Isnin, 16 Ogos 2010

Merdeka - Tidak Dibelenggu Akal Fikiran

SMAHADZIR

NEGARA kita merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957. Sejak itulah hidup kita bebas dari telunjuk penjajah. Ini bermakna sudah 51 tahun jasmani dan rohani kita tidak dibelenggu. Hakikatnya, kemerdekaan yang sebenarnya adalah apabila sesuatu bangsa atau negara mendapat kebebasan dari penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan jasmani ataupun rohani. Dalam pengertian yang lebih luas, negara yang merdeka adalah negara yang bebas untuk mengatur corak hidup rakyatnya, tanpa ada kongkongan dari orang lain.

Negara yang merdeka ialah negara yang rakyatnya tidak dibelenggu akal fikiran, tindak-tanduk, beragama, bermasyarakat dan sebagainya. Pendek kata, negara tersebut adalah negara yang bermaruah, berdarjat dan berdaulat. Seandainya negara tersebut dijajah atau tidak merdeka, bermakna negara itu tidak memiliki maruah, darjat apalagi daulat.

Erti kemerdekaan untuk negara bermakna negara diperintah oleh kita sendiri sehingga berjaya membina sebuah kecemerlangan dalam bentuk kehidupan yang dinamik, progresif dan membangun tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa pun. Juga bermakna pelbagai usaha dapat dilaksanakan seperti menyemarak dan menyuburkan perasaan muhibah dan kasih sayang antara kaum, mewujudkan satu program membasmi kemiskinan, mempertingkatkan kemudahan infrastruktur rakyat terutamanya yang tinggal di luar bandar, memajukan sistem pendidikan dengan memberi pendidikan kepada semua warga tidak kira bangsa dan agama, menyusun semula masyarakat bermatlamat melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian dan pelbagai lagi di samping mempertingkatkan infrastruktur pembangunan Islam tanpa campur-tangan orang asing.

Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak dengan penubuhan FELDA pada 1 Julai 1956, Rukun Negara pada tahun 1970 seterusnya Rancangan Buku Hijau pada tahun 1974 adalah antara rancangan-rancangan penyelesaian pelbagai masalah ekonomi dan sosial bagi memastikan semua kaum menerima kemakmuran negara serta menggalakkan rakyat menghasilkan produk makanan sendiri dan mengurangkan import makanan ketika itu.

Kita juga bebas melaksanakan apa juga dasar seperti Dasar Penswastaan, Dasar Pertanian Negara, Dasar Pensyarikatan Malaysia, Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian Negara, Pelan Induk Perindustrian dan pelbagai lagi demi memajukan ekonomi negara sehingga mencapai tahap kemajuan yang boleh dibanggakan mengikut acuan kita sendiri. Begitu juga dalam aspek nilai-nilai murni. Bangsa yang merdeka memiliki akhlak, moral, budi bahasa, akal budi, hati budi, budi bicara, budi bahasa, budi pekerti, budi takwa dan nilai-nilai murni yang lain. Konsep nilai dan budi bahasa dapat diertikan sebagai satu konsep yang dijadikan asas untuk menilai, mengukur atau membuat pilihan serta keputusan terhadap sesuatu perkara, darjat, mutu, kualiti dan taraf perilaku dan benda mengenai seseorang atau kelompok orang sebagai baik, berharga dan bernilai.

Tingkap papan kayu bersegi,

Sampan gangsa di pulau angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.

Sesungguhnya, kehebatan sesuatu bangsa yang merdeka tidak sahaja diukur dengan kemajuannya tetapi juga keupayaan terhadap penghayatan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Budi bahasa adalah cerminan budaya. Budi bahasa yang indah mencerminkan kebudayaan yang indah yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat. Budaya diterbitkan oleh kebijaksanaan, maka budaya sesuatu bangsa melambangkan sebahagian daripada peradaban bangsa. Contohnya, budi bahasa orang Melayu telah mewakili peradaban orang Melayu, yang sifatnya sangat indah. Bukan sahaja untuk dilihat malah untuk kita semua menjadi sebahagian daripadanya.

Bangsa Melayu contohnya, sejak zaman berzaman terkenal dengan budi bahasa. Sehinggakan pernah dinukilkan oleh Sasterawan Negara Usman Awang (1988) dalam puisi beliau, yang dirakamkan pula oleh penyair Lim Swee Tin dalam kertas kerja beliau semasa seminar di Melaka suatu ketika dulu, yang antara lain mengungkapkan: ‘Melayu itu maknanya bijaksana; jika menipu pun bersopan; kurang ajarnya tetap santun; dajalnya cukup selamba; budi bahasa jangan dikira; beraninya cukup benar; tunduk bila bersalah; lembutnya cukup jantan; berkelahi cara Melayu; menikam dengan pantun; menyanggah dengan senyum; marahnya dalam tertawa; merendah bukan menyembah; meninggi bukan melonjak.

Begitulah unik dan istimewanya bangsa Melayu kendatipun ketika bertarung, mereka masih boleh berpantun walaupun dalam bentuk yang sungguh sinikal. Perlu diingat juga bahawa di sebalik tutur kata yang manis dan sopan serta budi bahasa yang lemah lembut, orang Melayu sangat mementingkan harga diri. Walaupun perahu sedang belayar; dilanda ombak karam terbalik; walaupun Melayu terbilang sabar; apabila diinjak, pitamnya naik. Maka, sebelum ‘pitam anak Melayu naik,’ maka sahutlah budi bahasa dengan adab dan sopan-santun, dan bukan itu sahaja, ia perlu diterima dengan akal budi yang tinggi.

Jelasnya orang Melayu begitu kuat berpegang kepada sabda Rasulullah s.a.w, yang bermaksud: ‘Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berbicara dengan baik atau diam.’ (hadis riwayat Bukhari)

Juga kepada sabda Baginda s.a.w dalam Musnad Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal, yang bermaksud: ‘Sesungguhnya aku hanya diutus untuk menyempurnakan budi pekerti yang luhur.’ Dan ini menunjukkan bahawa orang Melayu berpegang teguh kepada agamanya yang sangat mementingkan budi bahasa sebagai antara elemen yang menyempurnakan Islam seseorang selain dari aspek akidah dan syariah.

Namun begitu, dalam keghairahan negara untuk mencapai matlamat pembangunan bangsa yang maju dan dinamik yang bersendikan kepada pembangunan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan telah berlaku kesan-kesan sampingan atau pengaruh-pengaruh negatif dari budaya asing yang boleh merosakkan anak muda, mengugut kestabilan dan kecemerlangan bangsa.

Gejala mungkar yang berlaku dalam masyarakat hari ini terutama di kalangan muda-mudi seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, mencuri, malas, kurang ajar, biadap, berbahasa kesat dan sebagainya adalah di antara bukti yang jelas terhadap perlunya peranan yang mesti dimainkan oleh ibu bapa dan setiap anggota masyarakat. Ini mencerminkan bahawa budaya budi bahasa yang menjadi amalan leluhur suatu ketika dulu telah mulai sirna dan diabaikan.

Gejala-gejala seperti biadap, tidak menghormati orang tua, tidak bersopan santun, tidak berbudi bahasa, kerapuhan pegangan agama, kekosongan jiwa, kekurangan daya tenaga dan pemikiran di kalangan muda-mudi, krisis rumah tangga, perilaku anak-anak yang liar, tidak ada pegangan hidup, tidak menghormati guru, lebih suka kepada kebebasan mutlak dan keseronokan serta hanyut dalam arus pengaruh kebudayaan asing yang lebih banyak merosakkan jiwa dan sebagainya adalah akibat daripada kelonggaran disiplin dalam sistem kekeluargaan dan hilangnya budaya berbudi bahasa yang harus menjadi amalan hidup.

Sehubungan dengan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad telah memberi penekanan penting mengenai perkara ini dengan menegaskan bahawa di antara cabaran-cabaran yang mesti diatasi bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar maju ialah membentuk sebuah masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan pada negara mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan yang kukuh lagi mantap.

Sebagai masyarakat timur, amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni bukan suatu perkara baru. Malah kita telah diasuh sejak dari kecil lagi supaya sentiasa bersopan santun dan berbudi bahasa dalam menjalani kehidupan seharian. Hormat orang tua, memberi salam sebagai pembuka kata, membantu orang yang memerlukan pertolongan, ucapan terima kasih atau maaf di mana perlu, merendah diri dan berbagai-bagai lagi, merupakan nasihat yang tidak asing bagi kita.

Amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni merupakan warisan bangsa dan setiap institusi keluarga bertanggungjawab mendidik setiap ahli keluarganya mengenai perkara-perkara asas budi bahasa dan nilai-nilai murni, seperti cara bertutur yang sopan, saling bertegur sapa, jujur, amanah, bersih, berdisiplin, bersyukur dan sebagainya, agar menjadi manusia yang berperibadi mulia dan berakhlak indah. Tanpa kita sedari, kehidupan cara moden disertai dengan cabaran globalisasi dan dunia tanpa sempadan, telah sedikit sebanyak menghakis budaya tradisi yang bersopan santun, bertata susila dan hormat menghormati yang telah diamalkan turun-temurun. Sikap tolong-menolong, bantu-membantu dan semangat gotong-royong yang menjadi kekuatan dan kebanggaan masyarakat kita pada suatu ketika dahulu, telah mula goyah. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus prihatin mengenai perkembangan yang kurang sihat ini dan wajar membendungnya sebelum menjadi lebih buruk.

Hakikatnya, dalam mengharungi arus kemajuan yang begitu deras pada era alaf baru ini, ramai tergelincir dan kecundang. Budi bahasa semakin hari semakin luntur. Kesopanan dan sikap hormat-menghormati antara satu sama yang lain juga hampir lenyap. Hari ini, kita jarang-jarang dapat melihat warga tua dipimpin oleh anak-anak muda untuk melintas jalan. Kita juga sudah ketandusan budaya sapa-menyapa, kurangnya rasa hormat-menghormati, tidak menghargai harta benda awam dan tidak mengutamakan kepada kebersihan. Keadaaan ini jika dibiarkan, lama-kelamaan akan merosakkan tamadun dan mencemarkan budaya bangsa yang kaya dengan budi pekerti serta nilai-nilai murni yang tinggi.

Dalam zaman yang serba moden ini, kita disarankan supaya meraih kejayaan dalam apa juga bidang yang diceburi tanpa mengabaikan nilai-nilai murni dan budi bahasa. Kita harus menjadi warga negara atau individu yang berhemah tinggi dan berketrampilan yang boleh menjadi role model untuk dijadikan contoh. Sebagai kakitangan kerajaan contohnya, berbudi bahasa ini amat penting dalam Perkhidmatan Awam memandangkan anggota Perkhidmatan Awam merupakan tonggak pentadbiran negara.

Oleh itu, warga Perkhidmatan Awam mempunyai peranan yang besar dalam usaha untuk menyemarakkan pengamalan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian dan juga di persekitaran tempat kerja. Usaha sebegini penting, bagi merealisasikan strategi mengimbangi pembangunan fizikal negara dengan pembangunan insaniah rakyat, seperti yang diwar-warkan oleh pucuk pimpinan negara.

Amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni akan melahirkan kakitangan kerajaan yang mempunyai personaliti positif, berfikiran terbuka serta bertanggungjawab, selaras dengan usaha mewujudkan perkhidmatan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Pengisian amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni ini akan menyumbang ke arah meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Kakitangan Perkhidmatan Awam, terutamanya yang berkhidmat di barisan hadapan, perlu memberi perkhidmatan dengan berbudi bahasa menerusi tutur kata yang sopan, mesra pelanggan serta memaparkan sikap sentiasa ingin membantu. Amalan dan perlakuan sebegini akan dapat membantu usaha ke arah meningkatkan imej Perkhidmatan Awam.

Begitu juga dengan lain-lain individu. Kita harus sedar bahawa budi bahasa mempunyai peranan yang sangat penting dalam memelihara tamadun bangsa yang dibina. Mungkin ada benarnya bila ada yang berpendapat bahawa apabila Kempen Budi Bahasa dijalankan, menunjukkan tanda peradaban yang mula goyah. Ribut taufan dan gempa bumi adalah faktor yang menghancurkan peradaban dari aspek fizikalnya, namun bangsa yang jiwanya penuh dengan peradaban mampu membina semula kehancuran ini. Akan tetapi apabila satu-satu bangsa sudah tidak memiliki elemen ini, maka kehancuran sesuatu peradaban akan berlaku sehingga ke akar umbi.

Hakikatnya, masyarakat Malaysia telah menerima peri pentingnya budi bahasa dan penghayatan nilai-nilai murni menerusi prinsip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan. Demikian juga dalam konteks pendidikan, perkara ini telah dimaktubkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Menerusi pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, penggabung jalinan ilmu dan penerapan nilai merupakan elemen penting yang telah ditekankan.

Alangkah malangnya jika sesebuah masyarakat itu mencapai tahap kemajuan yang tinggi tetapi kelakuan dan moral pendukungnya amat rendah sehingga mencemarkan kualiti kehidupan. Dalam masyarakat Malaysia, ungkapan ‘orang berbudi kita berbahasa’, ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’ dan ‘yang baik itu budi, yang indah itu bahasa’ sudah menjadi ungkapan ghalib dalam kehidupan.

Sikap berbudi bahasa perlu dibudayakan secara berterusan dan seterusnya dijadikan sebagai warisan yang hidup kembali malah seharusnya menjadi darah daging masyarakat Malaysia. Pertuturan yang penuh budi bahasa juga perlu disambut dan dibalas dengan budi bahasa juga. Sebaliknya, jangan memperleceh atau menganggap orang yang berbudi bahasa itu kecil dan lemah. Tidak mengendah atau memandang kecil pada mereka yang menegur dengan sopan demi menjaga air muka dan nama baik, hanya menjelaskan ketidakmatangan dan sikap yang kurang bijaksana. Dan ini berlaku lazimnya apabila keangkuhan telah menguasai diri. Rentetannya, akan terbitlah di hati, ibarat menyiram air di daun keladi.

Sistem pendidikan negara kita telah berjaya melahirkan teknokrat, korporat, jurutera, doktor, ahli profesional bertaraf dunia. Lantaran itu, penampilan dan amalan budi bahasa wajar seiring dengan kecemerlangan kerjaya tersebut. Justeru, kelompangan ini perlu diisi segera dengan kefahaman dan penghayatan tentang makna budi dan nilai secara berhemah agar kualiti keinsanan yang hendak kita lahirkan menjadi kenyataan.

Budaya berbudi bahasa perlu jelas ditampilkan dalam komunikasi dan tugasan harian. Dalam penyelesaian sebarang masalah, setiap individu masyarakat Malaysia seharusnya mengamalkan pendekatan seperti ‘menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak’. Sesungguhnya, kita juga harus menjaga hubungan baik dengan sesiapa sahaja tidak kira bangsa dan agama. Budaya berbudi bahasa dan amalan nilai-nilai murni mestilah melibatkan interaksi antara semua warga Malaysia. Moga suasana bertegur sapa, hormat menghormati dan kerjasama hidup subur sepanjang masa.

Dalam hal ini, setiap warga Malaysia dari peringkat akar umbi lagi perlu dilatih dengan amalan nilai-nilai murni dan budi bahasa, agar ianya menyerap dalam diri mereka serta menjadi satu kebiasaan. Kita ialah pewaris bangsa yang akan menentukan kelangsungan amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Kita harus menjadi bangsa yang berdaya saing dalam arus kemajuan dunia dengan tidak mengabaikan amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni. Dalam konteks ini, amalan berbudi bahasa dan penghayatan nilai-nilai murni sebenarnya adalah nilai tambah kepada keupayaan daya saing bangsa Malaysia.

Selain itu, merdeka juga bermakna sentiasa berusaha mengekalkan semangat bersatu padu, muhibah, toleransi antara kaum, bergotong-royong, amanah, benar, bertanggungjawab, ikhlas, sederhana, tekun, bersih, berdisiplin, berperibadi mulia, bertimbang rasa, bermuafakat, bekerjasama, beretika, bersyukur dan sebagainya di samping taat mengamalkan lima prinsip Rukun Negara. Rukuan Negara telah dicipta ekoran rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Tragedi berdarah ini telah menyedarkan rakyat Malaysia betapa pentingnya bersatu-padu, hidup aman damai serta menghindari sifat curiga-mencurigai antara satu sama lain. 

Mengamalkan lima prinsip Rukun Negara telah melahirkan masyarakat yang bersatu-padu, bermuhibah tanpa mengira kaum serta bersikap saling hormat-menghormati. Melalui perpaduan telah dapat membantu negara mempertingkat dan mempergiatkan lagi pertumbuhan ekonomi, mengekalkan kestabilan politik dan sistem pemerintahan negara yang bersifat liberal dan demokratik.

Dengan terciptanya Rukun Negara, semua rakyat telah mendukung cita-cita membentuk satu bangsa dan negara di mana ahli-ahli masyarakatnya menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan dan kepercayaan. Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dengan berbagai persoalan yang wujud. Keadaan ini bertambah rumit lagi kerana wujud ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Sungguhpun wujud unsur-unsur perbezaan ini, tetapi melalui Rukun Negara telah dapat membentuk satu bangsa yang bersatu-padu di mana semua rakyat tanpa mengira kaum mempunyai semangat kesetiaan dan perasaan cinta terhadap negara.

Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum, agama, kebudayaan serta mengamalkan cara hidup yang berbeza. Oleh itu perpaduan negara merupakan matlamat penting dalam setiap dasar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Tanpa perpaduan, negara akan terdedah kepada pelbagai ancaman dan kelemahan. Ancaman dan kelemahan ini boleh mengakibatkan kedaulatan negara terjejas dan berlaku huru-hara rusuhan, pergaduhan kaum dan sebagainya.

Perpaduan negara adalah perkara yang dititikberatkan dalam penyusunan setiap strategi pembangunan dan pentadbiran supaya mampu mengekal dan mempertahankan kebebasannya sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Menerusi perpaduan yang kukuh, tahap pencapaian ekonomi negara dapat dipertingkatkan supaya taraf hidup rakyat akan bertambah maju di samping mewujudkan suasanan politik yang stabil. Kecemerlangan dalam bidang pendidikan, keharmonian masyarakat Malaysia yang sejahtera, bersatu-padu, bermaruah dan berwawasan telah terhasil dan seterusnya menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Perlembagaan Negara menjamin kebebasan hak asasi dan kebebasan kegiatan-kegiatan berpolitik rakyat asalkan tidak melanggar undang-undang negara. Tetapi hak-hak serta kebebasan yang diberikan ini tidak boleh disalahgunakan atas nama demokrasi untuk membakar perasaan perkauman atau bagi memusnahkan demokrasi. Apabila berlaku sebarang masalah yang melanda negara, kepentingan bangsa dan negara mestilah didahulukan. Kepentingan negara hendaklah diutamakan lebih daripada kepentingan sesuatu kaum atau sesuatu pihak, jika tidak, kestabilan dan keselamatan negara akan terancam. Di samping itu, semua anggota masyarakat mempunyai peluang yang sama untuk menikmati kekayaan negara. Masyarakat yang adil telah wujud di negara ini kerana kekayaan negara dibahagikan secara adil dan saksama. Pihak-pihak yang lemah telah dibantu supaya mereka mempunyai peluang yang sama untuk bersaing dengan pihak-pihak lain yang lebih maju.

Sejarah telah membuktikan bahawa selepas merdeka, kita telah berusaha memecahkan pelbagai kokun negatif lalu memacu keazaman, iltizam, kesabaran, ketabahan, pengorbanan, satuan semangat pencapaian yang erat tanpa secubit anasir perkauman, ketaksuban atau juga ekstrimisme dari segenap lapisan masyarakat yang pelbagai warna kulit, budaya, kepercayaan, keyakinan dan bahasa pertuturan. Inilah formula kejayaan dan kecemerlangan kita yang direalisasikan melalui satu bentuk kehidupan yang amat dinamik, unik, harmoni serta diusahakan secara istiqamah semata-mata untuk mencapai definisi membangun.

Kita mengadun resepi perpaduan dalam kepelbagaian ini berasaskan perkongsian, kesederhanaan, toleransi dan pragmatik hidup. Hasilnya, lahirlah sebuah negara bernama Malaysia yang warganya rela dan bangga menggelarkan diri mereka sebagai BANGSA MALAYSIA (satuan dari pelbagai bangsa), sebuah negara yang pesat membangun setelah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Dalam usia lebih kurang lima puluh tahun sahaja, kita sudah berjaya mewujudkan sebuah negara berbilang kaum, adat budaya, agama dan kepercayaan, menjadi negara satu bangsa - BANGSA MALAYSIA, yang maju, harmoni, bersefahaman dalam pelbagai bidang dan mengekalkan perasaan muhibah yang luhur.

Dalam soal ini, rata-rata rakyat Malaysia yang bergelar bangsa Malaysia tidak segan silu malah berbangga mengatakan bahawa ubat mujarab tersebut bernama Rukun Negara. Ramuannya terdiri daripada kepelbagaian dan satuan semangat kerjasama, cintakan keharmonian, muhibah, kedamaian, persahabatan, keakraban, toleransi dan sebagainya yang dijana oleh semua kaum yang polos menganggap bangsa mereka adalah Bangsa Malaysia, yang menggunakan satu bahasa perantaraan dan saling hormat-menghormati perbezaan agama dan kepercayaan antara sesama mereka.

Dalam masa yang sama, mereka juga tidak pernah mendabik dada seterusnya melupakan segala usaha murni kepimpinan negara yang sering memandu dan tidak jemu-jelak membuka minda dan denai yang luas serta jelas ke arah merealisasikan formula unik tersebut. Pengemblengan usaha yang jitu antara rakyat dengan kepimpinan negara adalah katalis formula unik ini dapat dicegatkan di atas mercu kejayaan gemilang.

Kita juga telah berjaya mewujudkan sebuah masyarakat progresif yang mencapai kemajuan di bidang sains dan teknologi selaras dengan perkembangan teknologi terkini serta dunia tanpa sempadan dan era globalisasi. Dunia kini sedang menyaksikan perubahan-perubahan yang begitu cepat dalam bidang ilmu pengetahuan, sains dan teknologi. Masyarakat progresif merupakan satu masyarakat yang bergerak maju sejajar dengan kemajuan sains dan teknologi yang akhirnya akan menjadikan Malaysia sebuah negara maju sebagaimana matlamat Wawasan 2020. Tetapi kemajuan tersebut tidak akan menjadikan rakyat negara ini terkeluar daripada batas-batas agama dan nilai-nilai ketuhanan.

Bangsa dan negara ini juga telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah dilarang sama sekali. Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.

Sejak negara mencapai kemerdekaan, setiap warganegara disedarkan bahawa asas pemerintahan negara berteraskan Islam yang syumul, adil dan sempurna. Diserapkan ke setiap nubari rakyat bahawa Islam is the most complete way of life, yang menyeluruh, baik dari segi sosial, politik mahupun dalam aspek ekonomi. Islam menjanjikan keadilan untuk semua, tidak kira bangsa dan fahaman agama yang mereka anuti. Asas inilah yang diambil oleh kepimpinan negara dalam mengatur hidup berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat yang teratur, tersusun, harmoni dan bersatu-padu antara satu sama lain.

Contohnya, dengan memperundangkan sifat tolong-menolong, bergotong-royong, saling bantu-membantu dan sebagainya terutama dalam mengerjakan kebaikan dan melarang sama sekali sebarang bentuk kemungkaran. Hakikat ini diterima pula oleh semua lapisan masyarakat baik Melayu, Cina, India dan sebagainya tanpa sebarang bantahan malah ikhlas sekali mengakurinya.

Mereka amat meyakini kerana sejarah dunia sudah pun membuktikan. Contohnya, kejatuhan sistem komunisme adalah disebabkan kedaulatan yang hanya berpandukan kepada akal dan hawa nafsu semata-mata yang mana terus mengukuh tunjang kesedaran di hati masing-masing bahawa teori kedaulatan Barat menampakkan pemisahan yang nyata antara agama dari politik. Lantaran itu, Islamlah yang terbaik dan wajar diwujudkan di negara kelahiran mereka ini.

Pun begitu, fungsi Tuhan tidak langsung disentuh oleh Barat tatkala membincangkan soal kedaulatan. Inilah perbezaan nyata yang menjadi garis pemisah antara sistem politik Islam dan Barat. Dalam Islam, Allah s.w.t adalah sumber kedaulatan yang mutlak dan kuasa jurisdiksi. Ini juga bermakna, tidak ada sesiapapun yang berhak melanggarnya hatta haiwan sekalipun. Segala ketetapan telah disusun dengan sempurna dan lengkap serta sesuai dengan fitrah juga naluri makhluk ciptaan-Nya.

Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat.

Kesetiaan Kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, rakyat juga telah menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat akan hak dan keistimewaan sebagai warganegara. Setiap warganegara Malaysia amat menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara di mana ianya telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini.

Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu-gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.

Golongan minoriti juga menikmati pelbagai kemakmuran di negara ini. Ini adalah kerana negara kita mengamalkan pentadbiran berdasarkan Islam, mempunyai keistimewaan yang tidak dimiliki oleh mana-mana pemerintahan lain. Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya telah diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Namun begitu, hak-hak dari kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.

Manakala ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ pula menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warganegara yang bersopan-santun dan bersusila selaras dengan kempen ‘Budi Bahasa dan Nilai Murni’ yang dilaksanakan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan Malaysia. Sifat individu yang bersopan-santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan-santun dan bersusila telah diamalkan dalam membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang telah membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni.

Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah-laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah-laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

Perpaduan kaum adalah matlamat penting yang ingin dicapai oleh semua negara di dunia termasuklah Malaysia. Ia penting kerana tanpa perpaduan, sesebuah negara itu akan menjadi lemah, sukar untuk dibangunkan dan mudah diancam sama ada oleh kuasa luar atau dalam negara itu sendiri. Segala kejayaan yang kita capai bukanlah semudah mengopek kulit kacang tanah. Ianya umpama meredah belantara tebal beronak dan berduri, penuh dengan haiwan-haiwan buas yang sentiasa bersedia mahu membaham andai tersalah langkah tetapi kematangan telah berjaya mengatasi segala cabaran.

Kepimpinan negara bersama seluruh rakyat Malaysia sentiasa bekerjasama dalam usaha mengejar kesempurnaan hidup. Kita telah memaku tekad di dalam dada untuk menjadi peneraju, untuk negara mencapai status negara perindustrian, kecemerlangan yang tidak terhad sekadar pengeluar kereta nasional sahaja tetapi juga sebagai peneraju dalam kebolehan merekabentuk intelektual menggunakan teknologi terkini. Inilah semangat pencapaian kita semua - rakyat Malaysia - bangsa Malaysia.

Kesimpulannya, kemerdekaan adalah sebuah kekebasan untuk mencorakkan pentadbiran negara kita mengikut bentuk yang kita kehendaki tanpa perlu diarahkan oleh sesiapa pun. Minda dan jasmani rakyatnya tidak terbelenggu, bebas beragama, berbudaya, bermasyarakat, mencari rezeki, menggarap ilmu, berpolitik dan sebagainya.

‘Malaysiaku Gemilang’ yang menjadi tema sambutan ulangtahun kemerdekaan yang ke 51 tahun adalah satu hakikat yang wujud melalui ketaatan terhadap lima prinsip Rukun Negara.

Kegemilangan ini merupakan suatu proses evolusi sejarah pembinaan negara yang cemerlang - satu kejayaan mengadun dan memperkukuhkan ikatan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya ke dalam suatu acuan yang unik - suatu cara hidup yang dinamik, aman serta berterusan membangun - suatu perpaduan dalam kepelbagaian berlandaskan prinsip hidup perkongsian, kesederhanaan, toleransi dan pragmatis - lahir secara evolusi dan demokratik semenjak merdeka melalui kerja keras dan proses cuba-pakai yang menuntut kepada kesabaran, pengorbanan serta ketabahan dengan menolak keganasan, perkauman, ketaksuban dan ekstrimisme daripada segenap lapisan rakyat yang berbilang kepercayaan, budaya dan keyakinan - terpahat di dalam Perlembagaan Malaysia dan dijelmakan melalui lima prinsip Rukun Negara yang dilaksana dan diamalkan oleh suatu pakatan agung nasional yang beraspirasi untuk membawa Malaysia ke Wawasan 2020 - suatu revolusi mental rakyat Malaysia - suatu kejayaan yang tiada tolok bandingnya bagi sebuah negara majmuk dan muda yang berhempas-pulas berjuang untuk mendapatkan tempat di peta dunia dan suatu pencapaian bernilai tinggi yang mesti dipertahan dan dikekalkan - telah berjaya direalisasikan dengan warna yang gemilang hasil dari kesedaran dan usaha berterusan kepimpinan negara juga sokongan padu setiap rakyat dengan transisi dari pelbagai belenggu kokun negatif. 

Lantaran itu, wajarlah kita bersyukur dan bertawakal serta bersama-sama mengekalkan formula kegemilangan negara kita ini sampai bila-bila.


Rujukan:

1. Kemerdekaan Nikmat Berharga, Syed Mahadzir Syed Ibrahim, Majalah Cahaya, JAKIM
2. Budi Bahasa Budaya Kita, Kementerian Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA