkan.

Satu halaman patutlah dikhaskan kepada ringkasan buku-buku yang dianggap bermutu tinggi, jika tidak oleh akhbar harian sekurang-kurangnya oleh akhbar mingguan. Kita tidak patut lupa bahawa akhbar juga merupakan bahan bacaan. Jika teknik akhbar diguna untuk mempopularkan bacaan rencana yang berilmiah, tidak dapat tidak negara akan mendapat banyak manfaat dan minat membaca akan dipertingkatkan. 

Mungkin ada baiknya juga buku umum untuk bacaan orang ramai diterbitkan dalam bentuk yang murah, misalnya dalam edisi ‘paperback’. Ini akan membolehkan lebih ramai lagi orang membeli buku. Di samping itu, lebih banyak buku terjemahan daripada bahasa-bahasa asing hendaklah diterbitkan, terutamanya karya-karya oleh penulis-penulis terkemuka dari seluruh dunia.

Jadikanlah buku sebagai teman hidup sehari-hari, kerana buku adalah jambatan ilmu yang dapat menghubungkan kita dengan alam persekitaran kita, dengan masyarakat kita, dengan negara kita dan dengan dunia luar. Melalui buku dan pembacaan, kita akan dapat membentuk suatu budaya dan tradisi nilai dan pemikiran bangsa yang akan menjadi asas kekuatan bangsa dan negara. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA