Pembinaan Budaya Kebangsaan
Pembinaan budaya kebangsaan amat
penting diberikan perhatian dan tumpuan. Budaya kebangsaan itu bukan sahaja
menyatakan jati diri masyarakat dan negara Malaysia, malahan juga penting dalam
memupuk semangat patriotisme dan integrasi kaum di negara ini. Melalui budaya
kebangsaan itu membolehkan anggota-anggota masyarakat mengenali sejarah dan
membina ikatan emosi kepada masyarakat dan negara. Kesedaran tentang pentingnya
budaya kebangsaan itu adalah sebahagian daripada kekuatan semangat kebangsaan
Melayu yang dipupuk sejak zaman pemerintahan kolonial lagi. Pemerintah kolonial
tidak memberikan perhatian tentang bahasa dan budaya Melayu, sebaliknya bahasa
dan budaya kolonial didapati semakin penting yang membawa nilai-nilai sosial
dan ekonomi. Perjuangan orang Melayu untuk mencapai kemerdekaan adalah tidak
dapat dipisahkan daripada kepentingan persoalan bahasa dan budaya.
Kerajaan telah menerima konsep
dan prinsip budaya kebangsaan, dan usaha perancangan serta perlaksanaan
dimulakan pada tahun 1970. Kerajaan menyedari pentingnya pembinaan budaya
kebangsaan, terutama kesan daripada peristiwa 13 Mei 1969. Kementerian
Kebudayaan Belia dan Sukan waktu itu ditubuhkan bagi menumpukan perancangan dan
perlaksanaan budaya kebangsaan itu, terutama pemuliharaan dan penggalakan
budaya rakyat. Salah satu usaha yang dilakukan ialah mengenali dan menggalakkan
perkembangan di peringkat nasional berbagai-bagai unsur budaya tradisional
pribumi Malaysia.
Dalam pemuliharaan dan
penggalakan tradisi rakyat itu, berbagai bantuan diberikan. Malahan ada usaha
mendorongkan generasi muda terlibat dalam kegiatan-kegiatan tradisi budaya
rakyat itu. Berbagai pihak, terutama pencinta-pencinta seni rakyat berusaha
mengembangkan dan menyebarkan ke peringkat nasional. Terdapat
institusi-institusi pendidikan yang turut menggalakkan perkembangan seni dan
mainan tradisonal. Selain itu, penyelidikan, seminar dan bengkel tentang
berbagai warisan tradisi rakyat itu sentiasa diberikan perhatian oleh
berbagai-bagai pihak.
Kesan daripada berbagai usaha
yang telah dilakukan itu, minat generasi muda terhadap budaya rakyat itu tidak
juga meningkat. Sebagaimana telah dinyatakan bahan-bahan budaya popular
sentiasa dapat menarik minat ramai. Sebagai contoh, walaupun persembahan budaya
rakyat itu ditawarkan secara percuma di bandar-bandar, masih tidak dapat
menarik penonton. Tetapi mereka sanggup mengeluarkan perbelanjaan untuk
menonton persembahan popular.
Generasi muda tidak diberikan
pendedahan seluasnya kepada tradisi budaya itu, yang menyebabkan mereka tidak
mengenali dan memahami unsur-unsur budaya tradisi. Apabila mereka tidak
mengenalinya maka mereka tidak mencintainya. Sedangkan tradisi sangat penting
untuk memberikan peluang generasi muda mengenali sejarah, tradisi dan budaya
sendiri. Dengan itu akan dapat memupuk nilai-nilai sosial cintakan bangsa dan
tanahair. Seterusnya dapat membina ikatan emosi yang mendalam untuk
mempertahankan warisan tradisi, dan jatidiri bangsa dan negara.
Generasi muda patut dipupuk
dengan nilai-nilai positif, iaitu memandang tinggi dan berbangga dengan warisan
tradisi. Kedudukan warisan tradisi tidak boleh disamakan dengan bahan-bahan
budaya popular. Bahan-bahan budaya popular sebagaimana bahan-bahan pengguna
yang lain untuk mengisi keperluan yang lebih tinggi. Apabila nilai-nilai sosial
yang berbeza diberikan kepada kedua-dua fenomena itu, maka budaya popular itu
tidak dapat dianggap sebagai persaingan kepada warisan tradisi atau budaya
rakyat itu.
Kedudukan budaya tradisi atau
budaya rakyat yang ingin diperkembangkan dalam rancangan pembinaan budaya
kebangsaan tidak menunjukkan kemajuan sebagaimana yang diharapkan. Oleh itu
kerajaan telah mengubah strategi bagi menggalakkan pertumbuhan budaya
kebangsaan, iaitu Kementerian yang berkenaan telah digabungkan dengan industri
pelancongan, yang kini dikenali sebagai Kementerian Kebudayaan Kesenian dan
Pelancongan. Memahami masalah yang dihadapi dalam usaha membangunkan
berbagai-bagai unsur seni tradisional adalah berkaitan dengan masalah ekonomi. Mereka
yang terlibat dalam kegiatan seni tradisional tidak dapat menumpukan sepenuh
perhatian kepada kegiatan yang berkaitan memandangkan kegiatan itu tidak
memberikan pulangan ekonomi sewajarnya. Mereka terpaksa bergiat dalam lapangan
berkaitan secara sambilan semata-mata berasaskan kepada minat.
Dari sudut ekonomi, perlibatan
dalam kegiatan-kegiatan kesenian tradisional atau budaya rakyat tidak
memberikan pendapatan sewajarnya. Ini tidak dapat menarik minat generasi muda
untuk melibatkan diri. Ganjaran ekonomi dipercayai boleh menarik dan mendorong
generasi muda untuk terlibat dan mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan
budaya. Pelancongan diharapkan dapat memberikan suntikan ekonomi kepada
kegiatan budaya itu. Budaya pelancongan kini merupakan sebahagian fenomena
budaya popular. Penawaran bahan-bahan budaya kepada para pelancong itu
dipercayai dapat menghidupkan kegiatan atau industri budaya yang berkaitan
dengan budaya tradisi atau budaya rakyat terutama dalam bidang kesenian. Usaha
meningkatkan industri pelancongan itu, berasaskan pengalaman negara-negara lain
didapati mampu meningkatkan kegiatan yang berkaitan dengan tradisi budaya atau
warisan budaya rakyat tempatan.
Berasaskan pengalaman industri
pelancongan di Malaysia, didapati industri yang berkaitan dengan kraftangan
dapat berkembang dengan baik. Malahan, terdapat badan-badan swasta dan
agensi-agensi kerajaan yang menggalakkan peningkatan industri kraftangan
tradisional bumiputera di negara ini. Tetapi dalam bidang seni persembahan dan
mainan tradisional tidak mengalami pertumbuhan sebagaimana yang dijangkakan. Terdapat
usaha komersial yang dilakukan secara kecil-kecilan tetapi setakat ini tidak
membuktikan kejayaan yang baik.
Perkembangan warisan budaya tradisi
atau tradisi rakyat bagi tujuan industri pelancongan itu terdapat pula
kelemahannya. Unsur-unsur budaya yang ditawarkan itu, berasaskan kepentingan
komersial selalunya disesuaikan dengan citarasa budaya para pelancong. Atas
kepentingan itu didapati pihak pengusaha kurang memberikan tumpuan untuk
mempertahankan mutu seni sebagaimana dalam bentuk asalnya. Dalam seni
persembahan sebagai contoh, persembahan untuk pelancong yang tidak memahami
konteks tradisi budaya tempatan, dilakukan semata-mata untuk pelancong, tetapi
tidak dipersembahkan dalam suasana sebenar sebagaimana yang menjadi amalan
dalam budaya itu.
Budaya Popular dan Budaya Kebangsaan
Dalam hasrat membina budaya
kebangsaan itu, ruang lingkup budaya yang diliputi itu sepatutnya tidak
terbatas kepada warisan budaya tradisional atau budaya rakyat. Budaya itu
dinamiks. Budaya Melayu juga adalah dinamiks, yang sentiasa berubah
menyesuaikan dengan perubahan yang dilalui masyarakat. Perkembangan budaya
terkini itu kemudian akan menjadi tradisi. Proses penciptaan dan penghasilan
bahan-bahan budaya popular itu adalah sebahagian daripada proses perubahan
masyarakat dan budaya Melayu. Dengan itu juga dapat memperkukuhkan kedudukan
budaya Melayu. Masyarakat dan budaya akan terus dinamiks, iaitu perubahan perlu
dilakukan bagi menjamin peningkatan peradaban Melayu itu.
Dalam konteks ini penghasilan
bahan-bahan budaya popular itu adalah sebahagian daripada kemajuan budaya yang
dicapai masyarakat Melayu. Dalam konteks ini budaya kebangsaan itu perlu dibina
atas warisan budaya tradisi dan pembangunan budaya moden, iaitu budaya popular.
Oleh itu dalam penghasilan bahan-bahan budaya popular itu juga perlu
mempertahankan mutu yang sewajarnya. Bahan-bahan budaya popular itu juga tidak
dapat dinafikan masih mempunyai mutu dan nilai-nilai seni yang akan menjadi
warisan budaya Melayu. Penghasilan budaya popular itu juga melalui proses
kreativiti sewajarnya, yang dengan sendirinya menyatakan pembangunan budaya
Melayu, dan seterusnya memainkan peranan sebagai sumbangan peningkatan
peradaban Melayu.
Budaya rakyat kini semakin lemah
kedudukannya berikutan minat atau tumpuan orang ramai didapati semakin
berkurang. Peranan atau fungsi sesuatu fenomena itu tidak dapat dipisahkan
daripada kepentingan sesuatu tradisi budaya. Berikutan dengan perubahan sosial,
ekonomi dan pendidikan, didapati kepentingan terhadap budaya rakyat semakin
kurang mendapat tempat dalam kehidupan masyarakat Melayu moden hari ini. Walaupun
terdapat usaha untuk menghidupkan tradisi rakyat pada peringkat kampung
terutama di kalangan golongan tua, tetapi sambutan daripada orang-orang muda
tidak menggalakkan.
Mereka yang masih meneruskan
perlibatan dalam tradisi rakyat semata-mata berasaskan kepada minat, bukannya
sebagai suatu yang dilakukan secara sungguh-sungguh. Masalah yang dihadapi di
kalangan penduduk kampung ialah tekanan ekonomi yang tidak memungkinkan mereka
menumpukan perhatian terhadap minat mereka itu. Sambutan orang ramai yang
dingin terhadap tradisi budaya itu tidak memberi peluang mereka untuk
menambahkan pulangan ekonomi dengan menumpukan kepada bidang yang diminati. Penumpuan
dalam kegiatan-kegiatan ekonomi yang lain lebih penting, terutama bagi
memperbaiki kehidupan mereka.
Dengan pesatnya penawaran
berbagai-bagai bahan budaya popular Melayu moden, boleh dianggap mempengaruhi
kedudukan tradisi rakyat yang tidak lagi berkembang dan menjadi popular. Bahan-bahan
budaya popular yang dianggap lebih moden mempengaruhi keseluruhan kehidupan
orang ramai. Citarasa budaya orang ramai telah berubah, terutama berikutan
dengan proses modenisasi dan urbanisasi yang semakin pesat. Setiap orang tidak
mahu ketinggalan dalam menghadapi atau mengalami gaya hidup moden kini. Sesuatu
yang baru dan moden itu mudah didapati dan sesuai dengan perubahan citarasa budaya
orang ramai.
Berbagai-bagai usaha pernah
dilakukan oleh mereka yang ingin mengekalkan tradisi bagi menghidupkan budaya
rakyat Melayu untuk menyesuaikan dengan keperluan mengisi inspirasi budaya
nasional. Tetapi jelas didapati, dorongan dan galakan yang dilakukan tidak
membawa banyak kesan, terutama di kalangan orang-orang muda. Golongan muda
tidak menunjukkan minat yang mendalam terhadap unsur-unsur budaya rakyat
tradisi. Proses modenisasi dan urbanisasi membawa kesan-kesan langsung kepada
kedudukan warisan budaya rakyat, yang semakin kepinggiran.
Pelancongan Sebagai Industri Budaya
Memandangkan masalah yang
dihadapi dalam pengembangan budaya rakyat tempatan, kerajaan telah mengubah
strategi untuk menjadikan warisan budaya rakyat sebagai bahan budaya yang boleh
menarik perhatian pelancong, terutama pelancong luar negeri. Pelancong-pelancong
luar negeri dapat menghayati warisan budaya rakyat kerana itu dianggap kelainan
dari budaya mereka. Dengan itu diharapkan penghasilan warisan budaya rakyat akan
mendapat perhatian ramai apabila para pelancong mulai menunjukkan minat
terhadapnya. Bagi mereka yang terlibat dalam kegiatan itu akan sanggup memberi
tumpuan apabila permintaannya semakin baik.
Budaya rakyat sebagai budaya
warisan orang Melayu dapat disebarkan atau dihidupkan semula apabila tumpuannya
ialah untuk industri pelancongan. Ini merupakan suatu perkembangan baru bagi
penduduk di negara ini dalam perancangan untuk mengembalikan kedudukan budaya
tradisi. Penawaran budaya rakyat kepada pelancong telah dilakukan dengan
jayanya oleh sesetengah negara, seperti di Indonesia dan Thailand. Para
pelancong melihat penghasilan seni tempatan itu sebagai suatu yang berbeza
daripada seni moden, iaitu mempunyai nilai-nilai seninya tersendiri. Penawaran
unsur-unsur budaya rakyat tempatan dapat menarik perhatian para pelancong yang
bertujuan untuk mencari dan mengalami sesuatu yang baru dan berlainan daripada
budaya mereka. Atas kesedaran ini penduduk tempatan berusaha menimbulkan atau
menghidupkan tradisi budaya mereka untuk dihayati oleh para pelancong.
Kerajaan Malaysia menyedari akan
pentingnya industri pelancongan itu sebagai sumber ekonomi negara. Di samping
dapat meningkatkan kegiatan ekonomi, industri pelancongan ini juga dapat
mendorongkan penduduk tempatan terus menumpukan kepada kegiatan-kegiatan yang
berkaitan dengan budaya tradisi. Dalam keadaan ini, kerajaan dapat melahirkan
dua kepentingan dengan mempergiatkan industri pelancongan ini, iaitu di samping
sebagai kegiatan ekonomi, negara juga dapat terus menonjolkan budaya tradisi
sebagai usaha melambangkan identiti negara atau dengan kata-kata lain dapat
terus mengembangkan identiti negara dalam konteks budaya kebangsaan. Bagi
mencapai tujuan itu kerajaan telah menggabungkan kegiatan kebudayaan dan pelancongan
di bawah satu Kementerian.
Perancangan seperti itu
dikatakan lebih pragmatik dan dapat terus mendorongkan perkembangan budaya
tradisi memandangkan tradisi itu dapat memberikan sumbangan ekonomi yang baik. Bagi
mengharapkan budaya tradisi berkembang secara sendirian sudah pasti tidak mampu
berlaku sebagaimana masa lalu. Sesuatu itu dapat bergerak dan berkembang dengan
baik dalam masyarakat kini apabila terdapat dorongan ekonomi.
Industri pelancongan dapat
memberikan perhatian kepada warisan budaya rakyat tradisi yang masih kedapatan
di negara ini sebagai bahan promosi untuk menarik para pelancong, terutama
pelancong-pelancong luar negeri. Kumpulan-kumpulan kesenian selalu dihantar ke
luar negeri dengan tujuan menjual Malaysia kepada orang-orang luar. Saluran ini
dikatakan amat berkesan untuk menarik perhatian orang luar untuk datang
melancong ke negara ini. Selain itu, keindahan alam sekitar dan cara hidup
tradisi orang Melayu di peringkat kampung juga selalu dikatakan dapat menarik
pelancong-pelancong asing.
Kerajaan dan agensi-agensi
pelancongan menyediakan berbagai-bagai rancangan dalam usaha memperkenalkan
para pelancong luar negeri kepada budaya rakyat tradisi penduduk tempatan. Misalnya,
pusat-pusat yang menumpukan kepada kegiatan kerajinan tangan ditubuhkan. Galakan
diberikan kepada tukang-tukang atau artis-artis tradisi untuk menumpukan
kegiatan seni itu secara komersial. Pendedahan yang meluas unsur-unsur budaya
tradisional yang ditujukan kepada para pelancong itu juga dapat menarik perhatian
pelancong-pelancong tempatan. Dengan pendedahan itu, penduduk tempatan dapat
memahami dan menghayati bahan-bahan budaya, dan dengan ini penawarannya semakin
bertambah di pasaran. Orang ramai juga dengan sendirinya menyedari kepentingan
unsur-unsur budaya tradisi. Penghasilan budaya rakyat yang berkembang bagi
kepentingan para pelancong itu menghadapi proses penyesuaian yang dilakukan
bagi kepentingan pasaran.
Peranan atau fungsi tradisinya
mungkin tidak dapat dipertahankan lagi. Budaya rakyat itu kini diletakkan dalam
rangka kepentingan atau fungsi baru, iaitu untuk dihayati, bukannya lagi
berperanan dalam konteks kaitannya dengan fungsi guna dalam masyarakat Melayu
masa lalu. Penghasilannya kini sebagai bahan dagangan, bukannya untuk
penggunaan sebagaimana kedudukannya dalam masyarakat Melayu tradisi. Unsur-unsur
budaya itu dijadikan komoditi dagangan sebagaimana bahan-bahan budaya popular
moden dan bagi kepentingan ini persaingan di kalangan pengusaha-pengusaha
mendorongkan mereka melakukan penyesuaian bagi mendapat pasaran yang baik.
Dalam keadaan demikian didapati
para pengguna memainkan peranan penting dalam menentukan permintaan. Pengusaha,
seperti tukang dan artis berusaha memahami citarasa pelancong dalam
menyesuaikan penghasilan keluaran mereka. Walau bagaimanapun, pengekalan
unsur-unsur tradisi, terutama dari segi bentuknya perlu dilakukan bagi
menentukan keaslian budaya rakyat yang berkembang secara komersial itu.
Persembahan kesenian seperti
dikir barat, rebana, wayang kulit, kuda kepang dan berbagai-bagai jenis tarian
tradisi yang dipersembahkan untuk pelancong diringkaskan untuk jangka masa yang
lebih pendek agar tidak menjemukan penonton. Sedangkan persembahan asalnya
memakan masa yang lama, tetapi para penonton dalam konteks masyarakat itu dapat
menghayati dan memahaminya. Persembahan kepada pelancong terpaksa mereka
memilih bahagian-bahagian yang menarik bagi menarik perhatian penonton. Misalnya,
dengan mengurangkan babak-babak dailog dan melebihkan bahagian perlakuan.
Perkembangan budaya pelancongan
ini adakala membawa kesan-kesan buruk kepada kedudukan warisan budaya rakyat
tradisi itu. Pihak pengusaha selalu menimbangkan kepentingan ekonomi tanpa
meneliti kesan-kesan jangka panjangnya. Pengusaha selalu mengubah dan
menyesuaikan sesuatu unsur budaya tradisi itu mengikut kemahuan mereka sehingga
tidak ada lagi keasliannya dalam unsur itu. Sebagai contoh, dapat kita
perhatikan tarian-tarian Melayu asli telah banyak disesuaikan dengan
kehendak-kehendak moden dan dilakukan perubahan secara sewenang-wenang sehingga
tidak wujud sifat-sifat aslinya. Keadaan ini boleh melenyapkan keaslian sesuatu
unsur itu dan diganti dengan sesuatu yang baru. Generasi akan datang menghadapi
masalah untuk mengesan dan memahami unsur-unsur budaya asli yang boleh
menyatakan identiti masyarakat dan budaya Melayu.
Unsur-unsur budaya kebendaan
hasil kerajinan tangan Melayu disesuaikan dengan kehendak-kehendak pelancong. Bahan-bahan
budaya itu disesuaikan dari segi saiznya, misalnya dijadikan lebih kecil bagi
memudahkan para pelancong membawa pulang. Fungsi asalnya secara umum berubah
kepada fungsi perhiasan. Oleh itu penekanan diberikan kepada keindahan,
misalnya dari segi ukiran dan kehalusan buatannya, yang bertujuan untuk dapat
menarik perhatian pelancong, terutama pelancong luar negeri. Sebagai contoh,
layang-layang yang dihasilkan oleh orang Melayu ialah untuk dinaikkan, tetapi
dijadikan saiznya lebih kecil untuk perhiasan. Oleh itu ukiran dan warnanya
menjadi perhatian tukang-tukang untuk mengisi keperluan itu. Bagi mengisi
keperluan budaya pelancong, artis-artis yang berkebolehan bagi mencipta dan
menghasilkan sesuatu dengan cara lebih kreatif perlu diberikan perhatian.
Fungsi asasnya telah berubah
kepada hasil untuk dagangan kepada para pelancong. Pelancong tidak memahami
kedudukan sesuatu hasil budaya itu yang telah dibawa keluar daripada konteks
masyarakat. Mereka tidak penting kepada makna dan pengertian asalnya tetapi
memerlukan keindahan sesuatu penghasilan budaya, sebagai sesuatu yang dianggap
eksotik. Pelancong berusaha memahami sesuatu fenomena budaya itu secara ringkas
dan mudah. Mereka menonton atau meneliti sesuatu itu secara sepintas lalu dan
kemudian akan melupainya. Kesannya tidak mendalam. Tujuannya untuk menarik
perhatian pelancong secara luaran dan secara cepat yang dapat. Misalnya, dalam
penghasilan barangan, unsur-unsur tradisi, seperti motif atau ukirannya berubah
kepada unsur-unsur moden.
Dengan ini bermakna nilai-nilai
tradisi semakin dilupai dan adakala pula dimasukkan unsur-unsur asing. Suasana
demikian tidak dapat membina dan mengekalkan keaslian tradisi budaya Melayu. Dengan
pesatnya berlaku keadaan demikian, suatu hari nanti orang Melayu terutama
generasi muda tidak dapat mengenali unsur-unsur budaya tradisi yang dapat
menyatakan keaslian Melayu untuk dibanggakan. Dalam perkembangan budaya
pelancongan itu, orang-orang yang berkebolehan dan ahli dalam bidang-bidang
berkaitan patut dapat terus mengekalkan nilai-nilai tradisi bagi kepentingan
bersama.
Proses Globalisasi dan Budaya Popular Melayu
Perkembangan ekonomi global atau
proses globalisasi dalam ekonomi membawa kesan yang ketara dalam perubahan dan
pembangunan budaya. Dalam perkembangan ekonomi global itu sebenarnya
memperkukukan kedudukan ekonomi negara maju. Penyebaran pasaran yang tidak
mempunyai batasan memberikan kekuatan kedudukan dan kuasa ekonomi negara-negara
maju, khususnya barat. Sebelum runtuhnya sekatan atau blok ekonomi yang
berasaskan kepentingan politik, negara-negara maju itu telah pun menguasai
ekonomi di peringkat internasional. Kekuasaan ekonomi itu boleh dikesan sebagai
persambungan pembangunan ekonomi kolonial dahulu lagi.
Perkembangan ekonomi global itu
turut memperluaskan penyebaran pasaran bahan-bahan budaya, terutama atas
kepentingan komersial. Bahan-bahan budaya popular yang dibawa dari
negara-negara maju itu, terutama barat sentiasa dianggap mempunyai nilai-nilai
sosial yang tinggi, iaitu dianggap moden dan maju. Malahan bahan-bahan budaya
popular yang dibawa dari barat sentiasa menarik perhatian golongan muda mudi di
negara ini. Anggapan seperti itu bukanlah suatu nilai-nilai sosial yang baru,
nilai-nilai demikian telah dipupuk sejak zaman pemerintahan kolonial dahulu
lagi. Kemodenan dan kemajuan itu selalu dirujuk kepada pencapaian peradaban
barat.
Golongan muda merupakan majoriti
penduduk negara ini. Oleh itu, penyebaran bahan-bahan budaya di kalangan muda
mudi itu dapat pula berkembang sebagai budaya popular. Pengaruh budaya barat
itu tidak terbatas di kalangan golongan muda sahaja. Malahan gaya hidup barat
juga telah meresap di kalangan golongan elit bangsawan tempatan sejak lama
dahulu lagi. Mereka mempertahankan bahawa kemajuan dan kemodenan yang dibawa
oleh barat itu mempunyai kedudukan sosial yang tinggi dan patut diikuti. Bahan-bahan
budaya dari barat itu telah diterima dengan meluas sebagai lambang sosial. Suasana
demikian mempengaruhi golongan muda dan fenomena ini tidak boleh dianggap
sesuatu yang baru.
Budaya barat yang menjadi ikutan
golongan muda itu meliputi juga bahan-bahan budaya yang tidak sesuai dengan
nilai-nilai sosial tempatan. Antaranya sebagai contoh terdapat gaya hidup
penyanyi dan pemain muzik barat yang mempengaruhi kumpulan muda mudi tempatan,
dan perlakuan itu adakala bercanggah dengan nilai-nilai tempatan. Apabila keadaan
itu berlaku, maka golongan dewasa menentang perlakuan demikian. Sedangkan
golongan muda mudi itu didedahkan dengan perkembangan budaya popular barat yang
keterlaluan sifatnya. Tetapi golongan dewasa adalah bertanggungjawab dalam
menyebarkan bahan-bahan budaya secara meluas itu atas kepentingan komersial.
Penyebaran bahan-bahan budaya
barat itu membawa dan menyalurkan bersamanya nilai-nilai sosial berasaskan
budaya barat. Selalunya melalui bahan-bahan yang disebarkan itu terdapat
nilai-nilai yang baik dan patut menjadi ikutan orang Melayu, terutama golongan
muda. Tetapi kerapkali nilai-nilai yang baik itu diketepikan, sebaliknya
nilai-nilai yang tidak baik mudah mempengaruhi perlakuan golongan muda mudi
Melayu. Orang ramai selalu beranggapan, bahan-bahan budaya popular yang dibawa
dari barat itu membawa kesan-kesan buruk kepada masyarakat tempatan, terutama
golongan muda. Misalnya, budaya barat itu selalu dikatakan budaya kuning, dan
dianggap tidak sesuai dengan kehidupan orang Melayu.
Tetapi aspek kebaikan, terutama
nilai-nilai sosial yang patut menjadi teladan, seperti pembinaan hubungan
sosial, kekeluargaan, budaya ilmu, menjaga kebersihan dan sebagainya kurang
mendapat perhatian. Sedangkan budaya popular yang dibawa dari barat itu
terdapat banyak nilai-nilai sosial yang patut diikuti. Perkara yang menjadi
perhatian ialah berkaitan dengan nilai-nilai buruk yang dianggap boleh membawa
kesan-kesan buruk kepada generasi muda.
Penyebaran bahan-bahan budaya
popular moden kini membawa perubahan besar kepada kehidupan orang Melayu. Bahan-bahan
budaya popular dapat dianggap sebagai saluran penting kepada orang ramai untuk
mengisi keperluan yang lebih tinggi seperti hiburan, melayan perasaan, kepuasan
individu, dan mengisi masa lapang. Dengan itu dapat mengurangkan tekanan hidup
kepada anggota-anggota masyarakat. Orang ramai, sebagai pengguna bahan-bahan
budaya popular boleh membuat pilihan daripada berbagai jenis bahan budaya di
pasaran mengikut kemampuan dan keperluan masing-masing. Penawaran bahan-bahan
budaya itu dalam berbagai jenis dan bentuk yang dilakukan secara komersial,
mampu dibeli untuk penggunaan orang ramai. Perbelanjaan terhadap bahan-bahan
budaya popular merupakan sebahagian daripada keperluan kepenggunaan orang ramai
yang itu menjadi sebahagian daripada keperluan harian setiap orang.
Bahan-bahan budaya popular itu
dihasilkan oleh kegiatan industri budaya. Perkembangan industri itu sebagaimana
industri lain mempunyai pengurusan yang berusaha memasarkan keluaran mereka
kepada ramai. Sebagai industri, maka usaha promosi, misalnya dengan iklan,
pameran, demostrasi dan sebagainya dilakukan bagi menarik pengguna atau audien.
Kejayaan sesuatu industri budaya itu sangat bergantung kepada sambutan yang
diberikan oleh para pengguna.
Sedangkan pengguna itu mempunyai
kemampuan untuk membuat pilihan sendiri. Walau bagaimanapun, melalui promosi
yang meluas kerapkali dapat mempengaruhi nilai-nilai sosial. Perkembangan
industri budaya popular itu memberikan sumbangan ekonomi yang penting kepada
negara. Di samping itu industri itu juga dapat menyediakan peluang-peluang
pekerjaan kepada mereka yang berkebolehan dan berminat. Malahan, industri
budaya ini turut memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, misalnya
dalam membawa perubahan nilai-nilai sosial dan world-view.
Pesatnya pembangunan yang
dilalui penduduk luar bandar, turut memberikan peluang meningkatnya penyebaran
budaya popular sehingga ke kawasan-kawasan pendalaman, dan melaluinya dapat
menyalurkan proses urbanisasi dan modenisasi dengan lebih berkesan. Misalnya,
dengan pendedahan yang disalurkan melalui televisyen dapat membuka minda dan
mencabar pemikiran anggota-anggota masyarakat untuk memperbaiki kehidupan
mereka. Nilai-nilai yang dipupuk itu dapat mendorongkan mereka untuk mengubah
sikap, misalnya dengan bekerja lebih kuat, yang dapat meningkatkan produktiviti.
Budaya popular sekian lama telah
memainkan peranan dalam mengurangkan kedudukan jurang sosial di kalangan
anggota-anggota masyarakat. Ini dapat dikaitkan dengan peranan media massa yang
menawarkan bahan-bahan budaya popular kepada semua peringkat anggota masyarakat
tanpa mengira kedudukan kelompok-kelompok sosial. Semua anggota masyarakat
menghayati bahan budaya yang sama atau standard yang disalurkan oleh media
popular itu. Dengan itu dapat membina dan memupuk nilai-nilai sosial yang lebih
kurang sama.
Industri budaya popular di
negara ini telah bermula sejak pemerintahan kolonial, apabila berkembangnya
ekonomi kapitalis dan teknologi moden. Tetapi pemilikan modal dan teknologi
moden itu, seperti filem dan piring hitam dikuasai orang bukan Melayu. Orang
Melayu yang terlibat hanya mampu memberikan sumbangan tenaga dengan ganjaran
upah atau gaji. Oleh itu, industri budaya popular Melayu yang pesat berkembang
di bandar-bandar besar di negara ini adakala merupakan kegiatan komersial orang
bukan Melayu.
Pada peringkat awal, orang
Melayu boleh dikatakan terlibat dalam indsutri Bangsawan. Apabila industri
budaya memerlukan modal yang besar dan teknologi moden, maka orang Melayu tidak
mampu untuk turut serta dalam membina industri demikian. Malahan pembangunan
industri itu memerlukan kepakaran dan pendidikan, terutama dalam usaha
pengurusan industri itu. Pembinaan industri budaya sebagaimana juga industri
yang lain memerlukan susunan strategi pengurusan yang berkesan. Walaupun
kepentingan utamanya ialah untuk mendapatkan keuntungan, tetapi pengusaha
industri itu juga mempunyai peranan dan tanggungjawab sosial.
Dalam perjalanan sesebuah
industri budaya itu, melibatkan pengumpulan modal dan tenaga pekerja. Dalam
sistem kapitalis, kegiatan yang berkaitan itu berusaha memaksimum keuntungan. Atas
kepentingan ini, pengusaha industri itu berusaha menawarkan sesuatu bahan
budaya yang dapat menarik perhatian orang ramai.
Bahan-bahan budaya yang baru
atau dianggap moden itu kerapkali dapat menarik perhatian orang ramai. Oleh
itu, pengusaha sentiasa peka kepada perubahan selera orang ramai. Penwaran
bahan-bahan budaya di pasaran sentiasa berubah menyesuaikan dengan kehendak dan
kepentingan orang ramai dari masa ke masa. Adakala pengusaha industri budaya
popular itu menggunakan strategi mengeksploit keinginan semula jadi manusia
bagi menarik minat ramai, terutama golongan muda. Aspek-aspek yang boleh
menimbulkan rangsangan keinginan manusia itu seperti seks dan keganasan
sebagaimana yang selalu dipaparkan dalam filem selalu diberikan perhatian oleh
pengusaha. Filem-filem yang dikeluarkan di barat misalnya, selalu membawa
adegan-adegan yang sensasi bagi menarik minat khalayak.
Namun, tumpuan yang diberikan
itu kerapkali agak keterlaluan, dan tidak sesuai dengan nilai-nilai sosial
tempatan. Oleh itu, kerajaan telah menetapkan syarat dan peraturan dalam
mengawal bahan-bahan budaya yang boleh menimbulkan percanggahan dengan
nilai-nilai sosial tempatan. Misalnya, badan penapis filem diberikan kuasa
dalam menentukan kesesuaian bahan-bahan budaya yang dibawa dari luar itu. Ini
dilakukan bagi mengawal moral dan akhlak penduduk tempatan, terutama orang
Melayu yang beragama Islam. Kini, penyebaran bahan-bahan budaya semakin meluas,
melalui perkembangan teknologi moden yang boleh membawa kesukaran dalam
melakukan kawalan terhadap bahan-bahan budaya itu.
Pembangunan teknologi moden yang
sangat pesat kini memainkan peranan penting dalam membawa proses globalisasi
bahan-bahan budaya popular. Dengan perkembangan media elektronik dan penyebaran
yang dapat dilakukan melalui satalite membolehkan bahan-bahan budaya dapat
disebarkan dengan meluas. Dalam perkembangan itu, menjadikan negara maju,
terutama barat mempunyai kedudukan yang semakin kukuh dalam ekonomi dan budaya.
Kekuatan ekonomi barat dalam menguasai ekonomi dunia, turut mempengaruhi pula
penyebaran bahan-bahan budayanya. Budaya popular barat yang dihasilkan oleh
pembangunan industri budaya itu dapat menyalurkan bahan-bahan budaya itu ke
seluruh dunia. Seterusnya, penyebaran yang meluas itu dapat memperkukuhkan
kedudukan ekonomi dan politiknya.
Kekuatan ekonomi dan pembangunan
teknologi negara-negara maju itu seterusnya dapat menguasai budaya di peringkat
global dan dapat pula mempengaruhi dan menyalurkan ideologi politiknya. Pencapaian
itu menyatakan kedudukan global itu hakikatnya membawa kesan yang amat baik
kepada negara-negara maju. Namun, asas pembinaannya itu telah bermula sejak
pengaruh politik kolonial yang menyebarkan konsep moden tehadap penduduk di
negara-negara dunia ketiga, yang masih di peringkat sedang membangun.
Pengaruh budaya barat yang telah
bermula sejak zaman pemerintahan kolonial di negara ini turut mempengaruhi
perkembangan budaya Melayu. Penyebaran bahan-bahan budaya popular barat
memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pembinaan budaya popular Melayu. Teknologi
moden yang dibawa dari barat seperti piring hitam, filem, radio dan sebagainya
turut diisi dengan kandungan Melayu, tersebar luas, terutama di kalangan orang
Melayu. Fenomena budaya popular itu sentiasa dianggap sebagai sesuatu yang baru,
dan seterusnya membawa bersamanya nilai-nilai kemodenan.
Sesuatu yang popular dari barat
mudah ditiru dan diikuti bagi menyesuaikan dengan kehendak tempatan. Perkembangan
budaya popular Melayu itu turut dipengaruhi perkembangan budaya popular di
peringkat global khususnya barat. Kini dengan pesatnya penyebaran bahan-bahan
budaya dalam proses globalisasi itu, didapati perkembangan itu memainkan
peranan dalam mempengaruhi perkembangan industri budaya popular Melayu, yang
berusaha untuk mengisi keperluan tempatan.
Dengan kekuatan asas yang telah
dibina dalam proses modenisasi semenjak pengaruh budaya kolonial dahulu, dan
keadaan yang sama berlaku dalam proses globalisasi budaya kini, didapati
bahan-bahan budaya yang dibawa dari barat itu sentiasa dipandang tinggi dan
dianggap moden. Namun, berbagai usaha dilakukan untuk menggalakkan orang ramai
menggunakan bahan-bahan budaya tempatan.
Bahan-bahan budaya popular
global dalam berbagai lapangan yang disebarkan oleh industri budaya barat itu
kini didapati tersebar luas yang memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk
melakukan pilihan, pendedahan yang sangat meluas itu tidak dapat dinafikan turut
mempengaruhi cita rasa budaya tempatan dan memupuk nilai-nilai sosial negara
maju. Orang Melayu turut mempunyai peluang untuk menghayati berbagai bentuk dan
jenis penawaran budaya popular yang dibawa dari negara-negara maju. Berasaskan
pengalaman itu mereka mengharapkan penawaran bahan-bahan budaya popular
tempatan juga tidak jauh berbeza dengan bahan-bahan budaya popular dari
negara-negara maju itu. Suasana demikian mempengaruhi perkembangan industri
budaya popular Melayu.
Bagi kepentingan komersial,
industri budaya tempatan selalu meniru atau mengikuti perkembangan sebagaimana
yang dinyatakan oleh negara-negara maju. Tetapi industri budaya tempatan
terpaksa menyesuaikan dengan nilai-nilai sosial tempatan, misalnya tentang
moral dan akhlak yang tetap berlandaskan kepada nilai-nilai Islam. Adakala
terdapat bahan-bahan budaya popular itu yang kurang memberikan pertimbangan
tentang nilai-nilai sosial itu yang boleh membawa kepada kesan-kesan sosial
yang kurang baik. Namun masyarakat Melayu selalu memberikan tekanan terhadap
bahan-bahan budaya Melayu yang didapati agak keterlaluan dan tidak memberikan
perhatian kepada nilai-nilai sosial tempatan dan Islam.
Penyebaran bahan-bahan budaya
popular dari negara-negara maju dalam proses globalisasi itu memberikan kesan
yang menyeluruh terhadap budaya Melayu tradisi. Persaingan dengan perkembangan
budaya popular di peringkat global membawa kesan kepada tradisi budaya
tempatan, iaitu apabila bahan budaya popular itu digunakan sebagai nilai-nilai
yang mengukur kemajuan dan kemodenan kini. Segala warisan tradisi dianggap
sebagai ketinggalan zaman dan tidak dinamiks mengikut pembangunan semasa.
Penyebaran budaya popular dari
negara-negara maju, terutama barat itu menekankan nilai-nilai sosial yang
adakala bercanggah dengan nilai-nilai sosial tempatan, malahan tidak sesuai
dengan nilai-nilai Islam. Misalnya, kepentingan kepada nilai-nilai material dan
mementingkan diri keterlaluan boleh menjejaskan kurangnya pertimbangan sosial,
terutama nilai-nilai moral dan akhlak. Sedangkan bahan-bahan budaya popular itu
sangat berkesan dalam mempengaruhi generasi muda, yang lebih mementingkan
hiburan. Mereka kurang memberikan perhatian terhadap masalah-masalah sosial. Adakala
kelainan budaya yang disalurkan melalui budaya popular menjadi ikutan kepada
generasi muda di negara ini. Selain itu, eksploitasi unsur-unsur sensasi boleh
membawa kesan-kesan sosial yang kurang baik.
Penyebaran budaya popular sangat
dinamiks, sentiasa berubah menyesuaikan dengan permintaan orang ramai. Penyebaran
bahan-bahan budaya itu memberi peluang kepada orang ramai mempelajari dan
memahami masyarakat dan budaya lain di dunia ini, yang boleh mempengaruhi
pemikiran mereka. Pendedahan yang meluas dapat mempercepatkan proses modenisasi
dan globalisasi, tetapi perlu juga diawasi, di samping mendorongkan perubahan
selaras dengan kesan yang dibawa oleh proses globalisasi itu. Mereka perlu
mempelajari dari masyarakat dan budaya lain bagi membolehkan mereka mengalami
perubahan nilai-nilai sosial. Pesatnya perkembangan dan penyebaran bahan-bahan
budaya popular itu boleh mempengaruhi pembangunan ekonomi negara. Di samping
itu anggota-anggota masyarakat juga boleh melibatkan diri dalam pembangunan
industri itu mengikut kemampuan dan kepakaran masing-masing.
Impak Fenomena Budaya Popular
Perkembangan industri budaya
popular memberikan sumbangan ekonomi yang tidak kurang pentingnya kepada negara.
Sebahagian besar sumbangan itu datangnya daripada kemasukan bahan-bahan budaya
dari negara-negara maju. Industri budaya popular tempatan menghadapi persaingan
dengan penawaran bahan-bahan budaya yang datangnya dari negara-negara maju itu.
Kerajaan berusaha membantu bagi menggalakkan perkembangan industri budaya
Melayu. Misalnya, keutamaan diberikan kepada pengusaha-pengusaha tempatan dalam
penyebaran bahan-bahan budaya popular.
Penawaran bahan-bahan budaya
popular itu bukan sahaja sebagai bahan yang memberikan hiburan, melayan emosi
atau perasaan orang ramai sebagai pengguna. Malahan, bahan-bahan budaya itu
dapat memainkan berbagai peranan dalam membawa keharmonian dan kesejahteraan
sosial. Penyaluran nilai-nilai sosial melalui bahan-bahan budaya popular adalah
sangat berkesan, terutama di kalangan orang-orang muda. Misalnya, filem,
nyanyian, dan buku-buku cerita popular adalah saluran pemupukan nilai-nilai
sosial yang amat baik.
Bahan-bahan budaya popular itu
juga turut memainkan peranan dalam memperkukuhkan hubungan sosial, terutama
melalui nilai-nilai sosial yang disalurkan itu yang seragam. Malahan budaya
popular itu boleh memainkan peranan dalam pembinaan perpaduan antara kaum di
negara ini. Di peringkat nasional, budaya popular dapat mengurangkan ikatan
individu kepada kelompok yang berasaskan kedaerahan. Bahan-bahan budaya popular
dikongsi dan dihayati bersama, maka nilai-nilai sosial dan unsur pendidikan
yang disalurkan melalui bahan-bahan itu dapat memberikan rasa kekitaan yang
kukuh.
Budaya popular sebagai ‘urban
product’ sentiasa menghasilkan sesuatu yang baru. Nilai-nilai sosial yang
didedahkan kepada orang ramai melalui bahan-bahan budaya popular itu merupakan
suatu pembaharuan dan kemodenan. Orang ramai, terutama golongan muda sentiasa
mencari sesuatu yang baru. Oleh itu, bahan-bahan budaya popular itu turut
memberikan sumbangan dalam membawa para pengguna itu mengalami proses
modenisasi dan urbanisasi. Anggota-anggota masyarakat tidak mahu ketinggalan
dalam mengikuti perkembangan budaya semasa.
Penyaluran bahan-bahan budaya
popular melalui media elektronik, media cetak dan seumpamanya mendedahkan orang
ramai kepada bahan-bahan budaya popular di peringkat global. Ini memberikan
peluang para pengguna berfikiran lebih terbuka dan turut mengalami proses
globalisasi. Perkembangan pesat budaya popular dapat memberikan peluang orang
ramai membuat pilihan pengisian keperluan lebih tinggi, seperti bahan-bahan
budaya, mengikut citarasa masing-masing. Malahan sebagai bahan pengguna,
penawaran bahan-bahan budaya itu mampu didapati oleh orang ramai, terutama di
pasaran di seluruh negara.
Perkembangan bahan-bahan budaya
popular itu adakala dikaitkan dengan kesan buruknya kepada golongan muda. Bahan-bahan
budaya yang dibawa dari barat selalu dianggap bercanggah dengan nilai-nilai
sosial tempatan dan nilai-nilai Islam. Perlakuan kelainan budaya yang tersebar
di kalangan orang-orang muda juga dikaitkan dengan budaya popular dari barat. Oleh
itu, orang dewasa beranggapan bahan-bahan budaya itu amat perlu dikawal dan
diawasi. Tetapi dengan teknologi penyebaran maklumat yang semakin canggih kini,
pengawalan bahan-bahan budaya yang disalurkan melalui teknologi itu didapati
semakin sukar dilakukan. Oleh itu, usaha yang perlu dilakukan ialah
memperkuatkan ketahanan diri golongan muda itu, misalnya dengan memberikan
pendidikan agama dan moral yang sebaiknya. Sejauhmana kesan buruk yang dibawa
oleh bahan-bahan budaya popular dari negara-negara maju terhadap golongan muda
di negara ini setakat ini belum lagi dilakukan penyelidikan secara mendalam.
Perkembangan pesat penawaran
bahan-bahan budaya popular secara global, terutamanya yang datang dari barat
mempengaruhi nilai-nilai sosial orang Melayu. Misalnya, nilai-nilai material
semakin meningkat. Gaya hidup yang berasaskan ‘impian Amerika’ semakin meluas.
Fenomena budaya popular mempengaruhi dan membawa kesan kepada kelemahan
kedudukan budaya Melayu tradisional. Minat ramai, terutama golongan muda
terhadap warisan tradisi itu semakin berkurang. Kepinggiran warisan tradisi
adalah kesan daripada nilai-nilai kemodenan dan kemajuan yang diberikan kepada
bahan-bahan budaya popular.
Budaya Melayu itu dinamis. Perkembangan
pesat budaya popular Melayu dengan jelas menyatakan dinamiknya budaya Melayu. Perkembangannya
itu selaras dengan pembangunan yang dilalui orang Melayu. Kini orang Melayu
mengalami proses modenisasi dan urbanisasi yang pesat dan perubahan yang
dilalui itu dapat difahami daripada perkembangan bahan-bahan budaya popular
yang tersebar luas. Di samping itu masyarakat Melayu terdedah kepada perubahan
dan kemajuan yang berlaku di peringkat global apabila bahan-bahan budaya
popular dari negara-negara maju itu berkembang secara global. Bahan-bahan
budaya popular Melayu itu dengan jelas menyatakan secara ekspresif dan simbolik
perubahan yang dilalui orang Melayu. Melaluinya mereka menyatakan pencapaian
orang Melayu dalam mengalami perubahan seperti pembangunan dan kemodenan.
Pesatnya perkembangan dan
penyebaran bahan-bahan budaya popular dari negara-negara maju di negara ini
dalam proses globalisasi boleh membawa kesan-kesan kurang baik dari segi
nilai-nilai kebangsaan. Tetapi kesan itu boleh pula memberikan kesedaran kepada
masyarakat Melayu, untuk meningkatkan dan memperkukuhkan semangat kebangsaan. Dalam
konteks ini usaha mengembalikan masyarakat kepada nilai-nilai sosial tradisi
yang berteraskan kepada Islam digalakkan oleh berbagai-bagai pihak di negara
ini.
Rumusan
Fenomena budaya popular kini
menjadi sebahagian daripada keperluan hidup moden. Perkembangannya tersebar
luas merintasi kelas sosial. Penawarannya yang merupakan kegiatan komersial
memberikan pulangan ekonomi yang baik kepada negara, dan memberikan peluang
pekerjaan kepada ramai orang yang terlibat dalam industri itu.
Budaya Melayu tradisional pernah
berkembang secara popular masa lalu dalam konteks budaya rakyat. Budaya popular
tradisional itu berbeza daripada budaya popular moden yang telah mengalami
proses modenisasi dan urbanisasi. Perkembangan ekonomi, teknologi dan
pendidikan moden memainkan peranan penting dalam melahirkan fenomena budaya
popular moden Melayu. Ini boleh dikesan sejak perkembangan bandar-bandar moden
semasa pemerintahan kolonial. Budaya popular Melayu merupakan ‘urban product’ yang membawa ciri-ciri kemodenan dan pembandaran.
Perkembangan budaya popular
moden membawa kesan-kesan perubahan sosial dan budaya yang berlaku di kalangan
orang-orang Melayu. Budaya popular yang tersebar luas itu membawa kemerosotan
kepada budaya tradisi, sedangkan dalam konsep pembinaan budaya kebangsaan,
unsur-unsur budaya tradisional itu sangat penting sebagai lambang jatidiri
negara. Kesannya itu meletakkan budaya rakyat itu menghadapi masalah untuk
dapat diterima ramai. Walau bagaimanapun, Kementerian yang terlibat berusaha di
samping memulihara ialah menghidupkan berbagai jenis seni tradisional dengan
cara melibatkan industri budaya dalam kegiatan pelancongan.
Budaya Melayu tradisional
menyatakan aspek ekspresif dan simbolik kehidupan orang Melayu. Berbagai usaha
dilakukan dalam menentukan tradisi itu tidak lenyap begitu sahaja. Walau
bagaimanapun dalam proses globalisasi yang pesat kini, orang Melayu menyedari
kesan-kesan yang kurang baik dibawa oleh bahan-bahan budaya popular dari
negara-negara maju itu. Ini memberi kesedaran masyarakat Melayu untuk
mengembali dan mempertahankan identiti Melayu itu. Antaranya, ialah dengan
berusaha meletakkan warisan tradisi budaya Melayu di tempat sewajarnya. Namun,
unsur-unsur budaya tradisi itu boleh dipopularkan apabila unsur-unsur budaya
itu dapat disesuaikan dengan keperluan semasa.
Perkembangan budaya popular
Melayu itu juga menyatakan dengan jelas dinamiks budaya Melayu itu. Dan dalam
pembinaan budaya kebangsaan, peranan budaya moden dalam konteks budaya popular
itu perlu juga diberikan tumpuan. Tetapi tidak semua bahan budaya popular itu
dapat dianggap penting dalam pembinaan budaya kebangsaan. Pertimbangan mutu
sangat penting dalam meletakkannya sebagai budaya kebangsaan. Adakala orang
berpendapat bahan-bahan budaya popular bermutu rendah, hanya mementingkan
pulangan ekonomi semata-mata. Walau bagaimanapun kita tidak boleh ketepikan
nilai mutu itu, memandangkan penawaran bahan-bahan budaya itu ialah untuk
kepuasan orang ramai. Oleh itu perkara mutu itu juga sentiasa diberikan
perhatian agar penawarannya itu mendapat perhatian orang ramai.
Perkembangan budaya popular itu,
terutama bahan-bahan budaya popular dari negara-negara maju dalam konteks
global memberikan persaingan kepada perkembangan budaya popular Melayu. Pengusaha
dan mereka yang terlibat dalam industri budaya berusaha meningkatkan mutu
pengeluaran dan ini merupakan cabaran bagi perkembangan budaya popular Melayu agar
dapat bersaing di pasaran.
Pembangunan dalam penawaran
bahan-bahan budaya popular Melayu boleh dianggap sangat penting untuk
mengimbangi pesatnya kemasukan bahan-bahan budaya dari negara-negara maju. Bahan-bahan
budaya popular Melayu masih berteraskan kepada nilai-nilai sosial yang
diberikan oleh ajaran Islam. Dengan ini dapat memberikan pilihan kepada orang
Melayu yang kian terdedah dengan bahan-bahan budaya dari luar. Bahan-bahan
budaya dari barat, di samping terdapat nilai-nilai yang patut dicontohi,
terdapat pula nilai-nilai yang dinyatakan dalam perlakuan yang bercanggahdengan
nilai-nilai sosial Melayu dan Islam. Perlakuan itu boleh menimbulkan konflik
nilai dan mempengaruhi golongan muda yang seterusnya boleh membawa
berbagai-bagai masalah sosial atau kelainan budaya.
Kini penyebaran bahan-bahan
budaya dari negara-negara maju semakin meluas dalam berbagai saluran yang tidak
mungkin boleh diawasi lagi. Oleh itu, ketahanan diri individu perlu
diperkukuhkan. Generasi muda perlu dipupuk dengan nilai-nilai moral dan akhlak
yang tinggi berasaskan Islam bagi membolehkan mereka berhadapan dengan
penyebaran bahan-bahan budaya yang tidak sesuai dengan budaya Melayu dan Islam.
Bahan-bahan budaya popular itu
juga memainkan peranan penting dalam membawa orang Melayu mengalami proses
modenisasi dan urbanisasi. Selain itu, melaluinya dapat dipupuk nilai-nilai
sosial secara berkesan kepada orang ramai. Budaya popular itu yang sentiasa
berubah menyesuaikan dengan perubahan cita rasa budaya ramai menyalurkan berbagai-bagai
nilai sosial, adakala nilai-nilai sosial itu bercanggah dengan tradisi budaya
Melayu dan Islam. Perkembangan budaya popular itu yang merupakan sebahagian
kehidupan moden terdapat kesan-kesan baik dan buruknya. Impaknya yang begitu
meluas sentiasa disedari anggota-anggota masyarakat.
Anggota-anggota masyarakat
Melayu perlu dilengkapkan dengan ketahanan diri yang kuat, terutama asas Islam
dan pendidikan, agar orang Melayu mampu menerima cabaran dan dapat bersaing
dalam berbagai bidang dan lapangan berikutan pesatnya proses kemodenan,
urbanisasi dan globalisasi. Bahan-bahan budaya popular itu mendapat populariti
berasaskan peranannya membawa perubahan, pembaharuan dan menyatakan gaya hidup
moden dan bandaran.
Tidak dapat dinafikan lagi
peranan fenomena budaya popular itu dalam kehidupan masyarakat Melayu moden
kini yang perkembangannya semakin meluas dan merupakan sebahagian daripada fenomena
budaya moden. Kita tidak boleh lagi menganggap bahan-bahan budaya popular itu
tidak penting atau boleh membawa kesan-kesan yang kurang baik kepada
masyarakat, terutama golongan muda. Semua pihak perlu memahami kepentingan dan
peranan budaya popular dari aspek positifnya, iaitu budaya popular itu boleh
memberikan sumbangan penting dalam pembangunan masyarakat dan budaya.
Untuk meletakkan budaya Melayu
sebagai budaya kebangsaan yang berteraskan Islam, maka budaya popular itu perlu
digunakan seluasnya agar dapat memberikan kesan yang baik, terutama kepada
generasi muda. Bahan-bahan budaya popular itu juga boleh digunakan dengan
berkesan sebagai saluran pemupukan nilai-nilai sosial yang berteraskan Islam,
khususnya ke arah pembangunan orang Melayu. Dalam perancangan pembangunan
sosial dan kebudayaan, peranan dan kepentingan fenomena budaya popular perlu
diberikan pertimbangan serius sebagai fenomena yang dapat membawa perubahan
masyarakat dan budaya, seterusnya meningkatkan peradaban Melayu.
Selamat datang ke Syarikat Pinjaman Rossa Stanley
BalasPadamBerhubung dengan syarikat pinjaman dengan rekod pencapaian pinjaman dan senarai pemeriksa pinjaman di seluruh dunia, di syarikat pinjaman rossa stanley kestabilan kewangan anda adalah matlamat kami, kami memberikan pinjaman kepada
1) Individu
2) Badan bekerjasama
3) Syarikat terhad.
4) Pinjaman peribadi.
5) Pinjaman pelaburan.
6) Pinjaman Pembinaan.
7) Pinjaman Gadai Janji.
Hubungi kami sekarang melalui medium berikut,
E-mel: rossastanleyloancompany@gmail.com
Pengarah Tel: +1 (914) 529-5708
Whats-app: +1(914)529-5708
Pengurus Operasi Tel: (+1) 2133153118
Rasmi Instagram: rossastanleyloan
Twitter rasmi: Rossastanlyloan
Rasmi Facebook: Rossa Stanley Favor
Alamat pejabat ibu pejabat: 3911 Kenwood Place, Orlando Florida USA.
Zip-code: 32801
Berdaftar di bawah pengawasan undang-undang perindustrian Florida,
ATAU
Isi borang permohonan di bawah dan kami akan menjawab anda dengan serta-merta, Kami sedia 24 jam setiap hari.
DATA PEMOHON
1) Nama Penuh:
2) Tarikh lahir:
3) Alamat:
4) Nombor keselamatan sosial:
5) Nombor Whats-app:
6) Pekerjaan:
7) Nombor Telefon:
8) Jawatan di tempat kerja:
9) Pendapatan Bulanan:
10) Jumlah Pinjaman Diperlukan:
11) Tempoh Pinjaman:
12) Nama Facebook:
13) Status Perkahwinan:
14) Agama:
15) Negara:
16) Jantina:
17) Apa-apa Hilang Upaya
18 Pernahkah anda memohon pinjaman sebelum?, Jika ya, sebutkan nama syarikat pinjaman
TINDAKAN,
Mrs.Rossa Stanley Favor
Ketua Pegawai Eksekutif ROSSASTANLEYLOANCOMPANY
E-mel rossastanleyloancompany@gmail.com
Selamat datang ke Syarikat Pinjaman Rossa Stanley
BalasPadamBerhubung dengan syarikat pinjaman dengan rekod pencapaian pinjaman dan senarai pemeriksa pinjaman di seluruh dunia, di syarikat pinjaman rossa stanley kestabilan kewangan anda adalah matlamat kami, kami memberikan pinjaman kepada
1) Individu
2) Badan bekerjasama
3) Syarikat terhad.
4) Pinjaman peribadi.
5) Pinjaman pelaburan.
6) Pinjaman Pembinaan.
7) Pinjaman Gadai Janji.
Hubungi kami sekarang melalui medium berikut,
E-mel: rossastanleyloancompany@gmail.com
Pengarah Tel: +1 (914) 529-5708
Whats-app: +1(914)529-5708
Pengurus Operasi Tel: (+1) 2133153118
Rasmi Instagram: rossastanleyloan
Twitter rasmi: Rossastanlyloan
Rasmi Facebook: Rossa Stanley Favor
Alamat pejabat ibu pejabat: 3911 Kenwood Place, Orlando Florida USA.
Zip-code: 32801
Berdaftar di bawah pengawasan undang-undang perindustrian Florida,
ATAU
Isi borang permohonan di bawah dan kami akan menjawab anda dengan serta-merta, Kami sedia 24 jam setiap hari.
DATA PEMOHON
1) Nama Penuh:
2) Tarikh lahir:
3) Alamat:
4) Nombor keselamatan sosial:
5) Nombor Whats-app:
6) Pekerjaan:
7) Nombor Telefon:
8) Jawatan di tempat kerja:
9) Pendapatan Bulanan:
10) Jumlah Pinjaman Diperlukan:
11) Tempoh Pinjaman:
12) Nama Facebook:
13) Status Perkahwinan:
14) Agama:
15) Negara:
16) Jantina:
17) Apa-apa Hilang Upaya
18 Pernahkah anda memohon pinjaman sebelum?, Jika ya, sebutkan nama syarikat pinjaman
TINDAKAN,
Mrs.Rossa Stanley Favor
Ketua Pegawai Eksekutif ROSSASTANLEYLOANCOMPANY
E-mel rossastanleyloancompany@gmail.com