APAKAH batas atau had kebebasan? Ini adalah persoalan yang sukar
dijawab oleh sesiapa juga. Jika seorang anak menuntut kebebasan, sejauh mana
kebebasan yang boleh diberikan oleh ibu bapa yang bertanggungjawab kepada anak
mereka. Begitu juga, jika rakyat di sesebuah negara menuntut kebebasan, sejauh
mana kerajaan yang bertanggungjawab dan dipilih secara demokrasi boleh memberi
kebebasan kepada rakyat mereka. Sama ada suka atau tidak, kebebasan mesti ada
had dan batasannya. Sebagai anak atau rakyat, walaupun mereka diberi kebebasan,
mereka tidak puas dan tetap mempersoalkan had atau kebebasan yang diberikan
kepada mereka.
Jika tidak, tidak mungkin perumpamaan ‘bagi betis, mahu paha’ wujud
dalam budaya masyarakat. Mereka tidak akan puas hati kerana bagi mereka had
kebebasan adalah setinggi langit. Mereka boleh melakukan apa saja atas nama kebebasan.
Inilah yang sebenarnya berlaku dalam dunia hari ini yang menuntut erti
kebebasan. Mereka bukan saja diberi kebebasan tetapi mereka mahukan kebebasan
yang liberal, kebebasan tanpa batas. Jika ada lagu yang yang menceritakan
perasaan seseorang ‘rindu serindu-rindunya’ kepada seseorang yang lain, begitu
jugalah bagi mereka yang menuntut kebebasan politik.
Mereka menuntut hak ‘bebas sebebas-bebasnya’ untuk memenuhi cita-cita
atau nafsu politik mereka. Dari segi definisi, secara amnya, kebebasan menekankan
kehendak seseorang bertindak tanpa sekatan atau larangan. Sekali pun mereka
sudah mendapat kebebasan pada satu tahap tertentu, mereka akan menuntut ruang
yang lebih luas berasaskan hak kebebasan yang liberal. Sudahlah bebas, mereka
mahu kebebasan yang lebih longgar. Maknanya, mereka boleh berbuat apa saja,
malah sanggup melanggar batasan undang-undang. Mereka mahukan kebebasan yang
maksimum. Inilah yang diajar oleh Barat.
Kebebasan tidak lagi dianggap sebagai kemerdekaan daripada penjajahan
tetapi, di dalam sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, ada golongan rakyat
yang mahukan kebebasan mutlak. Kebebasan mutlak juga amat sukar ditakrifkan
definisinya kerana ada yang mahukan kebebasan semutlak-mutlaknya.
Kebebasan wajib mempunyai sekatan moral. Tidak ada individu yang boleh
melakukan apa saja atas nama kebebasan. Sesebuah negara tidak boleh membenarkan
rakyatnya melakukan apa saja sesuka hati kerana dalam mana-mana sistem sekali
pun, mereka perlu sedar bahawa pandangan rakyat tidak sekata. Kedua-dua pihak
juga menuntut kebebasan.
Jika penganjur demontrasi di Kuala Lumpur mengatakan mereka bertindak
atas nama kebebasan, penganjur demontrasi di depan rumah Menteri Besar Selangor
juga boleh mengatakan mereka bertindak atas nama kebebasan. Jika penganjur demontrasi
di Dataran Merdeka menganjurkan demontrasi rakyat untuk sesuatu tujuan, orang
lain juga mempunyai hak kebebasan untuk melakukan apa saja, termasuk berhimpun
di depan rumah penganjur demontrasi tersebut atas nama kebebasan. Ini adalah
contoh kecil bahawa jika kita mahukan kebebasan, orang lain juga mahukan
kebebasan. Ada orang yang mahukan kebebasan bersuara atau melakukan sesuatu,
namun ada juga pihak yang mahukan kebebasan supaya ketenteraman mereka tidak
diganggu-gugat.
Ada yang berpandangan bahawa tanpa kebebasan, akan membentuk sebuah
masyarakat yang mundur dan tidak terurus. Tetapi, persoalannya pula apakah
hasilnya sebuah masyarakat yang diberi kebebasan sebebas-bebasnya. Perbuatan
atau sikap itu, mungkin mewujudkan sebuah masyarakat yang pincang, tidak ada
haluan dan merosakkan dari segala sudut. Jika soal agama juga cuba ditafsirkan
kepada kebebasan, ia akan menghasilkan sebuah masyarakat yang
kalut-sekalut-kalutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan