SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
Berbekam atau menghisap darah merupakan satu aktiviti yang biasanya dibuat setiap tahun sebelum menjelangnya bulan Ramadhan. Bekam adalah persediaan bagi orang-orang yang akan menjalani ibadah puasa. Dipercayai bahawa sesuatu penyakit itu dapat dihilangkan dengan cara berbekam atau mengeluarkan darah-darah dari kepala atau dari mana-mana bahagian tubuh seseorang.
Selain daripada bahagian belakang
kepala, bahagian-bahagian yang biasanya dituris untuk tujuan bekam ialah, bahu,
lutut, pinggang dan di perut betis atau ‘anak anjing’. Tempat-tempat ini
dipercayai sebagai tempat terkumpulnya darah penyakit atau darah kotor.
Berbekam biasanya dibuat pada awal pagi iaitu sebelum orang yang akan dibekam
itu mandi dan bersarapan. Ini adalah bagi menjamin pengaliran darah penyakit
keluar lebih banyak dari masa-masa lain.
Sebelum berbekam, sebaiknya senaman
dilakukan agar perjalanan darah di dalam badan menjadi licin dan mengalir
keluar dengan mudah apabila dihisap oleh tukang bekam. Tukang bekam akan
membawa bersamanya alat-alat yang akan digunakan dalam kerja-kerja membekam
seperti pisau cukur, tanduk lembu, lilin, besi pencucuk lilin, sabut kelapa
atau kain buruk dan beberapa biji tempurung.
Kebiasaannya setiap orang akan
berbekam akan membawa sebutir tempurung jantan yang tidak berlubang. Darah yang
akan keluar apabila dibekam akan dimasukkan ke dalam tempurung tersebut dan
ditanam ke dalam tanah. Darah dari proses bekam itu akan ditanam di
tempat-tempat sejuk di bawah pokok nipah atau pokok pisang. Adalah dipercayai
bahawa orang yang berbekam itu akan berasa sejuk sepanjang hari.
Sebelum berbekam, seseorang itu perlu
berada pada keadaan tenang dan berniat bahawa berbekam itu adalah satu ibadat
sunat. Adalah difahamkan bahawa amalan berbekam ini pernah menjadi amalan
Rasulullah s.a.w dan dilakukan oleh orang-orang Islam sebagai cara untuk
mengeluarkan penyakit. Hampir lapan ratus tahun dahulu apabila orang-orang
Melayu menerima ajaran Islam, mereka juga turut menerima amalan berbekam
daripada orang-orang Arab tetapi menggunakan cara atau kaedah orang Melayu
sendiri.
Kebiasaannya rambut di bahagian
belakang kepala akan dibekam di cukur seulas mulut tanduk iaitu lebih kurang
dua inci persegi. Mulut atau pangkal tanduk lembu akan diletakkan di tempat
yang akan dibekam. Tukang bekam akan menghisap darah dari lubang kecil di
hujung tanduk hingga wujud hampagas di dalam tanduk dan tanduk itu akan melekat
di kepala. Lubang kecil di hujung tanduk itu akan ditutup dengan lilin.
Selepas beberapa minit, tanduk itu
akan ditanggalkan dengan mencucukkan lilin yang melitupi lubang di hujung
tanduk itu dengan sebatang besi sebesar paku kecil. Bahagian kepala yang sudah
dibekam akan membengkak dan meninggalkan kesan sebesar keluasan mulut tanduk
tersebut. Kulit kepala akan dituris dengan pisau penyukur sekurang-kurangnya
sebelas turisan. Setiap turisan itu sepanjang satu milimeter dan hanya
melukakan kulit sahaja. Kulit kepala yang ditoreh itu tidak akan berasa sakit
kerana kulit kepala menjadi tegang akibat daripada hisapan tukang bekam.
Tanduk akan dilekapkan semula di atas
turisan. Hisapan akan dibuat sekali lagi oleh tukang bekam untuk mewujudkan
hampagas di dalam tanduk. Hampagas atau vakum yang tercipta di dalam ruang
tanduk akan menyebabkan darah mengalir keluar dan terkumpul di dalam tanduk.
Orang yang berbekam perlu berada dalam keadaan menunduk kepalanya ke bawah
supaya tanduk yang kian dipenuhi oleh darah dapat diimbangi dengan sempurna.
Setelah tanduk dipenuhi dengan darah
berhenti mengalir, tukang bekam akan menanggalkan tanduk dan membuangkan darah
itu ke dalam tempurung. Bahagian yang berdarah akan dibersihkan dengan sabut
kelapa dan tanduk yang telah dibersihkan dilekapkan semula di kepala orang yang
berbekam. Proses menciptakan hampagas atau vakum itu dilakukan sebanyak tiga
kali dengan menghasilkan tiga tanduk darah. Kerja berbekam dikira selesai untuk
tahun itu bagi orang yang berbekam walaupun masih terdapat lagi darah yang dianggap
berpenyakit boleh disedut keluar.
Darah di dalam tempurung itu akan
dikaji oleh golongan tua. Darah yang berbuih menunjukkan terdapat angin dalam
saluran darah seseorang. Keadaan ini akan menyekat pengaliran darah di dalam
badan dan menyebabkan sakit kepala serta lenguh. Darah yang beku dan hitam
serta badan yang panas menunjukkan pesakit memerlukan ketenangan dan tidak
perlu memakan ubat-ubatan yang panas lagi. Darah yang mengandungi air pula
selalunya akan menyebabkan sakit di sendi dan tulang-tulang. Apabila darah ini
dikeluarkan, seseorang itu berada dalam keadaan yang agak baik dan dapat
berpuasa dengan selesa.
Setelah selesai berbekam, tukang bekam
akan memicit tengkok dan bahu orang yang berbekam agar kembali segar dan pulih
semangatnya. Beliau seterusnya boleh bersarapan dan mandi. Orang yang berbekam
juga dinasihatkan agar tidak tidur pada sebelah siangnya kerana ditakuti
bahagian yang dituris tadi akan tertekap pada bantai dan ini akan menyebabkan
pengaliran darah tadi dimasuki angin kotor dan perlu dibekam semula.
Orang yang telah berbekam boleh
menjalani ibadah puasa dengan lebih yakin kerana dipercayai tidak menghadapi
masalah pening kepala apabila dikejutkan untuk bersahur. Kesihatan juga tidak
terganggu walaupun dalam keadaan tidak cukup tidur setiap malam di sepanjang
bulan puasa. Masyarakat di Timur Tengah mencipta hampagas dengan membakar
secebis kertas di dalam gelas kecil yang dilekapkan di kelapa atau ditempat
yang hendak di bekam. Gelas ini menggantikan tanduk. Masyarakat di pendalaman
Pulau Jawa menggunakan lintah untuk menyedut darah berpenyakit keluar.
Biasanya tiga ekor lintah digunakan
untuk menyedut darah keluar dari kepala seseorang. Adakalanya sebanyak tujuh
ekor lintah diperlukan untuk seseorang yang sering menghadapi masalah sakit
kepala yang keterlaluan.
Cara-cara Berbekam
- Mencukur
rambut yang hendak dituris untuk dibekam.
- Di
bahagian belakang kepala pesakit selepas dicukur rambut seluas 6cm ataupun
seluas mulut tanduk.
- Tempat
yang telah dicukur ditanda dengan tanduk sebelum ditores.
- Kulit
kepala dituris dengan pisau cukur sekurang-kurangnya 11 turisan.
- Setiap
turisan itu sepanjang 1mm dan hanya untuk melukakan kulit kepala sahaja.
- Kesan
kulit kepala yang telah dituris.
- Bomoh
bekam sedang menghisap darah dari lubang kecil tanduk.
- Lubang
kecil di hujung tanduk itu di tutup dengan menggunakan tanah liat.
- Bomoh
bekam mengurut badan dan kepala pesakit supaya perjalanan darah berjalan
dengan lancar.
- Tanduk
dibiarkan di kepala selama 15 minit.
- Tanah
liat digunakan untuk menutup di hujung tanduk dibuka semula untuk
mengeluarkan udara yang terdapat di dalam tanduk.
- Tanduk
yang dibekam di kepala dicabut untuk mengeluarkan darah kotor yang telah
disebut.
- Darah
yang terdapat di kulit kepala.
- Darah
yang terdapat di tanduk.
- Darah
kotor yang dikeluarkan diletakkan di dalam tempurung.
- Tempat
yang telah dibekam, disapukan minyak angin untuk memberhentikan darah
keluar dari kepala.
- Kepala yang telah selesai dibekam meninggalkan bekas-bekas turis
Peralatan-peralatan Bekam
Peralatan-peralatan yang digunakan untuk berbekam ialah tanduk lembu atau kerbau (16 cm - 25 cm), gunting, pisau cukur, dawai, tempurung jantan yang tidak berlubang, dan tanah liat.
Merawat Penyakit Dengan Berbekam
Bekam dapat mencegah dan merawat penyakit dan amat berkesan untuk melegakan atau menghilangkan kesakitan, memulihkan daya tahan tubuh (imuniti), mengembalikan fungsi fizikal biasa serta memberi harapan baru kepada pesakit. Tubuh yang sihat, fikiran yang sihat dan hati yang bersih adalah faktor penting di dalam hidup seorang individu muslim demi melaksanakan tanggung jawab kehidupan mereka sebagai hamba Allah s.w.t dan khalifah di atas muka bumi.
Longgokan
toksid yang banyak dalam badan akan menyebabkan penyumbatan dalam saluran
darah; dan akhirnya darah tidak dapat berjalan dengan lancar. Keadaan ini akan
menggangu kesihatan. Seseorang itu akan merasa malas, murung, selalu merasa
kurang sihat, cepat bosan dan cepat naik darah. Ditambah lagi dengan angin yang
susah dikeluarkan, maka kita akan berjumpa penderita yang terganggu emosinya
sehingga sampai ke tahap harus bertemu dengan pakar psikologi atau dotor rohani
(ulama sufi).
Darah yang
tersumbat harus dikeluarkan melalui berbagai macam cara, tetapi malangnya
ubat-ubatan alopati tidak mampu bertindak demikian. Jadi kita harus mencari
perawatan alternatif yang dapat mengeluarkan toksid tersebut dengan cepat dan
selamat agar sistem imuniti tidak lemah dan tubuh tidak diserang penyakit.
Bekam adalah satu cara yang amat berkesan untuk mengatasi masalah ini, malah
proses penyembuhan penyakit dapat dipercepatkan jika disinergikan dengan herba-herba
yang bersifat alami.
Berbekam
dalam keadaan perut kosong adalah ubat, tetapi menjadi penyakit jika dilakukan
dalam keadaan perut penuh. Allah s.w.t mewajibkan kita umat Islam untuk
berpuasa dalam setahun selama sebulan dalam bulan ramadhan untuk menyucikan
rohani, maka wajarlah umat ini untuk kembali mengamalkan sunnah berbekam
sebulan sekali bagi membersihkan jasmani.
Bekam
adalah nama lain dari al-hijamah
(Arab), cupping (Inggeris), ba guan (China). Istilah bekam berasal
dari bahasa Melayu (yang diadaptasi juga dalam Bahasa Indonesia), yang bererti
melepas (membuang) darah kotor (toksin) atau angin dari badan. Dari Ibnu Umar
r.a., bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Tidaklah aku melalui satu dari
langit-langit yang ada melainkan para Malaikat mengatakan, ‘Hai Muhammad,
perintahkan umatmu untuk berbekam, kerana sebaik-baik sarana yang kalian
pergunakan untuk berubat adalah bekam, al-kist
(cendana india) dan syuniz (jintan
hitam)’.
Menggambarkan
pentingnya bekam, ulama terkemuka dari Kaherah, Syekh Muhammad Yusuf Qardhawi
menyatakan, ‘Kalau suatu negara kefakiman ahli bekam, nescaya kebinasaan
mengancam, yang bererti pula mereka menyerahkan dirinya kepada kebinasaan.
Padahal Tuhan yang menurunkan penyakit, Dia juga menurunkan ubatnya dan Ia
membimbing umat manusia untuk menggunakan ubat tersebut’.
Dalam ilmu
kedoktoran Islam, bekam tidak boleh sembarang dilakukan. Bekam hanya boleh
dilakukan pada pembekuan atau penyumbatan dalam pembuluh darah, kerana fungsi
bekam yang sesungguhnya adalah untuk mengeluarkan darah kotor dari dalam tubuh.
Bekam merupakan pengubatan yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. Dari Ibnu
Abbas r.a. Rasulullah bersabda: ‘Kesembuhan (ubat) itu ada pada tiga hal;
dengan minum madu, pisau hijamah (bekam), dan dengan besi panas. Dan aku
melarang ummatku dengan besi panas.’ (Hadis Bukhari)
Madu
menjadi dasar dari ubat-ubatan herba, bekam menjadi dasar kepada pembedahan,
sedangkan besi panas (api) menjadi dasar kepada pengubatan melalui laser. Hadis
yang diriwayatkan oleh Tarmidzi menyatakan, bahawa Rasulullah s.a.w mengarahkan
pengikut-pengikutnya menggunakan bekam sebagai kaedah pengubatan penyakit.
Baginda memuji orang yang berbekam, ‘Dia membuang darah yang kotor, meringankan
tubuh serta menajamkan penglihatan.’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan