SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
'Membaca jambatan ilmu’ merupakan satu ungkapan yang sering kita dengar apabila berbicara tentang tabiat membaca. Melalui ungkapan itu, kita mengetahui bahawa membaca merupakan satu budaya atau tabiat yang penting untuk mendapatkan ilmu dan maklumat dalam era globalisasi ini walaupun kita telah dihidang dengan pelbagai sumber maklumat yang lain seperti internet.
Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil
untuk memastikan tabiat atau budaya membaca dalam kalangan masyarakat,
antaranya ialah peranan ibu bapa dalam membentuk minat membaca dalam diri
anak-anak mereka sejak mereka kecil lagi. Melalui cara ini, kanak-kanak yang
telah dididik dengan cara hidup sedemikian akan membawa tabiat itu sehingga
mereka dewasa dan menerapkan perasaan minat membaca kepada generasi seterusnya.
Hal ini secara tidak langsung akan meningkatkan budaya membaca di samping
memastikan tabiat tersebut sentiasa berterusan dalam kalangan masyarakat.
Di samping itu, kerajaan turut mempunyai peranan
yang penting dalam memastikan minat dan budaya membaca ini meningkat dalam
kalangan masyarakat Malaysia. Kerajaan telah mengadakan pelbagai kempen yang
mempunyai objektif yang sama iaitu memupuk minat membaca selaras dengan status
negara kita sebagai sebuah negara yang sedang membangun di samping meningkatkan
keberkesanan kempen yang sedia ada.
Walaupun mentaliti masyarakat kita masih berada
pada tahap yang rendah, namun masih belum terlambat lagi untuk mengubah
persepsi mereka terhadap budaya membaca yang selalunya dianggap sebagai sesuatu
yang membosankan dengan menarik minat mereka untuk turut serta dalam
kempen-kempen yang diadakan oleh kerajaan. Dengan cara ini, minat membaca boleh
dipupuk dari segenap peringkat umur masyarakat di samping memastikan matlamat
negara tercapai iaitu membentuk masyarakat yang mempunyai mentaliti kelas
pertama setanding dengan negara-negara maju yang lain.
Di peringkat universiti pula, langkah yang boleh
diambil untuk menerapkan minat membaca khususnya dalam kalangan pelajar,
antaranya ialah meningkatkan keberkesanan pengurusan perpustakaan universiti
dan membaiki suasana perpustakaan supaya lebih tenang dan menarik minat
pelajar-pelajar untuk sentiasa mengujunginya.
Selain itu, pihak universiti boleh mengadakan
lebih banyak program yang berkaitan dengan pembacaan seperti pertandingan
pidato atau menulis cerpen atau esei. Hal ini akan menyuburkan budaya membaca
dalam diri setiap pelajar di samping mewujudkan semangat untuk bersaing antara
satu sama lain.
Media massa sama ada media cetak atau media
elektronik merupakan sahabat karib kerajaan. Justeru, keberkesanannya
dalam mempromosikan setiap kempen yang diadakan kerajaan tidak boleh disangkal
lagi. Iklan-iklan yang berkaitan dengan kempen-kempen membaca yang diadakan
oleh kerajaan atau badan-badan bukan kerajaan mestilah cukup menarik untuk
mencuri perhatian masyarakat supaya sedar tentang kebaikan membaca di samping
mendorong mereka untuk menyertai kempen yang diadakan.
Selain itu, media cetak seperti surat khabar
atau majalah ilmiah hendaklah menyiarkan artikel-artikel yang menarik supaya
pembaca tertarik untuk membacanya. Selain memupuk minat membaca, hal ini juga
akan mendedahkan masyarakat terhadap isu-isu semasa di dalam mahupun luar
negara.
Tuntasnya, amalan membaca yang mempunyai banyak
kelebihan hendaklah dipupuk dalam diri setiap ahli masyarakat. Pihak-pihak yang
bertanggungjawab seharusnya memikirkan dan mencari jalan supaya membaca menjadi
amalan dan budaya masyarakat Malaysia dalam mengejar pembangunan global.
Pada zaman moden ini buku mengenai apa juga
ilmu serta buku-buku cerita boleh didapati di mana-mana sahaja. Harga buku
amatlah murah berbanding dengan ilmu yang terkandung di dalamnya. Kedai-kedai
buku membekalkan ribuan buku dengan berbagai tajuk, sehingga dengan
perbelanjaan sedikit sahaja kita dapat mendalami seribu satu bidang ilmu yang
boleh memperkayakan akal fikiran kita. Hanya yang diperlukan ialah minat
membaca.
Pada zaman dahulu buku tidak begitu mudah
didapati. Ia dianggap sebagai alat pengetahuan yang ajaib dan terhad kepada
orang-orang tertentu sahaja. Kulit-kulit buku dahulu disalut dengan logam dan
mempunyai kunci supaya hanya orang-orang yang tertentu sahaja boleh membuka
buku dan membaca isi kandungannya. Ini adalah kerana isi kandungan buku memberi
pengetahuan yang ditegah bagi orang biasa. Sebabnya ialah kerana pengetahuan
yang mungkin didapati dipercayai boleh memberi kuasa istimewa kepada pemiliknya.
Hari ini tidak ada lagi larangan bagi sesiapa
pun untuk membaca dan menerap apa juga ilmu dalam mana-mana buku. Yang dahulu
dilarang, sekarang sudah didedah dan dibukakan kepada sesiapa sahaja yang ingin
mengetahuinya. Bagi manusia yang bersyukur, peluang keemasan ini tidak boleh
dilepaskan. Secara kebetulan, membaca dan menerapkan ilmu dengan mudah ini
adalah satu nikmat yang perlu kita hargai dan kita gunakan dengan sepenuhnya.
Masyarakat yang jahil tidak akan mengecapi
kebahagiaan. Mereka akan hidup untuk makan, minum, tidur dan memenuhi nafsu
sahaja. Masyarakat yang hidup kerana memenuhi nafsu semata-mata akan ditindas
dan diperalatkan oleh orang yang berpengetahuan. Mereka akan diperhambakan.
Mereka akan menjadi masyarakat yang tidak bermaruah.
Pada zaman di mana segala ilmu dibukukan dan
banyak terdapat kemudahan membaca, tidak ada alasan bagi mana-mana masyarakat
menjadi jahil. Sudah tentu di Malaysia, di mana pelajaran asas boleh didapati
secara percuma, kegagalan menimba ilmu daripada buku-buku tidak boleh
dipertahankan. Sudah tentu tidak ada sesiapa pun yang boleh mendalami semua ilmu yang
dapat diperolehi sekarang.
Tetapi, rakyat di negara yang ingin maju
mestilah faham dengan lebih luas akan perkembangan-perkembangan yang mempunyai
kesan terhadap kehidupan mereka. Ini bermakna kefahaman serba sedikit berkenaan
alam sekeliling, sejarah, sains dan teknologi dan agama. Rakyat yang lebih
berpengetahuan akan menjadi lebih waras dan lebih cekap dalam mempertimbangkan
reaksinya terhadap segala kejadian dan tindakan yang mempunyai kesan kepada
diri mereka dan kepada masyarakat. Sudah tentu masyarakat yang dianggotai oleh
rakyat yang waras dan bertanggungjawab akan menjadi lebih maju dan bahagia.
Penerapan ilmu daripada buku-buku tidak
bermakna membaca buku-buku yang khusus untuk ilmu-ilmu tertentu. Buku-buku
novel juga dapat membekalkan berbagai ilmu kepada pembacanya. Di samping itu,
kita dapat mengenali pemikiran penulis dan falsafahnya. Banyak daripada cerita
yang dihasilkan oleh penulis-penulis terkenal seperti Tolstoy, Dickens,
Pramoedya, Zurinah Hassan, Shahnon Ahmad dan lain-lain mempunyai analisa sosial
yang mempengaruhi aliran pemikiran dan pembangunan masyarakat pada zaman-zaman
tertentu.
Untuk memperolehi ilmu, kita tidak boleh
memiliki nasionalisme yang terlalu sempit. Sepertimana juga kita sanggup
menjelajah ke negara jauh dan menguasai bahasa-bahasa asing untuk mendapat
ilmu, begitu juga kita harus menguasai bahasa-bahasa lain untuk membaca
buku-buku dalam bahasa asing.
Walau bagaimana kita berusaha sekalipun,
tidak mungkin kita boleh mengalih-bahasakan semua buku di dunia ini. Oleh itu,
untuk mendapat faedah daripada pembacaan buku, penguasaan bahasa-bahasa asing
amatlah penting. Jika kita ingin menterjemahkan buku bahasa asing sekalipun,
kefasihan dalam bahasa-bahasa asing adalah perlu. Pada zaman moden ini, orang
yang berilmu mesti menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa iaitu bahasa ibunda
atau bahasa kebangsaannya dan satu lagi bahasa asing. Orang biasa juga perlu
mengetahui sedikit-sebanyak bahasa asing.
Dengan itu, maka akan terbukalah sumber ilmu
yang lebih luas kepadanya terutama melalui pembacaan buku-buku dalam bahasa
asing. Semangat kebangsaan seseorang itu tidak akan terjejas kerana ia faham
dua atau tiga bahasa. Yang penting ialah ia tidak membelakangkan bahasanya
sendiri dan menjadi warganegara yang berilmu. Warganegara yang jahil tidak
dengan sendirinya menjadi warganegara yang setia.
Demikian juga warganegara yang boleh bertutur
lebih daripada satu bahasa tidak semestinya tidak setia. Jika kerana mengejar
ilmu kita perlu menguasai bahasa-bahasa lain, kita tidak harus teragak-agak
menguasai bahasa-bahasa ini. Dengan keupayaan membaca buku-buku dalam bahasa
lain, kita akan memperolehi ganjaran yang tidak ternilai harganya. Jika ilmu
yang kita perolehi dalam bahasa lain diedarkan pula dalam bahasa kita sendiri,
maka akan bertambah kukuh dan berkesanlah bahasa kita.
Maklumat yang kita perolehi menunjukkan
bahawa ramai daripada penuntut kita membaca hanya buku-buku teks mereka sahaja.
Sebahagian besar daripada mereka yang tamat pelajaran, di semua peringkat,
tidak membaca buku lagi, walaupun akhbar biasanya menarik minat mereka. Keadaan
ini menyedihkan. Demikianlah keadaannya sehingga Kerajaan terpaksa mensyaratkan
bahawa hanya calon yang membaca sekurang-kurangnya 3 buah buku, yang bukan buku
teks, akan dipilih untuk menjadi guru. Alangkah sedihnya kerana kita terpaksa
mengupah untuk menentukan kita membaca. Sepatutnya di Malaysia yang mewah
dengan bahan-bahan bacaan, kita mensyaratkan hanya mereka yang banyak membaca
buku sahaja yang akan dipilih untuk sesuatu jawatan.
Minat membaca ini perlu dipupuk dari bangku
sekolah lagi. Sepatutnya murid atau penuntut tamat membaca semua buku teks
mereka pada bulan pertama buku-buku itu didapati. Sepatutnya semua murid
meminjam buku perpustakaan untuk dibaca di rumah. Sepatutnya waktu rehat atau recess
digunakan juga untuk membaca di perpustakaan.
Dalam usaha menyemai minat membaca ini, para
guru harus memainkan peranan utama. Pelajar-pelajar yang membaca buku-buku
selain daripada buku teks mestilah diberi kepujian. Jika ia menggunakan
buku-buku ini sebagai sumber dalam rencana atau apa juga kegiatan pelajaran,
ini patut diiktirafkan.
Guru sendiri haruslah lebih membaca, termasuk
buku-buku perpustakaan yang mungkin dibaca oleh murid. Sudah tentu buku-buku
lain yang boleh meningkatkan keupayaan guru mengajar perlu dibaca. Dengan ini,
murid akan kagum terhadap pengetahuan guru dan mereka akan lebih menghormati
guru. Ini akan memudahkan proses pemindahan ilmu dari guru kepada murid.
Ramai orang suka membaca tetapi menghadapi
masalah tidak tahu apakah buku-buku terutamanya buku-buku baru yang diterbitkan
di negara ini. Ini ialah kerana maklumat atau publisiti mengenai buku-buku itu
tidak mencukupi. Para pembaca terpaksa mencari-cari buku di kedai-kedai buku,
dan malangnya tidak semua kedai ada menyimpan atau menjual buku-buku itu.
Lagipun, kedai-kedai buku lebih banyak terdapat di kawasan-kawasan bandar, dan
jarang atau tidak terdapat di kawasan-kawasan luar bandar. Jadi sukarlah pembeli
hendak mendapatkan buku-buku yang mungkin mereka ingin beli atau baca.
Untuk mengatasi masalah ini, disyorkan supaya
Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) atau Persatuan Penerbit Buku
mengeluarkan katalog buku baru tiap-tiap tahun untuk diedarkan percuma atau
dijual dengan harga yang berpatutan kepada orang ramai bagi panduan mereka. Di
samping itu, peranan akhbar yang sekarang membuat ulasan mengenai buku-buku
baru haruslah dipertingkatkan.
Satu halaman patutlah dikhaskan kepada
ringkasan buku-buku yang dianggap bermutu tinggi, jika tidak oleh akhbar harian
sekurang-kurangnya oleh akhbar mingguan. Kita tidak patut lupa bahawa akhbar
juga merupakan bahan bacaan. Jika teknik akhbar diguna untuk mempopularkan
bacaan rencana yang berilmiah, tidak dapat tidak negara akan mendapat banyak
manfaat dan minat membaca akan dipertingkatkan.
Mungkin ada baiknya juga buku umum untuk
bacaan orang ramai diterbitkan dalam bentuk yang murah, misalnya dalam edisi ‘paperback’.
Ini akan membolehkan lebih ramai lagi orang membeli buku. Di samping itu, lebih
banyak buku terjemahan daripada bahasa-bahasa asing hendaklah diterbitkan,
terutamanya karya-karya oleh penulis-penulis terkemuka dari seluruh dunia.
Jadikanlah buku sebagai teman hidup
sehari-hari, kerana buku adalah jambatan ilmu yang dapat menghubungkan kita
dengan alam persekitaran kita, dengan masyarakat kita, dengan negara kita dan
dengan dunia luar. Melalui buku dan pembacaan, kita akan dapat membentuk suatu
budaya dan tradisi nilai dan pemikiran bangsa yang akan menjadi asas kekuatan
bangsa dan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan