Rabu, 3 Januari 2024

TABIAT SUKA MEMBACA

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

 

SAYA selalu menyebutkan bahawa berdasarkan nilai, industri buku negara kita sebenarnya lebih kecil daripada industri ayam pedaging (broiler chicken). Hari ini nilai industri buku negara dikatakan RM1.5 bilion setahun tetapi angka itu banyak dipertikaikan oleh mereka yang terbabit dalam industri sendiri. Apa yang kita tahu industri ayam pedaging melebihi RM2 bilion di negara ini. Tambahan pula industri buku di negara ini banyak tertumpu pada buku yang berkaitan dengan sekolah. Hanya 30 peratus jumlah penerbitan buku di negara ini buku bacaan umum.


Dalam setahun, Malaysia menerbitkan paling banyak 6,500 judul baru oleh lebih 200 penerbit yang dikatakan aktif. China menerbitkan 180,000 judul buku baru setahun, United Kingdom (UK), 160,000 judul, Amerika Syarikat (AS) 60,000 dan Korea Selatan 40,000. Sasaran kita, berdasarkan jumlah penduduk sepatutnya 12,000 judul buku setahun.


Penerbit negara ini yang mensasarkan buku untuk umum biasanya memberikan perhatian pada novel ringan atau buku agama. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selain diberikan amanah menerbitkan buku teks sekolah, mengeluarkan juga lebih 300 judul buku umum pelbagai disiplin. Moral ceritanya, bilangan buku untuk negara ini tidak mencukupi dan sasaran untuk memastikan lebih banyak buku dalam kategori buku umum belum dicapai.


Industri buku adalah industri berbilion ringgit di dunia. Hari ini di dunia, sebuah buku baru terbit setiap 30 saat. Lebih 50 juta judul buku terbit sejak terciptanya mesin Gutenberg yang memungkinkan percetakan meluas pada pertengahan abad ke-15. Buku tidak mati kerana televisyen atau internet. Malah pada 1950-an apabila televisyen mula membuat impaknya, dalam setahun 250,000 judul buku baru terbit di dunia. Pada 2000, sejuta judul buku baru diterbitkan. Hari ini tahun 2017 jumlah itu sudah pasti bertambah.

Ramai orang meramalkan teknologi komunikasi maklumat (ICT) akan membunuh buku. Memang kesan internet cukup luar biasa. Hari ini ada lebih 203 juta pengguna internet di AS dan 100 juta di China. Di seluruh dunia, pengguna internet akan mencecah setengah bilion manusia atau seorang bagi setiap 12 orang. Sasaran untuk menangani jurang digital oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ialah 25 pengguna internet bagi 100 penduduk.

Kita hanya mencapai tujuh orang bagi setiap 100 orang masa kini. Kesan internet tidak boleh dipandang ringan. Generasi muda tidak mengenal medium lain. Mereka menghabiskan banyak waktu melayari internet. Malah oleh kerana internet, sungai maklumat yang mengalir deras dan tanpa dasar, pelbagai bahan boleh diperoleh melaluinya tanpa perlu ke perpustakaan atau membuka buku.

Hari ini, internet menjadi sumber rujukan utama bagi 80 peratus pelajar di negara maju. Bukan itu saja, internet menjanjikan perpustakaan digital yang luar biasa kandungannya. Internet juga menjadi wahana pendemokrasian ilmu dengan cara yang cukup luar biasa. Bayangkan Wikipedia, iaitu ensiklopedia melalui talian – gesit, percuma dan terbuka.

Apakah buku dalam bentuk tradisionalnya akan pupus? Apakah buku akan hilang pengaruhnya sebagai sumber ilmu?

Sekiranya dilihat daripada kejayaan siri buku Harry Potter oleh penulis JK Rowling, buku nampaknya masih ada tempatnya di dunia. Sejak munculnya Harry Potter and the Philosopher’s Stone pada 1997, sebanyak 365 juta buku dalam siri itu daripada enam judul terjual di seluruh dunia. Pada hari pertama buku ketujuh yang diberi nama Harry Potter and the Deathly Hallows dijual, pembeli merebut 10 juta naskhah buku tersebut. Buku itu membantu meningkatkan sehingga 25 peratus jualan buku kanak-kanak di UK dan AS.

Tetapi tidak semua penulis bernasib baik seperti Rowling. Tidak semua penerbit mempunyai penulis seperti itu. Setiap penerbit berharap satu daripada 100 judul yang diterbitkannya menjadi buku laris. Di negara ini, sebuah novel yang serius sekiranya dicetak 2,000 naskhah mengambil masa lima tahun untuk menghabiskan stoknya.


Memang terlalu awal untuk mengisytiharkan ‘kematian’ buku, tetapi ada petanda bahawa pilihan baru dalam talian akan menjadi cabaran hebat bagi buku. Secara jujurnya, ramai penerbit akhbar gelisah dengan saingan TV24, akhbar melalui talian dan pengaruh berita ringkas melalui SMS. Malah, hampir setiap akhbar arus perdana mempunyai versi taliannya.


Dalam filem Minority Report, pelakon Tom Cruise hanya perlu menyentuh skrin untuk memilih bahan berita yang diperlukannya. Hari ini iLiad eReader memungkinkan hal itu. Akhbar boleh dibaca bukan saja dalam bentuk PDA tetapi melalui ‘tablet’ atau papan elektronik mudah alih.


Mengambil kira waktu membaca yang semakin kurang dan asakan teknologi yang semakin hebat, nasib buku dalam bentuk tradisionalnya kini tercabar. Malah, minat terhadap buku dalam bentuk asalnya menandakan sikap baru pengguna industri ilmu. Hal ini mungkin dikesan oleh penganjur Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kebelakangan ini. Mereka mendapati lebih 90 peratus pengunjung ke pesta itu adalah orang Melayu.


Siapa pun yang mengikuti pesta atau pameran ICT akan sedar bahawa lebih 80 peratus pengunjungnya kaum Cina. Apakah ada peringatan tertentu dalam konteks ini? Bahawa orang Cina memula langkah ke hadapan menyesuaikan diri mereka dengan teknologi terbaru sedangkan orang Melayu masih berpegang pada tradisi menimba ilmu cara lama? Atau sememangnya orang Melayu liat menerima perubahan?


Dalam taklimatnya kepada media, Pengerusi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Datuk Noh Omar memohon perhatian media berbahasa Mandarin dan Tamil agar turut memberikan perhatian pada PBAKL yang sering berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Harapan itu nampaknya menggambarkan hasrat penganjur agar PBAKL mendapat perhatian kaum lain juga.


PBAKL sudah banyak kali diadakan. Tidak dapat dinafikan ia menjadi sebahagian daripada kalendar kegiatan perbukuan rantau ini. Berdasarkan jumlah pengunjung, Datuk Noh Omar pernah memaklumkan bahawa pada 2007, 1.2 juta orang mengunjunginya. Sasaran setiap tahun selepas 2007 ialah melebihi 1.5 juta pengunjung dan pada PBAKL tahun 2017 diharapkan pengunjungnya melebihi 2 juta orang.


Pada pandangan saya, nampaknya MBKM dan semua yang terbabit dalam industri buku di negara ini harus berfikir di luar kotak. Industri buku berada di persimpangan. Usaha menyemarakkannya tidak harus dilakukan hanya dengan pesta buku, kempen membaca atau insentif kepada penerbit. Apa yang penting ialah memahami perubahan senario industri ilmu semasa serta tabiat baru pembaca. Hari ini orang masih membaca, cuma mediumnya berbeza. Suatu waktu dulu, pembaca akhbar menghabiskan purata 3 jam 14 minit sehari, hari ini jumlah itu tinggal 20 minit saja.


Generasi muda bukan tidak membaca tetapi mereka ‘membaca’ di layar komputer. Teknologi baru mengubah cara manusia berkomunikasi, berinteraksi malah berkerajaan. Dunia ilmu tidak terkecuali. Hari ini ada penerbit yang memanfaatkan teknologi terbaru untuk memberikan alternatif pada dunia buku. Novel SMS misalnya popular di Jepun masa ini.


Dunia bergerak pantas. Industri buku harus bergerak sederap dengan perubahan teknologi. Selalunya kelompok tradisionalis dalam industri buku leka dengan kegemilangan silam, enggan membuat anjakan dan selesa dengan kaedah yang sedia ada. Industri buku memerlukan pemikiran baru dan dilihat dari kanta baru. Moga-moga pesta buku atau PBAKL yang diadakan setiap tahun akan menjadi katalis penting mengorak langkah pada era kegemilangan baru industri buku negara. Jikalau tidak industri itu akan ditinggalkan zaman.

Memupuk Minat Membaca Masyarakat

Masyarakat negara ini belum boleh dianggap masyarakat pembaca. Amalan itu belum menjadi budaya kita, tetapi ia tidak bermakna kita tidak boleh melakukan perubahan seiring kemajuan negara dan peningkatan ilmu. Jika ada usaha bersungguh-sungguh ke arah itu mungkin pada suatu hari nanti kita juga akan berubah dan menjadi seperti masyarakat Barat dan Jepun yang memperoleh keseronokan tersendiri daripada membaca.


Secara umumnya, masyarakat kita lebih suka duduk bersembang atau menonton televisyen tanpa menyedari bahawa perlakuan sedemikian hanya membuang masa dan tidak membawa manfaat kecuali segelintir orang yang sudah mulai berjinak dengan buku.


Justeru, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sering menggesa supaya rakyat menerapkan sikap gemar membaca kerana tabiat suka membaca ini boleh menjadikan Malaysia sebagai ‘negara pembaca’ yang setaraf dengan penduduk di negara maju. Harus dijadikan isyarat bahawa sesuatu perlu dilakukan bagi membaiki keadaan ini.


Banyak ilmu, maklumat dan pengetahuan boleh digarap daripada buku, walaupun ada sesetengah buku mungkin tidak sesuai dibaca atau tidak mengandungi kandungan yang berfaedah. Namun secara amnya, setiap buku mengandungi maklumat tertentu yang boleh kita petik sebagai pengajaran atau teladan dalam kehidupan.


Ada juga yang boleh kita gunakan sebagai panduan bagi memperbaiki kefahaman bahasa kita, tidak kira apa saja bahasa yang kita kehendaki, terutama bahasa Inggeris. Membaca juga mempunyai motifnya tersendiri. Ada orang membaca kerana ingin mendapat fakta bagi pembelajaran, ada sekadar membaca untuk menghilangkan rasa bosan dan banyak lagi alasannya.


Apa saja motifnya, ia adalah satu lagi langkah ke depan bagi kita untuk menjadi masyarakat pembaca. Jika orang sering menjelajah akan mendapat ilmu yang luas, begitu jugalah orang yang banyak membaca akan menjadi insan yang sarat dengan ilmu di dada. Generasi muda juga kini terdedah kepada pelbagai penulisan kreatif seperti novel remaja yang laris dijual. Novel berbau cinta ini menjadi sebahagian daripada ‘budaya pop’ banyak memaparkan kisah percintaan, pengembaraan dan misteri.


Menjadi harapan kita agar masyarakat kita tidak berterusan menggemari novel cinta dan cerita pelik semata-mata agar kita dapat membebaskan diri daripada dibelenggu bahan bacaan seumpama. Elok juga kita cuba meninjau bahan bacaan lain yang banyak mengandungi maklumat boleh dimanfaatkan. Adalah wajar kita memperluaskan skop bacaan kepada bahan lebih serius dan berunsur ilmu pengetahuan dan kurangkan tumpuan pada cerita gosip dan sastera picisan.


Setiap orang mempunyai cita rasa tersendiri dan tidak kira apa bidang kita minati, terus saja mencari dan membaca kerana jika kita sentiasa menangguhkannya, akhirnya kita tidak akan dapat menghabiskan satu buku pun dalam setahun. Menurut satu kaji selidik, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun secara purata. Angka ini tidak begitu memberangsangkan dan sebagai negara yang serba moden dan mempunyai prasarana canggih, kita mampu mengubahnya.


Apapun, membaca boleh mengubah cara pemikiran pembaca dan seorang penulis yang berjaya mampu mempengaruhi pembacanya. Mungkin sesuai dengan ulang tahun ke-60 kemerdekaan negara tahun ini, elok juga kita cuba melakukan sesuatu yang positif dengan menjadi masyarakat pembaca. Kita boleh memulakannya dengan menyingkap semula susur galur sejarah tanah air.


Bahan bacaan mengenai perjuangan rakyat kita dulu sejak zaman pramerdeka sehinggalah zaman pengisian kemerdekaan boleh didapati dengan mudah di perpustakaan dan ada lagi yang baru diterbitkan, contohnya ‘The Reluctant Politician’ mengenai kehidupan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.


Adalah lebih baik jika kita boleh melangkah ke depan dan menjadikan novel bahasa Inggeris sebagai sebahagian daripada bahan bacaan kita setiap hari. Di samping dapat membaiki kemampuan kita untuk berbahasa Inggeris, kita juga akan mempunyai lebih banyak pilihan buku dari seluruh dunia. Sekiranya benar-benar minat membaca, kita akan berasa sungguh bertuah dapat membaca begitu banyak bahan yang diterbitkan dari negara lain.


Apapun, kita seharusnya mengalu-alukan langkah kerajaan menerusi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Pelajaran kerana memainkan peranan lebih aktif dalam mempromosi kegiatan membaca dan sastera dalam kalangan masyarakat. Kegiatan membaca juga boleh dipertingkatkan menerusi penubuhan kelab bacaan di sekolah dan pada peringkat masyarakat setempat. Dato’ Seri Najib pernah menggariskan tiga pendekatan lain dalam meningkatkan pembangunan bidang sastera pada peringkat nasional dan negeri iaitu seperti menubuhkan perkampungan buku, pasar buku, rangkaian, usaha sama, pertubuhan kesusasteraan, perpustakaan dan memperbanyakkan penerbitan.


Langkah kerajaan atau agensinya untuk mengiktiraf dan memperkenalkan penulis tempatan menerusi pemberian anugerah, pelancaran terbitan buku baru dan lain-lain adalah antara langkah proaktif yang boleh mendorong lebih ramai anggota masyarakat untuk mencintai buku. Media massa juga boleh membantu mempopularkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat dengan menjalankan pelbagai kegiatan termasuk menambah lagi pertandingan menulis novel.


Ruangan khas bagi ulasan buku baru yang kini sudah diwujudkan kebanyakan akhbar arus perdana seharusnya diperluaskan meliputi akhbar lain yang belum mempunyai ruangan berkenaan.


Inisiatif stesen televisyen tertentu untuk mengulas buku baru di pasaran dalam rancangan ‘talk show’ pada waktu pagi juga dialu-alukan. Dengan kemunculan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kita juga boleh memuat-turunkan koleksi buku atau sinopsis mengenai topik tertentu daripada internet, di samping membeli atau membuat pesanan buku melalui online atau membaca saja buku berkenaan menerusi kemudahan e-buku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA