KEBELAKANGAN INI,
rakan-rakan yang membawa teksi terutama Pak Long dan Pak Lang sibuk bercakap
mengenai bantuan tayar 1Malaysia. Mereka sibuk mengisi borang untuk dihantar
dengan tangan ke pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di
Putrajaya. Mulanya saya pun tertanya-tanya mengenai betulkah wujud bantuan
seumpama itu? Tayar pun kerajaan nak bagi? Pak Long kemudiannya menunjukkan
borang itu. Memang sah. Sementara Pak Lang pula memberitahu, dia telah
menghebahkan perkara itu kepada rakan-rakan yang lain termasuk pemandu bukan
Melayu dengan membuat salinan borang. Dia tidak mahu ‘makan seorang.’ Ada yang
memberinya RM1 untuk minum kopi. Mulanya dia menolak tetapi rakan pemandu itu
berkata: ‘Kawan, ambillah untuk minum kopi, ini sudah cukup baik ma, empat
tayar free, siapa mahu kasi.’
Begitulah cerita
Pak Long dan Pak Lang yang ‘terserempak’ dengan tawaran percuma itu melalui
rakan-rakan teksi mereka. Antara percaya dengan tidak. Cuma yang mengecewakan,
kenapa perkara itu seolah-olah mahu ‘disembunyi’ tanpa sebarang hebahan yang
menyeluruh terutama melalui media. Khabarnya, bantuan itu dikenali sebagai
program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma). Kebanyakan yang mendapat tahu perkara
ini adalah pemandu yang memandu teksi milik syarikat. Pihak syarikat yang
menguruskan semua itu. Saya pun tidak pasti bila laporan berkaitan disiarkan
media dan meminta wartawan untuk membuat semakan dengan SPAD di Putrajaya.
Beberapa hari
yang lepas cerita tayar muncul lagi ketika saya menaiki kereta sewa dari Nilai
ke KLIA. Saya memulakan sesi ramah-tamah dengan pemandu teksi sekadar untuk
cakna kerjaya pemandu teksi. Pemandunya memulakan cerita dengan bertanyakan
bagaimana pilihan raya kali ini? BN boleh menang ka?
Saya hanya
berkata: ‘Tunggulah!’ Kemudian dia bercerita mengenai pelbagai bantuan kerajaan
seperti bantuan anak sekolah, bantuan buku teks, baucar buku percuma, Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M) sehinggalah katanya yang terbaru tayar 1Malaysia.
Seperti Pak Long dan Pak Lang, dia juga tidak tahu sehinggalah diberitahu oleh
rakan-rakan lain. Katanya, kelmarin juga, pengerusi persatuan pemandu teksi di
tempatnya ke Putrajaya membawa borang berkenaan serta mendapatkan penjelasan
lanjut mengenai bantuan itu. Dan disebabkan statusnya sebagai pemandu kedua,
dia mula curiga sama ada permohonannya Berjaya atau tidak. Dia hanyalah pemandu
yang menyewa permit. Maknanya, borang perlu diisi oleh pemilik. Kalau tayar itu
dapat kepada pemilik kemudian tidak diberi kepada pemandu teksi, apa akan
terjadi?
‘Bang, saya
berserah saja, dapat baguslah, tak dapat apa nak buat,’ katanya.
Lewat petang itu,
setiba di Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru, saya memberitahu seorang lagi
rakan yang juga pemandu teksi berkaitan bantuan tayar ini. Dia juga terkejut
dan ini kali pertama mendengar perkara itu. Saya memberitahunya, esok adalah
tarikh tutup.
‘Alamak bos,
mana nak dapat tayar empat biji percuma ni?’ katanya.
Dia juga meminta
supaya diberi kelonggaran lagi kepada pemandu yang belum membuat permohonan.
Katanya, mustahil juga untuk pemandu sepertinya di JB turun ke Putrajaya
mendapatkan baucar berkenaan. Dia memohon supaya tarikh itu dilanjutkan. Dan
menurut Pak Long, permohonan yang ditutup semalam adalah bagi fasa pertama.
Akan ada lagi. Apa pun, semua pemandu teksi tentunya lega dengan bantuan itu.
Kebanyakan mereka juga sudah mendapat wang BR1M.
Untuk bercerita
mengenai cabaran pemandu yang jujur membawa teksi ini memang tidak ada
kesudahannya. Memang, pada mata kasar, empat tayar itu adalah kecil tetapi
hakikatnya ada pemandu yang terpaksa meminjam tayar kawan kerana tidak mampu
menukar tayar apabila tiba giliran untuk membuat pemeriksaan Puspakom setiap
enam bulan.
Seorang pemandu
berkata, tayar bolehlah pinjam tetapi kalau benda (peralatan) lain macam mana?
Jujur cakap, kebanyakan teksi (tidak perlu disebut jenama) akan menghadapi
pelbagai masalah yang memerlukan kos yang tinggi untuk membaikinya. Walaupun
harga kereta untuk dijadikan teksi lebih murah tetapi untuk ‘menjaga’ teksi itu
bukannya mudah. Teksi memerlukan kereta yang lasak kerana saban hari akan
membuat perjalanan yang jauh dan pelbagai saiz badan manusia akan memasuki
teksi itu. Ada yang gemuk, ada yang kurus. Bukan sekadar orang tempatan tetapi
orang luar sama ada pelancong, pelajar atau pekerja. Maka tidak hairanlah,
pemandu teksi menghadapi masalah untuk menjaga teksi mereka supaya hayat lebih
panjang.
Berbalik kepada
pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan, perbualan dengan pemandu kereta sewa
dari Nilai ke KLIA menarik perhatian penulis. Dia, lelaki keturunan India
memang gembira dengan bantuan yang diberi oleh kerajaan tetapi kemudiannya
bertanyakan adakah bantuan ini akan menyebabkan harga barang naik selepas ini?
Satu soalan yang sukar dijawab. Naik atau tidak bukanlah disebabkan bantuan
seumpama ini. Dia juga bimbang mengenai had usia bersara 60 tahun bagi pekerja
swasta yang akan menyebabkan peluang pekerjaan terbatas. Saya membiarkan beliau
bercerita dan melepaskan segala yang terbuku di hati sebagai seorang rakyat
yang hidup dengan menyewa permit kereta sewa bagi menyara keluarganya. Ditanya
kenapa tidak memohon permit persendirian, beliau menjawab: ‘Saya dah dapat
tetapi permit teksi Lembah Klang, macam mana nak bawa di KL?’ Tidak perlulah
mengulas kekecewaan pemandu kereta sewa itu untuk bersaing di Lembah Klang.
Tetapi akhirnya,
beliau mengakui apa yang dilakukan oleh kerajaan ini baik tidak kira sama ada
ia bertujuan untuk menghadapi pilihan raya atau sebaliknya. Baginya, rakyat
perlu dibantu dan rakyat akan membantu kerajaan dalam pilihan raya sekiranya
bantuan yang diberi benar-benar ikhlas. Rakyat juga perlu bersyukur dengan apa
yang diberi. Memanglah tidak semua permintaan rakyat mampu dipenuhi oleh
kerajaan.
Kata pemandu
itu: ‘Dalam satu keluarga pun, kita sebagai ibu bapa tidak boleh memenuhi
kehendak atau berlaku adil kepada semua anak, apa lagi seorang Perdana Menteri
mahu jaga rakyat satu Malaysia. Betul ka bang cakap saya.’
Saya hanya
mengangguk dan mengakui kadang-kadang dalam keluarga, anak-anak mahu layanan
sama rata. Kalau abang dapat telefon jenama A, adik pun nak jenama sama atau
mungkin yang lebih baik. Dalam satu keluarga, ada yang menjadi ahli UMNO dan
ada yang menjadi ahli Pas atau PKR, Gerakan, MCA, DAP, MIC dan sebagainya.
Begitulah lumrah kehidupan dalam sebuah keluarga dan negara. Tidak mungkin
semua permintaan akan dipenuhi. Masing-masing ada kelebihan dan keistimewaan.
Pandai-pandailah membawa diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan