PELBAGAI dugaan dihadapi oleh
warga Islam di beberapa negara Eropah dewasa ini. Berlaku di Warsaw, ibu negara
Poland pada minggu lalu adalah demonstrasi membantah pembinaan sebuah masjid di
pinggir kota itu. Walhal bilangan warga Islam di negara itu tidak sampai 30,000
orang dan 90 peratus daripada 38 juta penduduknya penganut Katholik. Menurut
laporan agensi berita luar negara seorang penunjuk perasaan membawa sepanduk
yang menggambarkan menara masjid sebagai peluru berpandu.
Sebelum itu sebuah jawatankuasa
Parlimen Belgium sebulat suara mengundi mengharamkan pemakaian burqa dan niqab di khalayak ramai. Di Switzerland rakyat disaran mengundi
mengharamkan pembinaan menara masjid. Sebelum itu pula harian akhbar Jyllands-Posten menyiarkan 12
kartun yang mengejek Nabi Muhammad s.a.w. Bantahan daripada beberapa negara dan
golongan Islam ditolak atas alasan mahu menegakkan kebebasan berbicara seperti
dinyatakan oleh ketua jabatan pengarang akhbar itu: ‘Kami hidup dalam negara
demokrasi dan karya jolokan dibolehkan.’
Bilangan warga Islam di Denmark
kira-kira 150,000 saja, iaitu 2.8 peratus dari jumlah penduduk. Majalah Gatra di Jakarta melaporkan
kenyataan Ahmad Furqan Noor, Ketua Perhimpunan Masyarakat Islam Indonesia di
Denmark mengenai perubahan sikap pihak berkuasa. Contohnya, seorang warga Islam
dan orang asing mesti punyai 50,000 krone jika mahu menikahi warga Denmark.
Lain hal berlaku di Serbia
minggu lalu apabila Parlimennya meluluskan usul mengutuk pembunuhan seramai
8,000 warga Islam di Srebenica pada tahun 1995 semasa meletusnya Perang Bosnia.
Bertugas di situ waktu itu ialah 400 askar Belanda sebagai tentera pendamai
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Menurut sebuah laporan akhbar Times, London kemudiannya: ‘Pembunuhan
beramai-ramai itu meninggalkan kesan mendalam pada rakyat Belanda hingga
menyebabkan kerajaan Belanda waktu itu meletakkan jawatan setelah terbit
laporan yang menegur kerajaan kerana menempatkan askar-askar Belanda dalam
keadaan paling sukar.
‘Kerana tiadanya bantuan
tentera udara, maka mereka tidak dapat bertindak manakala askar-askar Serbia
mengasingkan lelaki dewasa dan budak lelaki daripada isteri dan ibu mereka.
Mereka dipaksa menaiki lori dan kesemuanya dibawa ke tempat pembunuhan. Kerajaan
Belanda kemudian menyekat permohonan Serbia untuk menyertai Kesatuan Eropah.
Dalam pada itu Jeneral Retko Mladic yang mengetuai laskar Serbia masih bebas.’
Demikian laporan akhbar Timur pada
19 Jun 2008.
Laporan itu mengulas tuntutan
para isteri dan ibu kepada 8,000 mangsa korban pembunuhan itu supaya PBB
memberi bantuan wang. Mereka menuntut ganti rugi sejumlah 2 bilion pound. Pembunuhan
8,000 orang itu pun dicap sebagai Srebenica Genocide. Ia diakui sebagai
pembunuhan beramai-ramai paling kejam selepas tamat Perang Dunia Kedua.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa
bersidang pada 2007 di The Hague, Belanda. Keputusannya berbunyi: ‘Mahkamah
memutuskan bahawa tindakan-tindakan di Srebenica telah dilakukan khusus untuk
membinasakan orang Islam dan dengan itu berlaku pembunuhan beramai-ramai.’ Mahkamah
Antarabangsa itu juga memutuskan bahawa pihak berkuasa Serbia gagal menyekat
pembunuhan beramai-ramai itu. Lalu dicatat seterusnya: ‘Juga menjadi korban
ialah kanak-kanak, para wanita dan orang-orang tua.’ Suruhanjaya yang mengira jumlah
orang menjadi korban mencatat 8,373 nama. Keputusan Parlimen Serbia yang
mengutuk pembunuhan itu tidak menyebut perkataan genocide. Usul yang diluluskan itu dianggap sebagai usaha baru
pihak berkuasa Serbia supaya diterima menjadi anggota Kesatuan Eropah.
Seperti diketahui, seorang lagi
ketua pihak Serbia, Radovan Karadzic, telah ditangkap dan telah dibicarakan di
The Hague. Masih bebas ialah General Ratko Mladic yang mengepalai laskar
Serbia. Setelah lebih 15 tahun berlalu sejak pembunuhan beramai-ramai itu maka
kini berlaku pula demonstrasi anti-pembinaan masjid, larangan bertudung di
khalayak ramai, larangan membina menara masjid dan pelbagai kartun mengejek
nabi.
Timbul pertanyaan, apakah ini
caranya manusia belajar dari sejarah silam?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan