Rabu, 3 Januari 2024

MEMBACA MASYARAKAT

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

APA perlunya sesebuah masyarakat membaca? Apa pentingnya pembacaan dalam sesebuah masyarakat? Dan apa pula risikonya jika konsep ‘masyarakat membaca’ gagal direalisasikan dalam sesebuah negara, bangsa yang sedang pesat membangun seperti Malaysia.

Konsep ‘masyarakat membaca’ sebenarnya bukanlah baru dalam kamus pendidikan. Konsep ini memperihalkan perkembangan masyarakat yang menjadikan aktiviti pembacaan salah satu prasyarat untuk terus menapak maju. Membaca bukan suatu natijah tetapi sebagai wahana dan salah satu peringkat dalam kemajuan sesebuah masyarakat. Oleh yang demikian, matlamat sesebuah masyarakat membaca bukan sekadar peratus literasi dan tabiat membaca yang tinggi semata-mata.

Matlamat masyarakat membaca ialah kelahiran budaya ilmu yang mantap. Dalam sesebuah masyarakat membaca, ilmu menduduki tangga teratas dalam sistem nilainya. Sementara aktiviti keilmuan berteraskan ketuhanan, keadilan dan kebenaran menjadi keutamaan berbanding kegilaan mengejar harta benda dan pangkat, apatah lagi hiburan dan sukan. 

Keutamaan terhadap ilmu seharusnya selari dengan pandangan hidup dan jiwa murni menuju status insan kamil. Masyarakat membaca juga menjadikan ilmu sebagai landasan hidup. Yang dicari dengan ghairahnya ialah ilmu, bukan maklumat. Yang dicitakan ialah tahap kebijaksanaan atau hikmah, bukan sekadar sijil akademik pelbagai tahap dan bidang. Justeru, masyarakat membaca sangat cintakan bahan-bahan ilmu, khususnya buku, jurnal dan majalah, yang menyalurkan ilmu dan menyuburkan hikmah.

Bagi sesebuah masyarakat membaca matang, bukan sahaja ghairah dan mengamalkan tabiat membaca. Malah mengutamakan mutu bahan bacaan. Mereka hanya membaca bahan-bahan ilmu yang terbukti keunggulannya. Dalam masyarakat Amerika Syarikat misalnya, kelompok masyarakat membaca yang diketuai oleh Mortimer J. Adler mengamalkan konsep karya agung atau great books yang mengandungi bahan-bahan klasik daripada pelbagai tamadun. Bahan-bahan ini bukan sahaja dibaca sebagai bacaan asasi, malah dibahaskan daripada pelbagai pendekatan dan teori.

Menerusi aktiviti sebegini, para pembaca akan terbiasa dengan bahan-bahan ilmu yang matang dan bernas. Pembaca juga boleh melatih minda berfikiran besar selari dengan gagasan-gagasan besar sebalik karya agung tersebut. Di Malaysia, hal seumpamanya sedang diusahakan Yayasan Karyawan, antara lain, sedang menterjemah dan menerbitkan siri karya agung dalam pelbagai tamadun. Kita berharap karya-karya agung ini dijadikan bahan bacaan oleh seluruh peringkat masyarakat sedikit masa lagi.

Natijahnya nanti, lahirlah masyarakat Malaysia yang lebih ghairah membahaskan idea dan gagasan besar, berbanding membicarakan hal-hal remeh-temeh apalagi gosip. Kita berharap gagasan karya agung ini juga akan menenggelamkan bahan-bahan bacaan status murahan dan longkangan, serta menangkis wibawa berita angin, persepsi dan reputasi surat layang.

Dalam hal ini, barangkali ada baiknya kita meneliti pepatah Inggeris ini: ‘Minda agung membicarakan idea; minda awam membicarakan peristiwa; minda kecil membicarakan hal orang lain; dan minda kerdil membicarakan diri sendiri.’

 

Mencorak Pemikiran Masyarakat Membaca

 

Malaysia tidak ketinggalan dalam menyemarakkan gerakan membaca, dengan memasukkan agenda sambutan Hari Buku Sedunia ke dalam kalendarnya. Negara-negara lain juga menyambutnya dengan meriah seperti Australia, Kanada, Ivory Coast, Cuba, Finland, Jerman, Greece, Itali, Madagascar, Maghribi, Mozambique, Puerto Rico, Sepanyol dan Sweden. Namun agak berbeza dengan United Kingdom, yang menyambutnya pada 1 Mac setiap tahun.

Namun satu persoalan penting yang perlu difikirkan bersama ialah sejauh manakah slogan-slogan ini memainkan peranan penting untuk mencorak pemikiran masyarakat bagi merealisasikan matlamat kewujudan masyarakat membaca. Seharusnya, slogan-slogan itu perlulah dirujuk kepada matlamat akhir sesuatu visi besar. Misalnya dalam konteks pembinaan negara bangsa, Malaysia sudah mempunyai Wawasan 2020.

Maka, seharusnya setiap visi dan misi tindakan setiap agensi kerajaan, mahupun swasta terarah ke Wawasan 2020. Meski Wawasan 2020 bukanlah satu wawasan sempurna. Malah, tidak ada yang sempurna di dunia ini, kecuali Allah. Maka, sebagai sebuah bangsa yang sedang menuju ke arah kejayaan, wawasan ini perlu sentiasa dibincang dan dibaiki.

Begitu juga setiap slogan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur perlu turut menghala ke arah Wawasan 2020. Kewujudan slogan-slogan ini sudah cukup baik untuk menjadi satu platform bagi menyediakan satu masyarakat benar-benar membaca. Namun, sejauh manakah kesediaan slogan-slogan ini dapat dipergunakan sepenuhnya oleh institusi-institusi berwajib dalam menjayakan gerakan membaca ini?

 

Bagaimana Membaca dan Memahami Masyarakat

 

Aset yang paling besar dalam sesebuah negara ialah putera dan puterinya atau pemuda-pemudinya. Ini kerana mereka adalah pelapis-pelapis atau pengganti generasi yang sedia ada. Masa depan sesuatu bangsa itu bergantung kepada mereka. Baik mereka, akan baiklah bangsa itu. Manakala jika mereka rosak, akan rosaklah bangsa tersebut.

Kerana itulah jika seseorang pemimpin itu baik, bertakwa dan bertanggungjawab terhadap Tuhan, agama dan bangsanya, dia akan menitikberatkan soal perkembangan pemuda-pemudi yang sedang membesar itu. Dia akan menganggap mereka adalah suatu aset yang penting. Andai tersilap dalam menjaganya, akibatnya akan punah dan rosaklah satu bangsa. Kesan negatif itu setidak-tidaknya akan berlanjutan untuk 100 tahun yang akan datang.

Sebaliknya kalau pemimpin itu jahat, tidak bertakwa, tidak takut Tuhan, tidak bertanggungjawab terhadap Tuhan, agama dan bangsanya, dia akan mengambil kesempatan ke atas aset penting ini untuk kepentingan peribadinya. Dia akan merancang satu sistem pendidikan yang membuatkan pemuda-pemudi itu rosak. Ini supaya apabila mereka rosak, hasilnya mereka tidak akan berfikiran panjang dan mudah diperalatkan untuk membuat kerja-kerja demi kepentingan peribadi pemimpin tersebut.

Memang terdapat pemimpin yang sanggup berbuat demikian demi kepentingan peribadinya. Pemuda dan pemudi yang telah rosak itu adalah ladangnya. Di situlah sumber kekayaan dan kesenangannya. Cuma hal ini tidak dapat dikesan kerana kerosakan itu sudah meluas dalam kalangan kebanyakan orang pada waktu ini.

Maka terkorbanlah agama dan bangsa selama beratus tahun. Sejak empayar Islam jatuh 700 tahun yang lalu, hingga kini masih belum ada bangsa atau negara Islam yang maju dan disegani kawan dan lawan. Umat Islam kini terhina di mana-mana bahkan di tanah air mereka sendiri. Mereka tidak dapat melepaskan diri dari menumpang musuh-musuh mereka sama ada dalam soal kehidupan, ilmu, ekonomi, teknologi dan lain-lain lagi. Begitulah keadaan umat Islam dan sehingga hari ini keadaan itu masih belum pulih lagi.

Sebab itu pemimpin yang takutkan Tuhan dan bertakwa kepada Allah, dia sangat menjaga aset ini walaupun dia terpaksa berkorban, tiada masa rehat bahkan sentiasa memimpin ketika sakit sekalipun. Pemuda-pemudi adalah pelapis pemimpin dan generasi yang sedia ada. Rosak mereka ini bererti tidak akan ada pemimpin dan generasi pelapis.

Tetapi tidak ramai bahkan boleh dibilang dengan jari umat Islam yang berfikiran begini. Hari ini kebanyakan umat Islam hendak jadi pemimpin kerana di situ ada kepentingan peribadi. Tidak mengapa kalau rakyat hancur dan jadi alat demi kepentingan mereka. Kerosakan dan keruntuhan akhlak para pemuda dan pemudi bangsa tidak menjadi kebimbangan mereka demi menjayakan agenda peribadi mereka. Begitulah cara berfikir kebanyakan umat Islam hari ini.

Tetapi bagi orang yang boleh berfikir dan boleh menganalisa masyarakat, apabila melihat kepada apa yang berlaku waktu ini, dia sudah tahu apa akan terjadi 50 tahun akan datang. Yakni dia melihat sama ada dari segi:

 

1.     perkembangan politik

2.     perkembangan pemuda-pemudinya

3.     perkembangan hasil pendidikannya

4.     ekonominya

5.     keadaan masyarakatnya.

 

Begitulah kaedahnya untuk membaca masyarakat. Untuk menjadi seorang yang peka dalam hal ini tidaklah susah. Caranya ialah dengan:

 

1.     mengasah akal

2.     menghidupkan roh

3.     memahami isu-isu semasa seperti perkembangan sistem pendidikan, politik dan sebagainya

4.     melihat buahnya atau hasil perkembangan tadi yakni apa yang telah terjadi kepada muda-mudi.

 

Dengan itu kita akan dapat menjangkakan apa yang akan jadi 100 tahun akan datang. Begitulah asas-asas untuk kita menjadi orang yang berfikir mengenai masa depan agama dan bangsa kita. Semua orang boleh berperanan sebegitu tetapi selama ini kita telah membunuh akal dan jiwa kita sehingga hilang kepekaan terhadap apa yang berlaku kepada agama dan bangsa, perkara itu tidak dapat kita fikir dan rasakan.

Selama ini kebanyakan orang Islam hanya memikirkan soal makan dan minum serta bagaimana untuk hidup senang dan berseronok sahaja. Justeru itu, tiada kepekaan terhadap apa yang akan berlaku kepada agama dan bangsa. Tetapi bagi mereka yang peka dan bertanggungjawab, dia akan rasa takut dan bimbang terhadap apa yang akan menimpa bangsa dan negaranya.

Walaupun tidak belajar tinggi hingga ke peringkat universiti, seseorang itu tetap boleh menjadi orang yang berjiwa besar dan berfikir mengenai masa depan bangsanya dengan menajamkan akal dan rohnya dan berguru dengan pengalaman dalam kehidupan yang dilaluinya. Dia akan dapat melihat apa yang akan berlaku pada orang Melayu 20 tahun lagi hingga dengan sebab itu dia akan sentiasa memikirkan nasib bangsanya.

Kalau kita lihat masyarakat, sewaktu taraf pendidikan masih di peringkat awal kemajuannya pada tahun-tahun 50 dan 60-an dahulu, tidak pernah pula berlaku kes-kes seperti murid melawan guru, murid bergaduh hingga berbunuh-bunuhan, gejala lepak dan sebagainya. Tetapi sekarang waktu sudah begitu ramai profesor dan tokoh-tokoh pendidikan, kita dapati ramai pula yang terlibat dengan masalah-masalah tadi termasuk penyalahgunaan dadah. Semakin ramai yang ditangkap dan dihantar ke pusat-pusat pemulihan dan pusat serenti.

Yang lebih menyedihkan lagi, kebanyakan yang masuk ke pusat-pusat pemulihan itu adalah dari kalangan bangsa Melayu. Dalam kalangan mereka itu ada guru, jurutera, pegawai dan sebagainya. Yang menjadi masalah kepada masyarakat, jumlah mereka mencecah angka ratusan ribu. Ia berlaku di tengah-tengah masyarakat yang ada ilmu. Begitulah hasil pendidikan pada hari ini. Walaupun perkembangan ilmu makin pesat namun gejala yang melanda masyarakat juga makin berleluasa.

Dari sudut perkembangan politik pula, masyarakat boleh berpecah belah bahkan suami isteri pun boleh bercerai disebabkan perbezaan fahaman politik. Dalam masjid pun boleh berlaku pergaduhan kerana perbezaan politik. Ini buah dari perkembangan politik hari ini. Ketika musim pilihan raya kita dapat lihat nanti ada emak ayah, adik-beradik dan suami isteri tidak bertegur sapa walaupun hidup serumah hanya kerana perbezaan fahaman politik. Begitu haru-biru dibuatnya. Itulah buah politik hari ini.

Manakala perkembangan ekonomi pula, kita dapati belum banyak lagi kemajuan pembangunan ekonomi yang berlaku di tangan orang Melayu. Walaupun sudah berbagai usaha dari pihak kerajaan bagi memajukan ekonomi orang Melayu namun keadaan masih tidak banyak berubah. Yang ada hanya ekonomi negara. Sejak tahun 1957 sampai sekarang, sudah adakah sebuah bandar yang dibangunkan dan dimajukan sepenuhnya oleh orang Melayu? Walaupun sudah lebih 59 tahun berusaha untuk membangunkan ekonomi orang Melayu, tetapi sebuah pekan orang Melayu pun belum ada.

Kebudayaan pula sudah rosak. Kebudayaan sebenarnya ialah cara hidup seperti cara berkeluarga, cara bermasyarakat, cara berekonomi dan cara berpendidikan. Kebudayaan itu dari perkataan budi dan daya. Budi itu akhlak manakala daya pula ialah usaha dan tatacara. Ertinya dalam pergaulan sesama manusia, apakah ada budi di situ? Apakah ada akhlak atau tidak? Apakah tata caranya betul? Budaya itu cara hidup dari semua aspek. Contohnya, umat Islam, budayanya apabila berhimpun, perempuan di satu tempat, lelaki di satu tempat yang lain. Tapi cuba lihat apa yang berlaku sekarang. Umat Islam bebas bergaul lelaki dan perempuan di mana-mana. Begitu juga dengan berpakaian. Budaya umat Islam berpakaian menutup aurat. Namun bukan sedikit umat Islam sekarang yang tidak menutup aurat, baik lelaki mahupun perempuan.

Jadi begitulah beberapa contoh bagaimana kita membaca masyarakat. Kita sudah dapat melihat buah atau hasil dari perkembangan empat sistem dalam kehidupan iaitu pendidikan, politik, ekonomi dan kebudayaan. Untuk memahami hal ini tidak semestinya kita mempunyai ijazah dalam bidang-bidang berkenaan. Jika kita tajamkan akal dan ada cita-cita untuk membaiki nasib bangsa, kita akan dapat melihat dan memahaminya.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA