Budaya Popular dalam Pembangunan Masyarakat dan Budaya Melayu
Abad ini dunia menghadapi
gelombang kepesatan perkembangan budaya popular yang dibawa bersama dalam
proses globalisasi yang semakin meningkat. Fenomena ini melanda masyarakat di
peringkat global terutama berikutan dengan pesatnya pembangunan teknologi. Ini
telah menarik perhatian para pengkaji masyarakat dan budaya untuk memahami
kesan dan pengaruhnya kepada masyarakat dan budaya di luar negara-negara maju. Gelombang
budaya popular yang berkembang secara global itu didapati memainkan peranan
yang semakin penting bukan sahaja dari segi pengaruh budaya, malahan turut
berperanan dalam membawa pembangunan ekonomi, teknologi dan seterusnya dalam
menyalurkan ideologi negara-negara maju ke paras global.
Kesannya itu amat dirasai di
negara-negara sedang membangun seperti Malaysia. Fenomena budaya popular
didapati merupakan sebahagian penting dalam kehidupan masyarakat moden kini.
Peranan fenomena itu dalam mempengaruhi pembinaan peradaban manusia tidak dapat
dinafikan. Oleh itu, fenomena ini tidak boleh dianggap kurang penting, tetapi
perlu diberikan perhatian serius, terutama untuk menilai kesannya dan menyusun
strategi perancangan pembangunan budaya selaras dengan perubahan yang berlaku
di peringkat global.
Tulisan ini bertujuan untuk
meninjau kedudukan peranan budaya popular Melayu sebagai suatu arus
perkembangan budaya moden yang turut mempengaruhi masyarakat dan budaya Melayu.
Selain itu, tulisan ini turut menilai keberkesanan perkembangan budaya popular
dalam membawa perubahan kepada kehidupan orang Melayu, terutama nilai-nilai
sosial. Tulisan juga memberikan perhatian terhadap permasalahan pembinaan
budaya kebangsaan dan pembangunan sosial dalam pesatnya arus perkembangan
budaya popular itu.
Konsep dan Pemikiran Fenomena Budaya Popular
Fenomena budaya popular itu
secara umumnya boleh difahami sebagai unsur-unsur budaya yang diminati, atau
disukai ramai. Konsep budaya dalam pengertian yang luas secara mudah adalah
sebagai keseluruhan cara hidup, yang menjadi amalan dan dikongsi bersama oleh
anggota-anggota masyarakat. Dalam konteks yang lebih khusus, konsep ‘budaya’
dalam budaya popular itu merujuk kepada segala perlakuan yang merupakan
keperluan manusia atau anggota-anggota masyarakat untuk mengisi keinginan yang
lebih tinggi, iaitu bersifat ekspresif dan simbolik.
Unsur-unsur budaya itu
dihasilkan untuk diminati dan dihayati secara bersama, dan dengan ini
menyatakan penerimaan atau pengesahan masyarakat untuk dikongsi bersama. Majoriti
penduduk atau anggota-anggota masyarakat itu terdiri daripada golongan muda,
termasuk golongan remaja. Sesuatu unsur budaya itu selalunya merupakan fenomena
popular di kalangan golongan itu, dan ini selalu dirujuk sebagai budaya muda
mudi. Biasanya pengusaha budaya popular itu menumpukan sasaran penawaran
bahan-bahan budaya itu kepada golongan muda mudi itu. Walau bagaimanapun budaya
popular berkembang dan tersebar secara meluas meliputi semua golongan dan
kelompok sosial, tidak terbatas di kalangan kelompok itu. Konsep budaya popular
tidak boleh dianggap membawa maksud yang sama dengan budaya massa.
Budaya massa itu selalu dirujuk
sebagai unsur-unsur budaya yang disalurkan melalui media massa, seperti media
cetak dan media elektronik. Tetapi budaya massa itu, yang tersebar meluas
melalui media popular turut diminati ramai dan menjadi sebahagian daripada
budaya popular. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan lagi, peranan media
massa itu amat penting dalam membina fenomena budaya popular. Malahan,
teknologi media massa itu mendorongkan kepesatan perkembangan budaya popular.
Budaya popular sebagai fenomena
budaya memainkan peranan penting dalam menggalakkan dinamiknya budaya itu, dan
seterusnya mempengaruhi kedudukan peradaban sesuatu masyarakat itu. Terdapat anggapan
sesetengah pihak yang memandang rendah dan mengaitkan penyebaran bahan-bahan
budaya popular itu dengan peningkatan masalah sosial terutama di kalangan
remaja. Selain itu, terdapat pula anggapan yang mengaitkan budaya popular
dengan rendahnya penghayatan nilai-nilai seni dalam masyarakat.
Persoalan seperti itu akan
diperkatakan dalam tulisan ini. Walau bagaimanapun, budaya popular kini adalah
sebahagian daripada kehidupan masyarakat moden, yang mempengaruhi semua
golongan masyarakat tanpa mengira kelas sosial. Budaya popular itu tersebar
luas, merintasi kelas atau kelompok.
Perkembangan Budaya Popular
Kemunculan budaya popular dalam
konteks masyarakat moden adalah berkaitan dengan pembangunan ekonomi, misalnya
perkembangan ekonomi kapitalis. Budaya popular moden di Malaysia pula mulai
berkembang berikutan dengan perubahan ekonomi yang dibawa oleh pemerintah
kolonial. Pusat perubahan ekonomi itu ialah di bandar. Oleh itu kemunculan fenomena
budaya popular moden itu turut berpusat di bandar-bandar besar. Bandar itu juga
sebagai pusat perubahan budaya. Dalam konteks ini proses modenisasi dan
urbanisasi memainkan peranan penting dalam kemunculan dan perkembangan fenomena
budaya popular. Perubahan yang berlaku di bandar-bandar kolonial itu kemudian
turut mendorongkan kemunculan budaya popular Melayu.
Pembangunan bandar-bandar moden
telah membawa perubahan pesat kepada gaya hidup penduduk bandar. Pembangunan
ekonomi yang berpusat di bandar-bandar itu telah menarik ramai pekerja dari
luar bandar. Mereka ini memerlukan penawaran unsur-unsur budaya bagi mengisi
masa lapang, dan keperluan yang lebih tinggi. Gaya hidup mereka yang berbeza
daripada gaya hidup golongan elit di bandar, memberikan peluang penawaran
unsur-unsur budaya bercorak popular untuk mengisi keperluan mereka itu. Unsur-unsur
budaya mulai ditawarkan secara komersial, misalnya sebagai bahan hiburan,
mainan, pengisian masa lapang atau keperluan mengisi gaya hidup moden. Oleh itu
unsur-unsur budaya menjadi komoditi budaya atau bahan budaya yang dikomersialkan
untuk mengisi keperluan orang ramai.
Pembangunan teknologi dan ilmu
pengetahuan moden turut mendorongkan peningkatan perkembangan budaya popular. Teknologi
membolehkan produktiviti ditingkatkan dan dengan itu penawaran bahan-bahan
budaya boleh disebarkan secara meluas. Dengan teknologi itu juga membolehkan
penawaran bahan-bahan budaya itu dapat dipertahankan mutunya. Malahan, dengan
pesatnya pembangunan teknologi, penawaran bahan-bahan budaya itu dapat
dipelbagaikan. Misalnya, teknologi telekomunikasi terkini membolehkan penawaran
bahan-bahan budaya dilakukan secara global dan penyebarannya dapat disegerakan.
Perkembangan budaya popular yang
berasaskan kegiatan komersial itu, maka pihak pengusaha menguruskan dagangan tersebut
sebagai suatu industri sebagaimana pengurusan industri yang lain juga. Dalam
perjalanan pengurusan industri budaya itu, bahan-bahan yang ditawarkan adalah
selaras dengan cita rasa budaya orang ramai. Sebagai gaya hidup bandar, yang
melalui proses modenisasi dan urbanisasi maka bahan-bahan budaya itu perlu
selalu dilakukan perubahan untuk menyesuaikan dengan perubahan selera orang
ramai. Oleh itu bahan budaya popular sebagai komoditi budaya sentiasa berubah
dan diperbarui selaras dengan perubahan nilai-nilai sosial.
Perkembangan budaya popular
telah dapat melahirkan golongan profesional, dan peluang pekerjaan kepada ramai
orang, terutama dalam industri budaya. Mereka yang berkebolehan dan berbakat
dapat bergantung hidup dalam bidang berkaitan. Seterusnya mereka boleh meningkatkan
mutu kerana perlibatan sepenuh masa mereka dalam bidang mereka Itu. Budaya
popular merupakan suatu kepentingan dalam menyatakan gaya hidup baru masyarakat
moden. Semakin maju sesuatu masyarakat itu, penumpuan, misalnya permintaan
terhadap budaya popular semakin meningkat. Orang ramai bekerja kuat boleh
dikatakan tidak lagi bertujuan untuk mengisi keperluan-keperluan asas
sebagaimana masyarakat tradisional.
Budaya popular sebagai keperluan
yang lebih tinggi tidak lagi terbatas kepada perkara-perkara yang merupakan
pengisian asas semata-mata. Misalnya, hiburan hanya merupakan sebahagian
daripada unsur budaya popular yang didapati semakin penting dalam masyarakat
maju. Keperluan yang lebih tinggi semakin beragam dan berbagai-bagai keinginan
yang lebih tinggi boleh merupakan suatu dorongan atau impian penting bagi orang
ramai untuk bekerja lebih kuat.
Fenomena budaya popular itu
berbagai-bagai, adakala berasaskan kepada keperluan asas. Dalam masyarakat
moden kini kita dapati keperluan-keperluan asas itu juga semakin bertambah
bergantung kepada kemajuan yang dicapai oleh masyarakat. Misalnya, pakaian
sebagai keperluan asas, orang ramai mendapatkan pakaian umumnya kurang
menitikberatkan lagi tentang keperluan asas sebagaimana konsep yang terbina
masa lalu. Tetapi kini orang berusaha mendapatkan pakaian yang lebih menekankan
kepada fesyen, mutu dan kecantikan.
Unsur-unsur fesyen dan jenama
selalu menjadi pertimbangan utama. Kepentingan seperti ini lebih menekankan
kepada keperluan sosial. Dalam memahami keperluan atau kepentingan yang lebih
mengutamakan kepada keindahan dan kepuasan diri tidak dapat dipisahkan daripada
kepentingan sosial sebagaimana yang diberikan nilai oleh anggota-anggota
masyarakat. Keperluan individu tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh
keperluan sosial. Dalam keadaan ini, budaya popular yang terbina adalah
berasaskan kepada citarasa golongan majoriti yang mempengaruhi individu. Kedua-dua
pihak iaitu individu dan masyarakat saling mempengaruhi. Individu sebagai
anggota masyarakat adakala dapat memainkan peranan mempengaruhi citarasa
anggota-anggota kelompok dan seterusnya masyarakat.
Budaya popular yang berkembang
pesat dalam masyarakat moden merupakan penghasilan industri budaya yang
berasaskan kepada kegiatan komersial. Unsur-unsur budaya menjadi tumpuan
pengusaha yang menjadikan sebagai bahan-bahan yang dapat dikeluarkan secara
besar-besaran bagi mengisi kepentingan dan keperluan orang ramai. Dalam keadaan
ini unsur-unsur budaya itu menjadi barang-barang dagangan sebagaimana barang-barang
dagangan yang lain juga. Misalnya, unsur-unsur hiburan didapati semakin penting
menjadi bahan dagangan. Bahan-bahan budaya kini dapat disebarkan secara meluas
dengan terdapatnya berbagai-bagai kemudahan teknologi moden seperti
pengangkutan dan saluran media massa. Industri budaya dapat berkembang pesat,
terutama apabila kemudahan teknologi moden didapati semakin digunakan dengan
meluas. Teknologi moden memainkan peranan penting dalam membolehkan penawaran
bahan-bahan budaya popular yang berbagai-bagai bentuk tersebar luas dalam
pasaran.
Pemisahan budaya kepada
sub-budaya rakyat, popular dan elit adalah berasaskan kepada kelas sosial. Pada
satu pihak menerangkan bahawa kita membicarakan tentang gaya hidup
kelompok-kelompok sosial yang berkaitan. Hal ini kerapkali menimbulkan
kekeliruan antara sub-budaya dan kelas sosial. Misalnya, apabila membicarakan
budaya rakyat bermakna kita berusaha menerangkan gaya hidup kelas tani, budaya
tinggi pula menyatakan kelas berada yang merupakan kelas elit di bandar. Sub-budaya
itu menyatakan gaya hidup kelompok-kelompok sosial.
Setiap kelompok sosial sudah
pasti tidak dapat dipisahkan daripada keseluruhan masyarakat yang lebih luas,
namun demikian perbezaan gaya hidup mereka melahirkan perbezaan sub-budaya, tetapi
pada paras yang lebih luas perbezaan sub-budaya di antara kelompok-kelompok
sosial itu tidak menonjol. Namun demikian, suatu pola umum dapat dinyatakan
sebagai sub-budaya yang berbeza antara kelompok-kelompok sosial itu berasaskan
kepada kedudukan sosio-ekonomi. Sub-budaya itu tidak boleh dipisahkan daripada
keseluruhan masyarakat dan budaya. Dalam konteks ini fenomena budaya popular
tersebar luas merintasi kelompok-kelompok sosial.
Kandungan Budaya Popular
Dalam masyarakat Melayu tradisi
berbagai jenis budaya rakyat diminati ramai dan dapat dianggap budaya popular
tradisi. Ini termasuklah berbagai-bagai jenis seni dan mainan yang tersebar
luas. Kegiatan seni dan mainan itu memberikan anggota-anggota masyarakat
hiburan, pengisian masa lapang, keseronokan, dan penghayatan seni. Di samping
itu berbagai-bagai jenis tradisi rakyat itu mempunyai fungsi dan peranan yang
lebih penting, seperti ritual mengubat penyakit, perlakuan keagamaan dan
sebagainya.
Tradisi budaya rakyat sebagai
budaya popular tradisional yang ekspresif dan simbolik menyatakan gaya hidup
masyarakat Melayu masa lalu. Melaluinya masyarakat menyampaikan maklumat,
sindiran dan kritik sosial di samping peranannya yang ekspresif dan simbolik. Dalam
masyarakat moden, penawaran bahan-bahan budaya popular itu terdapat
kepelbagaian, dan fungsi atau peranannya juga boleh ditinjau dalam berbagai
konteks. Peranan budaya popular moden itu tidak terbatas setakat hiburan sahaja.
Ini akan dibincangkan dalam teks seterusnya. Kini, budaya popular moden itu
termasuk muzik dan nyanyian, drama, filem, tarian, jenaka, dan seumpamanya,
baik yang disalurkan melalui media elektronik mahupun melalui teknologi lain. Selain
itu, bahan-bahan bercetak seperti majalah popular, novel, dan cerita-cerita
popular lain didapati amat pesat perkembangannya. Permainan juga sebahagian
daripada budaya popular yang pesat berkembang.
Media elektronik dan media cetak
sebagai contoh, pengisian utamanya ialah bahan-bahan budaya popular yang
menyatakan masyarakat dan budaya Melayu yang sedang mengalami perubahan. Media
elektronik menyalurkan antaranya, muzik dan nyanyian, filem dan drama, tarian,
lawak jenaka, permainan, sukan, perlumbaan, masakan, pengembaraan,
peraduan/tekateki, dan cerita-cerita sensasi/ganjil. Majalah popular adalah
media cetak yang tersebar luas. Antara isi kandungan majalah popular itu
termasuklah, gosip bintang-bintang popular dan tokoh-tokoh terkenal,
cerita-cerita sensasi dan ganjil, termasuk cerita-cerita hantu, perhiasan diri
dan penjagaan kecantikan serta kesihatan, perhiasan rumahtangga, cerita
percintaan, ulasan filem, muzik dan nyanyian, hiburan semasa, pengembaraan dan
melancong, fesyen, permainan, sukan, komik/jenaka dan umumnya gaya hidup moden
dan bandaran. Adakala cerita dan gaya hidup kampung turut mendapat minat ramai,
terutama mereka yang tinggal di bandar. Cerita-cerita khayalan, seperti cerita
hantu, jin, mistik dan kejadian ganjil adalah juga bahan-bahan sensasi dalam
perkembangan budaya popular.
Budaya Popular Tradisional
Fenomena budaya popular dalam
masyarakat Melayu bukanlah sesuatu yang baru. Tetapi kedudukan budaya popular
tradisi yang telah lama berkembang dan diwarisi orang Melayu sejak zaman
berzaman itu adalah berlainan daripada budaya popular moden. Unsur-unsur budaya
ekspresif tradisional, seperti seni dan mainan didapati penyebarannya terbatas,
iaitu bersifat kedaerahan oleh kerana sistem perhubungannya terbatas. Unsur-unsur
budaya popular tradisional itu adalah tersebar dan berkembang di kalangan
rakyat, atau dikenali sebagai tradisi budaya rakyat.
Struktur sosial masyarakat
Melayu tradisional yang terdiri daripada golongan memerintah dan rakyat
mempengaruhi struktur budaya, iaitu tradisi budaya istana dan tradisi budaya
rakyat. Tradisi budaya istana itu dapat dianggap mempertahankan tradisi budaya
elit atau budaya tinggi. Golongan itu yang mempunyai kekayaan dan kuasa
berusaha mempertahankan tradisi budaya istana itu sebagai melambangkan
kedudukan golongan bangsawan itu. Tradisi rakyat sebagai budaya popular
tradisional menyatakan dengan jelas kedudukan sosial dan ekonomi golongan itu. Tradisi
budaya rakyat itu jelas menyatakan sifat-sifat kedaerahan, misalnya suasana
penyampaian, penggunaan bahasa dialek dan seumpamanya.
Tradisi itu berkembang sebagai
tradisi lisan yang diperturunkan dari satu generasi kepada satu generasi
sebagai usaha mempertahankan tradisi. Ikatan emosi kepada tradisi itu didapati
tradisi itu dapat dipertahankan walaupun perkembangannya berasaskan minat dan
penghayatan mendalam. Melalui tradisi itu kita dapat memahami dan menyelami
pemikiran dan falsafah hidup orang Melayu. Pemupukan nilai-nilai sosial
didapati sangat berkesan dilakukan melalui tradisi itu. Selain itu, tradisi itu
juga merupakan saluran komen dan kritik sosial.
Tradisi budaya rakyat mempunyai
fungsi dan kepentingannya tersendiri dalam masyarakat, perlu diteliti
peranannya tidak terbatas sebagai unsur seni dan mainan. Unsur-unsur budaya
popular tradisi itu boleh diteliti kaitan atau hubungannya dengan agama dan
kepercayaan. Terdapat unsur-unsur budaya yang merupakan ritual berasaskan
kepercayaan, seperti mantera, main dewa, main puteri dan seumpamanya. Unsur-unsur
seni yang dipengaruhi Islam juga turut popular dalam masyarakat Melayu, seperti
hadrah, marhaban, zikir dan nasyid. Populariti unsur-unsur budaya itu
diperkukuhkan oleh ikatan emosional kepada tradisi, kepercayaan warisan dan
Islam.
Tradisi budaya rakyat itu
mempunyai peranan dan kepentingannya dalam kehidupan masyarakat. Nilai-nilai
seni tidak dapat dipisahkan daripada nilai guna sesuatu unsur tradisi itu. Populariti
sesuatu tradisi itu berasaskan nilai-nilai sosial yang memberikan penekanan
peranan dan kepentingannya dalam masyarakat. Pemisahan antara tradisi budaya
istana dan tradisi budaya rakyat itu tidaklah merupakan pemisahan yang jelas. Hubungan
antara kedua-dua itu sangat rapat.
Perbezaan itu boleh dianggap
sebagai gaya hidup yang berlainan, tetapi sebagai tradisi budaya Melayu, masih
dianggap tidak jauh berbeza. Suasana alam sekitar dan kehidupan orang Melayu
dari segi ekonomi dan sosial membolehkan mereka menghasilkan tradisi budaya
popular yang beranika ragam. Malahan dengan sifat kedaerahan dan pelbagai suku
ethnik Melayu di alam Melayu yang luas itu, orang Melayu mewarisi kekayaan
khazanah tradisi budaya yang amat berharga. Warisan tradisi budaya rakyat itu
memerlukan penyelidikan mendalam, terutama untuk memahami struktur dalaman,
iaitu aspek ekspresif dan simbolik.
Kepentingan Budaya Rakyat Dalam Konteks Masyarakatnya
Unsur-unsur budaya rakyat pada
umumnya mempunyai kepentingan tersendiri dalam konteks masyarakat masa lalu. Unsur-unsur
itu bukan sahaja bertujuan untuk memberikan hiburan atau mengisi keperluan yang
lebih tinggi kepada ramai. Sesuatu jenis seni atau mainan seperti muzik, tarian
dan teater merupakan saluran memupuk nilai-nilai sosial dan menyampaikan ilmu
pengetahuan dan maklumat dalam masyarakat yang buta huruf. Di samping segala
itu ada kaitan dengan kepercayaan warisan, unsur-unsur itu juga mempunyai
kaitan dengan ritual yang bertujuan untuk membawa kesejahteraan dan keharmonian
hidup anggota-anggota kelompok.
Nilai-nilai sosial, world-view
dan falsafah yang terdapat di sebalik unsur-unsur budaya tradisi tidak dapat
dipisahkan daripada kepercayaan warisan. Tradisi ini mempengaruhi keseluruhan
cara hidup orang-orang Melayu masa lalu. Segala unsur budaya itu mempunyai
kepentingan tersendiri dalam masyarakat, yang dapat difahami dan dirasai
anggota-anggotanya.
Dalam masyarakat Melayu yang
mengalami perubahan, berikutan pesatnya proses modenisasi dan urbanisasi,
nilai-nilai sosial dan world-view yang mereka warisi turut mengalami perubahan.
Kedudukan budaya rakyat tidak dapat menyesuaikan dengan keperluan masyarakat
moden yang mengalami perubahan itu. Unsur-unsur budaya warisan itu cuba
disesuaikan dengan fungsi atau kepentingan baru tetapi umumnya didapati tidak
dapat menyesuaikan dengan perubahan cita rasa budaya ramai.
Dalam keadaan ini, kita dapati
unsur-unsur budaya popular memainkan peranan yang semakin penting dalam
kehidupan masyarakat moden. Melihat kepada perkembangan Islam atau proses
islamisasi yang semakin mendalam dan meluas tidak dapat dinafikan bahawa itu
juga membawa kesan yang menyeluruh kepada kedudukan budaya rakyat itu. Kepercayaan
warisan yang menghidupkan unsur-unsur budaya rakyat itu kerapkali dianggap
bercanggah dengan kehendak-kehendak Islam. Perkara itu semakin dipandang
serius, terutama di kalangan golongan muda. Mereka tidak menggalakkan
unsur-unsur kepercayaan warisan itu terus berkembang. Anggapan demikian sudah
pasti mempunyai kesan-kesan yang jelas kepada kedudukan budaya rakyat itu. Tetapi
unsur budaya tradisi yang berteraskan kepada Islam, seperti nasyid dapat
dipopularkan mengikut keperluan semasa. Lagu-lagu nasyid kini membuktikan
popularitinya dalam masyarakat Melayu yang pesat mengalami perubahan.
Perubahan sosio-ekonomi yang
berlaku secara menyeluruh, mempengaruhi nilai orang ramai dalam memberi
penekanan dan mengutamakan kepada kegiatan cari makan bagi memperbaiki
kedudukan sosial mereka. Usaha memperbaiki ekonomi dapat memberikan kepuasan
sosial, dan seterusnya dapat menjamin kedudukan sosial. Nilai-nilai yang lebih
menekankan kepada kepentingan material, mendorongkan orang bersikap lebih
mementingkan diri sendiri, bukannya tumpuan kepada kebajikan secara bersama. Sedangkan
dalam masyarakat tradisional, kepentingan kelompok sangat ditekankan bagi
menjamin keharmonian dan keseimbangan sosial sebagaimana yang dinyatakan dalam
tradisi budaya rakyat.
Generasi muda kerapkali
memandang rendah terhadap warisan budaya rakyat berbanding dengan budaya
popular moden. Budaya rakyat yang masih terdapat di kampung-kampung selalu
dianggap bersifat kekampungan. Misalnya, barang-barang kerajinan tangan yang
dihasilkan oleh orang kampung selalu dianggap kurang mutu. Warisan tradisi itu
dianggap mempunyai nilai-nilai yang rendah dan kurang fungsi dalam masyarakat
moden. Sebaliknya penghasilan seni popular terutama dari negara-negara maju
diberikan nilai tinggi. Nilai-nilai sosial demikian dipengaruhi budaya barat
telah dapat diterima secara meluas oleh penduduk negara ini.
Berasaskan kepada nilai-nilai
sosial seperti ini, barang-barang penghasilan kraftangan Melayu kurang mendapat
perhatian ramai dan ini membawa kesan kepada kegiatan kerajinan tangan tempatan.
Barang-barang tempatan, seperti pertukangan tembaga, besi dan ukiran kayu yang
indah kurang mendapat perhatian orang ramai, terutama generasi muda. Malah,
batik tempatan selalu dianggap bermutu rendah berbanding dengan tekstil yang
dibawa dari luar. Pandangan demikian mempengaruhi nilai-nilai sosial penduduk
tempatan secara meluas. Barang-barang yang diimport dari negara-negara maju,
terutama dari barat sentiasa diberi nilai tinggi. Berikutan dengan ini maka
barang-barang yang diimport selalu berharga lebih tinggi berbanding dengan
barang-barang tempatan.
Budaya Kolonial
Matlamat kolonial campur tangan
politik di negara ini ialah atas kepentingan ekonomi. Bagi mengisi kepentingan
itu maka berlaku perubahan dalam politik dan pentadbiran, pendidikan,
teknologi, dan sosial. Pemerintah kolonial menumpukan kepada pembangunan
ekonomi, seperti lombong bijih dan perladangan dan berkaitan dengan itu
penyediaan kemudahan asas dan pembangunan pusat pelabuhan dan bandar-bandar
turut diberikan perhatian. Pembangunan ekonomi yang berasaskan ekonomi
kapitalis, berlaku kemasukan modal dan teknologi dari barat, serta tenaga buruh
dari India dan China. Pembangunan yang dilakukan oleh pemerintah kolonial itu
berbeza daripada tradisi kehidupan orang Melayu. Pembangunan yang membawa
perubahan itu dianggap sebagai pembaharuan dan kemajuan dalam konteks kemodenan.
Kesannya itu turut membawa perubahan kepada perkembangan budaya.
Walau bagaimanapun, pemerintah
kolonial tidak mempunyai rancangan pembangunan untuk membawa perubahan kepada
orang Melayu. Malahan, mereka berusaha mengekalkan orang Melayu dalam sektor
tani. Pemisahan kumpulan-kumpulan ethnik dalam sektor berbeza di negara ini
adalah bertujuan supaya tidak berlaku kekacauan yang boleh mengganggu kegiatan
ekonomi mereka. Walaupun orang Melayu tidak terlibat secara langsung dalam
rancangan pembangunan kolonial, seperti pembangunan bandar-bandar moden itu,
tetapi orang Melayu turut menerima kesan pembangunan kemodenan yang dilakukan
oleh pemerintah kolonial itu.
Pemerintah kolonial berusaha
memupuk dan menyebarkan nilai-nilai sosial kolonial yang berasaskan kemodenan
dan budaya kolonial di kalangan golongan elit, terutama elit Melayu yang
bertujuan untuk mengekalkan kedudukan pemerintahan kolonial di negara ini. Pendidikan
Inggeris yang diberikan tumpuan kepada anak-anak golongan elit atau bangsawan
Melayu oleh pemerintah kolonial didapati berjaya membawa perubahan nilai, sikap
dan pemikiran golongan itu untuk terus menyanjung dan menghormati pemerintah
kolonial. Bahasa dan budaya kolonial amat dipandang tinggi dan dihormati, dan
itulah juga yang dianggap membawa kemodenan kepada negara ini.
Untuk membangunkan bandar-bandar
moden sebagai pusat pembangunan ekonomi, pemerintah kolonial menggalakkan
berbagai-bagai jenis dan corak perniagaan di bandar-bandar itu. Dengan itu
bandar-bandar kolonial itu juga menjadi pusat perkembangan budaya kolonial,
yang dianggap sebagai moden. Pemerintah kolonial tidak memberikan tumpuan
kawalan terhadap berbagai kegiatan dagangan di bandar-bandar moden itu. Berikutan
dengan itu bandar-bandar moden itu turut menjadi pusat kegiatan maksiat yang
dianggap bercanggah dengan nilai-nilai Melayu Islam. Di samping itu
berbagai-bagai unsur budaya popular dari barat berkembang pesat di
bandar-bandar moden itu. Nilai-nilai yang dipupuk dalam kalangan orang-orang
bandar bahawa budaya yang dibawa dari barat itu semuanya moden yang dikaitkan
dengan kemajuan. Berbagai-bagai jenis kegiatan seni dan mainan barat didapati
semakin popular di bandar-bandar moden, dan ini menjadi ikutan orang Melayu di bandar.
Budaya Popular Moden
Bandar-bandar moden yang
dibangunkan oleh pemerintah kolonial merupakan pusat perkembangan ekonomi dan
budaya. Bagi mengisi keperluan hidup penduduk bandar yang kian meningkat, maka
penawaran unsur-unsur budaya popular didapati semakin meluas. Sebagai contoh,
teater popular Melayu moden, iaitu Bangsawan yang pada mulanya berkembang di
Pulau Pinang didapati mendapat minat ramai. Ciri-ciri baru yang dibawa oleh
teater itu dan sebagai ‘urban product’, Bangsawan muncul sebagai teater popular
moden yang ditawarkan secara komersial dan berkembang luas. Pentas Bangsawan
merupakan pusat perkembangan muzik dan nyanyian, tarian dan jenaka di samping
drama. Perkembangan itu mulai menunjukkan pembaharuan yang tidak lagi terikat
kepada tradisi. Seniman di pentas Bangsawan berusaha melahirkan sesuatu yang
baru, yang menyatakan kemodenan bagi menarik penonton.
Bangsawan muncul sebagai teater
popular adalah suatu perubahan dalam perkembangan budaya popular Melayu. Bangsawan
membawa pembaharuan, misalnya isu, komen dan kritik sosial masyarakat Melayu
semasa yang sedang mengalami proses perubahan, iaitu pengalaman kemodenan
mereka yang tinggal di bandar-bandar moden itu. Bangsawan membawa kemodenan dan
pembaharuan yang menjadikan teater itu popular. Oleh itu, Bangsawan membawa isu
dan persoalan tentang masyarakat dan budaya Melayu yang sedang mengalami
perubahan.
Kemajuan teknologi barat yang
dibawa oleh pemerintah kolonial, seperti piring hitam, radio dan filem telah
berjaya menyalurkan bahan-bahan budaya, terutamanya sebagai bahan hiburan orang
ramai. Berasaskan teknologi itu kemudian muncul industri yang berkaitan yang
memberikan peluang kepada orang Melayu turut terlibat dalam menyalurkan
bahan-bahan budaya untuk keperluan orang ramai, terutama orang Melayu. Teknologi
moden itu memerlukan kepakaran dan pengetahuan, yang menyebabkan industri itu
dikuasai orang bukan Melayu. Orang Melayu, seperti artis atau bintang-bintang
yang terlibat hanya mampu memberikan sumbangan tenaga.
Populariti bahan-bahan budaya
yang disalurkan melalui teknologi moden itu juga yang membawa kepada kelemahan
Bangsawan sebagai teater popular. Sedangkan bahan-bahan budaya yang disalurkan
melalui teknologi moden boleh sentiasa disesuaikan dengan perubahan selera
budaya orang ramai sebagai pengguna. Dalam bidang mainan juga didapati
penyebaran berbagai jenis mainan yang dianggap moden dan maju itu kian meluas
dan popular di kalangan orang Melayu. Berbagai-bagai bahan budaya popular lain,
seperti fesyen, perhiasan diri dan seumpamanya turut mempengaruhi kehidupan
orang Melayu. Perkembangan budaya popular moden terus berkembang dan merupakan
sebahagian penting keperluan hidup moden. Malahan keperluan terhadap
bahan-bahan budaya popular itu juga adalah penting dalam mendorongkan
anggota-anggota masyarakat untuk meningkatkan pencapaian ekonomi.
Struktur Sosial dan Budaya Popular
Adakala fenomena budaya popular
itu dapat dilihat sebagai menyatakan kelas sosial. 30 Budaya popular itu
menyatakan golongan majoriti rakyat biasa, sedangkan golongan atasan dan
golongan menengah mempertahankan tradisi budaya elit atau budaya tinggi sebagai
menyatakan kelas kelompok itu. Secara sedar atau tidak fenomena ini memang
berlaku dan didapati dalam masyarakat di negara ini. Tetapi bahagian budaya
elit itu tidaklah pula dominan. Selalunya tradisi budaya elit itu dapat
dipertahankan apabila kos atau harganya tinggi. Adakala berlaku lambang-lambang
budaya elit itu menjadi bahan popular apabila ia mampu dibeli dan dimiliki
ramai.
Pemisahan kelompok sosial Melayu
berasaskan kelas yang dinyatakan oleh fenomena budaya itu sebenarnya tidak
jelas dan pembahagian itu sebenarnya tidak mudah dilakukan. Tetapi penyebaran
budaya popular adalah meluas yang merintasi kelas sosial. Golongan kelas atasan
atau menengah juga turut menerima dan merupakan sebahagian khalayak budaya
popular.
Berikutan pesatnya pembangunan
bandar-bandar moden adakala tidak memberikan ruang kepada unsur-unsur budaya
Melayu tradisional atau tradisi budaya rakyat untuk turut berkembang. Oleh itu,
tradisi budaya itu dapat dipertahankan di kampung-kampung Melayu. Masyarakat
tani Melayu mempertahankan tradisi budaya rakyat itu, tetapi apabila proses
modenisasi dan urbanisasi pesat berlaku berikutan meningkatnya pembangunan di luar
bandar, maka tradisi rakyat itu tidak mampu dipertahankan lagi. Sebahagian
tradisi rakyat itu semakin lemah kedudukannya. Fenomena budaya popular turut
menjadi sebahagian kehidupan orang Melayu di kampung.
Penyaluran dan Penyebaran Budaya Popular
Budaya popular tersebar luas,
yang dipupuk oleh nilai-nilai moden, bandar dan maju. Orang ramai sebagai
pengguna bahan-bahan budaya telah melalui perubahan nilai-nilai sosial, dalam
pengalaman mereka mengalami proses modenisasi dan urbanisasi. Mereka terdedah
kepada penawaran berbagai-bagai bahan budaya popular. Nilai-nilai sosial mereka
yang dipengaruhi perkembangan semasa sentiasa berusaha mencari dan mendapatkan
sesuatu yang baru, moden dan semasa.
Sistem perhubungan yang baik,
terutama pembangunan teknologi telekomunikasi, seperti media elektronik, media
cetak dan penyediaan kemudahan asas yang semakin meluas mendedahkan orang
ramai, termasuk mereka yang tinggal di luar bandar mengalami proses modenisasi
dan urbanisasi yang didedahkan oleh berbagai-bagai bahan budaya popular. Orang
Melayu di semua peringkat dapat menerima baik pembangunan dan perubahan yang
berlaku di sekitar mereka. Perkembangan ini memberikan kesan kepada perubahan
nilai-nilai sosial, sikap, world-view
dan pemikiran anggota-anggota masyarakat. Perkembangan pesat pendidikan moden
turut mempengaruhi perubahan nilai dan sikap orang Melayu. Mereka lebih terbuka
dan menerima bahan-bahan budaya popular sebagai bahagian keperluan hidup moden.
Malahan budaya popular memainkan peranan dalam menyalurkan maklumat dan
pendidikan kepada ramai.
Pesatnya perpindahan orang
Melayu ke bandar sejak DEB hingga kini, memberikan peluang orang Melayu
terlibat dalam berbagai-bagai lapangan kegiatan ekonomi bukan tani dan
seterusnya meningkatkan proses modenisasi dan urbanisasi. Oleh itu didapati
bahan-bahan budaya popular memainkan peranan penting dalam mengisi keperluan
gaya hidup moden. Perubahan ekonomi yang dapat meningkatkan pendapatan atau
kedudukan ekonomi turut mempengaruhi gaya hidup orang ramai. Berkaitan dengan
ini turut mempengaruhi penyebaran dan perkembangan budaya popular.
Kesetabilan politik dan
kesejahteraan sosial juga mempengaruhi penyebaran dan penyaluran bahan-bahan
budaya popular kepada ramai. Perkembangan pesat media massa, iaitu media elektronik
dan media cetak turut membawa perubahan nilai dan pemikiran orang ramai. Media
massa itu juga mendedahkan kira-kira 80% daripada isi kandungannya berupa
bahan-bahan budaya popular, baik bahan-bahan luar mahupun bahan-bahan budaya
tempatan. Suasana ini sudah pasti dengan mudah dapat mempengaruhi orang ramai
dengan gaya hidup moden. Bahan-bahan budaya popular merupakan suatu keperluan
kehidupan moden.
Penawaran bahan-bahan budaya
popular dalam konteks masyarakat moden didapati lebih dominan di kalangan
orang-orang muda. Penawaran bahan-bahan budaya popular itu lebih banyak
tertumpu di kalangan muda mudi. Berkaitan dengan ini perkembangan budaya muda
mudi yang popular di negara-negara maju turut mempengaruhi perkembangan budaya
popular tempatan. Adakala oleh kerana terdapat perbezaan nilai di antara orang
dewasa dengan orang muda, selalunya persoalan kejatuhan moral orang muda
dikaitkan dengan budaya popular itu. Budaya popular selalu dianggap oleh
golongan dewasa membawa nilai-nilai baru yang merupakan kelainan daripada
nilai-nilai tradisi dan Islam.
Budaya Popular dan Ekonomi
Budaya popular moden dapat
tersebar luas apabila kegiatannya berasaskan kepada usaha komersial. Unsur-unsur
budaya menjadi komoditi budaya yang merupakan bahan-bahan pengguna kepada orang
ramai sebagaimana bahan-bahan pengguna yang lain. Industri budaya melibatkan
pengurusan yang tersusun bagi menjamin pulangan yang baik. Orang Melayu pernah
berjaya menawarkan Bangsawan secara komersial.
Seterusnya artis-artis atau
seniman-seniman yang berkebolehan telah memberikan sumbangan dalam berbagai
industri budaya moden, seperti rakaman muzik dan nyanyian, filem, perlibatan
dalam pementasan dan persembahan yang dilakukan secara komersial. Budaya
popular telah memberikan peluang pekerjaan sepenuh masa atau sambilan, baik
sebagai mereka yang profesional dalam sesuatu bidang mahupun terlibat dalam
industri budaya popular sebagai pekerja biasa. Malahan, perkembangan budaya
popular telah dapat memberikan kedudukan ekonomi yang baik kepada bintang-bintang
popular.
Pembangunan budaya popular itu
juga turut memberikan sumbangan pendapatan kepada negara. Ini tidak terbatas
dalam industri budaya popular Melayu, malahan kemasukan bahan-bahan budaya
popular asing, terutama dari negara-negara maju turut memberikan pulangan
ekonomi kepada negara. Kerajaan berusaha membantu kegiatan industri budaya
popular tempatan atau yang diusahakan oleh orang Melayu, yang bertujuan
produktiviti bahan-bahan budaya tempatan itu dapat ditingkatkan.
Kini orang Melayu turut terlibat
dalam berbagai-bagai industri budaya popular, seperti muzik, nyanyian, filem,
pementasan, majalah popular, sukan dan sebagainya. Namun, berbagai halangan
selalu mereka hadapi. Misalnya, kegiatan cetak rompak yang sukar untuk dikawal.
Kerajaan berusaha mengawal masalah ini agar kegiatan industri budaya popular,
terutama yang diusahakan orang Melayu dapat ditingkatkan. Penawaran bahan-bahan
budaya popular itu bukan sahaja melibatkan pengurusan moden, malahan usaha
pemasaran juga perlu dilakukan secara berkesan. Penawaran bahan-bahan budaya
itu disertakan dengan berbagai cara promosi, seperti iklan. Peningkatan
teknologi moden dapat meningkatkan produktiviti dan meluaskan penyebaran
pasaran. Kerajaan juga berusaha mengawal persaingan dengan pasaran bahan-bahan
budaya dari luar.
Penawaran bahan-bahan budaya
popular dapat dilakukan sepanjang tahun, tanpa terbatas kepada musim atau
masa-masa tertentu sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat Melayu tradisional.
Para pengguna memerlukan bahan-bahan budaya itu tidak mengira masa, sebagaimana
juga bahan-bahan pengguna yang lain. Populariti sesuatu bahan budaya itu
bergantung kepada sambutan atau permintaan para pengguna. Adakala minat orang
ramai itu dipengaruhi publisiti, promosi dan iklan yang dilakukan oleh
pengusaha. Tetapi orang ramai sebagai pengguna boleh memilih daripada berbagai
bahan budaya popular yang ditawarkan di pasaran. Walau bagaimanapun, publisiti
kerapkali mempengaruhi orang ramai. Umumnya, penawaran bahan-bahan budaya
popular itu mampu didapati orang ramai.
Budaya popular itu melahirkan
bintang-bintang yang diminati ramai. Sesuatu bahan budaya itu boleh menjadi
popular berikutan dengan bintang-bintang popular mengambil bahagian. Sistem
bintang ini dapat memainkan peranan penting dalam menentukan turun naiknya
penawaran sesuatu bahan budaya itu. Penawaran bahan-bahan budaya popular yang
berasaskan kegiatan komersial itu terpaksa bersaing di pasaran terbuka. Dengan
terdapat persaingan itu di pasaran selalunya memberi dorongan pula kepada
pengusaha, artis atau seniman dan mereka yang terlibat untuk berusaha melakukan
pembaharuan, menyesuaikan dengan perubahan atau menghasilkan sesuatu yang
berlainan bagi menarik perhatian ramai. Persaingan itu juga mendorongkan
pengusaha untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu sesuatu yang dihasilkan. Oleh
itu budaya popular itu sentiasa berubah menyesuaikan dengan selera peminat, di
samping itu masing-masing pengusaha dan seniman berusaha meningkatkan mutu
bahan-bahan budaya.
Ekonomi dan Nilai-nilai Sosial
Pihak pengusaha dalam penawaran
bahan-bahan budaya selalu mementingkan pulangan ekonomi. Bagi tujuan itu selalu
pula dikatakan pihak pengusaha kurang memberikan perhatian tentang mutu seni,
tetapi lebih mementingkan selera budaya orang ramai sebagai pengguna. Berkaitan
dengan ini, orang ramai sebagai pengguna kini didedahkan kepada penawaran
bahan-bahan budaya di peringkat global. Persaingan dalam penawaran bahan-bahan
budaya itu orang Melayu juga dapat menilai dari segi mutu sesuatu bahan budaya itu.
Mereka itu juga mempunyai latarbelakang pendidikan yang mampu memberikan nilai
terhadap sesuatu bahan itu.
Oleh itu, pihak pengusaha, artis
dan mereka yang terlibat dalam penghasilan bahan-bahan budaya popular berusaha
menghasilkan sesuatu yang baik atau bermutu tinggi. Adakala pihak pengusaha
menggunakan berbagai kaedah untuk mendapat perhatian ramai. Mereka berusaha
mengeksploit keinginan semula jadi manusia, seperti unsur seks, keganasan, dan
perlakuan atau kejadian luar biasa. Bahan-bahan budaya dari luar negara kurang
menimbangkan aspek moral dan etika berlandaskan Islam dan tradisi tempatan. Tetapi
bagi pengusaha tempatan, mereka sangat peka dan memahami nilai-nilai sosial
tradisi Melayu dan Islam. Di samping itu pihak berkuasa dan masyarakat Melayu
sentiasa mengawasi perkembangan bahan-bahan budaya popular Melayu supaya
bersesuaian dengan budaya Melayu dan Islam.
Selama ini pihak berkuasa
berusaha mengawal kemasukan bahan-bahan budaya popular dari luar, misalnya
mengadakan sekatan dan penapisan bagi menjamin kesesuaian bahan-bahan itu
dengan nilai-nilai sosial tempatan dan Islam. Tetapi kini penyebaran
bahan-bahan budaya dari luar adakala tidak mampu diteliti oleh kerajaan. Misalnya,
internet kini terdapat berbagai rupa bentuk bahan budaya yang bercanggah dengan
nilai-nilai sosial Melayu dan Islam. Usaha mengawalnya kini tidak lagi berkesan.
Tekanan dari luar seperti undang-undang tidak dapat dilakukan secara menyeluruh.
Oleh itu, usaha yang dapat dilakukan ialah dengan memperkukuhkan ketahanan diri,
terutama dengan meningkatkan pendidikan Islam di kalangan muda mudi.
Tradisi Budaya Rakyat dan Budaya Popular
Pesatnya pembangunan yang
dilalui orang Melayu telah membawa kepada meningkatnya perkembangan dalam
penawaran bahan-bahan budaya popular. Penawaran bahan-bahan budaya popular dari
luar negara juga kian meningkat dan ini memberikan persaingan kepada
perkembangan budaya tempatan. Penawaran bahan-bahan budaya popular berusaha
menyesuaikan dengan citarasa budaya para pengguna. Pengusaha industri budaya
bekerjasama dengan artis atau seniman dan pemain yang berusaha menghasilkan
sesuatu yang baru, yang dapat menyatakan kemodenan dan kemajuan. Sebagai bahan
pengguna, bahan-bahan budaya sentiasa berubah, silih berganti. Mereka yang
terlibat dalam kegiatan yang berkaitan menumpukan sepenuh masa untuk
menghasilkan sesuatu yang baru.
Bahan-bahan budaya popular
membawa nilai-nilai moden dan gaya hidup bandar yang menyatakan perkembangan
semasa sebagaimana yang diharapkan oleh orang bandar. Orang Melayu yang pesat
mengalami perubahan itu mahukan sesuatu yang dapat memberikan mereka mengalami
proses urbanisasi dan modenisasi. Bahan-bahan budaya popular memberikan tumpuan
kepada aspek itu dan itulah yang menentukan populariti sesuatu bahan budaya itu.
Tradisi budaya rakyat yang terikat kepada tradisi tidak dapat bersaing dengan
perkembangan budaya popular. Peminatnya semakin berkurang, malahan mereka yang
mahir dan berkebolehan dalam berbagai-bagai jenis tradisi budaya rakyat semakin
sukar didapati. Generasi muda yang sepatutnya mengambil tempat meneruskan
tradisi itu didapati sangat terbatas. Beberapa faktor boleh dikaitkan dengan
kemerosotan tradisi budaya rakyat,
Generasi muda tidak berminat
kepada tradisi itu kerana mereka tidak dapat menghayatinya. Mereka tidak
mengenali dan tidak diberikan pendedahan kepada tradisi rakyat itu. Perkembangan
budaya popular itu memberi pilihan kepada orang ramai. Unsur-unsur tradisi
budaya rakyat tidak dapat menarik perhatian ramai, terutama ikatannya kepada
tradisi berbanding dengan budaya popular. Perkembangan pendidikan dan teknologi
moden turut mempengaruhi kelemahan tradisi rakyat. Budaya popular membawa
bersamanya nilai-nilai kemodenan dan kemajuan, sedangkan budaya rakyat dianggap
tidak menyatakan nilai-nilai itu. Tradisi budaya selalunya berkaitan dengan
kepercayaan warisan yang adakalanya dianggap tidak sesuai dengan ajaran Islam. Sebahagian
daripada tradisi itu tidak lagi berfungsi atau tidak dapat memainkan peranan
dalam masyarakat Melayu moden kini. Adakala tradisi rakyat itu bercirikan
kedaerahan, yang tidak dapat difahami mereka dari luar daerah.
Dalam kepesatan perkembangan
bahan-bahan budaya popular itu, terdapat pula usaha untuk mempopularkan
unsur-unsur budaya rakyat. Dalam proses penyesuaian sebagai usaha komersial,
pembaharuan dilakukan. Sebagai contoh, kumpulan-kumpulan nasyid mendapat tempat
yang baik di pasaran, dan penyebaran bahan-bahan budaya yang dihasilkan oleh
kumpulan-kumpulan itu adalah meluas. Contoh lain, dikir barat yang dihasilkan
dalam bentuk VCD, keset dan sebagainya turut popular, tetapi penyebarannya agak
terbatas.
Adakala unsur-unsur budaya
rakyat itu disesuaikan dengan perkembangan teknologi moden yang dihasilkan
sebagai bahan budaya popular. Misalnya, terdapat usaha menggabungkan muzik
tradisi dengan muzik moden sebagai usaha kreatif bagi menghasilkan suatu muzik
popular. Dalam keadaan ini unsur budaya rakyat tradisi itu mulai luntur atau
hilang nilai-nilai keaslian. Namun, kaedah itu boleh dilakukan dengan tujuan
untuk mempopularkan unsur-unsur budaya rakyat. Tetapi bentuk atau unsur asli
itu perlu dipertahankan agar keasliannya tidak hilang.
Tradisi budaya rakyat dalam
bentuk asli itu perlu dipertahankan bagi mengawal nilai-nilai keasliaannya. Budaya
rakyat itu membawa nilai-nilai tersendiri yang menyatakan makna dan
pengertiannya. Tradisi budaya itu sebagai warisan budaya rakyat bukan sahaja
merupakan budaya ekspresif, malahan juga sebagai budaya simbolik. Daripada
tradisi itu konteks aslinya dapat difahami jiwa Melayu, misalnya dari segi
ketinggian nilai seninya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan