Rabu, 3 Januari 2024

PENCEMARAN AIR

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

AIR merupakan sumber yang penting bagi kehidupan manusia. Air merupakan sumber semulajadi kedua terpenting selepas oksigen. Tanpa air dunia akan menjadi sebuah planet yang tidak bernyawa. 3/4 bahagian bumi diliputi oleh air dan lebih 2/3 daripada berat badan manusia adalah air. Pada amnya, seorang manusia menggunakan 1,000 liter air setahun sebagai minuman.

Air memang mutlak diperlukan dalam kehidupan manusia dan mahluk hidup lainnya. Tanpa air kehidupan tidak dapat berlangsung. Demikian juga dalam kehidupan kita sehari-hari, air sangat diperlukan untuk berbagai kegiatan di dalam rumah tangga, juga untuk pertanian, pengangkutan serta rekreasi.

Di dalam industri, air digunakan antara lain sebagai bahan pengolah, pendingin dan janakuasa tenaga. Air merupakan pelarut yang baik tetapi selalu dicemar dengan kandungan berbagai zat terlarut mahupun zat tidak terlarut serta mengandungi mikroorganisme. Apabila kandungan berbagai zat mahupun mikroorganisme yang terdapat di dalam air melebihi tahap yang diperbolehkan, maka kualiti air akan terganggu sehingga tidak lagi boleh digunakan untuk kegunaan pelbagai keperluan samada untuk air minum, mandi, mencuci atau keperluan lainya. Air yang terganggu kualiti ini dikatakan sebagai air yang tercemar.

Sebenarnya, warna dan bau air dapat memberitahu kita apa yang sedang berlaku terhadapnya. Misalnya seperti air berwarna hijau mengambarkan terdapatnya tumbuhan kecil yang dinamakan rumpair yang tumbuh di dalamnya. Manakala air berlumpur menunjukkan terdapat kandungan kelodakan atau mendapan yang tinggi menyebabkan ikan sukar bernafas. Air yang mempunyai lapisan berkilau pula memberi gambaran bahawa berlaku tumpahan minyak di permukaan air tersebut.

Selain itu, kita juga dapat melihat kadangkala air itu berbuih dan ini menunjukkan kemungkinan sabun dari rumah atau kilang yang mengalir ke dalamnya. Kita juga sering kali melihat air yang mengalir mempunyai lapisan kuning jingga atau kemerahan dan ini berkemungkinan disebabkan oleh pembuangan bahan pencemar oleh kilang ke dalam sungai.

Pencemaran air ialah pencemaran yang berlaku di sungai, tasik dan laut. Lokasi berair sering disalah anggap sebagai tempat pembuangan sampah terutama daripada aktiviti manusia.


Punca utama pencemaran air antaranya ialah pembuangan sampah dari kawasan perumahan di sepanjang sungai, tepi tasik dan laut. Penduduk membuang najis manusia dan najis binatang ternakan seperti ayam, babi, lembu dan lain-lain ke dalam sungai. Sungai Semenyih, sebagai contoh pernah dicemari dengan puluhan ladang babi pada tahun 1980-an.


Kilang memproses getah dan minyak kelapa sawit juga menjadi punca kepada pencemaran air di sungai-sungai di Malaysia. Sisa toksik dibuang dan dialirkan ke dalam longkang, parit, terusan dan seterusnya ke dalam sungai. Pemandangan dari udara ke atas Sungai Juru yang terletak di Seberang Perai, Pulau Pinang menunjukkan warna air di Sungai Juru berwarna hitam pekat apabila sampai di laut.


Petani di Cameron Highland menggunakan baja kimia dan racun serangga sehingga menjejaskan kualiti air minuman di Sungai Terla. Hotel dan rumah kongsi para pekerja tidak mempunyai sistem perparitan yang sempurna menyebabkan najis manusia tidak dirawat dengan betul. Kes ini didedahkan kepada wartawan dan ditontonkan di televisyen. Selepas itu barulah Majlis Daerah Cameron Highland turun padang untuk mengambil tindakan bagi membetulkan keadaan.


Pengilang dari Taiwan dilaporkan mengeksport sisa kimia ke Malaysia dan ditanam di kawasan terpencil di Johor, Malaysia. Beberapa negara maju membuang sisa radioaktif dengan memasukkan sisa ini ke dalam tong-tong dram sebelum membuangkannya ke dalam laut. Tindakan ini boleh merosakkan hidupan marin. Tayar-tayar buruk kononnya akan dijadikan tukun-tukun tiruan di dasar laut terutama di Laut China Selatan. Sesetengah pulau tidak mempunyai sistem pelupusan sampah. Oleh itu wujud ‘pulau sampah’ secara terancang atau tidak dirancang. oleh itu, kita mesti menjaga dan memulihara aair kita.

 

Sungai

Sungai merupakan sejenis saluran air tabii yang besar. Sumber sungai boleh jadi dari tasik, mata air ataupun anak-anak sungai. Dari sumbernya semua sungai menuruni bukit, dan merupakan cara biasa air hujan yang turun di daratan untuk mengalir ke laut atau takungan air yang besar seperti tasik. Mulut, ataupun hujung sungai di laut dipanggil muara, manakala puncanya dipanggil ulu.

Air sungai biasanya terbatas di dalam satu saluran, yang terdiri daripada dasar sungai yang di antara dua tebing di kiri dan kanan. Kebanyakan curahan hujan di darat akan melalui sungai dalam perjalanannya ke laut. Sesebuah sungai (river) biasanya terdiri dari beberapa anak sungai (stream) yang bergabung.

Antara sungai-sungai yang terkenal di dunia ialah Sungai Nil (6,690 km), Sungai Amazon (6,452 km), Sungai Yangtze (Chang Jiang) (6,380 km), Sungai Mississippi-Missouri (6,270 km), Sungai Yenisei-Angara (5,550 km), Sungai Ob-Irtysh (5,410 km), Sungai Huang He (Kuning) (5,464 km), Sungai Amur (4,410 km), Sungai Congo (4,670 km), Sungai Lena (4,260 km) dan lain-lain lagi. Manakala antara sungai-sungai yang terdapat di Malaysia ialah Sungai Kinabatangan, Sungai Batu Lima, Sungai Meliau, Sungai Musi, Sungai Kebun Cina, Sungai Sibuga, Sungai Tahan, Sungai Melantai, Sungai Puteh, Sungai Pelenting, Sungai Teku, Sungai Baram, Sungai Rajang, Sungai Muar, Sungai Pahang, Sungai Melaka, Sungai Linggi, Sungai Langat, Sungai Kelang, Sungai Selangor, Sungai Perak, Sungai Pahang dan lain-lain lagi.

Tasik

Tasik ialah sejenis sifat rupa bumi (atau sifat fizikal) yang berbentuk takungan air pedalaman yang bukan sebahagian lautan, yang lebih besar dan dalam berbanding kolam, airnya mengalir perlahan tetapi tidak semestinya, ditempatkan di bawah lembangan (satu lagi ciri-ciri rupa bumi) dan disalurkan oleh sungai.

Tasik-tasik semula jadi biasanya terdapat di kawasan pergunungan, zon rengkahan, dan kawasan yang baru atau sering mengalami pengglasieran. Tasik-tasik lain pula dijumpai di lembangan endoreik atau sepanjang aliran sungai matang. Di sesetengah tempat di dunia terdapat banyak sekali tasik kesan corak-corak penyaliran camuk yang ditinggalkan dari Zaman Ais yang lalu. Semua tasik hanya wujud sementara sepanjang skala masa geologi, kerana lambat-laun tasik akan ditimbus mendapan atau tumpah keluar dari lembangan yang menakungnya.

 

Taburan Tasik

 

Kebanyakan tasik di Bumi berisi air tawar, dan terletak di kawasan latitud tinggi di Hemisfera Utara. Lebih 60% tasik di dunia ini terletak di Kanada kerana sistem saliran berserabut yang mendominasi kawasan negara ini. Finland dikenali sebagai Tanah Seribu Tasik, (sebenarnya terdapat 187,888 buah tasik Finland, 60,000 daripadanya adalah besar), sementara negeri Minnesota di Amerika Syarikat pula bergelar Tanah Sepuluh Ribu Tasik.


Kebanyakan tasik ini ada saliran keluar semula jadi yang berbentuk sungai atau anak sungai, tetapi ada juga tasik tanpa saliran keluar, sebaliknya hanya kehilangan air melalui penyejatan atau tirisan bawah tanah atau kedua-duanya sekali. Tasik-tasik sebegini merupakan tasik endoreik. Banyak juga tasik buatan manusia yang dibina untuk tujuan janaan kuasa hidroelektrik, tujuan rekreasi, kegunaan industri atau pertanian, ataupun bekalan air setempat.


Di luar bumi juga terbukti wujudnya tasik; bukti definitif wujudnya tasik-tasik berisi metana diumumkan oleh NASA menurut pantauan Prob Cassini di bulan Titan yang mengorbit planet Zuhal. Di seluruh dunia, bilangan tasik jauh diatasi bilangan kolam: dari kira-kira 304 juta kumpulan air pegun di seluruh dunia, 91% darinya berkeluasan 1 hektar (2.5 ekar) ke bawah. Tasik kecil juga melebihi tasik besar dari segi jumlah: dari segi keluasan, satu pertiga kumpulan air pegun di dunia merupakan tasik dan kolam bersaiz 10 hektars (25 ekar) ke bawah.


Namun begitu, tasik besar banyak sangat sumbangannya kepada keluasan air pegun, iaitu 122 buah tasik besar seluas 1,000 kilometer persegi (390 batu persegi, 100,000 ha, 247,000 ekar) atau lebih yang menjadi 29% daripada jumlah air pegun daratan di Bumi.

 

Kejadian Tasik Semulajadi

 

Terdapat sebilangan proses semula jadi yang boleh membentuk tasik. Julangan tektonik terbaru di banjaran gunung boleh menghasilkan lembangan yang boleh menngumpul air lalu membentuk tasik. Fenomena kemaraan dan pengunduran glasier boleh mengikis lekukan di permukaan di mana berkumpulnya air; tasik-tasik sedemikian sering didapati di Scandinavia, Patagonia, Siberia, dan Kanada. Contoh-contoh terbaik tasik sebegini adalah Tasik-tasik Besar di Amerika Utara.


Tasik juga boleh terbentuk akibat tanah runtuh atau sumbatan glasier. Satu contoh tasik yang terbentuk akibat sumbatan glasier terjadi ketika Zaman Ais lalu di kawasan yang kini ditakluki negeri Washington, Amerika Syarikat, di mana sebuah tasik gergasi terbentuk di sebalik aliran glasier; apabila ais berundur, hasilnya banjir besar yang membentuk Air Terjun Dry di Sun Lakes, Washington.


Tasik garam (atau tasik masin) boleh terjadi apabila tiadanya alur keluar semula jadi atau di mana air cepat menyejat dan permukaan saliran muka air tanah mengandungi lebih garam dari biasa. Contoh tasik garam termasuk Tasik Garam Besar, Laut Kaspia, Laut Aral, dan Laut Mati (tasik-tasik sebegini bergelar laut bersempena air masin di laut).

 

Jenis

1.     Tasik periglasier: Sebahagian pinggir tasik terbentuk dari lembar ais, litupan ais, atau glasier, dan ais itu menghalang saliran tanah semula jadi.

2.     Tasik subglasier: Tasik yang dilitupi ais secara berkekalan. Tasik-tasik ini terjadi di bawah glasier, litupan ais, atau lembar ais. Tidak kurang tasik sebegini di dunia, dan yang terbesar adalah Tasik Vostok di Antartika. Tasik-tasik ini kekal cecair kerana litupan ais bertindak sebagai penebat haba yang menyimpan tenaga yang dimasukkan di sebelah bawah melalui geseran, oleh serapan air melalui kervas, oleh tekanan dari jisim lembar ais di atas, atau oleh pemanasan geoterma di bawah.

3.     Tasik glasier: Tasik yang berasal dari glasier yang cair.

4.     Tasik buatan: Tasik yang terhasil daripada proses pembanjiran tanah di sebalik empangan yang dipanggil pembendungan atau takungan; melalui kerja penggalian oleh manusia; atau pembanjiran kejadian penggalian ke operasi mengekstrak bahan galian seperti lombong terbuka atau kuari. Sesetengah tasik terbesar di dunia merupakan takungan.

5.     Tasik endoreik: Tasik tanpa aliran keluar yang besar, baik melalui sungai mahupun pembauran bawah tanah. Mana-mana air dalam lembangan endoreik hanya dapat keluar dari tasik sebegini melalui penyejatan atau peresapan. Tasik-tasik sebegini, misalnya Tasik Eyre di tengah Australia atau Laut Aral di Asia Tengah, paling kerap dijumpai di kawasan gurun.

6.     Tasik meromiktik: Tasik yang terdiri daripada lapisan-lapisan air yang tidak saling bercampur. Lapisan air terdalam dalam tasik sebegini tidak mengandungi apa-apa oksigen yang terlarut. Lapisan endapan di dasar tasik meromiktik tenang airnya kerana tiadanya hidupan dalamnya yang boleh mengacaunya.

7.     Tasik fjord: Tasik di lembah yang dihakis glasier yang sudah terhakis ke bawah aras laut.

8.     Tasik ladam: Tasik yang terbentuk apabila liku sungai yang luas terpisah dari sungai. Nama ‘tasik ladam’ bersempena bentuk lengkung unik yang terhasil dari proses ini.

9.     Tasik rengkahan: Tasik yang terbentuk kesan penenggelaman bumi sepanjang sesar geologi dalam plat tektonik Bumi. Contoh: Tasik-tasik Rift Valley di Afrika Timur dan Tasik Baikal di Siberia.

10. Tasik bawah tanah: Tasik yang terbentuk di bawah permukaan kerak Bumi. Tasik sebegini boleh dikaitkan dengan gua, akuifer, atau mata air.

11. Tasik kawah: Tasik yang terbentuk dalam kaldera atau kawah gunung berapi yang lama pendam. Air dalam tasik sebegini mungkin tawar atau kuat berasid dan mungkin mengandungi pelbagai larutan mineral. Ada tasik kawah yang mengalami aktiviti geoterma, khususnya jika gunung berapi itu cuma pendam dan bukannya mati.

12. Tasik lahar: Lubuk lahar lebur yang ditakung dalam kawah gunung berapi atau mana-mana kejadian lekukan yang lain. Tasik lahar yang sudah pejal juga dipanggil tasik lahar.

13. Bekas tasik: Tasik yang sudah tidak wujud lagi. Jenis tasik ini termasuk tasik prasejarah dan tasik yang kering sepenuhnya akibat penyejatan atau campur tangan manusia. Tasik Owens di California, Amerika Syarikat, ialah satu contoh bekas tasik.

14. Tasik bermusim: Tasik yang hanya wujud sebagai takungan air pada satu jangka masa dalam setahun.

15. Tasik susut: Berhubung rapat dengan bekas tasik, tasik jenis ini adalah tasik yang airnya berkurangan secara mendadak sepanjang masa geologi. Tasik Agassiz yang pernah meliputi banyak kawasan tengah Amerika Utara, merupakan contoh tasik susut.

16. Tasik eolik: Tasik yang terbentuk dalam lekukan yang terhasil daripada kegiatan angin.

Laut

Laut merupakan satu kawasan takungan besar air masin. Laut dan lautan menutup hampir 70% permukaan bumi. Kadang-kadang, orang mencampur adukkan laut dengan lautan. Kebanyakan laut adalah bersambung dengan lautan, kecuali beberapa laut seperti Laut Mati yang dikelilingi daratan. Air di laut merupakan campuran 96.5% air suling dan 3.5% bahan lain seperti garam, gas dan bahan-bahan terlarut lain.

 

Kedalaman Laut

 

Kedalaman sesebuah laut dapat diukur dengan menggunakan ‘bunyi‘ (sonar). Pemancar sonar di dalam kapal akan memancarkan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi yang akan bergerak ke dasar laut dengan kelajuan 1.5 km sesaat. Gema yang terpantul daripada dasar laut kemudiaannya ditangkap dengan sebuah alat khas. Jadi, kedalaman laut itu dapat ditentukan dengan mengira selang masa antara pancaran bunyi dan gema diterima.


Sebelum penciptaan alat sonar, kedalaman air dikira dengan mengikat pemberat pada hujung suatu tali. Kemudian pada setiap depa di tali itu dibuat satu simpul atau tanda. Dengan cara mengira berapa simpul yang tenggelam apabila pemberat tersebut menyentuh dasar, kedalaman air itu dapat diketahui. Namun, cara ini agak terhad dan tidak dapat mengukur laut yang dalam.


Definisi Pencemaran Air

Pencemaran air berlaku apabila perubahan berlaku dari segi kandungan, keadaan dan warna sehingga tidak sesuai dan memberi kesan apabila digunakan. Pencemaran berlaku sama ada dari segi biologi, kimia dan fizik. Pencemaran air bukan hannya berlaku di sungai tetapi juga di laut dan ianya boleh berlaku secara sengaja atau tidak. Pencemaran ini lebih kepada bahan pencemar dari kilang.

Menurut kajian, pencemaran air adalah seperti kebocoran dan luahan bahan kimia ke dalam sumber air atau fenomenon eutrofikasi. Pencemaran air menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 didefinisikan sebagai apa-apa perubahan langsung atau tidak langsung kepada sifat sifat fizikal, haba, biologi atau radioaktif iaitu mana-mana bahagian alam sekeliling yang melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan ini sehingga menjejaskan kegunaannya dan menyebabkan suatu keadaan merbahaya atau memudaratkan kesihatan, keselamatan dan kebajikan pihak awam atau kehidupan lain seperti burung, hidupan liar, ikan dan hidupan akuatik serta tumbuh-tumbuhan air.

Sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan semata-mata telah membutakan hati dan perasaan manusia terhadap alam sekitar. Pelbagai faktor atau punca berlakunya pencemaran air. Pengusaha kilang umpamanya, berusaha menjimatkan kos dengan mengambil jalan mudah, membuang sisa kilang ke dalam sungai walaupun menyedari kesannya terhadap persekitaran.

Selain itu, kekurangan pengetahuan juga menyebabkan pemilik industri tidak mengambil berat serta cuba mengelak piawaian keselamatan yang telah ditetapkan sama ada berhubung dengan keselamatan manusia atau kestabilan alam sekitar. Masalah ini harus dipandang serius kerana sungai merupakan sumber air yang paling utama.

Kepesatan pembangunan industri, perumahan dan pembukaan tanah baru menyebabkan banyak sungai yang hilang keupayaan untuk memainkan peranan semula jadinya. Sekiranya fenomena ini berterusan, tidak mustahil rangkaian sungai di seluruh negara turut tercemar.

Sisa bahan buangan kilang seperti sisa toksid yang dibuang ke dalam sungai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Pembuangan ini dianggap mudah kerana tidak memerlukan kos pelupusan. Kumuhan kilang - kebanyakan kumuhan kilang seperti sisa toksid dibuang ke sungai atau laut. Sesetengah bandar dan kampung mengepam pelbagai bahan buangan yang tidak dirawat dan kadang kala kilang juga membuang bahan beracun ke dalam sungai. Baja dan racun perosak kimia yang digunakan oleh petani juga akan dibawa oleh air hujan ke dalam sungai dan anak sungai. Bahan-bahan ini boleh membunuh berbagai-bagai jenis hidupan air.

Sikap individu itu sendiri menjadi salah satu punca berlakunya pencemaran air di negara kita. Pembuangan bahan-bahan buangan seperti sampah, minyak dan najis sering kali dilakukan oleh sesetengah individu sehingga lupa tanggungjawab dan kepentingan menjaga alam sekitar.

Penerokaan tanah untuk dijadikan kawasan pertanian juga menyebabkan hakisan tanah berlaku dan ini seterusnya akan mengakibatkan mendakan berlaku. Mendakan ini akan mencetekkan sungai dan air sungai menjadi keruh. Penerokaan juga membantu menyumbang ke arah pencemaran air. Ini adalah kerana penerokaan yang dijalankan sudah pasti menyebabkan hakisan tanah berlaku dan seterusnya tanah runtuh akan masuk ke dalam sungai lalu mendakan berlaku.

Mendakan ini bukan sahaja akan mencetekkan lagi paras air sungai tetapi akan mengakibatkan berlakunya banjir. Hakikatnya pelbagai punca berlakunya pencemaran adalah disebabkan oleh faktor masyarakat kita sendiri mahupun dari pihak-pihak tertentu yang tidak peka pada keadaan sekeliling dan hanya mementingkan diri sendiri tanpa mengambil kira sebab dan akibat yang akan berlaku akibat tindakan mereka itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA