Isnin, 17 Oktober 2011

Hotel Terapung Chau Doc

SMAHADZIR

KIRA-KIRA 40 tahun lalu dengan peta Indo-China tersangkut pada papan hitam, guru saya yang kami panggil Cikgu Hassan Puteh, menjelaskan bahawa Sungai Mekong adalah nyawa dan nadi kehidupan Indo-China, khususnya kepada Vietnam selatan. Pada masa itu, saya adalah pelajar Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH) di Jenan, Jitra, Kedah dan nostalgia bersama Cikgu Tate menerpa dalam fikiran apabila saya bersama tiga rakan lama berpeluang menyusuri dan mengalami sendiri denyut nadi kehidupan Delta Mekong dalam siri kembara kami ke Vietnam dan Kemboja selama 10 hari.

Catatan bermula dari bandar Ho Chi Minh apabila kami menaiki bas ke Cai Be menempuh perjalanan yang mengambil masa dua jam 40 minit. Setibanya di pekan tepi sungai itu, kelihatan berpuluh-puluh bot, tongkang, sampan dan perahu berlabuh dan di dalamnya pula penuh muatan buah-buahan, sayur-sayuran dan hasil pertanian. Suasana di pekan Cai Bee begitu sibuk, meriah dengan telatah peniaga dan pelanggan berjual beli. Itulah Pasar Terapung Cai Be.

Mengikut pemandu pelancong kami yang senang dipanggil Cik Tembun, pasar terapung itu rumah kedua peniaga. Ada peniaga berkampung tiga hingga empat hari untuk menjual barangan dagangan menunggu peniaga dari bandar datang untuk membeli dan mengedarkannya ke Ho Chi Minh serta pekan lain. Seterusnya, bot kami singgah di sebuah kampung di mana industri kecil berasaskan kelapa dijalankan. Di sini, pelbagai makanan ringan berasaskan kelapa dihasilkan seperti gula-gula, kacang potong dan paper rice, iaitu sejenis makanan seperti popia.

Kami kemudian ke Pulau An Binh untuk makan tengah hari tetapi sebelum ke restoran, kami berbasikal sejauh 1 kilometer (km) dari tambatan bot. Sepanjang kiri dan kanan jalan, kami disajikan pemandangan dusun longan dengan daun menghijau. Ada pokok longan berbunga manakala yang lain lebat berputik. Destinasi seterusnya - pekan Vinh Long mengambil masa kira-kira 30 minit. Sepanjang kiri dan kanan tebing sungai, kelihatan deretan rumah penduduk dengan tiang tinggi terpacak di gigi air selain pondok atau kedai menjual diesel.

Dari Vinh Long ke Long Xuyen, bas pula menjadi pengganti. Di pertengahan jalan, kami berhenti di pekan Vam Cong dan menaiki feri untuk Wilayan An Giang yang menempatkan Long Xuyen. Perjalanan 100 kilometer ini mengambil masa kira-kira tiga jam. Kami kemudian menaiki bot menuju Chau Doc yang mengambil masa kira-kira satu setengah jam. Bot boleh memuatkan 50 orang tetapi ketika itu hanya 14 orang penumpangnya, empat dari Malaysia dan 10 pengembara dari Perancis, Belanda dan England.

Dalam bot, ada restoran kecil dan tempat duduk yang empuk. Pelancong barat bermain terup bagi menghabiskan masa, ada yang mengambil kesempatan tidur kerana keletihan. Sayangnya pelayaran ini pada waktu malam dan hujan pula lebat, sekali gus menghalang saya menikmati perjalanan kehidupan di Sungai Mekong.

Di Vietnam, Sungai Mekong membentuk delta seluas 3.7 hektar yang menjadi dataran paling subur. Di sinilah hamparan sawah padi, dusun, ladang dan paya bakau. Jika Kedah digelar Jelapang Padi Malaysia, begitulah layaknya status Delta Mekong bagi Vietnam dengan sebahagian kecil hasil sawahnya adalah untuk tujuan eksport.

Tepat jam 9 malam, bot kami berlabuh di tambatan hotel terapung di Chau Doc, pusat perniagaan tepi sungai yang terletak tidak jauh dari sempadan Kemboja. Hotel terapung itu sebenarnya hanya rumah kayu berlantaikan papan tetapi dilengkapi istimewanya ada kelambu berwarna hijau muda siap dipasang untuk digunakan pelanggan. Malam itu kami makan roti Perancis bersama serunding yang dibawa dari tanah air dengan lahap sekali, lapar kerana penat seharian dalam perjalanan. Keesokannya, pagi-pagi lagi kami dibawa melawat ternakan ikan dalam sangkar yang letaknya tidak jauh dari hotel terapung.

Kelihatan berpuluh-puluh petak ‘rumah’ ikan, besar dan kecil di sepanjang sungai. Ada lebih 700 keluarga mengusahakan ternakan di sini, antaranya keli, tilapia dan patin. Dengan keluasan 10 meter X 20 meter X 3 meter di sini, rumah ikan ini menelan belanja kira-kira AS$50,000 (RM150,000) untuk dibina, manakala kos makanan ikannya pula mencecah AS$100 (RM300) sehari.

Memelihara ikan dalam sangkar adalah perusahaan mahal, tetapi pulangannya berbaloi. Hanya isi ikan dieksport, terutama ke Australia, manakala tulang dan kepala ikan diproses sebagai baja. Dari rumah ikan, kami masuk ke Terusan Vinh An menuju Perkampungan Cham di Chau Giang diiringi jurupandu baru berbangsa Cham dan beragama Islam. Namanya Fauzi, graduan komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang fasih berbahasa Inggeris tetapi bahasa Melayunya kurang lancar.

Perkampungan Cham dihuni 4,500 orang. Mengikut sejarah, 500 tahun lalu negeri Champa ditawan oleh bangsa Vietnam. Ada masjid agak cantik di sini, iaitu Masjid Naemah. Penduduknya bekerja menangkap ikan dan berkebun sayur. Di kampung ini juga ada Pusat Penerangan Pelancong dan ada jualan kain tenunan serta kraftangan Cham. Dari kampung ini, kami menyusuri sempadan Vinh Xuong dan Kaam Samnor di sebelah Kemboja dengan menaiki bot laju. Fauzi membantu dengan urusan imigresen dan kastam di pejabat yang terletak seberang sungai.

Kami tiba di pekan Neak Loung, Kemboja dan menikmati hidangan tengah hari. Di sini, berlaku sedikit perselisihan faham kerana pengembara dari Belanda berasakan bayaran terlalu tinggi yang disambut rungutan Fauzi bahawa tabiat ‘orang putih’ terlalu berkira. Dua jam kemudian, kami memulakan perjalanan menaiki van ke Pnom Penh, manakala Fauzi pula pulang ke Chau Giang. Kira-kira satu setengah jam perjalanan, kami tiba di Capitol Guest House di tengah-tengah bandar Pnom Penh, menunggu masa pulang ke tanah air.

Perjalanan menyusuri Sungai Mekong hingga Pnom Penh memang memenatkan. Betapa tidak? Bermula dengan menaiki bas, bot kecil, basikal, naik bas semula, feri, bot perlahan, bot laju dan akhirnya van. Namun, bagi kami ia juga pengalaman sungguh menyeronokkan dan pasti sukar dihakis dari diari kenangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA