DUA kota suci,
Mekah dan Madinah sering menerima tetamu dari seluruh pelosok dunia. Mereka memasuki
kedua-dua kota suci itu sebagai persiapan untuk menunaikan ibadah haji setiap tahun.
Bagi jemaah Malaysia, mereka yang mendapat penerbangan awal akan singgah di
Madinah untuk ziarah manakala selebihnya akan terus ke Mekah. Bagi jemaah yang
singgah di Madinah, mereka akan tinggal di sana sekurang-kurangnya sembilan
hari sebelum berangkat ke Mekah.
Bagi menyambut
kedatangan jemaah haji yang dijangkakan kira-kira tiga juta orang setiap tahun,
pihak berkuasa Arab Saudi seperti pada tahun-tahun sebelumnya telah mengambil
pelbagai langkah bagi memastikan ibadah haji setiap tahun berjalan lancar. Setiap
tahun, ada saja projek yang dilancarkan sama ada di Mekah atau Madinah. Misalnya
pada Oktober 2011 lalu, di kota Madinah, kerajaan melancarkan pelbagai projek
pembangunan termasuk pembesaran kawasan Masjid Nabawi, projek bekalan elektrik,
air, kesihatan dan sebagainya yang dianggarkan menelan kos 12 bilion Riyal
Saudi.
Dalam bidang
kesihatan pula, jumlah katil di hospital juga telah ditambah. Begitu juga
dengan pembesaran lapangan terbang di Madinah. Langkah ini bukan sahaja untuk
keperluan penduduk tempatan tetapi juga bagi menjaga kebajikan para jemaah
setiap tahun yang semakin meningkat. Walaupun projek-projek ini mengambil masa
yang panjang tetapi matlamatnya adalah untuk kemudahan umat Islam dari seluruh
dunia yang setiap tahun berebut-rebut mahu menunaikan haji di Mekah sambil
melakukan ziarah di kota Madinah.
Di Mekah pula,
pelan komprehensif sentiasa dilakukan bagi menjaga kebajikan, keselesaan dan
keselamatan para jemaah setiap kali tiba musim haji. Tidak ketinggalan
kemudahan pengangkutan awam, penginapan serta kemudahan asas lain termasuk
bekalan air bersih. Sejak awal tahun ini, kerja-kerja pembesaran kawasan
Masjidil Haram dilakukan di samping menaik taraf kemudahan di Padang Arafah dan
Mina.
Menurut satu
laporan media, pihak berkuasa juga mengedarkan risalah pelbagai bahasa kepada
jemaah mengenai ibadat haji. Beberapa orang ulama juga dipilih untuk memberi
kuliah selepas solat Subuh dan Asar sehinggalah waktu Isyak di Masjidil Haram.
Mereka akan menyampaikan ceramah dalam pelbagai bahasa termasuk Arab, Urdu,
Indonesia dan Inggeris bagi membimbing jemaah mengenai ibadat haji. Maklumat
berkaitan haji juga disediakan melalui perkhidmatan telefon.
Sementara itu,
tenaga kerja bagi membantu jemaah turut ditingkatkan. Misalnya di Masjidil
Haram sahaja, sebanyak 3,000 petugas dilantik bagi memastikan kebersihan di
sekitar masjid terpelihara. Para pekerja ini akan dibekalkan dengan alat
pencuci elektrik dan kenderaan kecil bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan
dilakukan dan sampah sarap dibawa keluar daripada masjid. Bagi yang pernah
mengerjakan umrah, mereka dapat melihat ketangkasan serta kecekapan para
pekerja ini membersihkan lantai di sekitar Baitullah tanpa mengganggu umat
Islam melakukan tawaf atau solat.
Sejuk Dan Panas
Para pekerja ini
juga akan bertanggungjawab memastikan 18,000 termos air zamzam di dalam
Masjidil Haram sama ada sejuk dan panas sentiasa diisi penuh. Bagi kemudahan
tawaf dan sai pula, sebanyak 10,000 kerusi roda disediakan untuk memudahkan
pergerakan mereka yang kurang berupaya. Kerusi-kerusi roda ini boleh didapati
di kawasan luar masjid dan di tingkat pertama pintu masuk Safa. Kerusi roda ini
bagaimanapun hanya boleh digunakan di tingkat pertama yang menyediakan ruang
khusus untuk jemaah berkerusi roda melakukan tawaf dan sai.
Bagi mengelakkan
kes-kes jenayah, pasukan penguat kuasa juga dikerah untuk memastikan kejadian
ragut tidak berlaku dan kamera litar diletakkan di semua tingkat masjid untuk
memastikan keselamatan para jemaah.
Jumlah petugas
yang mengawal masjid juga ditingkatkan. Jika sebelum ini, hanya 300 orang yang
bertugas mengawal di 139 pintu masjid tetapi pada musim haji, jumlah itu
meningkat kepada 700 orang. Bagi memudahkan jemaah juga, lapan tangga
elektronik di dua pintu masuk masjid telah beroperasi 24 jam. Sebuah jambatan
juga dibina bagi menyambung kawasan masjid dengan Hospital Ajyad.
Dalam soal
kesihatan juga, Kementerian Kesihatan mengambil pelbagai langkah bagi
memastikan kesihatan jemaah haji terkawal. Sebanyak 10,000 pekerja kesihatan
dilantik termasuk melibatkan 40 doktor dan 147 jururawat dari luar negara.
Pasukan perubatan yang terdiri daripada pelajar-pelajar perubatan juga akan
digunakan untuk membantu melicinkan perkhidmatan kesihatan. Terdapat 138 pusat
kesihatan di Mekah, 28 di Mina, enam di Muzdalifah, 46 di Arafah dan 19
Madinah.
Jumlah katil di
semua hospital di dua kota suci juga ditingkatkan kepada hampir 4,000 katil.
Terdapat tujuh buah hospital di Mekah, tiga di Muzdalifah, empat di Mina dan 10
di Madinah. Langkah-langkah keselamatan juga diambil di kawasan melontar dengan
menempatkan pasukan doktor dan jururawat serta ambulans. Pada masa yang sama
sebagai program pendidikan kesihatan, kementerian berkenaan juga mengedarkan
1.75 juta risalah dalam tujuh bahasa bagi memberi mesej kesihatan kepada
jemaah.
Secara
keseluruhannya, Arab Saudi sudah bersedia menerima kedatangan tetamu-tetamu
Allah dari seluruh dunia tanpa mengira kaum, kedudukan, pangkat atau darjat.
Mereka ke situ dengan satu tujuan iaitu untuk beribadat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan