Rabu, 3 Januari 2024

PENGGUNAAN TUMBUHAN BERKHASIAT PERUBATAN

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

PENGGUNAAN tumbuhan sebagai kegunaan seharian telah bermula sejak zaman dahulu lagi. Selain digunakan sebagai bahan binaan, tumbuhan juga turut digunakan sebagai bahan penyembuh bagi mengubati penyakit. Tumbuhan yang berfungsi sebagai apotik di muka bumi berpotensi besar dalam penghasilan penawar yang dihidapi oleh manusia dan digunakan serta diwarisi oleh manusia secara turun temurun.

Menurut kajian, sebelum perubatan moden wujud, manusia menggunakan herba dan akar kayu untuk dijadikan ubat atau penawar. Pengkaji menyatakan bahawa ekosistem hutan Malaysia kaya dengan pelbagai tumbuhan liar yang bermanfaat yang mempunyai hubungan dengan kebudayaan sesuatu masyarakat. Kepentingan herba kemudian diperkembangkan melalui perubatan moden dari masa ke semasa dengan pencampuran dengan bahan kimia supaya ubat atau penawar agar lebih berkesan.

Penggunaan perubatan berasaskan herba kurang dipraktikkan pada zaman kini terutama oleh masyarakat moden kerana kurang pengetahuan mengenai penggunaan tumbuhan herba dan tidak tahu dari manakah sumber asli ini diperoleh. Kekurangan pengetahuan sebegini menyebabkan penggunaan tumbuhan herba dalam kehidupan seharian makin hilang dalam masyarakat.

Perubatan Tradisional

Pengkaji juga ada menyatakan bahawa masyarakat Asia kaya dengan herba dan perubatan tradisional kerana faktor konteks iaitu di kelilingi oleh sumber alam semulajadi dari dalam hutan hujan tropika. Di Malaysia khasnya, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum mempunyai keistimewaan sendiri dalam menjalani kehidupan mereka. Mereka merupakan masyarakat yang mempunyai kepakaran dalam penggunaan tumbuhan terutama dalam perubatan tradisi.

Setiap masyarakat di Malaysia mempunyai kaedah tersendiri bagi menghasilkan ubatan berasaskan tumbuh-tumbuhan. Perubatan tradisional berkait rapat dengan sejarah sosio budaya manusia. Setiap masyarakat di dunia ada sejarah perubatan asli tersendiri. Di Malaysia, perubatan tradisional terbahagi kepada tiga iaitu Melayu atau Orang Asli, Cina dan India. Perubatan Cina berasaskan Confucius, India Ayurveda manakala Melayu campuran budaya Hindu, Arab dan Orang Asli.

Walau bagaimanapun, semuanya ada ciri sepunya iaitu bahan mentahnya berasal dari tumbuhan. Ini membuktikan walaupun terdapat kaedah yang berbeza dalam penggunaan ubatan bagi setiap bangsa, namun asas kepada penghasilan ubatan tersebut adalah tumbuh-tumbuhan.

Telah Sebati

Penggunaan tumbuhan herba dalam masyarakat di Malaysia memang telah sebati walaupun pada masa kini terdapat campuran bahan kimia dalam ubatan herba. Masyarakat tetap menggunakan ubatan yang berasaskan herba walaupun zaman telah berubah.

Menurut kajian, masyarakat Melayu mempunyai tradisi dan keistimewaan tersendiri dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang mempunyai kemahiran dalam penggunaan tumbuhan terutama dalam pengubatan tradisi. Kebanyakkan dari masyarakat ini terdiri daripada kumpulan etnik yang pandai memanfaatkan hasil hutan terutama untuk tujuan perubatan. 

Ini dibuktikan berdasarkan wujudnya pengamal ubatan tradisi di kampung-kampung orang Melayu sama ada dukun, bomoh, pawang dan sebagainya. Masyarakat Melayu mempunyai kemahiran dan pengatahuan farmaseutikal tentang tumbuh-tumbuhan dan boleh menentukan ubat dan penawar kepada pelbagai jenis penyakit.

Pengalaman dan kepakaran masyarakat Melayu tentang perubatan tradisi melalui tumbuhan telah menarik para pengkaji untuk mencungkil lebih banyak rahsia tentang tumbuhan untuk kegunaan manusia terutamanya dalam bidang perubatan. Setengah perubatan tradisi boleh dijelaskan melalui bukti-bukti saintifik, banyak kajian yang dijalankan berjaya memberi pengesahan terdapat kebekesanan terapi sediaan-sediaan herba.

Kawasan hutan tropika Malaysia khususnya di hutan hujan tropika Durian Tuang, Mukim Sanggang, Temerloh Pahang mempunyai kepelbagaian spesies tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan yang amat berharga. Masyarakat Melayu di kawasan tersebut telah lama menggunakan ramuan daripada ‘rempah gunung’ dan ‘teja’ sebagai satu teknik atau kaedah bagi menyembuhkan beberapa jenis penyakit.

Sistem Pemakanan dan Perubatan

Kajian menunjukkan bahawa penggunaan tumbuhan dan budaya telah mempengaruhi sistem pemakanan dan perubatan masyarakat Melayu. Masyarakat terdahulu mengenalpasti kegunaan tumbuhan dengan memerhatikan dan mengambil tahu akan jenis tumbuhan yang lazim dimakan oleh binatang peliharaan seperti kucing.

Pemerhatian terhadap kesan pengambilan tumbuhan oleh haiwan terutama apabila melihat binatang itu tidak sihat akan menambah pengetahuan mereka mengenai mengenali jenis tumbuh-tumbuhan yang berkhasiat ataupun beracun lalu disesuaikan dengan pengalaman mereka sendiri untuk dijadikan bahan perubatan.

Budaya dalam sesuatu bangsa menentukan jenis tumbuhan dan bahagian mana daripada tumbuhan tersebut yang boleh dimakan, dibuat perhiasan dan dijadikan penawar. Mereka selalunya tahu mengenai fungsi tumbuhan ubatan dan tumbuhan makanan di mana tumbuhan ubatan berfungsi sebagai penawar kepada sesuatu penyakit atau sebagai penghindar daripada sesuatu penyakit.

Tumbuhan makanan pula berfungsi menghilangkan lapar dan menyihatkan badan. Masyarakat Melayu mempunyai pertalian yang erat dengan alam sekitar di mana kebanyakkan sistem perubatan masyarakat Melayu menggunakan tumbuhan ubatan sebagai asas rawatan, penjagaan kesihatan dan pemakanan. 

Masyarakat Melayu menggunakan pelbagai kaedah dalam penyediaan ramua ubatan dari tumbuh-tumbuhan. Antara kaedah yang digunakan ialah merebus, celur, perah, menumbuk, menjemur, merendam, membakar dan melayur adalah beberapa kaedah biasa yang digunakan untuk menyediakan ramuan ubatan menggunakan tumbuhan. Sapu, gosok, tuam, urut, makan, minum dan mandi merupakan kaedah penggunaan ramuan ubatan tersebut.

Masyarakat di Malaysia terkenal dalam amalan penggunaan tumbuhan dalam kehidupan seharian. Tumbuhan yang digunakan dalam kehidupan seharian ini diperoleh dengan pelbagai cara. Di dalam masyarakat Semai contohnya, 97 spesies tumbuhan digunakan dari habitat asli, 62 spesies dijumpai dalam habitat masa kini, dan 888 spesies tidak ditanam iaitu hidup meliar. Penggunaan tumbuhan herba tidak terkecuali juga bagi masyarakat Sabah dan Sarawak. 

Taburan pelbagai masyarakat di kawasan yang kaya dengan hasil hutan menyebabkan tumbuh-tumbuhan turut digunakan sebagai ubatan bagi merawat penyakit. Sebagai contoh di Sabah, kaum etnik terbesar sepeti Kadazan Dusun, Bajau dan Murut masih mengamalkan sistem cara hidup tradisional di mana masih menggunakan tumbuhan sebagai bahan perubatan.

Namun, perubahan masa menyebabkan generasi baru kurang mengetahui mengenai khazanah alam yang bernilai tinggi di mana generasi muda berpindah ke kawasan bandar. Bagi meningkatkan penggunaan tumbuhan herba dalam kehidupan seharian, penyelidikan berasaskan tumbuhan herba perlu dipertingkatkan.

Pasaran Ubatan Herba

Pasaran ubatan herba di Malaysia mengalami pertumbuhan yang luar biasa, pendekatan penyelidikan baru-baru ini telah meliputi aktiviti untuk membangunkan ubatan herba menjadi produk yang berkualiti, berkesan dan selamat untuk penggunaan manusia. Kemajuan dalam teknik-teknik kromatografi dan spektroskopi telah memberi impak yang sangat besar ke atas pengasingan dan elusidasi struktur kandungan tumbuhan ubatan.

Masyarakat yang pelbagai etnik dan bangsa yang menjadi pengguna mula terarah kepada produk semula jadi berasaskan tumbuhan herba di mana mereka kini memilih untuk menjadikan tumbuhan herba sebagai bahan utama kegunaan harian. Produk tersebut merangkumi ubat-ubatan, makanan atau produk penjagaan kesihatan berasaskan herba yang kini semakin popular digunakan dalam kalangan masyarakat.

Penggunaan tumbuhan dan herba sebagai ubat dalam masyarakat di Malaysia khasnya masyarakat Melayu telah memakan zaman. Tradisi ini sejajar dengan keistimewaan bumi Malaysia sebagai sebuah negara kaya dengan pelbagai flora. Keadaan geografi (iklim, struktur tanah tanih, dan sistem saliran) di sesuatu kawasan yang ditumbuhi hutan jenis tropika atau khatulistiwa bukan sahaja menawarkan landskap hijau yang menarik, malah kahijauan hutan tersebut tersimpan banyak manfaat dari segi berubatan kepada masyarakat yang menggunakannya. Oleh itu, penggunaan herba dalam kepelbagaian masyarakat sangat popular dan menjadi amalan sehingga kini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA