SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
Pencemaran bunyi bermaksud bunyi bising yang keterlaluan yang boleh
memekakkan telinga sesiapa yang mendengarnya. Pencemaran bunyi biasanya
melebihi 80 desibel (dB). Pencemaran berlaku daripada perbuatan manusia dari
asalnya seperti menjerit, dan bunyi kenderaan. Tetapi ada juga pencemaran bunyi
semulajadi seperti bunyi guruh.
Bunyi ialah tenaga
mekanik yang merambat
melalui jirim dalam bentuk gelombang (melalui cecair dalam bentuk gelombang
mampatan, dan melalui pepejal dalam bentuk gelombang mampatan dan ricih).
Bunyi disifatkan secara lebih terperinci melalui ciri-ciri gelombang yang
generik, iaitu frekuensi, jarak
gelombang, tempoh, amplitud, kelajuan, dan arah (kelajuan dan arah juga digabungkan
menjadi vektor halaju,
atau jarak gelombang dan arah digabungkan menjadi vektor
gelombang).
Manusia
merasai bunyi melalui deria pendengaran.
Kita mengenali bunyi sebagai getaran yang melalui udara dan boleh didengari
manusia. Namun begitu, saintis dan jurutera mengamalkan definasi yang lebih
luas bagi bunyi yang merangkumi getaran ferkuensi rendah dan tinggi di udara yang tidak
boleh didengari manusia, dan getaran yang melalui semua bentuk jirim, iaitu gas,
cecair, pepejal,
dan plasma. Jirim yang menampung bunyi
dipanggil medium.
Bunyi merambat sebagai gelombang tekanan ulang-alik lalu menghasilkan
pemampatan dan rarefaksi. Zarah-zarah dalam medium dialihkan oleh gelombang
lalu berayun. Kajian saintifik mengenai penyerapan dan pemantulan gelombang
bunyi dipanggil akustik.
Hingar (bunyi bising) sering didefinisi
sebagai bunyi yang tidak diingini. Dalam bidang sains dan kejuruteraan, hingar
ini merupakan komponen tidak diingini yang mengaburkan isyarat yang diingini.
Pencemaran bunyi (atau bunyi persekitaran) merupakan bunyi hasilan mesin, haiwan atau manusia
yang mengganggu aktiviti atau keseimbangan kehidupan manusia atau haiwan.
Sumber kebanyakan bunyi di luar rumah adalah sistem pengangkutan, termasuk
bunyi kenderaan, bunyi kapal terbang, dan bunyi kereta api. Perancangan bandar yang lemah
menimbulkan pencemaran bunyi, kerana bangunan kilang dan rumah kediaman
bersebelahan boleh menyebabkan pencemaran bunyi dalam kawasan kediaman.
Sumber
lain bagi punca pencemaran bunyi dalam dan luar rumah adalah penggera kereta,
siren perkhidmatan kecemasan, perkakasan pejabat, mesin pengilangan, kerja
pembinaan, peralatan penyenggaraan laman, salakan anjing, alatan, perkakasan
bermotor, dengungan lampu, sistem hiburan audio, pembesar suara, dan orang
bising. Bunyi
bising yang keterlaluan dan boleh memkakkan telinga merupakan definasi bagi
pencemaran bunyi. Ini berlaku apabila pengeluaran bunyi terjadi di tempat atau
kawan yang tidak bersesuaian. Sebagai contoh, kilang-kilang yang mengeluarkan
gangguan bunyi kepada penghuni-penghuni rumah. Pencemaran bunyi kebiasanya
melebihi 80 desibel (dB).
Pencemaran bunyi merupakan pencemaran
kita tidak nampak dengan mata kasar. Apabila kita mendengar bunyi yang bising,
kita akan merasa tidak tenang dan merasakan tekanan perasaan hingga tidak dapat
berfikir dengan waras lagi. Telinga adalah organ yang terlibat dalam pencemaran
bunyi ini. Telinga merupakan salah satu organ yang terpenting yang dikurniakan
tuhan kepada kita, sekiranya kita tidak menjaga organ ini dengan baik dan
terdedah dengan pencemaran bunyi yang kuat, kita akan mengalami pekak atau kerosakan
pada telinga dalam masa yang singkat. Masalah pendengaran dan pekak selalunya
berlaku kepada orang yang berumur 50 an ke atas kerana saraf dari telinga sudah
lemah untuk menghantar maklumat yang didengar ke otak untuk ditafsirkan.
Tetapi, sekiranya seseorang individu
terdedah dengan pencemaran bunyi yang kuat pada usia muda lagi, risiko untuknya
menghidapi pekak pada usia muda sangat tinggi. Ini terbukti apabila kajian
menunjukkan bahawa 76 peratus tentera Melayu yang berkhidmat pada zaman
komunis, mengalami masalah pendengaran yang teruk pada usia tua akibat daripada
kesan bunyi tembakan, bom, meriam dan pesawat semasa berada di medan perang.
Bukti ini cukup untuk kita yakin bahawa pencemaran bunyi adalah bahaya kepada
diri kita smua dan kita perlulah sedikit sebanyak bekerjasama untuk
mengurangkan pencemaran bunyi ini.
Pencemaran bunyi berlaku apabila bunyi
persekitaran yang berlebihan mengganggu keselesaan hidup. Punca-punca
pencemaran bunyi adalah daripada kapal terbang, kereta api, kerja pembinaan,
mesin dan jentera dalam kilang, kenderaan di jalan raya dan lain-lain lagi.
Keamatan bunyi disukat dalam unit desibel (dB) yang mewakili kadar tenaga bunyi
yang menembusi satu unit luas. Dalam sebutan bunyi, satu desibel adalah 10 kali
logaritma bagi nisbah intensiti dua punca bunyi yang berlainan. Satu intensiti
merupakan rujukan manakala intensiti yang kedua adalah bunyi yang hendak
dibandingkan. Contohnya, satu bunyi yang merupakan 100,000 kali lebih kuat
daripada satu bunyi bandingan lain disebut bunyi 50 desibel.
Skala ini bersesuaian dengan daya pendengaran manusia kerana deria pendengaran kita mentafsirkan peningkatan 10 dB kepada 20 dB sebagai peningkatan kira-kira dua kali ganda intensiti bunyi. Kesan-kesan fisiologi akibat pendedahan kepada bunyi yang terlalu kuat adalah kehilangan pendengaran yang berlaku apabila seseorang terdedah kepada bunyi melebihi 80 dB, atau terdedah kepada bunyi impuls yang melampau, contohnya letupan. Pencemaran bunyi boleh menyebabkan gegendang telinga dan koklea rosak. Kehilangan pendengaran mempunyai dua ciri yang utama, iaitu:
- pengurangan julat pendengaran. Katalah jika seorang normal dapat
mendengar bunyi pada 5 dB, seorang yang mengalami pengurangan julat
pendengaran hanya dapat mengesan bunyi pada 10 dB, 20 dB, 25 dB, atau
lebih.
- tidak dapat membezakan bunyi konsonan seperti f, u, s, z, th, ch, dan sh. Ini boleh mengakibatkan salah faham.
Respons keadaan cemas, yang melibatkan
vasokonstriksi kapilari darah periferi dan menyebabkan pengurangan pengaliran
darah. Keadaan ini akan menyebabkan anak mata membesar, kulit menjadi pucat,
pengurangan rembesan gastrik, peningkatan tekanan darah diastol dan rembesan
adrenalina yang berlebihan ke dalam peredaran darah yang akan meningkatkan
ketegangan saraf dan otot, kegelisahan, mudah tersinggung, dan kebimbangan
Deria pendengaran manusia sebenarya bertindak
sebagai suatu mekanisme pertahanan diri. Apabila manusia mendengar bunyi yang
negatif seperti daripada harimau atau tanah runtuh, badannya akan bertindak
secara fisiologi dengan rembesan adrenalina yang berlebihan ke dalam peredaran
darah untuk menghadapi kecemasan ini, iaitu sama ada untuk melarikan diri atau
berlawan dengan musuh. Bukan semua bunyi bersifat negatif. Bunyi seperti aliran
air, desiran angin, nyanyian burung adalah bersifat positif dan membawa kesan
manfaat kepada manusia.
Pencemaran bunyi dalam kehidupan moden ini mempunyai kesan yang negatif ke atas kesihatan manusia. Pencemaran bunyi yang negatif selalu menstimulasikan mekanisme pertahanan badan manusia yang mengakibatkan rembesan adrenalina dan respons-respons fisiologi lain walhal ketiadaan keadaan yang membahayakan. Kesan pencemaran bunyi ke atas manusia boleh dibahagikan kepada:
- Kesan fisiologi yang melibatkan kehilangan pendengaran dan respons
keadaan cemas.
- Kesan psikologi. Kesan ini berlaku akibat pencemaran bunyi yang:
- mengganggu komunikasi antara manusia.
- mengganggu tidur dan seterusnya menjejaskan kestabilan mental.
- mengganggu proses mental, iaitu pemikiran dan pemusatan perhatian susah dilakukan.
Orang-orang yang selalu terdedah kepada bunyi
bising yang kuat di tempat kerja mereka, contohnya pekerja-pekerja kilang,
menghadapi risiko kehilangan pendengaran mereka. Kehilangan pendengaran
biasanya berlaku secara beransur-ansur dan tanpa disedari.
Klasifikasi Pencemaran Bunyi
Pencemaran bunyi boleh diklasifikasikan kepada beberapa jenis iaitu:
Kebisingan Selenjar
Ini adalah kebisingan yang selar dan kurang daripada 3 desibel (dB). Ini berlaku apabila seseorang sedang berbisik kerana gelombang bunyi bergetar dengan lebih perlahan.
Kebisingan Fluktasi
Kebisingan fluktasi pula adalah kebisingan yang terlatak antara puncak gelombang yang tinggi dan rendah. Pada tahap ini getaran gelombang bunyi akan bergetar dengan lebih cepat daripada kebisingan selenjar. Getaran gelombang adalah sekitar 3 dB sahaja. Contoh: bunyi enjin kenderaan, orang sedang bercakap.
Hentakan Impuls
Ini merupakan bunyi yang lebih intensiti dalam tempoh yang lebih singkat. Contoh: tembakan, ketukan atau lagaan daripada benda yang keras. Pada kebiasaannya, tahap ini getaran gelombang akan memuncak dan menurun dengan cepat. Pada tahap ini intensiti bunyi adalah melebihi 80 dB kemudian gelombang bunyi akan menurun. Akan tetapi intensiti masih menunjukkan tahap yang tinggi kerana bunyi yang kuat akan memberi kesan yang lama terhadap getaran.
Kebisingan Selang-seli
Kebisingan ini berlaku secara berselang-seli. Ianya dihasilkan apabila bunyi bising menjadi perlahan dan kuat dalam jangka masa yang pendek. Contoh : Ketika seseorang sedang menggergaji kayu, getaran akan berlaku ketika gergaji itu bergerak dan getaran tidak akan berlaku apabila gergaji kayu dihentikan. Semasa gergaji sedang ditarik intensitinya akan meninggi pada kadar tertentu dan menurun apabila gergaji tidak disorongkan.
Cara Mengawal Pencemaran Bunyi
Pencemaran bunyi yang dihasilkan oleh alam semulajadi sukar untuk dikawal, tetapi terdapat cara untuk mengawal pencemaran bunyi yang dihasilkan oleh manusia. Terdapat dua cara pada ketika ini digunakan untuk mengawal pencemaran bunyi iaitu penguatkuasaan undang-undang dan kawalan secara teknikal.
a) Penguatkuasaan Undang-undang.
Melalui penguatkuasaan undang-undang, banyak sumber-sumber pencemaran bunyi dapat dikurangkan. kebanyakan negara menggunakan undang-undang tersebut untuk mengurangkan pencemaran bunyi yang semakin berleluasa terutamanya pencemaran bunyi dari kenderaan bermotor. Undang-undang tersebut juga ada digunakan di Malaysia. Ia meliputi kenderaan bermotor, penerbangan tempatan, kualiti alam sekeliling, kilang dan jentera dan lain-lain. Melalui undang-undang tersebut, sesebuah negara dapat mengurangkan secara tidak langsung kuantiti pencemaran bunyi kepada kadar yang lebih minimum sekali gus dapat mengurangkan risiko kesan pencemaran tersebut kepada manusia.
b) Kawalan
Secara Teknikal
Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan dalam kawalan secara teknikal. Teknologi yang semakin membangun pada masa kini dapat mengurangkan atau menyingkirkan bunyi. Sebagai contoh, untuk mengurangkan bunyi di jalan raya, penggunaan halangan bunyi, mengehadkan kelajuan di kawasan-kawasan yang mempunyai ramai penduduk, menukar tekstur jalan, mengubah reka bentuk tayar dan lain-lain.
Dengan kemajuan teknologi yang
semakin maju, bunyi bising dari kapal terbang juga dapat dikurangkan dengan
mereka bentuk enjin jet yang lebih senyap. Ini dapat mengurangkan tahap bising
untuk penduduk yang menetap berhampiran di kawasan lapangan terbang. Kebisingan
hasil dari kawasan perindustrian juga dapat dikurangkan dengan mereka bentuk
semula peralatan perkilangan, memasang sistem penggantungan dan halangan
fizikal di tempat kerja.
Bunyi Bising
Bunyi bising boleh menjadikan masalah dalam banyak jenis pekerjaan. Tahap bahaya bergantung kepada kekuatan bunyi tersebut dan berapa lama kita terdedah kepadanya. Antara petanda untuk menentukan sama ada kita mempunyai masalah atau tidak:
1. Kita terpaksa menjerit untuk
memastikan percakapan kita didengari oleh seseorang dalam jarak dua meter.
2. Telinga kita masih lagi berdengung walaupun selepas meninggalkan kawasan kerja.
Mereka
yang bekerja di kawasan bengkel kejuruteraan, kilang kayu, disko ataupun dewan
konsert, kilang pembotolan ataupun sesiapa sahaja yang menggunakan mesin yang
mengeluarkan bunyi bising di kawasan ladang atau hutan, merupakan mereka yang
mungkin terdedah kepada bunyi bising yang berbahaya. Mereka yang terlibat dalam
lawatan ke tempat-tempat tersebut juga, boleh terdedah kepada risiko ini.
Apa Yang Perlu Kita Lakukan?
Usaha yang berterusan haruslah dilakukan untuk mencari bunyi bising yang menyebabkan bahaya, mengurangkan atau melindungi orang yang terlibat dapat mengelakkan kerosakan. Bunyi bising yang membahayakan ini boleh dikawal sekiranya mereka yang terlibat-majikan, pekerja ataupun pembekal mesin bekerjasama untuk memastikan cara pengawalan yang bersesuaian digunapakai dan berfungsi dengan efektif.
Mengukur Bunyi Bising
Kaedah teknikal untuk mengukur bunyi bising di tempat kerja dalam unit ‘desibel’ dB (A) mungkin nampak merumitkan namun, asasnya mudah sahaja. Had bunyi bising iaitu kenyaringan bunyi diukur dengan menggunakan skala yang bermula dari bunyi senyap yang virtual 0 dB (A) hingga 140 dB (A) ataupun yang lebih kuat seperti yang terhasil dari bengkel yang paling bising. Untuk bunyi letupan yang kuat (contohnya: daripada pistol) satu (1) skala khas digunakan untuk mengukur had maksimum yang mampu dicapai oleh gelombang bunyi.
Dalam kebanyakkan pekerjaan,
risiko yang dialami bukan hanya bergantung kepada tahap bunyi bising tetapi
juga kepada jangkamasa individu tersebut terdedah kepadanya; semakin tinggi
tahap bunyi bising, semakin singkat masa yang diperlukan untuk menyebabkan
kerosakan kepada telinga. Jumlah keseluruhan pendedahan bunyi bising kepada
kepada keseluruhan hari bekerja dipanggil ‘dos pendedahan bunyi bising harian
individu’.
Dalam sesetengah pekerjaan, tekanan mungkin terlalu tinggi dan tindakan segera perlu diambil walaupun bunyi bising tersebut hanya berlaku kadang-kadang sahaja. Sekiranya kita bekerja di tempat yang bising:
1. Jika kita bekerja di tempat yang
bising, majikan harus memberitahu kita sekiranya kajian (penilaian) menunjukkan
pendedahan kepada bunyi bising mencapai tahap yang boleh menjelaskan apa kita
patut buat untuk mengelak risiko itu.
2. Majikan kita mempunyai beberapa
perkara untuk dibuat termasuk mengurangkan kadar bising sebagaimana mungkin.
Cara-caranya akan dijelaskan dalam carta. Kita seharusnya bertindak untuk
melindungi diri kita.
3. Sekiranyanya kita mempunyai
sebarang kemusykilan sama ada bunyi bising boleh menjadi sesuatu yang berbahaya
atau tidak, kita harus bertanya kepada penyelia ataupun wakil pegawai
keselamatan sama ada mereka telah membuat penilaian bunyi (noise assessment).
Pelindung Telinga
Gunakanlah pelindung telinga ataupun penyumbat telinga untuk melindungi telinga kita sekiranya majikan kita memberitahu bahawa kita mempunyai risiko pendengaran di kawasan tempat kerja kita. Majikan kita seharusnya membekalkan pelindung telinga yang sesuai dan meletakkan tanda ‘Zon Pelindungan Telinga’ di kawasan tahap kebisingan yang tinggi.
Manakala di tempat yang kadar
kebisingan yang rendah, kita juga dinasihatkan supaya kadar kebisingan yang
rendah, kita juga dinasihatkan supaya menggunakan pelindung telinga. Demi
kebaikan kita, ambilah tindakan sewajarnya untuk melindungi pendengaran kita
sendiri. Jagalah alat pelindung diri kita dan jaga kebersihannya juga. Alat
pelindung yang rosak dan kotor tidak dapat melindungi kita dengan berkesan
malah akan menyebabkan jangkitan.
Alat Yang Rosak
Jangan abaikan peralatan yang rosak. Jika kita mengetahui bahawa pelindung ataupun peralatan untuk mengawal kebisingan kita masalah, kita harus memberitahu majikan, penyelia ataupun wakil keselamatan.
Jauh Dari Tempat Kerja
Kita haruslah tahu bahawa bunyi yang terlampau bising menyebabkan risiko. Beberapa aktiviti hiburan seperti konsert ataupun menembak boleh menimbulkan risiko tersebut. Ini akan menambahkan lagi masalah pendengaran yang sedia ada.
Nasihat Pakar Perubatan
Jangan sesekali mengabaikan kesihatan telinga kita. Jika kita rasa bahawa kita mempunyai masalah pendengaran, adalah dinasihatkan untuk segera berjumpa dengan doktor atau pakar perubatan. Mereka sentiasa bersedia untuk membantu. Kita haruslah ingat untuk memberitahu doktor bahawa kita bekerja di tempat yang bising.
Kesan Kemudaratan Kebisingan
Kurang Pendengaran
Kurang pendengaran boleh disebabkan oleh berbagai-bagai faktor. Secara amnya ia dibahagikan kepada dua jenis yang utama iaitu kurang pendengaran konduktif dan kurang pendengaran sensorineural.
Adalah menjadi tanggungjawab
doktor untuk menyiasat dan menentukan penyebab penyakit kurang pendengaran. Ada
di antara penyakit kurang pendengaran itu boleh diubati dan pendengaran akan
pulih seperti sediakala seperti penyakit disebabkan oleh infeksi, tahi telinga
atau bendasing menutupi telinga. Ada juga penyakit telinga yang boleh dicegah
dari menjadi lebih teruk seperti penyakit yang disebabkan oleh bunyi bising
atau infeksi telinga dan ada penyakit yang boleh dicegah daripada terjadi
kepada orang lain atau kawan sekerja seperti penyakit yang disebabkan oleh
kebisingan.
Kurang Pendengaran Konduktif
Kurang Pendengaran Konduktif disebabkan oleh berbagai ketidaknormalan yang melibatkan telinga luar atau telinga tengah. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh sekatan pada lubang telinga (tahi telinga, edema, dan bendasing), perubahan pada gegendang telinga (kebocoran) ataupun pada osikel (tercabut, otosklerosis stapes) dan ketidaknormalan pada ruang telinga tengah (dipenuhi oleh cecair, kelainan tekanan).
Kurang Pendengaran Sensorineural
Kurang Pendengaran Sensorineural adalah disebabkan oleh perubahan-perubahan pada sel-sel rerambut sensori organ korti di koklea ataupun berlaku perubahan pada safar kranial ke lapan. Ini disebabkan oleh kerosakan pada rerambut sensori (kebisingan, dadah otoksik seperti quinin, streptomycin, aspirin, bahan kimia industri seperti benzen, karbon disulfida, karbon monoksida, pewarna analin), kemerosotan elemen neural (presbycusis) atau pada dinamik cecair normal (hidrop koklea, penyakit Meniere’s).
Kesan Kebisingan
Kebisingan ditakrifkan sebagai bunyi yang tidak diingini. Pengkelasan yang mudah adalah berdasarkan pada frekuensi bunyi iaitu:
1. Infrasonik - mempunyai frekuensi
kurang dari 20 Hz.
2. Bunyi yang boleh didengar -
mempunyi frekuensi di antara 20 Hz hingga 2000 Hz.
3. Ultrasonik - mempunyai frekuensi melebihi 2000 Hz.
Percakapan menggunakan frekuensi di antara 300 Hz - 3000 Hz. Oleh itu sebarang kebisingan di dalam frekuensi yang sama akan mengganggu percakapan dan juga mengganggu persekitaran tempat kerja. Empat faktor utama yang mempengaruhi kemudaratan kebisingan:
1. Spektrum kebisingan iaitu bunyi
berfrekuensi tinggi lebih mendatangkan keburukan daripada bunyi berfrekuensi
rendah.
2. Paras kebisingan iaitu intensiti
bunyi yang melebihi 80 dB(A) akan merosakkan pendengaran berbanding dengan
bunyi yang berintensiti rendah.
3. Jangkamasa pendedahan kepada
kebisingan - seseorang yang terdedah kepada kebisingan dalam jangkamasa yang
panjang akan menyebabkan dos pendedahannya bertambah dalam sehari, maka ia
lebih berisiko mendapat kesan buruk dari kebisingan.
4. Kerentanan individu – setiap
individu mempunyai kerentanan yang berbeza-beza kesan kebisingan kepada sistem
pendengaran mereka. Walaupun sekumpulan pekerja terdedah kepada dos yang sama
tetapi ada di antara pekerja ini yang mendapat kesannya lebih awal dibandingkan
dengan pekerja lain.
Kesan Pendedahan Kebisingan Berterusan
Kesan buruk daripada kebisingan ialah:
1. Menyebabkan kurang pendengaran
2. Memecahkan gegendang telinga atau
berlaku perubahan kedudukan osikel yang disebabkan oleh kebisingan yang sangat
kuat.
3. Mengganggu percakapan ataupun
berkomunikasi.
4. Gangguan emosi
Lain-lain kesan buruknya ialah:
1. Meningkatkan pergerakan usus,
meningkatkan tekanan darah, meningkatkan paras glukos darah dan meningkatkan
paras lipid darah
2. Menyebabkan ulser peptid
3. Menurunkan keupayaan melakukan
sesuatu pekerjaan
4. Menyebabkan dengung pada telinga
5. Menyebabkan keletihan
6. Meningkatkan stress (tegasan)
Kurang Pendengaran Sementara
Kurang pendengaran ini berlaku selepas pendedahan kepada bunyi bising yang kuat. Pendengaran akan kembali normal selepas bebas 14-16 jam daripada kebisingan itu ataupun pada hari cuti. Oleh itu pastikan kita bebas dari kebisingan sekurang-kurangnya 14 jam sebelum membuat ujian audiometri untuk mengelakkan audiogram yang abnormal disebabkan oleh kurang pendengaran sementara itu.
Kesimpulan
Pencemaran bunyi banyak mengganggu persekitaran hidup manusia seharian. Dalam era yang serba maju ini, terdapat pelbagai cara untuk seseorang individu tersebut mendapat kesan hasil dari pencemaran bunyi tersebut. Walaupun terdapat cara-cara untuk mengatasinya, manusia sendiri perlu sedar tentang kepentingan bunyi kepada kehidupan manusia dan kita perlu bersama-sama berusaha untuk membendungnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan