Rabu, 3 Januari 2024

PENGGUNAAN PLASTIK SECARA BIJAK

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

DI SEKITAR kita terdapat banyak benda yang dibuat daripada plastik. Bermula dari barang mainan kanak-kanak sehinggalah kepada barang-barang yang digunakan di rumah seperti beg plastik, botol air, bekas sampah, tikar plastik, baldi, penceduk air, dan lain-lain lagi. Yang paling banyak sekali kita guna dan buang ialah beg palstik. Menurut kajian, sehelai beg plastik yang kita buang boleh berada di tapak pelupusan untuk beribu-ribu tahun dan memerlukan 100 hingga 500 tahun untuk lupus jika ditanam dan jika dibakar ia memberikan impak negatif yang lebih besar kepada alam sekeliling termasuk manusia.

Satu perangkaan mengatakan bahawa secara purata di Malaysia, seorang individu menggunakan hampir lapan beg plastik seminggu dan ada di antara mereka membuang beg plastik berkenaan selepas hanya dipakai sekali sahaja. Tidak ramai yang menyedari kenapa bahan ringan, tidak mudah pecah, dan murah ini menjadi ancaman kepada alam sekitar jika kita jarang meneliti jurnal dan majalah saintifik.

Apakah yang membahayakan tentang plastik? Plastik merupakan bahan yang merangkumi produk polimer sintetik atau semi-sintetik dan terbentuk daripada kondensasi organik atau penambahan polimer dan boleh juga terdiri daripada bahan lain. Selain itu, plastik juga diperbuat dari satu sumber yang amat berharga iaitu petroleum. Jika lebih banyak plastik kita gunakan hari ini, berkuranglah bekalan petroleum kita pada masa hadapan.

Bahan-bahan plastik tidak mudah dilupus dan dihapuskan dari muka bumi. Sekiranya dibakar, ia akan membebaskan karsinogen, satu bahan penyebab kanser. Sekiranya ditanam, bahan toksin di dalamnya boleh menyerap ke dalam tanah dan memasuki sumber air kita dan juga menyebabkan tanah tidak sesuai dijadikan kawasan pertanian. Binatang yang menyangka bahawa bahan plastik itu adalah makanan dan menghadamnya boleh mati apabila termakan bahan tersebut.

Satu kajian lagi menunjukkan bahawa plastik mengandungi satu bahan yang dikenali sebagai sebatian organik Bis (2-ethylhexyl) phthalate atau lebih dikenali sebagai DEHP atau phthalates yang disebut THA-lates iaitu satu bahan yang akan membuatkan bahan plastik menjadi lembut dan mudah lentur. Penyelidik di Universiti Harvard pada tahun 2002 berjaya membuat penemuan baru mengenai kesan kimia phthalates yang mampu merosakkan DNA sperma manusia. Walaupun pengeluar mengatakan dos phthalates yang digunakan mematuhi syarat standard pengeluaran, namun dalam tempoh yang panjang, pengguna sebenarnya terdedah secara berterusan kepada kimia ini yang mampu memudaratkan nyawa manusia.

Justeru itu, kita harus bijak menggunakan bahan yang diperbuat dari plastik seperti beg, botol dan sebagainya agar tidak mencemarkan alam sekitar kita. Antara tindakan yang boleh kita lakukan dalam penggunaan plastik secara bijak ialah membawa beg atau bekas seperti raga atau bakul rotan dari rumah ketika pergi membeli barangan di pasar atau pasar raya. Dengan cara ini kita telah mengurangkan penggunaan beg plastik yang dibekalkan oleh penjual. Botol plastik air mineral boleh digunakan semula untuk membawa air ke sekolah atau ke pejabat. Sekiranya beg plastik atau bekas-bekas plastik ini tidak boleh digunakan lagi, hantarlah ke pusat-pusat kitar semua. Jangan dibuang sesuka hati kerana kesannya kepada alam sekitar amat buruk.

Kita harus sedar bahawa dewasa ini kekerapan kita menggunakan beg-beg plastik untuk mengisi barang semakin bertambah. Begitu juga dengan bekas-bekas plastik yang lain seperti botol air mineral, plastik pembungkus ais krim, roti, sayur, buah dan sebagainya. Jikalau beberapa dekad dahulu, kertas atau surat khabar lama digunakan untuk membungkus barang keperluan harian di kedai-kedai runcit atau pasar, kini ia telah digantikan hampir sepenuhnya oleh plastik. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa statistik rakyat Malaysia membuang plastik yang sebenarnya boleh dikitar semula bernilai kira-kira RM163 juta. Dalam erti kata lain, masyarakat Malaysia masih kurang peka terhadap keadaan alam sekeliling yang semakin merosot tanpa mengambil pendekatan yang serius serta memandang mudah masalah ini.

Kajian di beberapa buah negara menunjukkan bahawa pengguna lazimnya malas membawa beg sendiri ketika membeli-belah. Justeru itu mereka lebih cenderung menerima beg plastik yang diberi oleh penjual. Sebenarnya penjual boleh menggalakkan pengguna menggunakan beg kain ketika membeli-belah dengan menyediakan beg tersebut dengan mengenakan bayaran atau meminta pengguna menggunakan semula beg plastik.

Membawa beg sendiri apabila membeli-belah juga memberikan banyak kelebihan sebenarnya dan barangan kecil yang dibeli tidak perlu dibungkus menggunakan beg plastik. Kita juga digalakkan membawa bekas sendiri apabila hendak membeli makanan yang biasanya dibungkus. Terdapat juga pasar raya hyper merekacipta beg plastik yang akan terlerai sendiri dalam masa beberapa bulan dan ia mengurangkan masalah sampah.

Antara manfaat yang bakal kita perolehi dengan membawa beg sendiri dari rumah ialah, kita mudah membawa barang sama ada kecil mahupun besar dan tidak mudah tercicir semasa membeli-belah. Kita juga tidak perlu menghabiskan masa membuka bungkusan satu persatu dan sampah juga berkurangan kerana biasanya plastik bersaiz kecil tidak digunakan semula. Membungkus makanan dalam bekas yang kita bawa lebih terjamin dari aspek kebersihan kerana kita sendiri yang mencuci malah masa membeli juga dapat dijimatkan.

Plastik memerlukan lebih daripada program kitar semula yang biasa dan teknologi yang digunakan haruslah berkesan untuk menyelesaikan isu ini. Masalah yang kita hadapi sehingga sekarang ialah kita masih belum mampu menetapkan peraturan yang ketat dan konsisten seperti yang diamalkan oleh beberapa buah negara Eropah yang mewajibkan pengguna membawa beg sendiri yang dikenali sebagai Green Bag sebagai ganti beg plastik ketika membeli-belah. 

Sebagai contoh, Australia Selatan telah melarang penggunaan beg plastik untuk mengisi barangan yang dibeli. Larangan ini telah mengurangkan jumlah sampah di tapak pelupusan, di jalan, di taman dan aliran air. Pengguna akan diberi beg kompos selain beg yang boleh digunakan semula dengan mengenakan sedikit bayaran. Pembeli juga perlu menyediakan green bags atau membayar sehingga A25 sen di kedai utama untuk beg tersebut. Larangan ini berjaya mengurangkan 400 juta beg plastik daripada sampah di Selatan Australia setiap tahun.

Tuntasnya, pihak yang bertanggungjawab telah bersinergi bagai aur dengan tebing berhempas pulas menghasilkan satu tenaga yang efisien merealisasikan program-program supaya mengecapi aspirasi menangani kemelut ini. Sebagai contoh apabila kita pergi ke pasar raya lazimnya, kita akan dikenakan bayaran sebanyak RM0.20 bagi setiap beg plastik yang disediakan. Pernahkah kita terfikir apakah yang akan terjadi sekiranya bilangan bahan buangan yang sinonim dengan plastik ini semakin meningkat dengan optimum di muka bumi ini?

Kesimpulannya, tidak perlulah kita bersikap evasif kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Apa juga keputusan, berada di tangan kita sendiri. Kitalah yang berkuasa untuk mencaturkan kelestarian alam ini. Sebagai pengguna yang bijak, marilah kita sama-sama mengorak langkah menggunakan plastik seoptimum mungkin bagi mengurangkan penggunaan apa juga bahan yang diperbuat dari plastik mulai saat ini. Semailah amalan murni ini kepada generasi muda agar mereka menjadi generasi yang peka dengan kelestarian alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA