Ahad, 6 Mei 2012

Gua Persembunyian 7 Pemuda Beriman


Menurut ayat 17 surah al-Kahfi, kita boleh mengambil beberapa fakta untuk dijadikan bahan kajian. Antara maksud ayatnya adalah: ’Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka ke sebelah kanan, dan bila matahari terbenam menjauhi mereka ke sebelah kiri sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu.’

Menurut Ibnu Kathir dalam bukunya Shahih Ibnu Kathir halaman 502, Ibnu Kathir dengan panjang lebar telah menghuraikan mengenai kedudukan sebenar gua tersebut namun beliau tidak pula memberitahu nama tempat persembunyian ketujuh-tujuh pemuda tersebut. Menurut Ibnu Kathir, pintu gua yang menjadi tempat persembunyian ketujuh-tujuh pemuda tersebut berada di sebelah utara. Ia didasarkan dengan firman Allah s.w.t memberitahu: ’Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka ke sebelah kanan’, yang membawa maksud jika sinar matahari menyinarinya sewaktu matahari terbit, matahari akan dilihat condong dari gua itu dalam sebelah kanan mereka.

Ingatan bahawa, condong yang dimaksudkan bukannya bayangan tetapi condong yang dimaksudkan adalah penglihatan mereka. Ini kerana ramai yang beranggapan condong dalam firman Allah s.w.t itu adalah bayangannya sedangkan ayat tazawarru yang membawa maksud condong dalam bahasa Melayu itu jika ditafsirkan berdasarkan linguistik Arab adalah kecondongan penglihatan.

Bagaimana pula dengan ayat ’dan bila matahari terbenam menjauhi mereka ke sebelah kiri sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu’ dalam ayat 17 surah al-Kahfi?

Menurut Ibnu Kathir dalam kitabnya, Shahih Ibnu Kathir, cahaya matahari yang menyinari mereka akan beransur-ansur menjauhi mereka ke sebelah kiri ketika matahari hendak terbenam (merujuk kepada pintu gua yang menghadap ke selatan). Dalam erti kata lain, bayangan akan jatuh ke sebelah timur apabila cahaya masuk ke dalam gua tersebut.

Dalam konteks ayat terakhir, ianya merujuk kepada tempat yang luas. Ia adalah kata kunci terakhir untuk mencari gua yang sebenar-benarnya yang mana telah menjadi tempat persembunyian 7 pemuda beriman tersebut. Semestinya gua yang menempatkan mereka bertujuh adalah luas dan selesa untuk didiami oleh lelaki dewasa yang seramai tujuh orang.

Daripada ayat 17 surah al-Kahfi ini, penulis dapat simpulkan bahawa ayat ini mengandungi hikmah yang sungguh banyak. Ini kerana, seandainya pintu gua itu menghadap ke timur, nescaya tidak akan ada sinar yang masuk sewaktu matahari terbenam. Seandainya pintu gua itu menghadap ke selatan, nescaya sinar itu tidak dapat masuk ketika matahari terbit dan tidak pula ketika matahari terbenam bahkan bayangan juga tidak condong ke kanan atau kiri. Seandainya pintu gua itu menghadap ke barat, nescaya sinar matahari juga tidak dapat masuk ketika matahari terbit tetapi hanya menyinari hanya setelah matahari tergelincir dan akan tetap menyinari sehingga terbenam.

Maka di situ letaknya hikmahnya. Allah s.w.t sengaja memberi ilham kepada ketujuh-tujuh pemuda tersebut untuk menemui gua tersebut sedangkan mereka sendiri tidak mengetahui bahawa Allah s.w.t telah menetapkan aturannya. Maha Suci Allah Yang Maha Bijaksana. Allahuakbar.

Tempat Yang Dikaitkan Dengan Gua Ashabul Kahfi

Telah menjadi perdebatan zaman berzaman mengenai tempat persembunyian mereka. Walau bagaimanapun, Allah s.w.t langsung tidak memperihalkan di mana tempat sebenar mereka bersembunyi. Sebab utamanya adalah kerana ia tidak memberi manfaat bagi umat Islam kerana Allah hanya mahu hamba-Nya mengambil iktibar kisah pejuangan tujuh pemuda mempertahankan akidah.

Namun, itu tidak bermakna ulama-ulama Islam tidak mengkajinya secara khusus. Terdapat sekurang-kurangnya ENAM buah tempat yang sering dikaitkan dengan kisah Ashaabul Kahfi ini. Antara tempat yang dikaitkan adalah Ephesus, Kahramanmaras,  dan Mardin di Turki, Gua di Jabal Qassiyyun, Syria, Abu Alanda, Jordan dan Maimuna, di Afghanistan. Keenam-enam tempat yang dikaitkan dengan kisah Ashaabul Kahfi ini mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Namun, apa yang pasti ialah tempat yang dikaitkan mesti pernah menjadi pusat pemerintahan Romawi Timur (Byzantine) satu ketika dahulu.

Dalam enam tempat yang sering dikaitkan dengan gua persembunyiaan Ashaabul Kahfi ini hanya terdapat DUA sahaja yang sering diperkatakan iaitu Gua di Ephesus (Tarsus), Turki dan Gua di Abu Alanda, Jordan. Tidak menghairankan jikalau pertikaian ini sering berlaku kerana banyak peristiwa seperti makam para Rasul dan Nabi, makam para Wali Allah dan makam para sahabat mempunyai lebih daripada dua tempat yang berlainan. Sebagai contoh makam seorang wali Allah Sheikh Yusuf al-Makasar mempunyai tiga makam yang berlainan iaitu di Sri Lanka, Cape Town, Afrika Selatan dan Lakiung, Indonesia.

Walau bagaimanapun, Gua di Ephesus mempunyai kekuatan yang tersendiri kerana Ephesus sangat terkenal sebagai tempat pemerintahan Romawi Byzantine suatu ketika dahulu. Jika pembaca melawat ke Ephesus, masih berjaga dengan rapi tinggalan-tinggalan sejarah berunsur Romawi di Ephesus seperti Theater of Ephesus, Road of Accadian, Temple of Artemis, Temple of Handrian dan lain-lain lagi.

Bukan sahaja dikaitkan dengan pemerintahan Romawi Byzantine, Ephesus juga dikaitkan dengan penyebaran agama Nasrani oleh para hawari Nabi Isa a.s. Malahan pada 431AD, Ephesus telah dijadikan tempat untuk perbincangan keagamaan agama Nasrani yang dikenali sebagai General Council of Ephesus. Dalam perbincangan ini, tokoh Nasrani terkenal iaitu Nestorius telah diselar kerana mengamalkan ajaran Nasrani yang berlainan. Perbincangan keagamaan yang diketuai oleh pemimpin Romawi Byzantine (telah menganut agama Nasrani) iaitu Theodius telah sebulat suara menyatakan bahawa Mariam (Mary) adalah ibu kepada anak Tuhan (son of God) dan bukannya ibu kepada anak manusia (son of man) yang telah dipertahan habis-habisan oleh Nestorius dan pengikutnya.

Jika perbuktiaan mengenai gua di Ephesus dikaitkan dengan dalil-dalil daripada Al-Quran, ia sangat bertepatan berbanding gua yang berada di Abu Alanda, Jordan. Ini adalah kerana pintu gua di Ephesus menghadap ke arah selatan (ke arah Mekah) berbanding gua di Abu Alanda yang terpesong sedikit menghadap ke Timur Laut.

Walau bagaimanapun, tempat sebenar gua Ashaabul Kahfi hanya dalam pengetahuan Allah s.w.t. Rasullulah s.a.w pernah mengingatkan umatnya dalam sabdanya jika terdapat masalah berkaitan keagamaan. Sabda Rasulullah s.a.w: ‘Tidaklah aku meninggalkan sesuatu yang dapat mendekatkan kalian ke syurga dan menjauhkan kalian dari neraka melainkan aku benar-benar telah memberitahunya kepada kalian.’

Antara lain hadis ini bermaksud bahawa Rasulullah s.a.w telah pun memberitahu semua perkara yang berkaitan dengan Islam dan jika terdapat perkara yang tidak diberitahu maka ia adalah sesuatu yang tidak mempunyai kaitan dengan akidah dan iman kita. Maka, perkara yang berkaitan dengan tempat letaknya gua Ashaabul Kahfi tidak memberi kesan kepada iman dan akidah kita sama ada Rasulullah s.a.w memberitahu tempatnya atau tidak memberitahunya.

Ulama tafsir seperti Ibnu Kathir menyamakan firman yang berbunyi: ’Dan kamu mengira mereka itu bangun, padahal mereka tidur’ dengan perilaku serigala yang hanya menutup sebelah mata dan membuka mata yang sebelah lagi semasa tidur. Ini adalah salah satu kebijaksaan Allah s.w.t yang mengatur setiap kejadian menurut kemahuan-Nya.

Menurut ulama tafsir terkenal tersebut, ketika Allah s.w.t menutup telinga mereka ketika tidur sepertimana firman Allah s.w.t dalam ayat 11 surah al-Kahfi, mata ketujuh-tujuh pemuda tersebut tidak terpejam penuh. Mata itu tetap nampak terbuka untuk menerima oksigen. Dengan itu, ia lebih membuatkan mereka bertahan lama sehingga beratus-ratus tahun.

Kemudian Allah s.w.t berfirman ‘Dan Kami bolak-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri’, Ibnu Abbas ra berkata; Seandainya mereka tidak dibolak-balikkan, nescaya bumi akan memakan mereka. Secara saintifiknya, begitulah hakikatnya. Jika tubuh manusia hanya terlentang di sebelah tubuhnya sahaja, maka tidak bergeraklah aliran darahnya secara normal. Jika keadaan berlaku sebaliknya, maka akan berlakulah masalah penyakit seperti gangrene, kekebasan dan sebagainya akibat aliran darah yang tersekat. Itulah kebijkasanaan Allah s.w.t yang membuat aturannya.

Tempoh Para Ashaabul Kahfi Tidur

Allah s.w.t telah menyebut bahawa tempoh masanya adalah Tiga Ratus Tahun ditambah Sembilan Tahun Hilaliyah (Qamariyyah). Sedangkan dalam hitungan tahun Syamsiyah lama tempohnya adalah Tiga Ratus Tahun. Bagi yang tidak memahami Tahun Qamariyyah dan Tahun Syamsiyah, penulis hanya boleh beritahu bahawa Tahun Qamariyyah memiliki tambahan tahun sebanyak TIGA tahun setiap kali genap satu abad (100 tahun). Ini bermakna, jika Tahun Syamsiyah adalah 300 tahun atau tiga abad, ia adalah bermakna 309 tahun Qamariyah akibat penambahan 3 tahun setiap kali genap 100 tahun.

Berapa Ramaikah Ahli Ashaabul Kahfi Yang Sebenarnya?

Allah s.w.t berfirman memberitahu tentang perbezaan pendapat manusia mengenai jumlah Ashaabul Kahfi. Dalam ayat 22 surah al-Kahfi, kita dapat menemui Allah s.w.t memberi TIGA pendapat berbeza. Namun, tiada pula pendapat keempat. Allah s.w.t menyatakan kelemahan DUA pendapat yang terawal yang menyebut tentang terkaan terhadap yang ghaib.

Ibnu Kathir menyatakan bahawa ia sama seperti seseorang membaling batu ke dalam belukar yang gelap. Tidak diketahui sama ada ia boleh ditemui lagi atau tidak. Dua pendapat nyata sangat lemah dan hanya timbul akibat perbalahan sesama ahli kitab. Seterusnya Allah s.w.t menyatakan jumlah bilangan pada rangkap terakhir. Para ulama salafi mentafsirkan bahawa pendapat terakhir adalah jumlah sebenar-benarnya ahli Ashaabul Kahfi iatu Tujuh Orang ditambah dengan seekor anjing. Ia dikukuhkan lagi oleh beberapa testimonial daripada para tabiin sebagaimana berkata; Daripada Qatadah mengatakan daripada Ibnu Abbas ra, beliau berkata; ’Aku termasuk yang sedikit yang dikecualikan oleh Allah s.w.t, dan yang benar, mereka berjumlah tujuh orang.’

Allah s.w.t telah memperihalkan satu persatu kejadian yang berlaku kepada tujuh pemuda beriman itu. Ia dimulai dengan ayat 9 dalam surah al-Kahfi. Raqim dalam ayat ini telah ditafsirkan sebagai anjing Qitmir yang telah mengikut tujuh pemuda beriman tersebut ketika melarikan diri daripada raja yang zalim. Namun terdapat sebilangan ahli tafsir lain mentafsirkan Raqim adalah batu bersurat. Sesetengah pendapat mengatakan ia adalah nama tempat yang menempatkan mereka bertujuh ketika bersembunyi. Walau bagaimanapun pendapat yang mengatakan Raqim adalah anjing Qitmir diterima sebagai pendapat yang utama kerana kesesuaian faktanya dengan situasi kisah Ashaabul Kahfi.

Kisah Ashaabul Kahfi sebenarnya adalah kisah misteri yang sentiasa menjadi pendebatan ahli-ahli kitab iaitu Kristian dan Yahudi. Mereka kerap bertengkar mengenai hal-hal yang kecil seperti jumlah bilangan mereka dan beberapa lama mereka ditidurkan di dalam gua. Mereka tidak pula mengambil pengajaran daripada kisah tersebut. Teguran Allah dapat disaksikan di dalam ayat 12 Surah al-Kahfi ini: ‘Kemudian Kami bangunkan mereka, agar Kami mengetahui manakah di antara kedua golongan itu yang lebih tepat dalam menghitung berapa lama mereka tinggal (dalam gua itu).’

Ayat kedua golongan itu bermaksud dua golongan yang bertelagah hanya disebabkan oleh berapa hari mereka tinggal di dalam gua. Sebenarnya, iktibar utama dalam kisah Ashaabul Kahfi ini adalah mengenai kekuasaan Allah s.w.t untuk membangkitkan dan mematikan hamba-Nya. Surah al-Kahfi diturunkan disebabkan begitu ramai ahli kitab pada waktu itu tidak yakin tentang kehidupan selepas kematian dan juga alam roh. Pelbagai pertikaian mengenai alam roh yang mereka kemukakan seperti kebangkitan ketika hari kiamat nanti hanya adalah roh bukannya jasad, di sebelah lagi membangkang dengan menyatakan kebangkitan nanti akan disertai roh dan jasad. Perbalahan mereka tiada penghujungnya. Maka dengan turunnya surah al-Kahfi dan kisah Ashaabul Kahfi maka terjawablah segala persoalan yang sering bermain di fikiran mereka.

Waallahualam..

 ~ Kisah Ashaabul Kahfi turut dikenali oleh penganut Kristian sebagai Seven Sleepers. Kisah ini mula tersebar ke seluruh wilayah taklukan Kristian apabila Paul the Deacon (720-799) dan Gregory the Tours (538-594) menulis sebuah kisah mengenai keajaiban yang berlaku kepada tujuh orang pemuda berserta seekor anjing. Kisah ini berdasarkan kisah benar yang menjadi kisah turun temurun di Ephesus, Turki. Ajaibnya adalah kisah ini 100% sama seperti kisah Ashaabul Kahfi yang diceritakan daripada ayat 9 hingga ayat 26. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA