ANCAMAN sekatan atau ‘sanction’
ke atas mana-mana negara oleh Amerika bukan baru, malah ia usaha terdesak,
melampaui kuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diplomasi
antarabangsa. Lebih daripada itu, ia perbuatan tidak masuk akal. Tujuan
Amerika ialah memaksa sesebuah negara tunduk kepada kehendaknya.
Dalam usahanya terdahulu, sekatan dikenakan Amerika dan sekutunya
ternyata tidak berkesan. Yang berkesan hanyalah sekatan dilakukan oleh negara
itu ke atas kerajaan aparteid Afrika Selatan yang menyebabkan negara minoriti
kulit putih itu tunduk kepada tindakan negara majoriti sehingga Afrika Selatan
bebas dan menjadi negara kulit hitam sehingga kini.
Sekatan lain berkesan tetapi belum mendatangkan hasil sepenuhnya ialah
terhadap Zionis Israel yang dikenakan banyak negara Islam. Ia menyebabkan
Israel hidup dalam dunia sempit tanpa mempunyai rakan yang mahu berhubung
dengan mereka. Ini menyebabkan ramai rakyatnya tidak dapat bergerak dengan
mudah di mana-mana termasuk di Amerika apabila tidak dapat mengaku mereka dari
Israel.
Sebaliknya, sekatan terhadap Iran yang dikenakan sekarang, tidak
menyebabkan rakyatnya terhad bergerak dari satu negara ke negara lain. Mereka
boleh menjalankan kehidupan seperti biasa dan ini mencemaskan apabila ramai
rakyatnya berada di Amerika dan negara Islam lain termasuk Malaysia yang
menghasilkan pertembungan sihat.
Kemenangan filem Iran iaitu A
Seperation dalam Malam Anugerah Akademi Februari 2012 lalu menunjukkan
sekatan ke atas Iran hanya berlaku di Washington tetapi tidak di Hollywood.
Malah, banyak filem dan pengkarya filem Iran disanjung pesta filem di Eropah
dan Barat termasuk Amerika. Ini menunjukkan sekatan dikenakan Amerika dan
sekutunya ke atas Iran tidak berkesan. Ia membuatkan Amerika dan sekutunya
terdesak mengambil tindakan lebih drastik dengan mengenakan sekatan terhadap
penjualan minyak ke negara Barat dan sekutunya.
Ini atas dakwaan Amerika, Iran kini giat berusaha membuat bom nuklear
yang mengancam Asia Barat, khususnya kewujudan Israel, dan juga negara di
Eropah jika Iran mempunyai peluru berpandu jarak jauh yang boleh sampai ke
sana. Ini sebenarnya bukan soalannya. Soalannya ialah, apakah Iran juga
tiada cita-cita murni membangunkan negara mereka dengan menggunakan cara dan
tindakan yang sekutunya, Israel sudah lama ada, yang mana mereka menggunakannya
untuk menggugat ketenteraman dan keselamatan negara berjiran dengannya?
Malah tanpa memiliki kuasa nuklear, Israel sudah lama dapat dihapuskan
dan mereka sendiri sedar tanpa kuasa nuklear yang mereka tidak berani mengaku
memiliki, mereka juga tidak berani menjadi angkuh. Kuasa nuklear atau ‘nuclear option’ ini adalah satu-satunya sebab kenapa Israel angkuh dan
terus merampas tanah Palestin dan membunuh pemimpin mereka
sewenang-wenangnya. Ini ditambah pula sokongan padu Amerika yang tidak
mengambil tindakan ke atas Israel. Amerika ada kuasa veto yang mereka gunakan
untuk mematikan sebarang ketetapan diluluskan PBB ke atas Israel. Oleh sebab
veto dan kuasa nuklear ini, Israel dapat berkembang dan menjadi lebih
angkuh.
Kalau tidak, bagaimanakah sebuah negara yang dianggap sebagai ‘haprak’
dapat bertahan sehingga kini? Israel ‘ditubuhkan’ pada 1948 apabila dunia Islam
bergolak dengan pergerakan kemerdekaan masing-masing. Negara Islam tidak
bersepakat dan keadaan seperti ini membenarkan Israel wujud. Negara Arab
dan Islam ketika itu pada dasarnya tidak mementingkan untuk memiliki kuasa
tentera, jauh sekali mahu memiliki kuasa nuklear, maka mereka tertindas dengan
tindakan negara kuasa besar lain yang awal lagi tahu kewujudan mereka di dunia
ini hanya bergantung kepada kuasa nuklear.
Justeru, Israel beriya-iya memiliki kuasa nuklear sebaik saja mereka
mengukir sebuah negara dari tanah Palestin pada 1948 supaya dapat menjamin
keselamatan mereka. Tetapi berapa lama Israel dan penyokong kuatnya, Amerika
dan sekutu pro-Zionis di Barat dapat mempertahankan kedudukan ini?
Sebabnya lambat-laun Iran atau negara Arab dan Islam lain akan turut
mahu dan memiliki kuasa nuklear yang mereka guna untuk menjamin kemakmuran
negara masing-masing, yang boleh menjana peningkatan ekonomi mereka. Ia
bukan kuasa nuklear seperti digunakan Amerika, Israel dan sekutunya yang lebih
cenderung menggunakan kuasa ini sebagai senjata, sedangkan negara Arab dan
Islam lain termasuk Iran hanya mahu menggunakannya bagi menjamin mereka boleh
membangunkan negara masing-masing bagi mengharungi masa depan yang penuh
cabaran apabila kuasa fosil atau minyak petrol kering dari negara mereka.
Dengan mengenakan sekatan terhadap Iran sekarang, Amerika dan sekutunya
memastikan Iran tidak menjadi negara maju di Asia Barat dan Teluk, mereka mahu
menjamin Iran jadi seperti Afghanistan dan Iraq yang boleh diperkotak-katikkan.
Malah dengan kegagalan Amerika dan sekutunya, tindakan mereka terhadap
Afghanistan dan Iraq ternyata gagal.
Kebangkitan rakyat di beberapa negara Arab mulai 2011 membuktikan kuasa
tempikan di jalan itu kadangkala lebih berkesan daripada kuasa veto PBB. Rakyat
Amerika dan negara sekutunya juga sedar mengenai perkara ini dan mula bangkit
apabila mereka menganjurkan protes dikenali sebagai ‘Occupy Wall Street’ di
bandar raya New York yang merebak ke banyak bandar raya dan pekan seluruh
Amerika.
Malah ia juga merebak ke hampir semua negara di Eropah dan Latin
Amerika. Kesannya sudah dirasai. Sebabnya juga sudah jelas sekarang, rakyat
Amerika dan negara sekutunya juga tidak senang dengan tindakan pemimpin politik
negara masing-masing, khususnya di Washington yang ternyata dipengaruhi oleh
pelobi Zionis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan