APAKAH yang dimaksudkan dengan
sikap menunding jari? Menunding jari iaitu budaya suka ketawakan
orang atau dalam erti kata lain suka menyalahkan orang lain. Budaya
atau sikap suka menyalahkan orang lain atau menunding jari ke atas orang lain
sudah menjadi kelaziman dan kebiasaan dalam masyarakat kita hari ini. Sikap
suka menunding jari ini merupakan salah satu tabiat buruk orang kita. Saya
kurang gemar akan tabiat buruk suka menunding jari ini. Pernah tak kita
terfikir kenapa Allah ciptakan bentuk jari kita apabila kita menuding jari pada
orang lain, cuma satu jari yang menunjuk pada orang lain, tapi 3 jari menunjuk
kembali pada diri kita. Kenapa ya? Pasti ada seribu satu rahsia di sebalik
penciptaan-Nya. Mungkin salah satunya, sebelum kita menuding jari pada orang
lain, berfikir dulu sejenak sebelum menyalahkan orang lain, rendahkan ego kita
sebagai seorang hamba di muka bumi Allah yang indah ini.
Saya ambil satu contoh sikap
suka menyalahkan orang lain atas kesalahan diri sendiri yang mungkin dia tidak
nampak. Ini kes masalah sosial dan realiti berlaku dalam masyarakat kita hari
ini. Ada seorang hamba Allah datang berjumpa dengan saya menyatakan bahawa anak
perempuannya ingin berkahwin dengan jejaka pilihannya dan telah pun pergi ke
Jabatan Agama untuk meminta kelulusan dan kebenaran berkahwin, tetapi hamba
Allah ini nampak agak marah kepada pihak Jabatan Agama kerana permohonan kahwin
anaknya tidak diluluskan atas sebab belum mengikuti kursus pra
perkahwinan.
“Nak kahwin pun susah, kena ikut kursus la, itu la, ini la. Anak aku ni dah mengandung, dia dah terlanjur, apa salahnya diluluskan sahaja permohonan tanpa perlu ikut kursus. Inilah masalahnya sekarang, ramai anak gadis yang mengandung, buat maksiat sana sini disebabkan Jabatan Agama yang menggalakkan perkara seumpama ini,” kata hamba Allah itu dengan nada yang marah.
Dalam kes yang saya sebutkan di
atas tadi, patutkah Jabatan Agama yang disalahkan? Pada pendapat saya,
sekiranya Jabatan Agama meluluskan permohonan kahwin si anak itu, maknanya
Jabatan Agama lagi menggalakkan perbuatan maksiat. Seorang yang bermasalah
sepert itu diluluskan permohonan kahwinnya, maka akan ada lagi orang lain yang
akan lakukan perkara sedemikian. Orang lain tentu akan berkata, “Kenapa
dia boleh? Kenapa aku tidak boleh? Kalau dia boleh diluluskan, aku pun
seharusnya boleh diluluskan?”
Perkara begini harus segera
dibendung. Bagi saya, pihak Jabatan Agama cuma menjalankan tugasnya dengan
mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Tidak kiralah dia mengandung atau
tidak mengandung, kursus pra perkahwinan adalah dimestikan kepada sesiapa yang
ingin berkahwin. Kursus pra perkahwinan dimestikan bukan sekadar untuk
suka-suka tapi untuk kebaikan dan persediaan sebelum menempuh alam rumah tangga.
Kenapa perlu tunggu mengandung baru nak memohon kahwin? Bila tidak diluluskan
naik angin pula.
Jabatan Agama bukan nak
birokrasi, tapi hanya menjalankan tugas dengan betul dan amanah. Jangan asyik
nak salahkan orang saja. Orang Islam mabuk minum arak, Jabatan Agama yang
disalahkan, pasangan lelaki perempuan bukan muhrim berdua-duaan di tempat
gelap, Jabatan Agama yang disalahkan, pelajar belasan tahun mengandung tanpa
nikah, Jabatan Agama juga yang disalahkan. Asyik Jabatan Agama saja yang salah.
Kononnya Jabatan Agama tak buat kerja, Jabatan Agama makan gaji buta, Jabatan
Agama duduk goyang kaki. Jabatan Agama itu, Jabatan Agama ini... apa-apa yang
salah semua dari Jabatan Agama.
Perkara seumpama ini perlu
dijadikan sempadan dan pengajaran. Allah s.w.t mengurniakan kita dengan akal
fikiran untuk membezakan perkara baik dan buruk, berfikir dengan betul mana
yang boleh dilakukan dan mana yang tidak patut dilakukan. Sebelum kita
menyalahkan orang lain atau mana-mana pihak, berfikir dahulu sebelum bertindak.
Jangan asyik nak menyalahkan orang saja. Samalah kisahnya seperti lagu ‘Bangau oh Bangau’ yang mana kalau kita
hayati dan fahami lagu berkenaan, semua watak-watak dalam lagu berkenaan asyik
nak menyalahkan orang saja, cuma watak ular sahaja yang mengaku kesalahannya.
Samalah juga kisahnya dengan
kes buli yang berlaku di sekolah. Banyak kes seumpama ini semua asyik salah
menyalahi. Ibu bapa salahkan cikgu konon tak mengajar anak murid, cikgu pula
salahkan ibu bapa sebab tak mendidik anak-anak, ibu bapa dan cikgu pula
salahkan anak murid sebab tak dengar nasihat dan malas.
Begitu juga dengan kes suami
isteri bertengkar sehingga ada yang cerai berai dengan alasan tidak
bersefahaman dan saling menyalahkan antara satu sama lain. Mulalah si suami
akan menyalahkan isteri tidak pandai masak la, isteri abai tanggungjawab la,
isteri curang la, isteri tidak pandai layan suami la dan bermacam-macam lagi
jenis kesalahan. Begitu juga dengan isteri yang mula menyalahkan suami ada
perempuan lain la, suami tidak bagi nafkah, suami sibuk keluar daerah atau
negeri dan macam-macam lagi. Jarang sekiranya suami isteri bertengkar, mereka
akan mengaku kesilapan atau kesalahan diri mereka sendiri. Sekiranya ada pun
tapi tidak banyak.
Kenapa terjadi sedemikian?
Semua ini perlu kita fikirkan bersama. Tepuk dada tanya iman... jawapan ada
pada diri kita sendiri.
Wallahu alam..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan