Alam Melayu merupakan kawasan yang turut dikenali
sebagai ‘Nusantara’. Ia merujuk kepada negara-negara Asia Tenggara iaitu
kepulauan-kepulauan Indonesia, Malaysia dan Filipina. Konsep Alam Melayu yang
dipakai oleh UNESCO mengambil kira seluruh rumpun Melayu Polonesia dari Pulau
Malagasi di sebelah barat dan Pulau Paskah di timur, Pulau Formosa, Hawaii di
utara serta kepulauan Indonesia dan New Zealand di sebelah selatan.
Alam Melayu terkenal sebagai ‘Mutiara Timur’. Muka
buminya subur dengan pelbagai flora dan fauna serta menyimpan pelbagai khazanah
sumber ekenomi di perut bumi dan di dasar lautnya. Di persadanya pelbagai
kelompok etnik manusia hidup bersama. Ini menjadikan Alam Melayu sebagai ‘Taman
Kesuma Wicitra’ atau ‘Taman Aneka Bunga’ yang melahirkan falsafah kepelbagaian
budaya dalam satu rumpun Melayu yang besar.
Dari perspektif sejarah, tamadun Melayu telah
berusia lebih 5,000 tahun dengan mengambil kira Tamadun Melayu Deutro yang
wujud sekitar 3,000 tahun sebelum Masehi. Alam Melayu juga telah lama membina
kebudayaanya yang tersendiri seiring dengan tamadun dunia yang lain. Dalam
proses perkembangannya, ia melalui 3 peringkat utama iaitu:
- Tamadun
Purba atau Pra-sejarah(sehingga abad ke-3 Masehi)
- Tamadun
Hindu iaitu mulai kedatangan pengaruh Hindu (abad ke-3 Masehi & Arab
Jahiliah, hingga tahun 1200 Masehi)
- Tamadun
Moden iaitu selepas kedatangan Islam (1200 Masehi hingga kini)
Faktor-Faktor Perkembangan
Islam Di Alam Melayu
Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi
perkembangan agama Islam di Alam Melayu. Antara faktor-faktor tersebut adalah
seperti berikut :
1. Perdagangan
Ramai ahli sejarah bersetuju yang agama Islam telah
diperkenalkan di Nusantara melalui perdagangan. Peranan pedagang Islam terutama
pada zaman permulaan Islam di Nusantara amat penting sekali. Para pedagang dari
Arab, India, dan Parsi telah menumpukan kegiatan perdagangan di rantau ini
semenjak abad ke-8 atau ke-9 lagi. Manakala menurut catatan China,
pedagang-pedagang Islam sudah ada di kawasan perairan Melayu semenjak pertengahan
abad ke-7 lagi. Di antara barang-barang tersebut ialah lada, rempah, kemenyan
dan terutamanya kapur barus. Khusus tentang kapur barus, ia pernah dianggap
sebagai punca yang membawa orang-orang Arab ke Nusantara sejak awal lagi.
Sebenarnya barang-barang ini bukan sahaja dikehendaki oleh orang-orang Arab
bahkan juga orang-orang Barat.
Pedagang-pedagang Islam dipercayai telah mendirikan
koloni-koloni mereka di Perairan Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera untuk
menjalankan kegiatan perdagangan. Selain menjadi pedagang, saudagar-saudagar
tersebut menjalankan kegiatan dakwah di kawasan-kawasan yang disinggahi. Ada
antara mereka yang tidak menjalankan kegiatan dakwah tetapi telah memberikan
kemudahan kepada golongan pendakwah menaiki kapal-kapal mereka bagi menyebarkan
dakwah dari satu pelabuhan ke pelabuhan yang lain.
Dengan cara ini Islam cepat tersebar di Alam Melayu.
Melaka telah menjadi sebuah negara Islam hasil daripada kegiatan perdagangan.
Setelah Melaka menjadi negara Islam, kegiatan dakwah diperluaskan pula ke Jawa
dan Brunei melalui cara yang sama. Akhirnya kedua-dua negara itu mengikut
langkah Melaka.
2. Keunggulan Islam
Faktor-faktor penyebaran Islam di Alam Melayu juga
datang daripada keunggulan Islam itu sendiri. Antaranya ialah kesederhanaan,
kesucian, dan keluhuran agama Islam yang bertunjangkan kepada ketuhanan yang
tunggal dan persamaan taraf antara sesama Islam, tidak sebagaimana agama Hindu
yang dianuti oleh penganut-penganut Melayu sebelum itu yang bertuhankan kepada
berhala dan dewa disamping mangamalkan sistem kasta.
Ahli-ahli sosiologi moden menjelaskan bahawa
sentimen pro-Islam yang mendalam di kalangan penganut Islam di kawasan ini
terutama sekali di kawasan Bandar adalah dipengaruhi dengan kuatnya oleh
perasaan anti sistem kasta. Kelas-kelas bawahan dalam masyarakat menyedari
bahawa kedudukan mereka tidak ada nilai dalam sistem masyarakat lama. Memeluk
agama Islam adalah satu cara yang berkesan untuk membebaskan mereka dari
belenggu kasta. Islam dengan ajarannya yang mementingkan persamaan taraf sesama
manusia telah menjadi faktor yang utama dalam penukaran agama.
Sesungguhnya sistem-sistem kasta diikuti sebagaimana
yang diamalkan di India, tetapi tidaklah benar sama sekali jika dianggap bahawa
tidak ada perbezaan taraf dikalangan masyarakat orang beragama Hindu digugusan
kepulauan Melayu pada masa itu.
3. Perkahwinan
Ramai saudagar yang datang ke Alam Melayu merupakan
golongan yang kaya raya. Sesetengahnya mempunyai hubungan yang rapat dengan
pembesar-pembesar tempatan. Dengan kekayaan yang ada, mereka berjaya
mempengaruhi wanita-wanita tempatan untuk dijadikan isteri. Malahan ada
saudagar yang dapat berkahwin dengan puteri-puteri dari kalangan anak pembesar
terutamanya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Perhubungan keluarga telah
memudahkan para pedagang Islam berdakwah secara terus dengan kaum kerabat
mereka sendiri.
Perkahwinan ini juga sekurang-kurangnya dapat
menarik minat pembesar-pembesar tempatan untuk menerima Islam. Biasanya apabila
pembesar-pembesar menerima Islam maka seterusnya akan diikuti golongan bawahan
ataupun rakyat secara beramai-ramai. Hasilnya bertambahlah bilangan penduduk
yang menganut agama Islam.
Agama Islam juga tersebar melalui perkahwinan antara
raja sesebuah negara dengan puteri raja dari negara lain. proses ini biasanya
dipanggil perkahwinan sahsiah. Langkah ini turut membantu perkembangan Islam ke
sesebuah negara. Umpamanya perkahwinan puteri Pasai dengan Megat Iskandar Syah
menyebabkan Islam tersebar dari Pasai ke Melaka. Begitulah juga perkahwinan
anak-anak raja Melaka dengan putera puteri Pahang dan Kedah yang akhirnya telah
menyebabkan kedua-dua menjadi negeri Islam kemudiannya.
4. Pengislaman Pemerintah
Pengislaman pemerintah merupakan salah satu faktor
bagi perkembangan Islam di Alam Melayu. Contohnya ialah di Melaka, apabila raja
Melaka Parameswara memeluk Islam ramai pengikut-pengukut dan rakyat jelata yang
masuk Islam. Apabila pemerintah memeluk Islam, nama mereka ditukar dan digelar
sebagai sultan. Dalam proses pengislaman pemerintah saudagar-saudagar
berperanan sebagai pendakwah. Saudagar-saudagar ini bukan sahaja berdagang
tetapi juga menyebarkan Islam. Selalunya saudagar ini terdiri daripada
orang-orang yang kaya. dan dapat menarik minat golongan pemerintah dengan
kekayaan yang mereka miliki.
5. Perlumbaan Penyebaran
Agama Islam Dan Kristian
Satu lagi faktor yang bertanggumgjawab bagi
perkembangan agama Islam di rantau ini disebabkan adanya perlumbaan penyebaran
agama Islam dan Kristian, terutama di dalam abad ke-15 dan ke-16 yang dianggap
ekoran dari Perang Salib. Sejak semenanjung Iberia ditawan oleh kuasa Islam
dalam tahun 732 M berlanjutan hingga Peperangan Salib dan seterusnya dalam abad
ke-15 telah meninggalkan kesan-kesan yang mendalam dan di dalam tulisan-tulisan
orientalis Barat selalu mengecil-ngecilkan peranan Islam di samping usaha-usaha
melemahkan agama Islam. Persaingan ini menjadi satu sebab Islam telah
berkembang dengan pesat di kalangan penduduk Kepulauan Melayu.
6. Penaklukan
Penaklukan juga tidak kurang pentingnya menjadi
faktor pendorong tersebarnya Islam di Nusantara ini. Apa yang dimaksudkan ialah
penaklukan yang dilakukan oleh sesebuah negara Islam ke atas daerah lain. Jika
daerah yang ditawan itu belum Islam maka dengan penaklukan itu para pembesarnya
akan terpengaruh dengan Islam kerana motif politik, kedudukan, ekonomi dan
sebagainya. Jika daerah yang ditawan itu telah Islam maka dangan penaklukan
itu, Islam dapat dikembangkan dengan lebih berkesan lagi. Kerajaan Pasai
sebagaimana yang diterangkan dalam catitan Ibnu Batutah telah meluaskan kuasa
politiknya ke daerah sekitarnya dengan peperangan lalu Islam tersebar di daerah
tersebut.
Melaka pada zaman kekuasaan Bendahara Tun Perak
telah berjaya menakluki beberapa daerah diTanah Melayu dan Sumatera seperti
Pahang, Terengganu, Petani, Kampar, Inderangiri, Rokan, Siak, Johor, Bangkalis
dan lain-lainya. Oleh itu Islam tentunya dapat disebarkan dengan mudahnya di
daerah jajahan takluk tersebut. Kerajaan Acheh yang merupakan sebuah empayar
Islam yang tersebar di abad 16 dan 17 di Asia Tenggara ini yang mempunyai
jajahan takluk yang luas di Sumatera dan Tanah Melayu tentunya dapat
menyebarkan Islam dengan mudah juga di daerah tanah tajahannya itu.
Memangnya ada tercatit dalam sejarah Acheh bahawa
kerajaan Acheh telah mengirimkan para pendakwah Islam ke daerah tanah
jajahannya itu di Tanah Jawa. Kerajaan Islam Demak juga telah menakluki
daerah-daerah yang diperintah oleh kerajaan-kerajaan Hindu. Misalnya kerajaan
Hindu Majapahit telah ditewaskan dan dijadikan tanah jajahan takluknya. Dengan
ini maka Majapahit bertukar menjadi sebuah negara Islam.
7. Kesusasteraan
Kesusasteraan juga telah menjadi saluran penting
kepada penyebaran Islam di Asia Tenggara. Dengan kedatangan Islam, masyarakat
di Alam Melayu sebagai bahasa perhubungan utama. Dengan adanya satu bahasa ini,
kegiatan menyebarkan Islam menjadi lebih mudah dan lancar. Kedatangan Islam
juga telah memperkenalkan tulisan jawi. Hal ini memudahkan para ulama dan
pendakwah mengajar tentang ilmu yang berkaitan dengan Islam kerana mereka dapat
menguasai tulisan jawi.
Dizaman keagungan Melaka dan Acheh, Bahasa Melayu
telah dijadikan bahasa pengantar dalam system pendidikan mereka. Pelbagai
bentuk sastera Arab seperti syair dan gurindam talah mempengaruhi Bahasa
Melayu. Hasilnya sastera-sastera Islam telah dikembangkan melalui Bahasa Melayu
dan ini sudah tentu dapat mengembangkan lagi fahaman orang-orang Melayu
terhadap ajaran Islam. Beberapa tokoh karyawan dan ulama luar dan tempatan
telah menghasilkan karya-karya yang berunsur Islam sama ada dalam bentuk asli
ataupun terjemahan dan saduran.
Sebahagian besar daripada karya tersebut seperti
Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Raja Khandak, Hikayat Amir Hamzah dan sebagainya
begitu diminati oleh orang-orang Melayu. Karya-karya ini mengandungi pelbagai
unsur yang boleh mendekatkan kefahaman pembacannya kepada ajaran Islam itu
sendiri. Bidang kesusasteraan Islam begitu pesat berkembang di Acheh sehingga
melahirkan ramai tokoh satera seperti Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri
yang berhasil mengarang pelbagai jenis kitab agama. Kitab-kitab ini kemudiannya
disebarkan keseluruh jajahan takluk dan hal ini sudah tentu membantu penyebaran
Islam ke Alam Melayu atau Nusantara.
8. Peranan Ahli Tsawuf Dan
Sufi
Kegiatan penyebaran Isalm dikebangkan oleh ahli-ahli
tasawuf dan sufi. Ahli tasawuf da sufu merupakan ulama Islam yang kuat beramal.
Kedua-dua golongan ini telah menunjukkan teladan yang baik tentang islam itu
sendiri. Mereka berpakaian bersih, bersopan satun dan bertatatertip sehingga
tingkah laku dan tutur kata mereka mempersonakan orang ramai.
Pada zaman Melaka, golongan ini juga diberi
penghormatan yang tinggi oleh pemerintah kerana bija dalam tutur kata.
Nasihatnya di dengar oleh sultan dan par pembesar. Pada zaman kesultanan
Acheh,golongan tasawuf telah diberi peranan penting dalam pentadbiran. Semasa
pentadbiran Iskandar Muda,seramai 22 orang ulama(ahli tasawuf) telah
menganggotai Balai Gadang yang menjadi pusat bagi membicangkan masalah
pemarintahan negara dan masalah agama. Antara mereka adalah Hamzah Fansuri dan
Nuruddin al-Raniri. Mereka telah memberi sumbangan yang besar kepada Acheh
dalah kegiatannya sebagai pusat penyebaran Islam di Asia Tenggara.
Sementara pada zaman kerajaan Islam Demak, golonhan
ini lebih dikenali sebagai Wali Songo. Mereka memainkan peranan penting dalam
penyebaran Islam di Pulau Jawa. Tokoh-tokoh Sunan Ampel,Sunan Bonang dan Sunan
gunung Jati memang tidak asing dalam sejarah perkembangan pengaruh islam di
Jawa dan sekitarnya.
Kesimpulan
Agama Islam telah berjaya mempengaruhi sebahagian
besar penduduk Alam Melayu walaupun agama Hindu lebih awal bertapak di rantau
ini. Islam telah membawa tamadun yang tinggi dan seba lengkap meliputi semua
aspek kehidupan. Asas asas tamadun Islam yang tersebar di nusantara semenjak awal
abad ke 15 telah menjadi nilai hidup orang-orang Melayu sehingga kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan