Cabaran yang dihadapi oleh lepasan pendidikan tertiari semakin mencabar
hari ini. Mereka memerlukan pelbagai kemahiran bagi mendepani kerencaman
keperluan pasaran pekerjaan. Tidak cukup dengan segulung ijazah atau diploma
mereka perlu terus belajar bagi memastikan diri sentiasa kompeten dengan
cabaran semasa.
Isu pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional (PTPTN) yang dibangkitkan tidak lama dulu masih segar di ingatan kita.
Selain sikap yang liat untuk membayar semula pinjaman, kekangan kewangan yang
dirasai semakin mencekik dan menyesakkan dada juga harus diakui. Peningkatan
kos hidup terutama di bandar merupakan realiti yang benar-benar berlaku.
Rungutan mengenai harga rumah yang semakin tinggi merupakan petanda
bahawa lepasan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) kita semakin hilang keupayaan
membeli. Harga rumah yang mencecah jutaan ringgit hari ini seolah-olah memberi
makna mereka hanya layak untuk tinggal di pinggir bandar atau dengan kata lain
mereka kini ‘dihalau’ keluar dari bandar dengan cara terhormat. Jika
mereka ingin juga tinggal di bandar maka mereka hanya layak untuk tinggal di
rumah yang sempit dengan kemudahan yang amat minimum sekali.
Kini trend berhutang untuk
berkahwin sudah menjadi lumrah kehidupan generasi muda hari ini. Trend ini
sudah semestinya terkait rapat dengan peningkatan kos majlis perkahwinan
ditambah dengan hantaran yang semakin tinggi. Situasi sebegini jika dibiarkan
menular semahunya akan menjadi barah yang mampu membunuh pembentukan generasi
yang beridealisme tinggi. Dengan tekanan hidup yang sebegini maka lahirlah
generasi muda yang penakut kerana hidup mereka dikuasai oleh hutang.
Kita telah didedahkan dengan peningkatan peratusan kelompok eksekutif
muda yang tergolong dalam golongan muflis kerana terjerat dengan kemudahan kad
kredit dan pinjaman peribadi. Ini merupakan ancaman kepada integriti golongan
muda yang akan mewarisi kepimpinan negara ini. Inilah juga antara punca
berleluasanya gejala rasuah. Apabila kehidupan semakin terhimpit dan terdesak
maka pertimbangan kita akan menjadi semakin serabut dan bercelaru.
Situasi ini juga menjadi ancaman kepada keutuhan rumah tangga. Rutin
ibu bapa yang semakin sibuk mencari wang untuk menampung kos sara hidup
menyebabkan anak-anak semakin terbiar dan berlakulah gejala sosial yang semakin
menakutkan.
Bilakah ‘putaran maut’ ini dapat kita putuskan? Melahirkan masyarakat
bebas hutang adalah satu perjuangan memerdekakan kemanusiaan itu sendiri.
Rasulullah s.a.w juga menganjurkan satu doa yang masyhur yang meminta
perlindungan daripada Allah s.w.t daripada bebanan hutang dan ‘wa qahri rijal’ yang bermaksud dari
dikuasai oleh lelaki atau orang lain, yang dalam konteks ini adalah orang yang
memberi hutang. Inilah maksud pembebasan atau kemerdekaan diri yang mesti
dinikmati oleh semua manusia.
Jika dilihat dari sudut sebuah negara, kemerdekaan dan kedaulatan
kerajaan boleh diragut dan dirampas kerana hutang yang tidak mampu dilunaskan.
Inilah perkara yang amat kita bimbangkan.
Langkah sebuah syarikat pengeluar kereta yang membenarkan pelajar tahun
akhir IPT untuk memiliki kereta adalah amat dikesalkan. Ia umpama menambahkan
lagi satu jerat atau meningkatkan lagi jerutan di leher bakal graduan. Kita
yakin langkah ini semata-mata didorong oleh saingan untuk menguasai pasaran
kereta domestik menerusi pembukaan segmen baru pelanggan. Pelajar perlu mencari
wang bagi membayar hutang kereta sedangkan mereka masih lagi belum mempunyai
pekerjaan.
Kita tidak mahu persaingan perniagaan membunuh dan melemahkan generasi
terpelajar kita ke kancah hutang yang memeritkan. Cuba bayangkan jika syarikat
kereta lain juga turut sama bersaing mendapatkan pelanggan baru dengan memberi
tawaran yang kompetitif bagi menakluki poket mahasiswa yang masih kosong dan
akhirnya semakin bertambahlah golongan ‘eksekutif muflis’ di negara kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan