SEJAK awal lagi
sudah timbul kekeliruan mengenai tarikh sebenar pembukaan Terminal Bersepadu
Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS). Satu pihak kata mulai 1 Januari
manakala pihak lain pula mengumumkannya pada 2 Februari.
Kemudian kecoh
pula mengenai ruang niaga yang kadar sewanya terlalu mahal. Kemudian ada lagi
beberapa isu lain yang melibatkan pengusaha bas dan penduduk sekitarnya.
Keengganan pengusaha bas memasuki terminal itu membuatkan Halimah Mohamed
Sadique yang mengetuai Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) naik
berang dan memberi kata dua. Mujurlah isu ini selesai, jika tidak meranalah
pengguna bas ekspres ke selatan. Jelaslah TBS-BTS yang begitu indah dilihat
pada waktu malam dari Lebuh Raya Sungai Besi tidak seindah cerita di dalamnya.
Begitu jugalah ‘keindahan serta keselesaan’ yang ada di terminal itu perlu ‘dibayar’
dengan harga yang mahal.
Dalam menghadapi
isu ini yang boleh dianggap sebagai isu rakyat, tidak perlulah mana-mana pihak
menggertak satu sama lain. Memang mudah untuk ‘mengugut’ itu dan ini tetapi
apakah kesudahannya? Masing-masing mempunyai alasan dan pandangan tersendiri
mengenai TBS-BTS ini. Maka dalam menyelesaikan kemelut ini, semua pihak perlu
mewujudkan suasana menang-menang.
Tidak mudah
untuk menyelesaikan isu berkaitan pengangkutan awam kerana ia melibatkan banyak
pihak. Harus diingat pengangkutan awam biasanya digunakan oleh mereka yang
berpendapatan rendah dan sederhana. Golongan inilah yang memerlukan pembelaan
sewajarnya daripada kerajaan lebih-lebih lagi selepas kewujudan Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Apabila ia melibatkan golongan yang
berpendapatan rendah dan sederhana, maka ‘semua kos’ juga perlu rendah dan
sederhana. Ini termasuk tambang, makanan dan minuman serta kemudahan lain.
Semuanya biar murah seperti AirAsia menawarkan tambang murah supaya ‘semua
orang boleh terbang.’ Tetapi bagaimana harga murah boleh ditawarkan atau
dikekalkan jika pelbagai kos naik disebabkan faktor-faktor lain?
Memang rakyat
mengalu-ngalukan kemudahan yang lebih selesa untuk mereka. Sudah berapa lama
pengguna tidak selesa dengan Puduraya atau di Hentian Bas Sementara Bukit Jalil.
Seperti yang
pernah diselak di ruangan ini tidak lama dulu, banyak perhentian bas tidak
selesa dengan persekitaran yang kotor, jalan berlubang serta berbau asap.
Tetapi Selak tertarik dengan kemunculan Melaka Sentral yang menjadi hab
pengangkutan awam. Bangunannya ringkas tetapi menarik. Tidaklah secanggih
TBS-BTS. Tetapi kali pertama menjejak kaki di Melaka Sentral yang berhawa
dingin itu seolah-olah berada dalam kemudahan di lapangan terbang. Melaka
Sentral cetusan Ketua Menteri, Ali Rustam telah mewujudkan persekitaran yang
selesa serta peluang perniagaan kepada seberapa banyak peniaga terutama orang
Melayu.
Sebagai
pengguna, mereka tidak memerlukan sesuatu yang begitu canggih bertaraf lapangan
terbang. Sementara mereka menunggu ketibaan bas, cukuplah disediakan tempat
menunggu yang selesa, surau untuk solat, tandas awam, kedai makan yang
menawarkan harga berpatutan serta dapat menjenguk dan membeli sedikit barang di
kedai-kedai yang menawarkan harga sepatutnya. Suasana sebegini ada di Melaka
Sentral.
Bagaimanapun
jika kerajaan mahu mewujudkan suasana yang lebih canggih, bertaraf antarabangsa
memang dialu-alukan. Maka pembinaan TBS-BTS yang bernilai RM570 juta itu amat
bermakna kepada rakyat. Kedudukannya pula dihubungkan dengan rangkaian
pengangkutan seperti komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM), Transit Aliran Ringan
(LRT) dan Express Rail Link (ERL). Dua stesen minyak dan gas juga ada
berhampiran di situ. Tetapi akibat terlalu canggih, maka ada kos yang terpaksa
dibayar oleh pengguna iaitu pengusaha bas, peniaga/penyewa lot perniagaan dan
penumpang bas.
Ketika ini
difahamkan hanya enam daripada 51 pengusaha bas ekspres laluan selatan telah
beroperasi di situ. Sementara yang lain dijangka berpindah dari Bukit Jalil
menjelang 2 Februari ini.
Adalah diharapkan,
segala permasalahan yang berlaku sebelum ini seperti caj bagi setiap bas
ekspres keluar masuk ke terminal itu tidak akan menjejaskan operasi.
Lebih penting,
kita tidak mahu caj yang dikenakan terhadap pengusaha bas terpaksa digalas oleh
penumpang. Apakah akan ada tambahan caj tambang untuk menampung kos pengusaha?
Begitu juga dengan kadar sewa gerai atau ruang perniagaan. Isu ini masih belum
selesai. Diharapkan masalah ini juga dapat diberi perhatian serius. Harus
diingat, pengguna terminal ini bukanlah penumpang yang akan menaiki pesawat.
Mereka kebanyakannya adalah yang berpendapatan rendah dan sederhana yang
memerlukan pengangkutan yang murah. Maka janganlah ‘membebankan’ mereka dengan
harga barangan termasuk makanan dan minuman yang setaraf dengan gerai-gerai di
KLIA, KL Sentral atau KLCC. Di Puduraya, harga sebotol air minuman (bukan air
galian) yang boleh dijual 60 sen dijual sehingga RM1. Inikan pula di TBS-BTS.
Kita tidak mahu pengguna terus merungut dengan harga makanan/minuman yang mahal
di terminal itu.
Dan lebih
penting janganlah beban yang ditanggung oleh pengusaha bas dan peniaga terpaksa
dikongsi bersama oleh pengguna.
Terminal itu
mungkin akan menjadi ‘gajah putih’ sekiranya ia tidak melibatkan campur tangan
pihak kerajaan. Pengusaha bas, peniaga dan penumpang (golongan 3P) tidak ada
pilihan - terpaksa juga ke TBS-BTS atas ‘keputusan’ kerajaan. Maka simpatilah
kepada golongan 3P ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan