Rabu, 3 Januari 2024

PERUBAHAN IKLIM MEMPENGARUHI GAYA HIDUP

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

PERUBAHAN iklim, sebagai suatu fenomena alam, muncul menjadi persoalan yang serius ketika cuaca bumi berubah sedemikian cepat seiring dengan meningkatnya intensiti aktiviti manusia. Pertumbuhan penduduk dunia yang mendorong peningkatan berbagai aktiviti konsumsi dan penghasilan tenaga untuk pembangunan ekonomi telah mempengaruhi kapasiti bumi untuk menyesuaikan dan memenuhi segala keperluan tersebut. Revolusi Industri di Eropah misalnya, yang menyebabkan meningkatnya intensiti pembakaran kayu, arang batu, minyak dan gas, telah mengakibatkan peningkatan konsentrasi karbondioksida di atmosfera. Akibatnya permukaan bumi menjadi semakin panas dan suhu meningkat tinggi. Dalam laporan State of World Population 2009 oleh United Nations Population Fund (UNFPA), perubahan iklim akibat berbagai aktiviti ekonomi tersebut akan menyebabkan suhu bumi dijangkakan terus meningkat hingga 6.4 darjah pada tahun 2100 dari hanya sebesar 0.74 darjah di akhir tahun 1800-an.

Perubahan iklim akibat kenaikan suhu bumi tersebut pada akhirnya akan menimbulkan kesan rumah kaca (green-house effect) dan pemanasan global (global warming) di berbagai wilayah dan mengancam kelangsungan hidup manusia. Oleh kerana itu, perubahan iklim menjadi suatu isu global yang signifikan dalam beberapa perkara. Pertama, kenaikan permukaan air laut akibat pemanasan global akan mengancam kelangsungan hidup komuniti masyarakat pesisir pantai dan masyarakat yang tinggal di pulau-pulau kecil.

Selain itu, perubahan iklim akan meningkatkan potensi dan intensiti terjadinya bencana alam seperti gempa bumi, tsunami, kemarau dan banjir besar di berbagai wilayah. Negara-negara di wilayah Asia Selatan dan gurun Sahara misalnya, merupakan daerah yang paling menderita akibat dari pemanasan global, kendati daerah tersebut sebelumnya terkenal dengan tingginya angka kemiskinan dan kelaparan.

Perubahan iklim juga menjadi signifikan kerana memiliki dampak kesihatan dan sosial bagi masyarakat luas. Berbagai bencana alam yang terjadi tidak hanya menyebabkan kematian, tetapi juga meningkatkan potensi penyebaran berbagai penyakit bagi masyarakat sekitar. Diare, malaria dan kolera adalah jenis-jenis penyakit yang sering menyerang negara-negara yang terkena bencana alam akibat kenaikan air laut dan curahan hujan. Hal ini disebabkan dalam keadaan bencana, masyarakat sukar untuk mendapatkan air bersih dan fasiliti sanitasi serta kesihatan yang memadai. Dampak kesihatan ini kemudian berkait erat dengan munculnya berbagai masalah sosial.

Menurut The Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), dampak sosial tersebut bervariasi bergantung kepada faktor usia, kelas sosial ekonomi, pekerjaan dan gender. Dengan kata lain, perubahan iklim tidak hanya mengancam jiwa dan menyebabkan kematian, tetapi juga memperluaskan dispariti antara golongan kaya dan miskin, menyebabkan perpindahan penduduk dan mempengaruhi pola relasi lelaki dan perempuan yang menyebabkan ketidaksetaraan gender. Perempuan sebagai kelompok masyarakat yang rentan, seringkali menjadi korban terbanyak dalam berbagai bencana besar, seperti tsunami Aceh, ribut di Honduras dan katrina di Amerika Syarikat.

Tidak Hanya Mengancam Jiwa

Tidak dapat dinafikan bahawa salah satu keadaan yang mempengaruhi gaya hidup, budaya, perangai, makanan, sikap, cara berfikir, cara bertindak, tahap kesihatan, ekonomi, politik dan lain-lain lagi adalah iklim. Bagaimanakah keadaan iklim sangat mempengaruhi kehidupan manusia? Pengaruh yang mudah dilihat ialah cara berpakaian. Di negara-negara yang berbeza iklim kita dapati manusianya juga memakai pakaian yang berbeza. Di negara yang beriklim panas, kebanyakan manusianya berpakaian nipis dan longgar. Sementara di negara yang beriklim sejuk, kebanyakan manusianya berpakaian tebal dan ketat.

Begitu juga dalam aspek budaya dan gaya hidup. Manusia yang tinggal di negara sejuk akan berkurung di dalam rumah di samping pendiang menunggu musim sejuk berakhir manakala manusia di negara yang beriklim panas akan bersantai di luar rumah sambil membiarkan diri disimbahi cahaya matahari atau melakukan pelbagai aktiviti supaya badan berpeluh.

Cuba kita bayangkan... adakah mudah untuk mendapatkan bekalan air di tengah-tengah padang pasir? Bayangkan seorang perantau yang merentasi padang pasir yang hanya berbekalkan sebotol air mineral, adakah perjalanan ia akan menjadi mudah? Bukankah jika kehabisan air boleh menyebabkan perantau padang pasir menghadapi risiko maut? Bagaimana pula di negara kita Malaysia, adakah kita risau jikalau hanya membawa sebotol air mineral ketika bermusafir? Andai tiada sebotol air pun di dalam kenderaan, kita langsung tidak pernah risau dan berasa tertekan. Ini adalah kerana di Malaysia tidak terlalu sukar untuk mendapatkan bekalan air. Tidak pernah kita mendengar orang mati kehausan di Malaysia ketika bermusafir dan kekurangan air. Ini juga merupakan satu contoh yang mudah untuk memahami bagaimana iklim mempengaruhi gaya hidup makhluk yang bernama manusia.

Begitu juga dalam aspek kesihatan. Dijelaskan oleh HL Blum (1974) dalam Planning For Health, Development And Application Of Social Change Theory, bahawa faktor perubahan iklim secara langsung dan tidak langsung akan memberikan kesan yang besar kepada kesihatan masyarakat. Hubungan antara perubahan iklim dengan kesihatan manusia sangatlah kompleks. Kesan secara langsung dan sering ditemui antara lain ialah penyakit atau kematian yang berhubungan dengan suhu yang ekstrem dan kesan pencemaran udara oleh spora dan kulat. 

Sementara itu kesan secara tidak langsung yang terjadi adalah penyebaran penyakit yang ditularkan melalui udara (air borne disease), penyakit yang ditularkan melalui vektor serangga dan rodent (vector borne disease), penyakit yang ditularkan melalui air dan makanan (food and water borne disease), atau penyakit kerana kekurangan air dan makanan.

Perubahan iklim yang menyebabkan berlakunya bencana alam seperti banjir, ribut, angin puting beliung, kemarau, kebakaran hutan dan sebagainya, juga boleh mempengaruhi gaya hidup kita dan komuniti sekitar. Jika sebelum bencana alam berlaku, kehidupan tentulah harmoni, bahagia dan riang gembira tetapi selepas dilanda bencana alam, kehidupan tentulah berubah kepada duka dan nestapa. Banyak harta benda, hasil tanaman dan ternakan akan musnah. Kehidupan juga akan menjadi bertambah sukar dan menyesakkan.

Bencana-bencana alam ini juga memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental masyarakat. Sebagai contohnya, banjir boleh menyebabkan peningkatan kejadian penyakit perut kerana kesannya kepada sumber air dan penyediaan air bersih, dan penyakit ditularkan oleh nyamuk seperti malaria, demam denggi berdarah, chikungunya, malaria, diare, demam tifoid dan pelbagai penyakit lain yang ditularkan melalui haiwan pengerat seperti leptospirosis.

Perubahan iklim juga menyebabkan manusia berusaha untuk menyesuaikan diri dengan keadaan untuk meneruskan kehidupan. Contohnya perubahan cuaca di iklim empat musim yang berubah daripada musim panas ke musim sejuk. Musim sejuk kebiasaannya akan membawa masalah bekalan makanan. Jadi sudah menjadi kebiasaan setiap tahun bagi manusia yang duduk di iklim ini sentiasa bersedia untuk menyimpan makanan bagi persediaan musim sejuk. Andai mereka lalai, akibatnya mereka akan kelaparan pada musim sejuk.

Di padang pasir pula, apabila sudah menjadi persepsi asas bahawa air sukar diperolehi, maka orang akan sentiasa bersedia dengan bekalan air. Andai putus bekalan air dalam bermusafir, ia mungkin boleh menyebabkan maut. Orang yang tinggal di tundra pula sentiasa mempastikan mereka mempunyai pakaian yang sesuai dengan kesejukan. Jika hilang pakaian tebal, maka mereka akan menghadapi risiko kesejukan yang boleh menyebabkan kematian.

Tidak kurang juga mereka yang tinggal di negara beriklim ini sering menghadapi bencana alam. Tidakkah anda melihat mereka tiada pilihan melainkan mencari jalan bagaimana membuat petempatan yang bersesuaian untuk menghadapi bencana-bencana alam seperti ini?

Apabila kita memiliki terlalu banyak pilihan, manusia biasanya banyak menghabiskan masa berfikir untuk memilih. Berbeza dengan mereka yang tiada pilihan, mereka akan menghabiskan masa dengan bertindak. Inilah yang secara tidak langsung menjadi latihan semulajadi yang membentuk sikap seseorang mengikut keadaan iklim masing-masing. Manusia di negara empat musim amat terbuka pemikiran mereka terhadap idea kehidupan. Ini adalah kerana idea yang bernas akan memudahkan kehidupan. Lantaran itu orang Barat kebanyakannya sangat terbuka pemikiran mereka. Ini adalah kerana pada setiap perubahan musim, mereka perlu melakukan sesuatu sebagai persediaan.

Bagi negara yang kerap mengalami bencana alam pula, rakyatnya sentiasa mempunyai inovasi untuk mencipta sesuatu bagi survival kehidupan. Bagi negara yang sering dilanda gempa bumi, rekabentuk dan kejuruteraan rumah, bangunan, jalan raya, dan lebuhraya di negara mereka contohnya adalah berteknologi tinggi.

Kesan Terhadap Pola Gaya Hidup

Sedar atau tidak, setiap hari manusia menghasilkan gas rumah kaca seperti gas karbon monoksida (CO), karbon dioksida (CO2), ozone (O3), metana (CH4) dan gas-gas lain ke dalam udara. Semakin hari, konsentrasi gas rumah kaca tersebut semakin meningkat di atmosfera bumi. Gas rumah kaca ini menghalang pantulan radiasi matahari dari permukaan bumi dan memancarkannya kembali ke bumi. Hasilnya suhu di permukaan bumi akan meningkat.

Sesungguhnya perubahan iklim memberi kesan yang besar terhadap kehidupan manusia baik yang negatif mahupun positif. Dengan adanya perubahan iklim ini, pola fikir manusia kepada alam ikut berubah. Kini manusia semakin lebih mencintai alamnya. Contohnya kesedaran tidak membuang sampah sesuka hati, banyak program menanam pokok, program penghijauan halaman rumah, pembinaan taman-taman, dan pelbagai lagi telah dilaksanakan oleh masyarakat.

Selain itu perubahan pola gaya hidup manusia juga mulai ditunjukkan. Ketika ini gaya hidup sihat lebih dipilih, mungkin kerana ekstremmya perubahan cuaca yang pastinya akan mempengaruhi keadaan kesihatan. Pola hidup berjimat cermat juga menjadi pilihan berbagai lapisan masyarakat. Perubahan iklim yang ekstrem ini mengakibatkan manusia harus lebih menjimatkan air, tenaga, bahan bakar bahkan kewangan sebab perubahan iklim mempengaruhi harga bahan asas.

Banyaknya bencana yang terjadi akibat perubahan iklim juga telah menyebabkan manusia lebih berintrospeksi diri dan lebih meningkatkan rasa syukur dan keimanan kepada Pencipta-Nya. Kesan yang cukup besar dari perubahan iklim ini juga telah membuatkan negara-negara di seluruh dunia merapatkan lagi barisan dan bersatupadu untuk mengatasi permasalahan perubahan iklim. Hakikat ini ditunjukkan dengan terbentuknya UNFCCC atau United Nations Framework Convention on Climate Change (Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Perubahan Iklim).

Yang paling menakutkan ialah perubahan iklim juga telah menyebabkan merebaknya pelbagai penyakit berbahaya kepada manusia. Selain pola cuaca yang tidak menentu, penyakit disebabkan oleh kualiti lingkungan seperti kualiti air, udara, dan makanan yang semakin menurun kerana perubahan iklim ini. Yang paling meresahkan masyarakat ialah peningkatan harga bahan keperluan harian seperti sayur-mayur, ikan, dan lain-lain lagi.

Akibat perubahan iklim seperti banjir, kemarau, tanah runtuh, dan sebagainya boleh mengakibatkan pelbagai aktiviti kehidupan manusia terganggu dan produktiviti juga akan menurun. Mencairnya ais di kutub juga akan meningkatkan suhu laut yang kemudiannya akan menyebabkan pemutihan karang. Akibatnya pembiakan beberapa makhluk laut penghuni karang juga akan terganggu dan tentu saja akan memberi kesan kepada sektor perikanan.

Mempengaruhi Kesihatan

Perubahan iklim boleh mempengaruhi kesihatan manusia dengan dua cara iaitu secara langsung dan secara tidak langsung. Secara langsung, manusia terkena kesannya seiring dengan perubahan pola cuaca (suhu, curahan hujan, kenaikan air laut, dan peningkatan frekuensi cuaca ekstrem). Kejadian cuaca ekstrem boleh mengancam kesihatan manusia. Sedangkan secara tidak langsung, perubahan iklim mempengaruhi kualiti lingkungan seperti air, udara, dan makanan, penipisan lapisan ozon, penurunan sumber daya air, fungsi ekosistem, dan degradasi lahan. Yang akhirnya faktor-faktor tersebut akan mempengaruhi kesihatan.

Jika terjadi banjir, pencemaran rumahtangga melebar ke mana-mana dan memberi kesan kepada kesihatan. Jika kering, pencemaran tersebut, baik kimia mahupun bakteria, virus, terkonsentrasi ke dalam air yang digunakan, sehingga semakin banyak penyakit yang menular melalui udara, air, dan makanan.

Perubahan iklim juga cenderung mengakibatkan bencana. Hal tersebut secara klinikal juga akan mengakibatkan gangguan kesihatan. Selain itu, bencana-bencana tersebut juga boleh melumpuhkan kegiatan perekonomian manusia. Bencana yang merosakkan fizikal bangunan, melumpuhkan sumber daya manusia melalui penyakit, boleh juga mengancam iklim pelaburan. Hal tersebut boleh mengganggu keadaan sosial dan ekonomi manusia.

Mempercepatkan Siklus Hidrologi

Kenaikan suhu juga telah mempercepatkan siklus hidrologi. Atmosfera yang lebih hangat akan menyimpan lebih banyak wap air, sehingga menjadi kurang stabil dan menghasilkan lebih banyak presipitasi, terutama dalam bentuk hujan lebat. Panas yang membahang juga akan mempercepatkan proses evaporasi. Kesan dari perubahan-perubahan tersebut dalam siklus air adalah menurunnya kuantiti dan kualiti air bersih di dunia. Sementara itu, pola angin dan kesan ribut juga akan berubah. Intensiti siklon tropika akan semakin meningkat (namun tidak mempengaruhi frekuensi siklon tropika), dengan kecepatan angin maksima yang bertambah dan hujan yang semakin lebat.

Salah satu contoh akibat perubahan iklim adalah banjir. Banjir adalah bencana yang dahsyat, merosakkan fizikal bangunan, pelbagai infrastruktur, pelbagai prasarana, pelbagai organisasi sosial dan kegembiraan manusia. Secara teori, banjir adalah hasil interaksi dari curahan hujan, runoff permukaan, evaporasi, angin, tinggi permukaan air laut, dan topografi tempatan. Banjir yang menenggelamkan tempat tinggal manusia membuatkan manusia terpaksa berpindah. Dalam keadaan darurat seperti itu, akan timbul pelbagai perasaan seperti resah, gelisah, bimbang, takut, panik dan sebagainya.

Selain itu, dalam keadaan darurat manusia tidak lagi memikirkan orang lain. Yang menjadi keutamaan adalah bagaimana caranya agar diri, keluarga dan hartanya dapat diselamatkan. Sering manusia menginjak hak orang lain asal keperluan keluarganya boleh dipenuhi, walaupun hak orang yang diinjak tersebut adalah hak jirannya. Banjir juga mengakibatkan kesihatan manusia terancam, berbagai penyakit menular dan penyakit mental boleh berlaku akibat bencana alam ini. Leptospirosis, diare, gangguan saluran pernafasan, scabies, dan pelbagai lagi penyakit mengancam warga pasca banjir. Lebih-lebih lagi untuk mereka yang tinggal di tempat perpindahan.

Mengubah Kualiti Lingkungan

Perubahan iklim boleh mengubah kualiti air, udara, makanan; ekologi vektor; ekosistem, pertanian, industri, dan perumahan. Semua aspek tersebut memiliki peranan yang sangat besar dalam menentukan kualiti hidup manusia. Perubahan iklim telah menciptakan suatu rangkaian kausaliti kompleks yang berhujung pada kesan kesihatan. Contohnya, kualiti dan bekalan makanan. Variabel ini sangat dipengaruhi oleh iklim.

Bagaimana keteraturan iklim telah membuatkan petani tahu bila waktu yang tepat untuk menabur benih, membaja, dan mengubah tanamannya. Sewaktu iklim berubah, cuaca juga turut berubah. Kekeringan dan banjir boleh datang bila-bila masa saja. Mungkin petani masih boleh memanfaatkan air tanah. Akan tetapi, aktiviti antropogenik manusia telah merubah wajah vegetasi bumi. Kualiti dan kuantiti air tanah dan permukaan kini juga berada dalam ancaman. Perubahan cuaca, kelembaban, suhu udara, arah dan kekuatan angin juga mempengaruhi perilaku hama.

Kesan lainnya adalah pengaruh perubahan iklim terhadap perilaku vektor penyebab penyakit. Vector borne disease (VBD) adalah penyakit menular yang ditransmisikan oleh gigitan infeksi spesies-spesies arthropod seperti nyamuk, lalat, kutu, kepinding, dan sebagainya. Di timur laut Amerika, ditemui bukti respons genetik (mikro evolusioner) dari nyamuk spesies Wyeomia smithii untuk meningkatkan jumlah mereka dan dalam dua dekad ini muncul pada musim semi lebih awal. Walaupun spesies itu bukan merupakan vektor yang boleh menyebarkan penyakit kepada manusia, tetapi spesies ini memiliki hubungan yang rapat dengan spesies vektor arbovirus lainnya yang dimungkinkan mengalami perubahan atau evolusi genetik juga. Selain itu perubahan peredaran geografi vektor sandfly dilaporkan terjadi di Eropah selatan. Akan tetapi, belum ada kajian yang spesifik meneliti kausa perubahan peredaran tersebut.

Virus berasas vektor lain yang menjadi pusat perhatian seluruh dunia adalah denggi. Beberapa kajian melaporkan bahawa curahan hujan yang tinggi serta suhu yang hangat boleh meningkatkan transmisi virus ini. Akan tetapi, diketahui juga bahawa kes boleh terjadi dalam jumlah yang sama pada musim kemarau asal terdapat cukup bekas penyimpanan air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Kesimpulan

Sesungguhnya perubahan iklim boleh mempengaruhi pelbagai bentuk gaya hidup manusia. Bermula dari wujudnya kesan rumah kaca (green-house effect), pemanasan global (global warming) yang mengancam kelangsungan hidup komuniti masyarakat pesisir pantai dan masyarakat yang tinggal di pulau-pulau kecil; perubahan gaya hidup, perangai, sikap, cara berfikir, bertindak manusia, tahap kesihatan, ekonomi dan politik; meningkatnya potensi dan intensiti terjadinya bencana alam seperti gempa bumi, tsunami, kemarau dan banjir besar; dampak kesihatan dan sosial bagi masyarakat luas; meningkatnya potensi penyebaran berbagai penyakit bagi masyarakat seperti penyebaran penyakit yang ditularkan melalui udara, penyakit yang ditularkan melalui vektor serangga dan rodent, penyakit yang ditularkan melalui air dan makanan, atau penyakit kerana kekurangan air dan makanan; merosakkan fizikal bangunan, pelbagai infrastruktur, pelbagai prasarana, organisasi sosial dan kegembiraan manusia; mengubah kualiti air, udara, makanan; ekologi vektor; ekosistem, pertanian, industri, dan perumahan; memperluaskan dispariti antara golongan kaya dan miskin, menyebabkan perpindahan penduduk dan mempengaruhi pola relasi lelaki dan perempuan yang menyebabkan ketidaksetaraan gender; mempercepatkan siklus hidrologi sehinggalah kepada mengubah pola fikir manusia. Justeru itu manusia harus meningkatkan usaha agar menghindarkan diri dari melakukan aktiviti yang boleh mempercepatkan cuaca bumi berubah yang pada akhirnya akan menimbulkan kesan rumah kaca dan pemanasan global dan mengancam kelangsungan hidup manusia itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA