SMAHADZIR
Hassan Al-Banna telah menyedari tentang bahaya dan
ancaman ideologi Barat kepada bangsa Arab di Mesir. Semangat rakyat hancur
berkecai akibat segala krisis yang melanda senario politik Mesir ketika itu.
Jentera pentadbiran rakyat dicemari budaya mementingkan diri sendiri, menurut
kepentingan parti, salah guna kuasa dan salah laku.
Pentadbiran pusat yang menyulitkan dan keranah
birokrasi yang rumit, ditambah pula dengan masing-masing tidak mahu memikul
tanggungjawab. Undang-undang tidak lagi berkuasa mendidik manusia dan budaya
telah dicemari oleh amalan kronisme dan diskriminasi.
Harga barangan melambung tinggi. Kadar pengangguran
yang semakin meningkat akibat tiada peluang pekerjaan. Taraf hidup yang semakin
menurun dalam kalangan majoriti rakyat sehingga ke tahap yang tidak dapat
dibayangkan oleh manusia. Sifat kasih sayang sesama insan semakin hilang,
keganasan bermaharajalela, wujud kecenderunganbertindak kejam dan ganas.
Semua kemarahan rakyat yang bakal diluahkan melalui
beberapa tunjuk perasaan dan demontrasi jalanan. Nilai-nilai akhlak semakin
hilang kedudukannya di mata masyarakat. Amalan keji dan budaya yang bercanggah dengan
nilai-nilai akhlak berleluasa di merata tempat. Masyarakat kita hari ini
diselubungi kekeliruan. Keliru tentang identiti dan jatidiri yang perlu menjadi
pegangan dan anutan. Krisis moral dan politik yang melanda masyarakat Kalau
kita perhatikan apa yang dialami oleh bangsa Arab di Mesir pada zaman Hassan
Al-Banna itu jugalah yang dialami oleh bangsa Melayu di bumi Malaysia.
Dalam usaha untuk menguasai jiwa dan hati bangsa,
semua ideologi ini akan berjuang habis-habisan. Komunisme berusaha gigih
menerapkan fahaman mereka ke dalam jiwa orang ramai. Kita berhadapan dengan
komunisme dan sosialisme. Dalam kefahaman antarabangsa, kedua-dua fahaman ini
dianggap sebagai sebahagian daripada nilai demokrasi.
Salah satu faktor yang menyebabkan bangsa Timur
menyimpang daripada Islam dan memilih untuk meniru Barat ialah hasil kajian
yang dibuat oleh pemimpin mereka terhadap kemajuan Barat. Mereka meyakini
tamadun Barat hanya bangkit setelah mereka menolak agama dan menghapuskan
gereja.
Setelah mereka menghapuskan kuasa Pope, paderi dan
orang-orang agama, mereka membuang segala imej agama yang wujud pada bangsa
mereka. Mereka juga memisahkan sepenuhnya agama daripada pemerintahan negara.
Jika tindakan ini betul untuk bangsa Barat, aia sama sekali tidak betul untuk
umat Islam. Ini kerana budaya pendidikan Islam berbeza dengan budaya pendidikan
mana-mana agama yang lain.
Kuasa ulama dalam kalangan umat Islam amat terbatas.
Mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengubah keadaan dan menukar sistem. Umat
Islam hari ini rata-rata kehilangan sahsiah atau identiti sebagai umat pilihan,
hilang kekuatan dan terumbang-ambing menjadi buih, tidak digeruni atau disegani
lagi seperti yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ‘Hampir
seluruh umat manusia bersatu menghancurkan kamu seperti orang yang sedang lapar
menghadapi hidangan makanan. Mereka bertanya: ‘Apakah kita sedikit pada masa
itu, wahai Rasulullah s.a.w?’ Jawab baginda: ‘Malah kamu banyak, tetapi kamu
laksana buih air bah.’
Masyarakat kita berhadapan dengan krisis ekonomi dan
sosial. Masalah ini berpunca daripada kepincangan akhlak, kehilangan role-model, mengutamakan kepentingan
peribadi lebih daripada kepentingan umum, takut untuk berhadapan dengan
kenyataan dan tidak mahu memikul tanggungjawab. Bagi mengatasi masalah ini, Hassan
Al-Banna menggesa agar diri yang rosak itu perlu dirawat dan berusaha
membetulkan akhlak masyarakat.
Fikrah Hassan Al-Banna
Dalam Merangka Agenda Bangsa
Bagi menangkis fahaman dan ideologi Barat ini, Hassan
Al-Banna telah merangka satu Model Fikrah Islam Syumul. Dalam model ini, Hassan
Al-Banna menjelaskan tentang Islam sebagai agama dan negara. Menurut Hassan
Al-Banna, agama itu membangun melalui jihad generasi silam yang berlandaskan
asas-asas yang kukuh, iaitu keimanan kepada Allah s.w.t. mengetepikan
kesenangan hidup yang sementara, mengutamakan kehidupan yang kekal abadi,
berkorban dengan darah, nyawa dan harta demi menegakkan kebenaran, cintakan
mati pada jalan Allah s.w.t. Semua ini dilalui dengan berlandaskan pimpinan Al-Quran
al-Karim.
Islam merangkumi aspek keagamaan dan kemasyarakatan,
masjid dan negara, dunia dan akhirat. Malah Islam juga menyentuh sudut
praktikal dalam kehidupan dunia dengan meletakkan semua amalan yang baik adalah
ibadat kepada Allah s.w.t.
Islam adalah sistem hidup yang lengkap, bersifat
sepadu, saling berkait dan menguatkan antara satu aspek dengan aspek lain.
Sistem ini berbeza daripada sistem lainnya dari segi wataknya, gagasannya
tentang kehidupan dan cara pelaksanaannya. Perbezaan ini adalah perbezaan yang
asasi dan menyeluruh. Oleh itu Islam tidak bertanggungjawab terhadap masalah
yang timbul dalam masyarakat hari ini kerana masalah itu lahir akibat Islam
dipisahkan daripada realiti kehidupan.
Sebenarnya untuk mengambil Islam sebagai
penyelesaian masalah, terlebih dahulu Islam perlu dijadikan pengatur seluruh
kehidupan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia ini. Setelah itu
apabila timbul persoalan atau permasalahan barulah wajar untuk meminta
pandangan Islam mengenai persoalan itu kerana masalah itu timbul dalam sistem
Islam, bukan ditimbulkan oleh sistem bukan Islam. Allah s.w.t berfirman yang
bermaksud: ‘Wahai orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam secara
keseluruhannya dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya
syaitan itu musuh yang nyata bagimu.’ (surah Al-Baqarah: 208).
Islam mendidik manusia dengan sistem tertentu,
memerintah dengan hukum tertentu, menyelesai masalah mereka atas dasar tertentu
serta mewujudkan sistem kemasyarakatan, ekonomi dan politik yang tertentu. Jadi
perkara utamanya ialah melaksanakan Islam sebagai sistem yang menyeluruh dalam
semua aspek kehidupan. Semua aktiviti bersosial, berpolitik, berekonomi,
berbudaya, berperang dan lain-lain adalah berpaksikan kepada agama yang suci
ini.
Sebagai umat Islam, kita hendaklah yakin bahawa
hukum dan ajaran Islam lengkap mencakupi seluruh urusan manusia di dunia dan
akhirat. Mereka yang merasakan ajaran Islam ini hanyalah menyentuh aspek ibadat
atau kerohanian tanpa membabitkan aspek-aspek lain, adalah silap. Islam adalah
akidah dan ibadat, tanah air dan bangsa, agama dan negara, rohani dan amali, mashaf dan pedang. Al-Quran al-Karim
menyentuh semua aspek ini dan meletakkan seluruh aspek ini sebagai Teras Islam.
Islam mengingatkan manusia supaya memenuhi seluruh
aspek ini. Ini ditegaskan dalam firman Allah s.w.t. dalam surah al-Qasas ayat
77 yang bermaksud; ‘Dan carilah apa yang dikurniakan Allah s.w.t kepadamu pada
hari Akhirat, dan jangan kamu lupa habuan kamu di dunia.’
Al-Quran al-Karim menjadi sumber inspirasi dan
bimbingan Hassan Al-Banna ketika menterjemahkan makna Islam yang syumul.
Seluruh aspek kehidupan umat hendaklah bersumberkan ajaran Islam, jika kita
mahu menjadi umat Islam yang sebenar. Namun begitu, jika kita hanya mengambil
aspek ibadat atau akhlak sahaja dalam amalan harian, dan meniru bangsa bukan Muslim
dalam aspek kehidupan yang lain, kita telah menjadi umat Islam yang cacat
Islamnya, menurut telunjuk mereka.
Asas kepada ajaran dan intipati Islam adalah Al-Quran
al-Karim dan sunnah Rasulullah s.a.w.
Sekiranya umat Islam berpegang teguh dengan kedua-dua sumber ini, mereka tidak
akan sesat selama-lamanya. Oleh itu, sistem Islam yang sepatutnya menjadi asas
kepada umat ini mestilah dipetik daripada sumbernya yang asli. Kita perlu
memahami Islam sebagaimana yang difahami oleh para sahabat dan tabien yang
saleh dan diredai Allah s.w.t. Kita tidak perlu mencorak zaman kita menurut
budaya zaman yang tidak bertepatan dengan Islam.
Bagi menjamin perlaksanaan perkara ini dengan betul,
Islam menitik beratkan soal pemulihan jiwa manusia yang merupakan teras kepada
sistem ini. Inilah teras yang akan menjana pemikiran, penilaian dan pembentukan
sistem Islam. Islam menyenaraikan penawar yang dapat membersihkan jiwa manusia
daripada nafsu serakah. Islam menghalang jiwa manusia bersifat kejam, alpa dan
zalim. Jika jiwa manusia berjaya dilentur dan dibersihkan, pasti setiap yang
lahir daripada jiwa ini elok dan baik belaka. Atas dasar inilah, jiwa manusia
mendapat perhatian utama dalam Kitab Allah s.w.t.
Manusia yang pertama dicorak oleh Islam kini menjadi
model kepada manusia yang sempurna. Islam sebenarnya sesuai dengan semua zaman
dan bangsa. Islam seiring dengan segala kehendak dan tuntutan. Islam tidak
pernah melarang umatnya memanfaatkan apa jua yang sesuai selagi tidak
bertentangan dengan dasar-dasar am Islam.
Ancaman Humanisme Dalam
Menangani Masalah Pluralisme
Bila bercakap tentang humanisme secara global,
bagaimana fikrah Hassan Al-Banna menentang humanisme dalam konteks negara
Malaysia. Fikrah Hassan Al-Banna menuntut kepada kita meletakkan ketuanan Islam
(siyadah Islam) dalam melaksanakan
struktur kenegaraan.
Inilah yang dimaksudkan oleh Hassan Al-Banna sebagai
Islam itu adalah sistem hidup yang syumul, yang merangkumi aspek akidah,
ibadah, tanah air, bangsa, toleransi, kuasa, akhlak, budaya, ekonomi dan
undang-undang.
Memahami Islam ialah merasai dan meletakkan Islam
sebagai penguasa dan pemimpin kepada sebuah masyarakat majmuk. Perlembagaan
Malaysia telah meletakkan Islam sebagai agama rasmi bagi negara Malaysia. Ini
menunjukkan sebenarnya ketuaan Islam perlu dipertahankan dalam konteks
masyarakat majmuk di Malaysia. Inilah yang berlaku dalam negara kita Malaysia
apabila ketuanan Islam masih lagi menjadi dominan.
Namum begitu, baru-baru ini kita telah mendengar dan
melihat banyak tuntutan yang telah dibuat oleh bukan Muslim di negara kita yang
melibatkan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi mula tercabar dan status quo
orang Melayu mula tergugat. Keadaan ditambah lagi dengan senario perubahan
kuasa politik yang menyaksikan keberanian bukan Muslim yang begitu lantang
dalam mengetuai arus reformasi. Desakan demi desakan yang dilakukan oleh bukan Muslim
bagi menuntut hak yang sama rata seperti Interfaith Council (IFC), Su Qiu dan
lain-lain telah disambut dan disokong oleh segelintir orang Melayu yang
beragama Islam.
Yang paling terjejas dan rugi dalam isu ini ketuanan
Islam itu sendiri. Ini juga menunjukkan umat Islam tidak bersatu dalam
mempertahankan ketuanan Islam di bumi Malaysia. Arus berbilang agama telah lama
wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia. Persoalannya ialah bagaimana kita
bangsa Melayu yang beragama Islam yang merupakan penduduk asal negara ini mampu
menangani isu pluralisme dalam kalangan masyarakat yang berbilang agama ini?
Setengah pihak yang tertentu telah mengambil
kesempatan di atas kelemahan yang ada untuk membawa agenda mereka ke tengah
masyarakat. Arus dalaman yang semakin mendominasi ini telah mendapat sokongan
padu daripada sekular luar telah memberi kesan yang tidak sedikit kepada
status-qou bangsa Melayu.
Arus ini cuba membawa masyarakat Malaysia kepada
satu arah yang melaksanakan konsep kesamarataan yang mutlak dalam masyarakat
berasaskan kepada fahaman sekularisme Barat atau humanisme yang meletakkan
semua orang mempunyai hak yang sama tanpa mengira agama, bangsa dan lain-lain.
Keadaan ini tentu sekali menjejaskan kepentingan
umat Islam dari sudut kehendak agama yang mahukan mereka menjadi bangsa yang
memimpin. Secara praktikalnya, bangsa Melayu yang beragama Islam mampu
mengekalkan dominasi dan penguasaan ini secara realiti. Disebabkan keserabutan
dan kekeliruan pemikiran yang berlaku dalam kalangan bangsa Melayu sendiri,
maka mereka kehilangan punca dalam menyelesaikan kemelut yang semakin membarah
ini.
Ada dalam kalangan masyarakat Melayu yang melihat
isu di atas sebagai satu masalah atau isu yang tidak perlu diperbesar-besarkan.
Ada sebahagian masyarakat Melayu yang menyedari isu dan masalah yang melanda
dan yang paling menyedihkan ada dalam kalangan bangsa Melayu yang tidak faham
dan menyedari bahaya yang sedang menimpa bangsa mereka. Bangsa Melayu adalah
bangsa yang majoriti di bumi Malaysia. Mereka adalah kaum asal yang mendiami
tanah pusaka ini. Mereka rela menjadi bangsa yang lemah dan hina. Ini satu
kerugian besar kepada agama Islam dan bangsa Melayu sendiri.
Kita menyeru kepada kesatuan Islam. Kembali kepada fikrah Hassan Al-Banna yang mahu kita
berpegang kepada Islam sebagai satu sistem hidup. Islam yang mendominasi. Islam
yang menjadi pemimpin dan ketua. Tidak ada kompromi dengan bukan Muslim dalam
hal yang berkaitan dengan agama dan kedudukan Islam.
Kita harus membuat pilihan. Pilihan yang tepat ialah
mengekalkan dominasi umat Islam dan menyelesaikan isu bukan Muslim berdasarkan
keadilan Islam, mengikut kaedah Islam. Bukan Islam mendapat hak kerakyatan
dalam negara Islam adalah dalam bentuk kontrak, mereka boleh hidup aman dan
selamat, tetapi mereka tidak boleh merubah struktur perlembagaan dan
kenegaraan.
Mereka diberi kebebasan untuk bergerak dan hidup di
bawah naungan sistem Islam. Sebaliknya, kita umat Islam akan hilang kuasa dan
kedudukan, terpaksa berjuang untuk hidup di bawah sistem liberal Barat walaupun
berada di tanah air sendiri.
Pada hakikatnya, kesan kita membelakangkan dan mengetepikan
Islam sebenarnya membawa padah kepada kita sendiri. Selagi kita jauh dari roh
Islam dan tidak melaksanakan ajaran Islam, kita akan terus terumbang-ambing dan
semangat kita akan lemah. Kita akan berpecah dan kekuatan kita akan goyah.
Jika kita dengan tegas dan berani menyatakan bahawa
kami seluruh umat Islam bukan penganut komunisme, bukan demokrasisme dan bukan
apa yang kamu sangka, sebaliknya dengan segala puji bagi Allah s.w.t. kami
adalah orang-orang Islam. Nescaya ketika itu akan terpampang jalan hidayah dan
cahaya.
Islam akan menggabungkan kita. Seluruh saudara kita
di seluruh muka bumi ini akan bersatu. Inilah satu-satunya kekuatan dan
penyelamat kita untuk berhadapan dengan pencabulan penjajahan Barat yang telah
menggugat identiti dan jatidiri kita bangsa Melayu yang beragama Islam.
Kesimpulan
Humanisme merupakan satu agenda yang terancang oleh
Barat untuk menghapuskan semangat bangsa dan rasa izzah sebagai seorang Islam. Penyerapan fahaman ini ke dalam jiwa
dan pemikiran umat Islam berlaku dalam keadaan yang halus dan sistematik. Dalam
konteks bangsa Melayu yang hidup dalam masyarakat majmuk di Malaysia, agenda
ini perlu difahami dan ditangani dengan bijak dan tegas.
Humanisme akan menjadikan orang Melayu manusia tanpa
bangsa dan tanpa agama. Manusia yang tanpa bangsa dan agama menjadikan kita
manusia yang tiada agenda. Manusia yang tiada agenda sendiri akan sentiasa
tunduk dan dipergunakan untuk melaksanakan agenda orang lain.
Sehubungan dengan itu, setiap aktivis masyarakat,
juru dakwah dan ahli politik perlu peka terhadap permasalahan ini dan tidak
terjerat dalam perangkap agenda yang berasaskan humanisme Barat seperti hak
asasi manusia, liberalisme dan sebagainya.
Justeru itu, penulis menyeru diri penulis dan
seluruh bangsa Melayu agar bangkit dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar
sebagaimana yang telah difahami oleh Hassan Al-Banna. Menjadikan Islam sebagai
satu cara hidup. Meletakkan agama sebagai pertimbangan dan mizan kehidupan
kita. Inilah sahaja yang dapat menyelamatkan kita dari terpengaruh dengan
budaya dan fahaman sekular.
Seterusnya mencipta tamadun bangsa berpaksikan
kepada agama, membina negara berpaksikan agama, menegakkan keadilan berpaksikan
agama, mengembangkan ekonomi dan pendidikan juga berpaksikan agama. Katakanlah,
sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku hanya untuk Allah Rabbul Alamin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan