SMAHADZIR
IBUNYA orang beriman, isteri Nabi Muhammad s.a.w sekaligus puteri dari as-sidiq adalah tokoh yang wajar diteladani oleh seluruh mukminah di sepanjang zaman. Beliau adalah wanita pemilik kemuliaan yang tidak tertandingi. Aisyah - manusia yang paling berilmu tentang Al-Quranl, kerana kehidupannya yang selalu bersanding dengan pembawa risalah Islam, dan baginda menyaksikan Al-Quran yang turun di rumah baginda.
Paling berilmu, kerana faham bagaimana wujud penjabaran Al-Quran dalam kehidupan sehari-hari, dipraktikkan dalam perkataan, perbuatan, budi pekerti, akhlak dan adab oleh Rasulullah s.a.w.
Baginda juga wanita yang paling berilmu tentang hadis, fikah, pengubatan, syair dan hikmah. Sehingga sangat wajar ketika Abu Bardah mengatakan: ‘Apabila ada sebuah permasalahan yang tidak diketahui pada zaman sahabat, maka kami bertanya kepada Aisyah, dan kami memperoleh ilmu dari baginda.’
Seorang sahabat yang lain mengatakan, ‘Saya tidak mengetahui ada orang yang lebih berilmu tentang Al-Quran, faraidh (ilmu waris), halal dan haram, syair, sejarah dan nasab kecuali Aisyah.’
Kita juga akan dapati bagaimana wujud konkrit tarbiyah di atas manhaj nabawi pada diri Aisyah. Umar bin Khatab ketika menjelang wafat, berkata kepada Abdullah (anaknya). ‘Pergilah kepada Aisyah, sampaikan salamku padanya, dan mintakan izin agar aku dibolehkan dimakamkan di rumahnya bersama Rasulullah dan Abu Bakar.’
Maka Abdullah pun mendatangi Aisyah dan menyampaikan pesan ayahnya. Aisyah mengatakan, ‘Baik dan ini adalah sebuah kemuliaan,’ dan melanjutkan dengan berkata, ‘Wahai anakku, sampaikan salamku kepada Umar, dan katakan padanya jangan tinggalkan umat Muhammad tanpa pimpinan, pilihlah khalifah bagi umat dan jangan tinggalkan umat dalam keadaan sia-sia setelahmu, kerana aku takut terjadi fitnah atas umat ini.’
Wahai wanita mukminah, saksikanlah bagaimana keagungan perjalanan mereka yang ditarbiyah dalam rumah tangga nabi. Perhatikan bagaimanakah nasihat dan pandangan Aisyah untuk mengangkat khalifah setelah Umar, kerana bimbang terjadinya fitnah.
Seakan Aisyah menyaksikan hal-hal yang akan berlangsung pada masa mendatang, padahal tidaklah beliau tahu tentang hal yang ghaib, namun ini adalah firasat seorang mukmin yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Baginda tidak hanya sebatas melihat tentang dekatnya kematian Umar dan tentang masalah di mana Umar akan dimakamkan, namun baginda melihat bagaimana kehidupan umat Islam setelah Umar meninggal.
Dari sini terlihat keluasan pandangan, jauhnya pemikiran ke depan dan sekaligus perhatian yang sangat besar tentang urusan umat Islam. Inilah yang semestinya diteladani oleh wanita mukminah pada zaman ini.
Figura seorang Aisyah radiyallahuanha, memberikan ibrah yang berharga bagi para mukminah. Kedalaman ilmu, kecerdasan dan perhatiannya terhadap umat adalah warisan yang berharga yang terus boleh diwarisi sehingga hari ini. Terbukti dengan kedudukan baginda yang tercakup dalam tujuh orang di kalangan sahabat yang banyak menghafal fatwa-fatwa dari para sahabat.
Panji Islam di sepanjang sejarah akan selalu tegak dengan para penyandangnya. Dan Aisyah adalah salah seorang penegak panji Islam di awal terbitnya cahaya Islam. Sebuah bukti bahawa wanita juga memiliki peranan yang sangat besar dalam memperjuangkan Islam.
Tidak hanya untuk membuang waktu dalam berbagai pekerjaan yang sia-sia, sebagaimana yang dilakukan oleh majoriti muslimah pada zaman ini. Panji Islam memang akan tetap tegak dengan para pejuangnya sepanjang masa.
Namun apakah kita para wanita mukminah menjadi sebahagian dari penyandang dan penegak risalah atau tidak, maka jawabnya ada pada diri kita sendiri.
Dari Lensa Ego dan Kaca Cermin
9 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan