Rabu, 24 Oktober 2012

Bersatu Pertahan Model Negara Islam


Sejak dekad 80-an Malaysia sentiasa disebut sebagai negara Islam contoh yang bukan sekadar pesat membangun, bahkan memperjuangkan keamanan, keadilan dan kemanusiaan sejagat. Kenyataan Pengerusi Al-Quds International Institution (QII), Sheikh Yusuf al-Qaradawi terhadap Malaysia bukti pandangan jujur ulama tersohor itu terhadap sumbangan negara ini yang sentiasa komited memperjuangkan nasib umat Islam di Palestin, Bosnia-Herzegovina dan terbaru menjadi watak utama menyelesaikan krisis 40 tahun di selatan Filipina.

Sebagai ulama terbilang yang pandangannya sentiasa dihargai kalangan intelektual dan cendekiawan Islam, al-Qaradawi sentiasa konsisten ketika menyampaikan sesuatu pandangan. Kita akui suratnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah suara ikhlas terhadap dedikasi dan komitmen Malaysia yang menyokong perjuangan di Baitulmaqdis. 

Ketika banyak negara Islam mengabaikan peranan membantu rakan mereka diancam peperangan dan kebuluran, Malaysia tampil dengan misi keamanan dan bantuan di Somalia dan Asia Barat. Sumbangan ini memberi makna betapa Malaysia antara segelintir negara yang sentiasa mengutamakan silaturahim ummah bagi memastikan keamanan sejagat. 

Kita harus akui Malaysia negara Islam contoh yang menjadi tumpuan dunia sejak tiga dekad lalu. Pencapaian ekonomi, kestabilan politik, kebijaksanaan pimpinan negara dan peluang pelaburan menjadikan Malaysia model negara Islam pragmatis yang berjaya mengimbangi kejayaan dunia dan kekuatan kerohanian. Nama baik Malaysia sentiasa disebut kerana komited memperjuangkan isu keamanan di Palestin dan Baitulmaqdis serta peranan aktif menyelesaikan krisis Balkan sehingga mendapat perhatian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Terbaru, hasil usaha tanpa mengenal jemu Malaysia ialah perjanjian damai dimeterai Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bagi pewujudan wilayah autonomi Bangsamoro di selatan Filipina. 

Kita yakin al-Qaradawi ada alasan kukuh memuji pencapaian Malaysia yang sepatutnya mendapat reaksi baik rakyat dan ulama tempatan. Kejayaan dan nama baik negara adalah gabungan tenaga pemimpin dan rakyat yang sentiasa menghargai keamanan dan kejayaan pelbagai bidang. Sebagai model negara Islam contoh, kita wajar bersatu agar Malaysia terus mempertahankan nilai keamanan sejagat yang menjadi idaman semua pihak. Kejayaan tidak mudah dicapai jika kita sendiri tidak bersatu hati dan mengetepikan perbezaan pendapat bagi masa depan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA