Jumaat, 4 Mei 2012

Bangau Oh Bangau


APAKAH yang dimaksudkan dengan sikap menunding jari? Menunding jari iaitu budaya suka ketawakan orang atau dalam erti kata lain suka menyalahkan orang lain. Budaya atau sikap suka menyalahkan orang lain atau menunding jari ke atas orang lain sudah menjadi kelaziman dan kebiasaan dalam masyarakat kita hari ini. Sikap suka menunding jari ini merupakan salah satu tabiat buruk orang kita. Saya kurang gemar akan tabiat buruk suka menunding jari ini. Pernah tak kita terfikir kenapa Allah ciptakan bentuk jari kita apabila kita menuding jari pada orang lain, cuma satu jari yang menunjuk pada orang lain, tapi 3 jari menunjuk kembali pada diri kita. Kenapa ya? Pasti ada seribu satu rahsia di sebalik penciptaan-Nya. Mungkin salah satunya, sebelum kita menuding jari pada orang lain, berfikir dulu sejenak sebelum menyalahkan orang lain, rendahkan ego kita sebagai seorang hamba di muka bumi Allah yang indah ini.

Saya ambil satu contoh sikap suka menyalahkan orang lain atas kesalahan diri sendiri yang mungkin dia tidak nampak. Ini kes masalah sosial dan realiti berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Ada seorang hamba Allah datang berjumpa dengan saya menyatakan bahawa anak perempuannya ingin berkahwin dengan jejaka pilihannya dan telah pun pergi ke Jabatan Agama untuk meminta kelulusan dan kebenaran berkahwin, tetapi hamba Allah ini nampak agak marah kepada pihak Jabatan Agama kerana permohonan kahwin anaknya tidak diluluskan atas sebab belum mengikuti kursus pra perkahwinan. 


“Nak kahwin pun susah, kena ikut kursus la, itu la, ini la. Anak aku ni dah mengandung, dia dah terlanjur, apa salahnya diluluskan sahaja permohonan tanpa perlu ikut kursus. Inilah masalahnya sekarang, ramai anak gadis yang mengandung, buat maksiat sana sini disebabkan Jabatan Agama yang menggalakkan perkara seumpama ini,” kata hamba Allah itu dengan nada yang marah.

Dalam kes yang saya sebutkan di atas tadi, patutkah Jabatan Agama yang disalahkan? Pada pendapat saya, sekiranya Jabatan Agama meluluskan permohonan kahwin si anak itu, maknanya Jabatan Agama lagi menggalakkan perbuatan maksiat. Seorang yang bermasalah sepert itu diluluskan permohonan kahwinnya, maka akan ada lagi orang lain yang akan lakukan perkara sedemikian. Orang lain tentu akan berkata, “Kenapa dia boleh? Kenapa aku tidak boleh? Kalau dia boleh diluluskan, aku pun seharusnya boleh diluluskan?”

Perkara begini harus segera dibendung. Bagi saya, pihak Jabatan Agama cuma menjalankan tugasnya dengan mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Tidak kiralah dia mengandung atau tidak mengandung, kursus pra perkahwinan adalah dimestikan kepada sesiapa yang ingin berkahwin. Kursus pra perkahwinan dimestikan bukan sekadar untuk suka-suka tapi untuk kebaikan dan persediaan sebelum menempuh alam rumah tangga. Kenapa perlu tunggu mengandung baru nak memohon kahwin? Bila tidak diluluskan naik angin pula.

Jabatan Agama bukan nak birokrasi, tapi hanya menjalankan tugas dengan betul dan amanah. Jangan asyik nak salahkan orang saja. Orang Islam mabuk minum arak, Jabatan Agama yang disalahkan, pasangan lelaki perempuan bukan muhrim berdua-duaan di tempat gelap, Jabatan Agama yang disalahkan, pelajar belasan tahun mengandung tanpa nikah, Jabatan Agama juga yang disalahkan. Asyik Jabatan Agama saja yang salah. Kononnya Jabatan Agama tak buat kerja, Jabatan Agama makan gaji buta, Jabatan Agama duduk goyang kaki. Jabatan Agama itu, Jabatan Agama ini... apa-apa yang salah semua dari Jabatan Agama. 

Perkara seumpama ini perlu dijadikan sempadan dan pengajaran. Allah s.w.t mengurniakan kita dengan akal fikiran untuk membezakan perkara baik dan buruk, berfikir dengan betul mana yang boleh dilakukan dan mana yang tidak patut dilakukan. Sebelum kita menyalahkan orang lain atau mana-mana pihak, berfikir dahulu sebelum bertindak. Jangan asyik nak menyalahkan orang saja. Samalah kisahnya seperti lagu ‘Bangau oh Bangau’ yang mana kalau kita hayati dan fahami lagu berkenaan, semua watak-watak dalam lagu berkenaan asyik nak menyalahkan orang saja, cuma watak ular sahaja yang mengaku kesalahannya.

Samalah juga kisahnya dengan kes buli yang berlaku di sekolah. Banyak kes seumpama ini semua asyik salah menyalahi. Ibu bapa salahkan cikgu konon tak mengajar anak murid, cikgu pula salahkan ibu bapa sebab tak mendidik anak-anak, ibu bapa dan cikgu pula salahkan anak murid sebab tak dengar nasihat dan malas. 

Begitu juga dengan kes suami isteri bertengkar sehingga ada yang cerai berai dengan alasan tidak bersefahaman dan saling menyalahkan antara satu sama lain. Mulalah si suami akan menyalahkan isteri tidak pandai masak la, isteri abai tanggungjawab la, isteri curang la, isteri tidak pandai layan suami la dan bermacam-macam lagi jenis kesalahan. Begitu juga dengan isteri yang mula menyalahkan suami ada perempuan lain la, suami tidak bagi nafkah, suami sibuk keluar daerah atau negeri dan macam-macam lagi. Jarang sekiranya suami isteri bertengkar, mereka akan mengaku kesilapan atau kesalahan diri mereka sendiri. Sekiranya ada pun tapi tidak banyak.

Kenapa terjadi sedemikian? Semua ini perlu kita fikirkan bersama. Tepuk dada tanya iman... jawapan ada pada diri kita sendiri.

Wallahu alam..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA