Rabu, 24 Oktober 2012

Kesamarataan Secara Fakta, Bukan Ideal Semata-Mata


Kita harus faham tentang konsep kesamarataan seperti dimaktubkan dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Secara jelas, terdapat pengecualian kepada prinsip kesamarataan itu. Pengecualian kepada prinsip kesamarataan yang secara lahiriah disebut dalam Perkara 8 itu sebenarnya mempunyai semangat dan prinsipnya yang tersendiri secara tersirat. Prinsip yang tersirat dalam peruntukan ini ialah ‘prinsip kesaksamaan’.

Prinsip kesaksamaan ini patut diutamakan daripada prinsip kesamarataan kerana kesaksamaan akan menyelamatkan manusia daripada ditindas. Sebagaimana tujuannya, amat jelas dalam konsep demokrasi bahawa tiada penganiayaan harus berlaku dan dilakukan oleh mana-mana pihak, sama ada yang dilakukan oleh pihak majoriti ke atas pihak minoriti atau sebaliknya.

Perlu juga disebut bahawa, secara tersiratnya, Perkara 8 Perlembagaan berupaya mengawal dan mengimbangi keadaan sosial, mengelak ketegangan agama dan menjaga kemaslahatan rakyat. 

Keseimbangan kedudukan sosial dan ekonomi antara puak atau kaum akan menyumbang kepada kesejahteraan negara. Oleh itu, Perlembagaan, walaupun menjamin kesamarataan, memberi ruang pengecualian kepada kedudukan orang asli contohnya.

Begitu juga keadaannya apabila Perlembagaan membenarkan kedudukan istimewa kepada kaum Melayu yang saya anggap sebagai tindakan persetujuan (affirmative action). Langkah ini memberi ruang kepada keadilan sosial yang juga tujuan atau objektif demokrasi itu sendiri. 

Dalam faham konsep fakta kesamarataan, tindakan persetujuan adalah sebahagian daripada kesamarataan, bahkan konsep dasar yang perlu dalam fakta kesamarataan. Ia bukan satu pengecualian kepada kesamarataan. Oleh itu, keistimewaan Melayu yang dimaktubkan dalam Perlembagaan itu bukan suatu prinsip yang bercanggah dengan konsep kesamarataan, tetapi ia adalah prinsip yang selaras dan mendasar dalam prinsip demokrasi dan kesamarataan.

Tersurat juga dalam jaminan kesamarataan yang ada dalam Perlembagaan ialah kebebasan diri mengenai undang-undang peribadi. Ruang undang-undang terbuka kepada rakyat untuk mengamalkan undang-undang peribadi serta agama. Perlembagaan memberi ruang kepada rakyat untuk mengamalkan undang-undang peribadinya. 

Secara tersirat, Perlembagaan tidak membenarkan rakyat untuk lari daripada undang-undang peribadinya. Sebagai contoh, seorang yang beragama Islam yang tertakluk kepada undang-undang jenayah Islam atau undang-undang keluarga Islam tidak boleh lari daripada kewajipan mentaati undang-undang diri itu. Secara perundangan adalah menjadi tanggungjawab undang-undang ke atas setiap rakyat untuk mentaati undang-undang diri yang tertakluk ke atasnya.

Apabila Perkara 8 memberi ruang untuk mengehadkan sesuatu jawatan keagamaan kepada penganut agama terbabit, pasti di situ wujud kepentingannya. Secara umum, agama terbentuk atas dua dasar, iaitu, perkara zahir dan juga batin. Sifat kesaksamaan yang mengehadkan jawatan keagamaan kepada penganut agama terbabit sangat besar manfaat kepada agama itu. Hanya penganut agama itu saja yang mempunyai ‘rohani’ kepada agamanya. Walaupun ada yang mencabar, contohnya jawatan peguam syarie di Mahkamah Syariah, adalah jelas bahawa Perlembagaan membenarkan pengecualiannya. 

Polemik sebegini menjadikan kita berbelah-bahagi dalam menghormati kehendak rakyat. Tetapi pengisian dalam Perlembagaan Persekutuan sudah tentu mempunyai semangatnya yang tersirat. Dalam konteks ini, peruntukan Perlembagaan meletakkan agama secara eksklusif kepada penganut agama terbabit. Keadaan ini dianggap dapat menutup ruang polemik lebih besar yang boleh mendatangkan petaka kepada negara.

Oleh itu, seperti juga affirmative action yang saya sebut di atas, ketaatan kepada undang-undang diri adalah sebahagian daripada konsep kesamarataan yang dimaksudkan oleh Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan itu. Begitu juga dengan kepentingan meletakkan agama kepada penganutnya secara eksklusif. 

Jika diperhati secara mendalam, tujuan konsep kesamarataan yang disebut dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan ini bukanlah semata-mata konsep kesamarataan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA