Isnin, 18 Mac 2013

Bukan Kerja Mudah Memenuhi Kehendak Rakyat 1Malaysia


KEBELAKANGAN INI, rakan-rakan yang membawa teksi terutama Pak Long dan Pak Lang sibuk bercakap mengenai bantuan tayar 1Malaysia. Mereka sibuk mengisi borang untuk dihantar dengan tangan ke pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Putrajaya. Mulanya saya pun tertanya-tanya mengenai betulkah wujud bantuan seumpama itu? Tayar pun kerajaan nak bagi? Pak Long kemudiannya menunjukkan borang itu. Memang sah. Sementara Pak Lang pula memberitahu, dia telah menghebahkan perkara itu kepada rakan-rakan yang lain termasuk pemandu bukan Melayu dengan membuat salinan borang. Dia tidak mahu ‘makan seorang.’ Ada yang memberinya RM1 untuk minum kopi. Mulanya dia menolak tetapi rakan pemandu itu berkata: ‘Kawan, ambillah untuk minum kopi, ini sudah cukup baik ma, empat tayar free, siapa mahu kasi.’

Begitulah cerita Pak Long dan Pak Lang yang ‘terserempak’ dengan tawaran percuma itu melalui rakan-rakan teksi mereka. Antara percaya dengan tidak. Cuma yang mengecewakan, kenapa perkara itu seolah-olah mahu ‘disembunyi’ tanpa sebarang hebahan yang menyeluruh terutama melalui media. Khabarnya, bantuan itu dikenali sebagai program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma). Kebanyakan yang mendapat tahu perkara ini adalah pemandu yang memandu teksi milik syarikat. Pihak syarikat yang menguruskan semua itu. Saya pun tidak pasti bila laporan berkaitan disiarkan media dan meminta wartawan untuk membuat semakan dengan SPAD di Putrajaya.

Beberapa hari yang lepas cerita tayar muncul lagi ketika saya menaiki kereta sewa dari Nilai ke KLIA. Saya memulakan sesi ramah-tamah dengan pemandu teksi sekadar untuk cakna kerjaya pemandu teksi. Pemandunya memulakan cerita dengan bertanyakan bagaimana pilihan raya kali ini? BN boleh menang ka?

Saya hanya berkata: ‘Tunggulah!’ Kemudian dia bercerita mengenai pelbagai bantuan kerajaan seperti bantuan anak sekolah, bantuan buku teks, baucar buku percuma, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sehinggalah katanya yang terbaru tayar 1Malaysia. Seperti Pak Long dan Pak Lang, dia juga tidak tahu sehinggalah diberitahu oleh rakan-rakan lain. Katanya, kelmarin juga, pengerusi persatuan pemandu teksi di tempatnya ke Putrajaya membawa borang berkenaan serta mendapatkan penjelasan lanjut mengenai bantuan itu. Dan disebabkan statusnya sebagai pemandu kedua, dia mula curiga sama ada permohonannya Berjaya atau tidak. Dia hanyalah pemandu yang menyewa permit. Maknanya, borang perlu diisi oleh pemilik. Kalau tayar itu dapat kepada pemilik kemudian tidak diberi kepada pemandu teksi, apa akan terjadi?

‘Bang, saya berserah saja, dapat baguslah, tak dapat apa nak buat,’ katanya.

Lewat petang itu, setiba di Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru, saya memberitahu seorang lagi rakan yang juga pemandu teksi berkaitan bantuan tayar ini. Dia juga terkejut dan ini kali pertama mendengar perkara itu. Saya memberitahunya, esok adalah tarikh tutup.

‘Alamak bos, mana nak dapat tayar empat biji percuma ni?’ katanya.

Dia juga meminta supaya diberi kelonggaran lagi kepada pemandu yang belum membuat permohonan. Katanya, mustahil juga untuk pemandu sepertinya di JB turun ke Putrajaya mendapatkan baucar berkenaan. Dia memohon supaya tarikh itu dilanjutkan. Dan menurut Pak Long, permohonan yang ditutup semalam adalah bagi fasa pertama. Akan ada lagi. Apa pun, semua pemandu teksi tentunya lega dengan bantuan itu. Kebanyakan mereka juga sudah mendapat wang BR1M.

Untuk bercerita mengenai cabaran pemandu yang jujur membawa teksi ini memang tidak ada kesudahannya. Memang, pada mata kasar, empat tayar itu adalah kecil tetapi hakikatnya ada pemandu yang terpaksa meminjam tayar kawan kerana tidak mampu menukar tayar apabila tiba giliran untuk membuat pemeriksaan Puspakom setiap enam bulan.

Seorang pemandu berkata, tayar bolehlah pinjam tetapi kalau benda (peralatan) lain macam mana? Jujur cakap, kebanyakan teksi (tidak perlu disebut jenama) akan menghadapi pelbagai masalah yang memerlukan kos yang tinggi untuk membaikinya. Walaupun harga kereta untuk dijadikan teksi lebih murah tetapi untuk ‘menjaga’ teksi itu bukannya mudah. Teksi memerlukan kereta yang lasak kerana saban hari akan membuat perjalanan yang jauh dan pelbagai saiz badan manusia akan memasuki teksi itu. Ada yang gemuk, ada yang kurus. Bukan sekadar orang tempatan tetapi orang luar sama ada pelancong, pelajar atau pekerja. Maka tidak hairanlah, pemandu teksi menghadapi masalah untuk menjaga teksi mereka supaya hayat lebih panjang.

Berbalik kepada pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan, perbualan dengan pemandu kereta sewa dari Nilai ke KLIA menarik perhatian penulis. Dia, lelaki keturunan India memang gembira dengan bantuan yang diberi oleh kerajaan tetapi kemudiannya bertanyakan adakah bantuan ini akan menyebabkan harga barang naik selepas ini? Satu soalan yang sukar dijawab. Naik atau tidak bukanlah disebabkan bantuan seumpama ini. Dia juga bimbang mengenai had usia bersara 60 tahun bagi pekerja swasta yang akan menyebabkan peluang pekerjaan terbatas. Saya membiarkan beliau bercerita dan melepaskan segala yang terbuku di hati sebagai seorang rakyat yang hidup dengan menyewa permit kereta sewa bagi menyara keluarganya. Ditanya kenapa tidak memohon permit persendirian, beliau menjawab: ‘Saya dah dapat tetapi permit teksi Lembah Klang, macam mana nak bawa di KL?’ Tidak perlulah mengulas kekecewaan pemandu kereta sewa itu untuk bersaing di Lembah Klang.

Tetapi akhirnya, beliau mengakui apa yang dilakukan oleh kerajaan ini baik tidak kira sama ada ia bertujuan untuk menghadapi pilihan raya atau sebaliknya. Baginya, rakyat perlu dibantu dan rakyat akan membantu kerajaan dalam pilihan raya sekiranya bantuan yang diberi benar-benar ikhlas. Rakyat juga perlu bersyukur dengan apa yang diberi. Memanglah tidak semua permintaan rakyat mampu dipenuhi oleh kerajaan.

Kata pemandu itu: ‘Dalam satu keluarga pun, kita sebagai ibu bapa tidak boleh memenuhi kehendak atau berlaku adil kepada semua anak, apa lagi seorang Perdana Menteri mahu jaga rakyat satu Malaysia. Betul ka bang cakap saya.’

Saya hanya mengangguk dan mengakui kadang-kadang dalam keluarga, anak-anak mahu layanan sama rata. Kalau abang dapat telefon jenama A, adik pun nak jenama sama atau mungkin yang lebih baik. Dalam satu keluarga, ada yang menjadi ahli UMNO dan ada yang menjadi ahli Pas atau PKR, Gerakan, MCA, DAP, MIC dan sebagainya. Begitulah lumrah kehidupan dalam sebuah keluarga dan negara. Tidak mungkin semua permintaan akan dipenuhi. Masing-masing ada kelebihan dan keistimewaan. Pandai-pandailah membawa diri.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan