Islam dan peradaban Melayu tidak boleh dipisahkan.
Kedatangan Islam telah mengubah dan merobah kehidupan keagamaan yang sebelum
itu berabad-abad lamanya dipengaruhi oleh kepercayaan Hindu-Buddha. Dalam
tempoh hampir 15 abad dari awal Masehi sehingga permulaan abad ke-15, turun
naiknya Kerajaan-Kerajaan Melayu boleh ditelusuri dari Zaman Funan, Langkasuka,
Sriwijaya, Majapahit dan kerajaan-kerajaan wilayah seperti di Kediri, Singosari,
Kutai Kartanegara.
Sungguhpun disebut hubungan Tanah Melayu dengan
dunia Arab sudah terjadi sejak abad ke-9 Masehi mungkin kerana dagang, tetapi
kesan terbesar terjadi hanya sesudah terbentuknya Kerajaan Melayu Melaka dengan
kekuatan sistem pemerintahan dalam bidang siasah, ekonomi, sosial dan
kebudayaan, serentak dengan peranannya dalam penyebaran Islam ke seluruh Alam
Melayu.
Kemunculan kerajaan-kerajaan Melayu Kesultanan
Brunei, Sulu, Banjar, Makassar, Pontianak, Sambas, Mindanao dan keluasan pengaruh
kuasa Empayar Melayu Melaka itu melebar dari seluruh Tanah Melayu sehingga ke
Pattani di selatan Thai, menguasai sebahagian besar timur Sumatera [kota-kota
pelabuhan seperti Siak, Kampar, Inderagiri dan sebagainya], menjadikannya
sebuah pemerintahan yang disegani timur dan barat.
Tegaknya Kesultanan Melayu-Islam di Acheh (Perlak),
Medang Bhumi (Kelantan), Champa, Terengganu, Jawa dan kemudiannya pengaruh
Melaka dalam konteks hubungan serantau dan dengan Dinasti China, India, Rom dan
Eropah - kekuatannya yang dibentuk oleh Islam itu - menandakan telah wujud
pengembangan Warisan Nabawi yang luar biasa dalam konteks keserumpunan dan
keserantauan yang tersendiri.
Kedatangan Islam
Setelah kedatangan Islam, kehidupan baru manusia
Alam Melayu atau Nusantara dalam keserumpunan itu bertukar daripada kepercayaan
tahyul kepada suatu keyakinan yang berpaksikan akidah yang didasari
intelektualisme dan rasionalisme. Islam telah membawa kesan yang meluas dan
mendalam terhadap kehidupan sosio-budaya massa dan membentuk corak
kerajaan-kerajaan Melayu di Dunia Melayu dengan memperkenalkan pelbagai sistem,
serta memperkenal dan meninggalkan tradisi keilmuan.
Islam dalam kebudayaan Melayu dikatakan denyut nadi
dan degup jantung kepada kesinambungan sejarah rantau, kemajuan bahasa,
persuratan dan budaya dalam suatu bahagian tamadun manusia di bahagian timur
dunia sejak berabad-abad yang lalu.
Yang paling penting lagi Alam Melayu seolah-olah
menjadi penyambut kepada kejatuhan Islam di Andalusia yang mencapai
kegemilangannya pada abad 7 hingga 14 Masehi dan Empayar Melaka muncul sewaktu
Barat memulakan penerokaan dunia baru dan bertarung dalam Perang Salib. Barat
telah menggerakkan Zaman Pembaharuan (Renaissance) yang bertujuan mengubah dan
menukar segala kemajuan ilmu dan pengetahuan termasuk sains Islam mengikut
kehendak dan kaca mata mereka.
Mungkin Alam Melayu tidak menerima keseluruhan isi
peradaban Zaman Andalusia, tetapi hakikat penerimaan akidah Islamiyyah dan
tradisi keilmuan sudah cukup bagi mewarnai corak keperibadian baru dan pedoman
hala tuju sebuah peradaban di timur.
Kesan kedatangan Islam terhadap kehidupan sosial dan
kebudayaan Melayu dan sistem berkerajaan merupakan suatu proses pembudayaan
yang boleh dikaji dari pelbagai sudut seperti pendidikan dan pengembangan ilmu,
bahasa dan persuratan, kebudayaan dan kesenian, gerakan kesedaran politik dan
pentadbiran, pembaharuan pemikiran, ketatanegaraan, soal hukum hakam, sejarah
wilayah, sistem sosial, aspek nilai dan sebagainya.
Paksi kehidupan umat Melayu dan sejarah
kebudayaannya menuju ke suatu sinar zaman baharu yang mendukung ciri-ciri
rasionalisme, intelektualisme, keadilan dan menempatkan kemuliaan serta
keperibadian insan pada tempatnya yang layak dan wajar. Suatu macam
transformasi sosial dan transformasi budaya yang mengagumkan telah terjadi.
Dilihat secara menyeluruh, sejak zaman-berzaman umat
Melayu mungkin dapat digolongkan sebagai umat yang taat beragama.
Setidak-tidaknya penghayatan syiar-syiar agama masih bersemarak. Setiap tahun
jemaah haji dari rantau ini terutamanya dari Malaysia dan Indonesia adalah
antara yang terbesar jumlahnya. Sebahagian besar umat Melayu masih menghormati
hukum-hakam agama. Yang paling jelas orang Melayu atau umat serumpunnya –
betapa pun lemah penghayatan Islam mereka – masih menghormati ajaran-ajaran
Islam tertentu seperti larangan makan babi dan binatang-binatang lain yang
diharamkan, termasuk juga binatang-binatang halal yang tidak disembelih secara
Islam.
Selain itu, fenomena bertukar agama atau keluar dari
Islam boleh dikatakan jarang sekali terjadi. Lebih-lebih lagi di Malaysia, di
mana Melayu telah begitu menyatu dengan Islam sehingga kejadian Melayu keluar
dari Islam pasti menimbulkan kegemparan besar.
Islam: Kesannya Terhadap
Sosio-Budaya dan Pemerintahan
Dalam konteks kesan kedatangan Islam terhadap
perubahan sosio budaya ini, saya ingin menyentuh beberapa aspek penting yang
berhubung dengan:
- Pendidikan
dan pengembangan ilmu;
- Bahasa
dan persuratan;
- Kebudayaan
dan kesenian;
- Politik
dan pentadbiran;
- Isu dan
cabaran semasa kehidupan sosial umat.
Pendidikan Dan Pengembangan
Ilmu
Pendidikan dan pengembangan ilmu adalah warisan
Nabawi yang sangat utama. Firman Allah yang pertama disampaikan melalui Jibril
kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. adalah kewajipan terhadap pencarian
ilmu dengan perintah:
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang
menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan
Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang Mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam.
Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”. Al ‘Alaq (Segumpal
Darah) 96:1-5.
Perkembangan ilmu telah membawa kesan yang cukup
besar terhadap perubahan sosio-budaya umat Melayu sesudah kedatangan Islam.
Sistem awal yang diperkenalkan, mungkin pada mulanya dengan menadah kitab di
surau, langgar dan masjid atau di kalangan istana, sehingga kemudiannya
terdirinya pondok dan pesantren di serata wilayah dan daerah kepulauan Melayu.
Ilmu adalah alat pertama bagi kesempurnaan keperibadian seseorang insan dan
pembentukan akhlak.
Proses pembudayaan rantau Melayu banyak sekali
dimainkan peranannya oleh para ulama yang bermula dari pusat-pusat pemerintahan
Islam-Melayu seperti Melaka seawal abad ke-15, Jawa, Pasai, Acheh, Palembang
dan Banjar, dan kemudiannya Kelantan–Patani, Banten dan Minangkabau.
Dari pusat-pusat inilah terpancar keluarnya pengaruh
kebudayaan Islam di Alam Melayu dari Semenanjung sehingga ke kepulauan
Indonesia, bukan sahaja melalui pengajian pondok atau kegiatan dakwah seperti
yang dinyatakan, tetapi juga lewat pengaruh perdagangan dan perluasan wilayah
geopolitik baharu seperti Aceh-Pasai dan Johor-Riau itu. Sehingga suku pertama
abad ke-20, gerakan ulama mengembangkan ilmu menerusi pendidikan agama tidak
pernah surut.
Sumbangan seperti ini, ditambah oleh hubungan dengan
pusat-pusat kebudayaan Islam di al-Haramain atau Tanah Arab, Mesir dan Turki,
juga India dan Pakistan, telah memberikan ciri-ciri khusus terhadap sebuah
tamadun Islam di Asia Tenggara yang dikenali sebagai peradaban Melayu-Islam
sebagaimana kita kenali adanya peradaban Arab-Islam, Parsi-Islam, India-Islam
dan Turki-Islam. Peradaban Melayu-Islam berada dan berkembang di wilayah Alam
Melayu.
Di pelbagai wilayah Alam Melayu luas, selain dari
pusat-pusat kebudayaan Islam di atas tadi, terdapat cukup ramai para ulama yang
berjasa besar dan terserlah sumbangan mereka dalam pembangunan tamadun Melayu.
Nama-nama ulama besar itu termasuklah ulama-ulama dari Kelantan-Pattani,
Terengganu, Pontianak, Sambas, Sumbawa, Makasar, Minangkabau, Kedah, Lingga dan
sebagainya, bahkan tidak terkecuali, pada abad ke-19, Banten dengan tokoh
besarnya – Syeikh Nawawie al-Bantaniy.
Penerimaan terhadap ajaran Islam dan kebudayaannya
menyebabkan kebudayaan Melayu disejajarkan dengan Islam. Maka Islam itu tidak
sukar diterima oleh sebahagian besar umat serumpun Melayu itu.
Kalau diteliti lanjut, ulama-ulama tadi cukup aktif
menghasilkan karya tulis dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan agama. Dengan
kedatangan Islam dan tersebar ajarannya di Nusantara atau Alam Melayu, maka
telah tumbuh dan berkembang ilmu-ilmu yang menentukan ciri-ciri kebudayaan
Melayu besar serantau itu. Antaranya, yang paling awal, tentu sahaja ilmu-ilmu
yang membahaskan tentang ketuhanan dan tasawwur (world view) Islam, iaitu ilmu
yang menghuraikan dasar-dasar akidah Islam.
Dalam bidang karya tulis, kita lihat tradisi yang
sangat penting ini yang boleh disebut pada abad ke 16 dan 17, dengan
tokoh-tokoh di Acheh seperti Hamzah Fansuri, Syeikh Abdul Rauf Singkel, Syeikh
Nuruddin al-Raniri dan Shamsuddin al-Sumatrani, berlanjut di Banjar dengan
tokoh-tokoh seperti Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari dan Muhammad Nafis
al-Banjari. Kemudian Terengganu dengan Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis,
penulis kitab Syarh Hikam yang terkenal itu, Palembang dengan Syeikh Abdul
Samad al-Palembani, dan kemudian Patani dan Kelantan dengan tokoh-tokohnya
dikenal seperti Syeikh Abdul Rahman Pauh Bok, Syeikh Daud bin Abdullah
al-Fatani, Syeikh Haji Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fatani, Tuan Minal,
Tuk Wan Ali Kutan, Haji Mohd Yusoff Ahmad al-Kenali (Tuk Kenali), Tuan Tabal
dan lain-lain, lebih awal lagi di Jawa dengan Wali Songo dan ulama-ulama besar
Minangkabau yang bergerak secara langsung dalam gerakan bahasa, persuratan,
kesenian dan kebudayan selain dari keagamaan.
Hasil karya para ulama Melayu itu, antara lain,
menghuraikan dasar-dasar pandangan hidup Islam dengan menerangkan hakikat
ketuhanan dan hubungannya dengan kenyataan-kenyataan yang perlu diketahui dan
direalisasi dalam kehidupan seorang Muslim, sehingga dengan demikian,
dasar-dasar pandangan hidup Muslim menjadi lebih jelas dan tidak hanya sekadar
menjadi suatu rukun daripada rukun-rukun iman yang dihafal dalam kepala sahaja.
Beberapa peribadi Islam yang dikenal masyhur dalam
menghuraikan ilmu ini seperti al-Ash’ari, al-Maturidi dan al-Ghazaliy, antara
lainnya, mempunyai penerjemah-penerjemah dan penghurai-penghurainya di
Nusantara.
Selepas ilmu tentang ketuhanan dan world view,
maka ilmu yang paling dekat selepasnya ialah ilmu-ilmu tentang ibadat dan
hukum-hakam atau fekah, iaitu ilmu yang mengatur cara berhubung antara manusia
sesama manusia dan manusia dengan Tuhannya. Hubungan antara manusia dengan
manusia itu telah membentuk kebudayaan dan tata kehidupan sehingga proses
penciptaan mereka tetap berpaut kepada akidah dan tauhid.
Manusia membentuk kebudayaan dan tamadun mereka
tetapi terasnya adalah agama yang datangnya dari Allah s.w.t., Tuhan Yang Maha
Esa. Kemudian, terhurai juga ilmu-ilmu yang menyangkut bidang etika dalam
kerangka syariat yang syumul dan meliputi. Dalam bidang ini sifat-sifat utama
yang merupakan nilai-nilai baik atau al-Mahmudah dan sifat-sifat tercela keji
yang menjadi lawannya atau al-Mazmumah, dihurai dengan jelas dengan cara menghubungkannya
dengan kehidupan sosial dan kehidupan seseorang.
Malah, tidak jarang perbahasan tentang ilmu ini
dikaitkan dengan soal-soal metafizika dan ketuhanan. Antara nama-nama yang
sangat terkemuka dalam bidang ini ialah Syeikh Abdul Samad al-Palembani dengan
karya besarnya Siyar al-Salikin dan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dengan
karya kontroversinya – al-Durr al-Nafis. Dengan berdasar kepada pemahaman
doktrin dalam bidang ini serta pelaksanaannya dalam kehidupan perseorangan dan
jamaah, maka terbentuklah suatu sistem nilai dan etika Islam di Nusantara, yang
kemudiannya menjadi wadah dan acuan kepada sistem moral dan akhlak yang
sekarang kita anuti sebagai nilai-nilai bersama.
Dari segi budaya intelektual, Dunia Melayu mempunyai
sejarah dan tradisi intelektualismenya sendiri. Kedatangan Islam ke rantau ini
telah memulakan tamadun keilmuan dan melibatkan para ilmuwan Melayu dalam
perkembangan intelektualisme Dunia Islam. Memang rantau ini belum pernah
melahirkan seorang ash-Shafiy atau al-Ghazaliy, tetapi setidak-tidaknya rantau
ini memang sentiasa terdedah kepada pemikiran para ilmuwan besar Dunia Islam.
Khazanah intelektualisme Melayu tidak cuma
mengandungi sastera lipur lara, tetapi meliputi juga terjemahan dan saduran
karya-karya besar al-Baydawiy, al-Mawardiy, al-Ghazaliy dan lain-lain di
samping karya-karya asli ulama Melayu. Tradisi pengajian pondok (pesantren)
yang dianggap oleh setengah kalangan peneliti sebagai
bersifat indigenous itu telah memainkan peranan besar sebagai
jambatan budaya yang menghubungkan tradisi keilmuan rantau ini dengan tradisi
keilmuan Dunia Islam terutama yang berpusat di Asia Barat.
Para ilmuwan Melayu tidak hanya menterjemah dan
menyadur karya-karya dari luar, tetapi ada juga yang menghasilkan karya-karya
asli termasuk karya-karya dalam bahasa Arab. Ash-Syeikh Nawawiy al-Bantaniy
(Banten) misalnya telah menghasilkan beberapa buah kitab dalam bahasa Arab yang
menjadi rujukan para ulama Hijaz.
Sejarah intelektualisme rantau ini juga mencatatkan
adanya polemik-polemik intelektual yang menyegarkan budaya berfikir. Pada zaman
tamadun Aceh telah terjadi polemik di sekitar faham wujudiyyah dan pada zaman
kebelakangan ini lebih banyak lagi polemik-polemik tentang pelbagai isu
termasuklah polemik Islam dan adat tentang pembahagian harta pusaka dalam
sistem adat perpatih, polemik politik tentang Islam dan kenegaraan (antara
Soekarno dengan Natsir) polemik Kaum Tua-Kaum Muda (tentang pembaharuan Islam),
polemik di sekitar faham sekular, reaktualisasi Islam dan sebagainya.
Perkembangan-perkembangan mutakhir dalam bidang
pendidikan di rantau ini telah membuka kemungkinan-kemungkinan baru. Penubuhan
Universiti Islam Antarabangsa dan ISTAC (Institut Pemikiran dan Tamadun Islam
Antarabangsa) di Malaysia umpamanya telah menjadikan rantau ini sebagai salah
satu pusat tumpuan para ilmuwan dunia. Sekarang ini pun kita sudah menyaksikan
semakin ramainya para pelajar dari pelbagai rantau dunia termasuk Dunia Arab
yang datang untuk belajar di kampus-kampus kita.
Dari segi tradisi kerohanian pula, memang sejarah
pengislaman rantau ini berkait erat dengan peranan kaum sufi. Kerana itu hingga
sekarang rantau Melayu adalah termasuk daerah yang paling subur dengan tradisi
kesufian. Ilmu Tasawwuf adalah merupakan antara jenis ilmu yang popular dalam masyarakat
Melayu. Karya-karya al-Ghazaliy khususnya kitab ihya’ Ulumi ‘d-Din telah sejak
lama diterjemah dan tersebar luas. Tradisi kerohanian masyarakat Melayu pernah
membuktikan peranan positifnya sebagai salah satu kekuatan umat.
Sejarah zaman penjajahan di Indonesia mencatatkan
bahawa antara kekuatan yang paling ditakuti oleh Belanda ialah
kumpulan-kumpulan tarekat pimpinan ulama-ulama rohaniah yang sangat berkarisma.
Isu Dan Cabaran Semasa
Kehidupan Sosial Umat
Peredaran sejarah seperti telah membawa kembali
unsur-unsur imperialisme budaya baru dalam konteks sezaman. Kebudayaan asing
terutama budaya hedonisme Amerika dan Barat diterima tanpa ukuran moral atau
akhlak dalam perspektif budaya dan agama sendiri lagi.
Maraknya gejala sosial dan budaya hedonisme di
kalangan generasi muda terutama di kalangan anak-anak remaja dan penyakit rakus
serta gila kuasa di kalangan orang dewasa dan para pemimpin, adalah bukti jelas
daripada tindak tanduk penyimpangan daripada pola yang diterima turun temurun
ini, suatu akibat daripada kecuaian dan kelalaian yang membawa kepada
terhakisnya pendidikan agama dan nilai budaya.
Cabaran pada abad ke 21, mahu tidak mahu umat
serumpun Melayu sama ada yang beragama Islam atau beragama lain akan menghadapi
suatu zaman kemajuan yang luar biasa khususnya pengaruh teknologi moden.
Pencapaian manusia dalam ilmu sains ini menjadikan kita berhadapan dengan
kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi, sehingga sesuatu yang tidak dapat
kita bayangkan. Manusia kadangkala terjebak oleh akal dengan pengaruh pemikiran
dan falsafah atau berasaskan kepercayaan ciptaan manusia sendiri.
Manusia mula menunjukkan tanda-tanda penolakan
terhadap agama wahyu. Pengaruh globalisasi, pascamodenisme dan liberalisasi
menuntut gerakan agama dan para ulamanya perlu bersama melibatkan diri
menghuraikan kekusutan konflik peradaban corak baharu yang mengasak
kesejahteraan dan kebahagian manusia. Ada suatu macam penolakan tentang
the grand narrativeyang ditanzilkan dari langit itu.
Namun begitu dengan kepakaran dan pencapaian manusia
sehebat itu pun, manusia belum dapat atau tidak berjaya sepenuhnya memberikan
ketenangan kepada manusia sendiri. Mereka mengadu takut, luntur kebahagiaan,
resah gelisah, berduka cita dan sakit jiwa. Di Eropah dan Amerika atau di
kalangan penganut agama falsafah ciptaan manusia itu, ada penyakit rohani yang
sukar diubati lagi. Mereka sendiri oleh kurangnya penghayatan dan gagalnya
menghayati panduan sebenar terus tidak berdaya mengubatinya hatta dengan
menggunakan unsur-unsur kemajuan dan kecanggihan teknologi baru yang dicipta
itu.
Kini kerana pengaruh asing yang tidak terkawal dan
salah tafsiran dalam kesepaduan ilmu antara tuntutan duniawi dan ukhrawi, maka
perlumbaan memperoleh ilmu dibataskan kepada kemakmuran duniawi semata-mata.
Matlamat keilmuan demi keimanan, ketakwaan, keikhlasan, warak dan tawadhuk
dengan keunggulan akhlak mulia hilang daripada sahsiah para ilmuwan sendiri.
Krisis akidah dan lunturnya teladan Islam daripada
para ilmuwan tadi mengakibatkan timbulnya aneka masalah keruntuhan akhlak umat
Islam zaman moden ini. Jalan penyelesaian gagal dicari dan umat kekal
terbelenggu dalam kemelut yang tidak menentu. Tujuan keseimbangan kehidupan
antara duniawi dan ukhrawi, urusan agama dan dunia, pemerintah dan rakyat,
manusia dan alam tabii, umat dan negara, hak dan kekuatan, benda dan roh, wahyu
Ilahi dan kreativiti terlihat kehilangan konsep ‘al-hikmah’ dan ‘al-mizan’.
Manusia dibelenggui belitan syaitan dengan kegilaan kepada kekayaan harta benda
dan ketinggian darjat serta terpinggirnya upaya memperjuangkan ‘ketinggian
kalimatullah’ dalam pendidikan manusia.
Di kalangan umat Islam global juga mula dibimbangi
bahawa pengaruh-pengaruh sedemikian akan mula menyelinap masuk mempengaruhi
kehidupan kebudayaan sejahtera yang mereka miliki. Ancaman pengaruh itu
tersebar melalui media elektronik seperti televisyen, radio, CD Rom dan
internet atau banyak juga melalui filem Hollywood dan Bollywood.
Negara-negara Islam dijebak oleh agenda perangkap
persaingan agama atau perancangan strategik global yang dipasang oleh Yahudi
dan Nasrani. Sesuatu perlu dilakukan bertujuan membetulkan kembali konflik
budaya dan isu akidah umat masa kini.
Umpamanya sudah ada tendensi di kalangan
belia Islam bukan sahaja di rantau Melayu bahkan di seluruh dunia Islam
mengambil bahagian dan merayakan Hari Memperingati Kekasih (Valentine’s Day)
pada 14 Februari setiap tahun, sesuatu yang mirip dengan agama asal perayaan
itu, Kristian. Perayaan zaman pertengahan di Perancis dan England itu
mengaitkan tarikh memperingati peristiwa Saint Valentine, seorang paderi yang
dihukum bunuh oleh pemerintah Rom, Claudius II, kerana mengahwinkan seorang
askar secara rahsia yang ditegah oleh undang-undang Rom ketika itu, sebagai
hari mencari pasangan atau jodoh, anggapan ‘hari burung-burung mencari pasangan’.
Hal ini ternyata bercanggah dengan lunas-lunas Islam
kerana Islam menganjurkan kasih sayang sepanjang masa dengan keutamaan kepada
ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan sesama manusia.
Musuh-musuh Islam di mana-mana telah memulakan
agenda dan menggunakan segala macam alasan bagi mensahihkan sesuatu tindakan
termasuk pencerobohan, penaklukan dan peperangan. Peperangan dan pencerobohan
di Afghanistan dan Iraq atau isu-isu kemanusiaan di Kosova, Bosnia-Herzevogina
dan Chechen sukar sekali untuk dirasionalisasikan kebenaran dan keadilan
tindakan oleh sesuatu adikuasa asing yang terlibat.
Dunia amat memerlukan suatu risalah yang boleh
mengubah keadaan ini. Kelihatan benar bahawa tiada risalah lain lagi kecuali
Islam. Risalah ini dimiliki oleh umat Islam. Suatu risalah yang membawa kepada
kebahagiaan di akhirat dan tidak menegah kehidupan dengan segala
kesejahteraannya di dunia dengan pola hubungan manusia dengan Tuhan
(hablunminallah) dan hubungan yang saling membantu sesama manusia
(hablunminannas).
Di tangan umat Islam adalah Al-Quran, sebuah kitab
yang satu-satunya dipelihara Allah sesudah Taurat, Zabur dan Injil itu
terbatal, sesuai dengan Islam itu sebagai agama samawi dan kitabnya
ditanzilkan. Isu keganasan yang dicanangkan seawal abad ke 21 dengan
mencorengkan arang fitnah ke muka Islam sengaja diada-adakan yang perlu
diberikan penjelasan secara ilmu dan hakikat kebenaran.
Kitab itu menjadi bahtera kebahagiaan untuk umat
Islam dan umat manusia sejagat. Umat Islam pula sebagai suatu umat pilihan
tidak harus terperangkap oleh kelemahan diri, terpesong oleh arah pandu musuh
dan semata-mata mempersoalkan perkara remeh temeh secara berlarutan tanpa
mengambil kira masalah-masalah kehidupan dengan tidak meletakkan fekah mengikut
keutamaan (fekah al-awlawiyat) dengan segala tindakan berpandukan kepada al-Quran
dan al-Hadis.
Hakikat umat Islam itu sebagai umat yang satu perlu
sentiasa kekal disemadikan di lubuk hati. Kekuatan rohani dan risalah Islamiah
yang dimiliki umat Islam adalah anugerah yang teristimewa berbanding dengan
mana-mana umat sebelumnya. Umat Melayu Islam seharusnya berada sama di barisan
hadapan membawa risalah perjuangan (jihad) sejagat dengan mendukung kehidupan
berpakat, bermuafakat, bermesyuarah atau mengamalkan tradisi budaya Melayu yang
menekankan kerjasama dan gotong-royong itu dalam membangunkan umat sesuai
dengan tuntutan Islam.
Umat Islam bukan lahir untuk hidup bersendirian dan
meletakkan kepentingan diri sebagai agenda utama, tetapi bertindak membawa
kebahagiaan dan kesejahteraan sejagat. Risalahnya menuntut perseimbangan antara
keperluan jasmaniah dengan rohaniah, menghimpunkan antara iman, ilmu dan amal,
mengimbangi dunia dan akhirat dan menyemarakkan kepentingan individu dengan
kepentingan umum.
Sesungguhnya kita ingin melihat suatu kesegaran baru
kebangkitan semula umat Islam di Dunia Melayu melalui dorongan keikhlasan para
ulama di serata wilayah dan kota-kota penting dalam gerakan intelektualisme
bangsa, ikut terlibat membangunkan kebudayaan tinggi dan mengisi segala sumber
kekuatan peradaban Melayu. Umat perlu sedar dan insaf serta kembali kepada
kesedaran akidah yang lebih mendasari berlandaskan ajaran Islam yang sebenar.
Krisis umat Islam hari ini adalah krisis akidah sehingga tidak tahu lagi
membezakan halal haram atau buruk baik.
Tradisi ilmu semakin menyempit dan gejala hiburan
melampaui batas agama dan fitrah kemanusiaan sedang berleluasa. Lambat laun
Dunia Melayu akan berwajahkan barat dan mengamalkan kebiasaan-kebiasaan budaya
Barat. Saluran media elektronik rantau Melayu, terutama televisyen memaparkan
segala keburukan Barat sebagai kebaikan untuk timur. Sesuatu tindakan mesti
dilakukan segera agar umat Islam serantau tidak terjebak lebih meluas dan
mendalam.
Kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial bangsa,
baik di Malaysia mahu pun di Indonesia, Brunei, Thailand dan Filipina tidak
boleh dibiarkan tanpa perimbangan atau selitan keagamaan dan nilai budaya.
Sistem politik sebagai teras kepemimpinan yang menentukan dasar-dasar sesebuah
negara tadi tidak terlepas bebas dari keperluan kepada panduan Islam.
Penutup
Sesungguhnya citra Islam adalah citra ilmu, citra
dakwah dan jihad, juga citra hidup bersih dan benar. Semoga kita pada hari ini
mampu sedikit sebanyak memulihkan citra ini, atau setidak-tidaknya menyingkap
kembali citra yang pernah dimainkan para ulama terdahulu dalam usahanya
membimbing umat ke jalan hidup yang benar, disamping sekaligus membentuk budaya
hidup dan pola berfikir masyarakatnya.
Kita ingin melihat satu suasana ilmu dan budaya
berfikir kembali cemerlang dan mendapat tempatnya yang layak dalam era
globalisasi, liberalisasi dan pascamodenisme sekarang ini, di samping tentunya,
tanpa mengabaikan kemudahan kebendaan dan kesenangan hidup demi hasanah dunia
dan hasanah akhirat.
Manusia akan menghadapi krisis tamadun atau
pertembungan peradaban, seandainya tidak berpegang kepada keagamaan kerana
ternyata gelombang baru peradaban manusia dalam konsep pascamodenismenya itu
terang-terang menolak kehidupan yang berdasarkan kepada agama wahyu, apa lagi
Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan