SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
SEJARAH dunia beberapa tahun kebelakangan ini telah mencatatkan satu perkembangan yang pelik. Pelik dengan bahang panas melampau di Amerika Syarikat dan Eropah tetapi keadaan sebaliknya di negara panas, Afrika Selatan yang dilitupi salji. Tidak ketinggalan beberapa siri taufan yang semakin kerap dan ganas, termasuk berstatus taufan raksasa menggegarkan China ketika banjir terus menelan korbannya dari Pakistan, Habsyah, Korea sehinggalah ke India.
Keadaan cuaca tidak
menentu itu menyaksikan beratus-ratus kematian dalam sekelip mata manakala
lebih sejuta lain hilang tempat tinggal. Nilai kerugian akibat kehilangan jiwa
dan kemusnahan harta benda mencecah berbilion dolar. Inilah senario terkini
keadaan cuaca dunia yang lebih banyak pelik daripada kebiasaannya. Catatan
rekod daripada panas dan sejuk melampau selain rentetan satu demi satu taufan
ganas yang seakan tidak memberi ruang bagi negara mangsa untuk bernafas.
Keadaan diburukkan lagi
dengan ancaman gempa bumi kian kerap dengan catatan skala Richter lebih
daripada sederhana sehingga menyebabkan amaran ombak besar atau tsunami yang
amat asing bagi rantau Asia Pasifik, kini berlaku hampir setiap bulan. Pendek
kata, bukan saja perkembangan politik dunia diselubungi pelbagai kekacauan, tetapi
rekod alam sekitar juga tidak terkecuali kelam-kabutnya sebagaimana yang ketara
di beberapa negara.
Namun, antara contoh
ketara adalah membabitkan kejutan perbezaan cuaca ketara benua Eropah dan
Amerika dengan Afrika. Apa tidaknya, Eropah dan Amerika yang lebih diketahui
menikmati cuaca sejuk sebaliknya diselubungi panas melampau dengan paparan
rakyatnya kepanasan terpampang di kebanyakan media utama dunia baru-baru ini. Keadaan
sebaliknya berlaku di bahagian selatan dua benua itu apabila Afrika Selatan
yang sudah sinonim dengan cuaca panas, sebaliknya menyaksikan kehadiran salji
buat kali pertama sejak 1981.
Cuaca sejuk melampau di
kawasan termasuk bandar Soweto, selatan Johannesburg dan kawasan penempatan
eksklusif di Sandton mencatatkan suhu sehingga 1 darjah Celsius. "Salji
yang turun itu menjadi satu fenomena unik bagi kami kerana ia jarang berlaku di
negara ini. Cuaca sejuk memang berlaku tetapi tidaklah sehingga menurunkan
salji," kata Kevin Rae, Timbalan Pengurus Jabatan Kaji Cuaca Afrika
Selatan di Pretoria yang dipetik media tempatan. Ketika penduduk Afrika Selatan
memakai baju sejuk dengan anak kecilnya riang bermain salji, warga Amerika dan
Eropah lebih selesa berpakaian tipis dan merendamkan kaki di air pancut akibat
cuaca panas melampau. Kajian terbaru membuktikan pembentukan awan jauh lebih
tinggi berbanding sebelumnya menyebabkan beberapa habitat hidupan liar
kekeringan dan menjejaskan perubahan flora dan fauna.
Antara tahun 2000-2005,
di Amerika, korban cuaca panas itu mencecah lebih 200 orang termasuk 164 orang
di California dan selebihnya dilaporkan di New York dan Chicago. Keadaan itu
menyebabkan berlakunya kejadian bekalan elektrik terputus. Di Eropah pula sekurang-kurangnya
29 orang maut di Paris akibat panas melampau. Namun fenomena sepanjang Julai 2005
masih terkawal dan tidak seburuk kejadian pada tahun 2003 apabila
sekurang-kurangnya 15,000 maut di Perancis dan 20,000 lain di Itali akibat
cuaca panas yang keterlaluan.
Pada tahun 2005, musim
taufan Atlantik paling aktif dengan rekod 26 ribut dan 14 puting beliung yang
tujuh daripadanya mencecah Kategori 3 ke atas. Buat kali pertama, taufan ganas
Katrina, Rita dan Wilma terbentuk dalam satu musim. Bumi semakin panas keadaan
tahun 2006 menyamai tahun 1998 sebagai tempoh paling panas. Kemarau dan panas
kering menyebabkan musim kebakaran hutan yang memusnahkan lebih 8.5 juta ekar
kawasan dunia yang jauh mengatasi fenomena sama pada tahun 2000.
Ramai kalangan saintis
mengaitkan keadaan pelik itu sebagai kesan pemanasan global - satu keadaan yang
dijangka berlarutan akibat pencemaran gas rumah hijau hasil pembakaran bahan
fosil yang terperangkap dalam atmosfera. Biarpun sukar membuktikannya, seperti
diakui Asher Timms, pegawai Pusat Penyelidikan Perubahan Cuaca Tyndall di
Britain, corak cuaca bumi kini berubah. Akibatnya paras air laut semakin
meningkat yang berkait rapat dengan salji yang semakin berkurangan atau cair di
kebanyakan kawasan pergunungan serta bungkah ais Greenland yang mencair. Ini
menyebabkan air laut semakin panas dan menyebabkan taufan makin ganas berlaku
dengan kerap.
Malah antara bukti
taufan yang mengganas adalah di China yang menyaksikan kemusnahan akibat
serangan tiga taufan dalam tempoh sebulan. Dimulai taufan Bilis, Prapiroon dan
terbaru taufan raksasa Saomai dengan angin selaju 216 kilometer sejam. Serangan
taufan itu menyaksikan banjir dan tanah runtuh yang menyebabkan hampir 1,000
orang terbunuh termasuk 600 akibat taufan Bilis saja. Keadaan banjir itu turut
meragut nyawa di ceruk lain dunia seperti di Korea Utara, India dan di Habsyah.
Malah di Habsyah selain 254 kematian, seramai 250 orang masih hilang sehingga
hari ini.
Apa yang pasti, keadaan
cuaca yang tidak menentu itu diperakui sejak beberapa tahun lalu yang membawa
kepada penubuhan satu agensi khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu
Intergovernmental Panel non Climate Change (Panel Perubahan Cuaca) pada tahun 1988.
Fenomena pelik cuaca ini dikatakan akibat dari pemanasan global.
Istilah pemanasan global
atau global warming dikaitkan dengan
kenaikan suhu dunia. Dunia dikatakan semakin hari semakin panas. Kenaikan
elemen suhu di seluruh dunia ini berkait rapat dengan aktiviti manusia yang
mengganggu keseimbangan sistem-sistem bumi khususnya sistem atmosfera. Daripada
sudut imbangan haba, fenomena pemanasan global memberi makna wujudnya ketidakseimbangan
dalam bajet haba. Input haba yang diterima oleh sistem bumi berlebihan
berbanding dengan outputnya.
Oleh sebab itulah
berlakunya kenaikan suhu pada semua skala sama ada mikro atau makro. Menurut
Professor James.G Titus dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat:
‘Terdapat peningkatan suhu dunia antara 0.4 hingga 0.5 darjah celcius pada
setiap lima tahun bermula tahun 1952. Dianggarkan antara tahun 1990 hingga 2025
suhu dunia akan meningkat antara 0.8 hingga 3.6 darjah celcius.’
Pemanasan global terjadi melalui dua
mekanisme penting iaitu melalui Kesan Rumah Hijau dan juga Penipisan Lapisan
Ozon. Walaupun terdapat punca-punca semulajadi tetapi aktiviti manusia lebih
banyak menyumbang terhadap kedua-dua mekanisme di atas. Antaranya ialah
aktiviti perindustrian, penyahutanan untuk pelbagai tujuan, pembebasan cloroflorokarbon
(CFC), punca kenderaan, pembakaran terbuka dan yang paling dashyat adalah
melalui ujian nuklear. Kesan rumah hijau banyak disumbangkan oleh gas karbon dioksida.
Menurut Anthony Milne
dalam bukunya Our Drowing World, Population, Pollutions and Future Weather, bab
5 – The Green House Effect: ‘Bahan-bahan
pencemar terutamanya karbon dioksida dan metana membentuk satu kubah atau lapisan
yang menyelimuti ruang atmosfera. Lapisan ini bertindak membenarkan bahangan
matahari menembusinya tetapi memerangkap bahangan bumi daripada keluar.’
Justeru itu tenaga
matahari akan berkitar di dalam ruang atmosfera bumi yang sama dan bumi dipaksa
menerima lebihan tenaga haba. Dianggarkan sejak revolusi industri di Eropah
sebanyak 400, 000 billion tan karbon dioksida telah dibebaskan ke atmosfera dan
pada masa kini sahaja hampir 5.5 billion tan molekul karbon dioksida dilepaskan
ke atmosfera pada setiap tahun. (Anthony Milne, Ibid; m.s. 64 –65).
Penipisan lapisan ozon
pula berlaku di ruang statosfera. Ozon sebenarnya terdiri daripada tiga molekul
oksigen yang terikat di antara satu sama lain secara ikatan kovalen. Lapisan
ozon mempunyai fungsi yang penting untuk menapis, menyerap, menyerak dan
memantul sinar lembayung matahari daripada terus terpancar ke bumi. Ozon akan
menipis apabila CFC dan gas HALON yang dibebaskan oleh manusia melalui aktiviti
industri menyerang dan memutuskan ikatan kovalen tiga atom oksigen tersebut.
Lebih dahsyat daripada
itu lapisan ozon juga bocor dan berlubang akibat ujian peluru berpandu manusia.
Terbentuknya banyak lubang ozon di benua Antartika menjadi bukti kegilaan
manusia. Apabila ozon menipis dan berlubang maka sinar UV yang membawa bahangan
dan tenaga matahari terpaksa diterima dengan banyak oleh bumi. Kesannya suhu dunia
akan meningkat.
Kesan daripada pemanasan global ini
cukup banyak misalnya ia boleh mencairkan litupan ais di kutub atau kawasan
pergunungan tinggi, membanjiri laut seterusnya meningkatkan kadar hakisan ombak
yang akan menyempitkan lagi saiz pantai sesebuah negara. Selain itu risiko
penenggelamkan kawasan daratan yang rendah juga boleh berlaku akibat kenaikan
aras laut. Di kawasan sub gurun pula boleh menggalakkan proses pengurunan.
Kawasan gurun semakin lama semakin membesar menghala ke pinggirnya.
Di samping itu suhu
dunia yang panas juga boleh memangkinkan kejadian El-Nino apabila suhu laut dan
arus lautan turut menjadi panas lalu mengubah sistem cuaca dunia, memanjangkan
tempoh musim kemarau atau panas, kejadian jerebu, kekurangan air dan lain-lain
lagi yang memudaratkan manusia. Akibat yang paling menakutkan ialah kepupusan
flora dan fauna.
Flora dan
fauna merupakan elemen yang banyak membantu kehidupan manusia. Flora sendiri
adalah penyumbang oksigen terulung di alam maya ini manakala fauna pula adalah
agen pembiakan flora. Sekiranya kedua-kedua elemen ini tidak wujud, maka
kehidupan manusia juga akan lenyap.
Suhu yang
terlalu panas akibat dari pemanasan global boleh menyebabkan hutan dan
kepelbagaian biologinya (biodiversiti) diancam kepupusan. Hutan sememangnya
kaya dengan kepelbagaian spesies. Misalnya Hutan Hujan Amazon yang luasnya 0.5
billion hektar mempunyai berjuta spesies haiwan dan tumbuhan. Bagi satu hektar
hutan Amazon terdapat 750 jenis spesies haiwan, dan 1,500 jenis spesies
tumbuhan.
Kesan yang paling membimbangkan
akibat pemanasan global ialah terhadap kepelbagaian biologi. Spesies fauna dan
flora diancam kepupusan sehingga kita tidak sempat menjalankan pemuliharaan.
Dijangkakan menjelang tahun 2010 lebih daripada 2 juta spesies haiwan dan
serangga akan lenyap dari muka bumi ini dan tidak dapat dijangkakan berapa
banyak lagi spesies yang akan lenyap apabila kita melangkah masuk ke alaf akan
datang nanti.
Selain daripada spesies
dan genetik fauna (haiwan) serta flora (tumbuhan) musnah akibat pemanasan
global, elemen-elemen biodiversiti yang lain juga turut musnah. Pertamanya
ialah habitat (tempat tinggal). Hutan menjadi habitat utama untuk haiwan
membentuk lingkungan dan meneruskan generasinya. Apabila habitat musnah, haiwan
juga akan turut musnah atau berlakunya penghijrahan spesies untuk mencari
habitat yang baru yang terpaksa pula menghadapi persaingan. Kedua, kemusnahan
ekosistem terutamanya rantaian makanan. Apabila tumbuhan dieksploitasi, ia
gagal menjalankan fungsinya sebagai pengeluar makanan kepada masyarakat
pengguna hutan termasuk kita manusia. Justeru pengguna primer (herbivor), sekunder
(karnivor) dan tertiar (omnivor) turut kehilangan sumber-sumber makanannya.
Selain daripada kemusnahan kepelbagaian
biologi, pemanasan global juga dikenalpasti akan mengubah cuaca dunia. Hal ini
dipersetujui bersama oleh 142 buah negara yang menghadiri Sidang Puncak Bumi di
Rio De Janerio, Brazil pada tahun 1992. Dalam konvensyen Perubahan Cuaca Dunia,
kata sepakat telah dicapai berhubung dengan peranan hutan dalam mengimbangi
lebihan karbon dioksida di atmosfera. Hutan sememangnya berupaya menyerap dan
menyimpan karbon dioksida serta dalam masa yang sama membebaskan oksigen. Misalnya
Hutan Amazon menghasilkan kira-kira 20% daripada bekalan oksigen dunia. Oleh
itu fungsi menyimpan karbon dan membebaskan oksigen ini sekaligus dapat
mengurangkan kesan rumah hijau.
Hutanlah sebenarnya yang
bertindak sebagai stok atau penyimpan karbon dioksida terbesar di dunia.
Apabila hutan musnah, perlepasan karbon dioksida akan terus berlaku yang boleh
menyumbangkan kepada pemanasan global yang semakin dahsyat.
Kesimpulannya,
pemanasan global boleh memberi kesan yang amat membimbangkan kepada flora dan
fauna. Flora dan fauna boleh luput dari pandangan dan secara tidak langsung
akan menyebabkan nafas hidup kita juga akan tersekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan